BAB 4. CORAK-CORAK PERKAMPUNGAN NELAYAN

4.1 Pengenalan

Lokasi penyelidikan perkampungan nelayan merangkumi kampung-kampung yang terpilih yang terletak di sepanjang kawasan pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kampung-kampung ini dipilih kerana ia mempunyai corak perumahan yang istimewa dan pada masa yang sama, ia mewakili satu jenis perumahan perkampungan nelayan yang terdapat di sepanjang kawasan Pantai Timur. Sebanyak enam jenis corak perkampungan telah dikenalpasti berdasarkan analisis peta foto udara, bentuk geografi sungai dan pengamatan penyelidik semasa melawat ke tapak-tapak perumahan tersebut. Corak-corak perumahan perkampungan tersebut ialah:

 

1.            Kampung Air Tanjung Muara

2.            Kampung Air Benteng Pantai

3.            Kampung Air Sisir Sungai

4.            Kampung Air Teluk Sungai

5.            Kampung Air Ladam Kuda

6.            Kampung Air Pulau Muara

 

4.2 Kampung Air Tanjung Muara

Kampung Air Tanjung Muara adalah salah satu daripada corak perkampungan nelayan yang dapat dikenalpasti di persisiran pantai timur Semenanjung Malaysia. Corak Kampung Air Tanjung Muara merupakan corak perkampungan nelayan yang berkembang di muara-muara sungai. Corak perkampungan ini biasanya dapat ditemui di muara sungai-sungai besar yang panjang dan lebar seperti sungai Terengganu, Pahang, Kuantan, Endau dan Paka.

 

Gambarajah 4.1: Corak Kampung Air Tanjung Muara di Kampung Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang

 

Kebiasaannya, sungai-sungai yang panjang dan lebar di pantai Timur mempunyai anak-anak sungai kecil di muara sungai. Kebanyakan anak-anak sungai ini mengalir selari dengan pantai. Anak-anak sungai ini tidak panjang. Ia mengalirkan air yang terkumpul di sekitar persisiran pantai. Sungai induk pula membawa air daripada bahagian pendalaman. Setengah sungai induk mempunyai aliran sungai yang selari dengan pantai. Oleh itu, anak-anak sungai biasanya terbentuk dibahagian sebelah daratan yang tidak mempunyai aliran sungai induk kerana sungai induk mengalir di bahagian sebelah daratan dari arah yang berlawanan. Apabila sungai-sungai ini mengalir selari dengan pantai, ia membentuk suatu daratan yang berbentuk tanjung.

 

Kehadiran rangkaian aliran sungai-sungai tersebut sangat mempengaruhi faktor mukabumi kawasan tersebut. Ia menyebabkan kawasan-kawasan tersebut mempunyai tanah yang lebih subur daripada kawasan-kawasan lain. Kumbahan kelodak-kelodak tanah dan pasir daripada aliran sungai ini menghasilkan humus tanah yang subur di samping membekalkan air untuk pengairan. Faktor-faktor ini menyebabkan kawasan ini menjadi fokus utama penempatan manusia. Bagi golongan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan, kawasan tanjung muara ini merupakan lokasi yang paling strategik.

 

Di samping mempunyai sungai yang menyediakan bekalan sumber air minuman, lokasi ini sangat bagus untuk pendaratan kapal-kapal nelayan. Para nelayan tidak membina jeti-jeti di sepanjang pantai kerana ombak-ombak yang dibawa oleh arus lautan menghalang pendaratan kapal-kapal nelayan dengan baik terutamanya untuk tujuan pemunggahan masuk peralatan menangkap ikan dan pemunggahan keluar hasil-hasil tangkapan laut. Oleh itu, mereka membina jeti-jeti pendaratan di muara sungai kerana berbanding dengan arus laut, arus sungai tidak mempunyai alunan ombak yang besar. Secara tidak langsung, ia memudahkan pendaratan dan pemunggahan barang-barang masuk dan keluar daripada kapal ke tanah daratan. Boleh kita katakan bahawa tanah tanjung yang terbentuk di muara sungai ialah kawasan yang paling strategik untuk penempatan kampung-kampung nelayan.

 

 

Walau bagaimanapun, lokasi yang sesuai untuk pendaratan kapal-kapal nelayan adalah sangat terhad. Setiap nelayan berebut-rebut untuk mendapatkan lokasi tapak rumah mereka di tebing-tebing sungai yang paling strategik. Morfologi Kampung Air Tanjung Muara bermula dengan penempatan di tebing-tebing tanjung muara sungai. Setiap rumah dibina di sekeliling tebing-tebing muara supaya penghuni-penghuninya mempunyai akses yang paling selesa dengan jeti. Tanjung muara mempunyai dua struktur tanah yang berbeza iaitu pertamanya ialah tanah pasir yang terbentuk di bahagian tanjung yang menghadap Laut China Selatan. Timbunan-timbunan pasir didamparkan oleh arus ombak laut di persisiran pantai tanjung muara manakala bahagian daratan tanjung, yang terbentuk kerana aliran sungai mengandungi struktur tanah selut serta arus sungai yang tenang.

Gambarajah 4.4: Kampung Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang

 

Oleh itu, penempatan berkembang di sekitar tebing-tebing yang terbentuk di sungai kecil. Air pasang surut sangat mempengaruhi kedudukan rumah-rumah dan jeti-jeti. Rumah-rumah dan jeti-jeti dibina biasanya semasa air surut. Pembinaan rumah-rumah dan jeti-jeti tidak memakan masa yang lama kerana sistem teknik binaannya adalah berlandaskan sistem teknik binaan pasang-siap (‘pre-fabrication system’). Sistem binaan ini ialah konsep utama pembinaan rumah-rumah tradisional.

Gambarajah 4.5: Kampung Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang

 

Ia merupakan teknik binaan utama di Asia Tenggara sebelum zaman kolonial iaitu zaman penaklukan rantau ini oleh negara-negara Eropah. Komponen-komponen rumah disediakan oleh tukang-tukang rumah yang berpengalaman di suatu tempat (bengkel) sebelum ia dicantumkan di tapak binaan. Sistem ini sangat sesuai dengan topografi sedia ada di kawasan paya. Komponen-komponen yang disediakan ialah tiang, tiang seri, rasuk rumah ibu, rasuk serambi, alang panjang, alang pendek, kasau jantan, kasau betina, gelegar dan sebagainya. Apabila semua komponen siap dibina, ia akan diangkut ke tapak lokasi rumah yang akan dibina.

 

Sistem penyelenggaraan komponen-komponen ini sangat penting. Tidak semua komponen ini diangkut sekaligus ke tapak binaan. Ia diangkut secara berperingkat-peringkat. Komponen yang mula-mula diangkut ialah alas tiang. Peranan alas tiang sangat besar dalam konsep struktur binaan rumah tradisional. Tinggi alas tiang daripada permukaan tanah biasanya ialah lebih kurang 15 cm (½ kaki atau ½ hasta) hingga 30 cm (1 kaki/1 hasta). Sebelum zaman kolonial, alas tiang diperbuat daripada kayu Chengal, Kempas atau Balau. Ia ditanam lebih kurang dua hingga tiga kaki di bawah permulaan bumi.

 

Pada zaman kolonial, penggunaan batu laterite dan konkrit diperkenalkan oleh orang-orang Eropah, maka alas tiang kebanyakannya diperbuat daripada bahan tersebut sehingga sekarang. Fungsi alas tiang ialah untuk mengukuhkan kekuatan tiang daripada reput kerana permukaan sedia ada di tanah paya adalah berair. Apabila wujudnya alas tiang, secara tidak langsung, ia dapat memelihara tiang rumah daripada masalah pereputan. Ketinggian alas tiang di rumah-rumah kampung nelayan kebanyakannya beberapa meter (kaki) tingginya daripada permukaan tanah. Ianya tertakluk kepada ketinggian maksima air pasang di lokasi tersebut iaitu boleh mencapai ketinggian hingga 3 meter tingginya. Oleh itu, alas tiang merupakan struktur rumah yang paling mudah reput dan rosak. Sememangnya ia direkabentuk seperti itu kerana ia ialah komponen rumah yang akan selalu ditukar apabila ia rosak. Ia senang rosak kerana ia terletak di permukaan tanah.

 

Kebaikan teknik ini ialah  fleksibiliti komponen ini untuk ditukar dengan mudah apabila diperlukan. Apabila semua alas tiang diletakkan pada tapak rumah tersebut, komponen-komponen tiang dipasang di atas alas tiang–alas tiang tersebut. Tiang-tiang rumah diletakkan di atas alas tiang tanpa menggunakan sebarang paku. Alas tiang direkabentuk supaya mempunyai sedikit lubang (lubang kuku tiang) yang ditoreh supaya tiang-tiang rumah dapat dimuatkan ke dalam lubang tersebut, dan ia dapat mengimbangi kedudukan tiang-tiang apabila dipasang. Tiang, rasuk, alang dan kasau merupakan struktur utama rumah tradisional.

 

Proses berikutnya ialah pemasangan tiang dan rasuk. Komponen-komponen ini dibawa ke tapak binaan selepas semua alas tiang dipasang di tapak binaan. Komponen rasuk dipasang melintangi tiang-tiang rumah untuk memastikan tiang-tiang rumah dapat berdiri dengan teguh. Keseimbangan keseluruhan rumah yang akan siap dibina bergantung kepada kedudukan alas tiang dan tiang. Jika komponen-komponen ini dapat dipasang dengan baik, ia akan memberi keseimbangan kedudukan lantai rumah tersebut. Sistem alas tiang sangat penting dalam hal ini kerana rumah tradisional tidak dibina di atas tebusguna tanah. Dalam sistem tebusguna tanah, permukaan tanah sedia ada ditambun dengan tanah-tanah lain di atasnya. Kemudian tanah-tanah timbunan ini diratakan supaya menjadi satu dataran. Keseimbangan rumah-rumah yang akan dibina bergantung kepada keseimbangan tapak tanah tersebut.

 

Oleh itu, memastikan tapak tanah tersebut betul-betul datar adalah sangat penting. Sebaliknya, dengan tidak menggunakan sistem tebusguna tanah, alas tiang menjadi jalan penyelesaian alternatif dalam mengimbangi kedudukan rumah. Teknik binaan rumah yang dikendalikan berasaskan konsep tradisional sangat baik kerana berbeza dengan teknik binaan moden iaitu teknik tebusguna tanah, ia tidak merosakkan alam persekitaran terutamanya fungsi tanah paya dalam mengimbangi kitaran alam semulajadi.

 

Kedudukan rumah-rumah yang didirikan adalah berdasarkan bentuk topografi tanjung muara yang terbentuk oleh aliran sungai. Pada peringkat kedua perkembangan kampung nelayan, rumah-rumah seterusnya didirikan di lapisan kedua rumah-rumah yang dibina semasa peringkat pertama. Walau bagaimanapun, perkembangan penempatan lebih berfokuskan di kawasan tapak di sekitar hujung tanjung muara tersebut. Perkara ini berlaku kerana kawasan tersebut dapat menyediakan akses yang lebih baik kepada para nelayan untuk mendaratkan kapal-kapal mereka. Kawasan ini juga mempunyai kedalaman air yang lebih stabil yang kurang dipengaruhi oleh pengaruh air pasang-surut. Kebanyakan rumah-rumah ini dibina oleh anak-anak mereka apabila mereka besar dan mempunyai keluarga sendiri.

 

Penempatan baru untuk rumah-rumah nelayan di bahagian tebing sungai kecil yang masih kosong menjadi kurang praktikal kerana sungai ini lagi jauh jaraknya daripada muara sungai dan kerana ia mempunyai tahap kedalaman yang cetek terutamanya semasa waktu air surut. Situasi ini menyebabkan ia tidak boleh menampung pendaratan kapal-kapal nelayan. Setengah muara sungai seperti kampung nelayan di Seberang Takir, muara kuala Sungai Terengganu mempunyai bentuk tanjung muara yang sangat nipis dan panjang. Berbeza dengan tanjung muara yang lainnya, morfologi pembentukan penempatan rumah-rumah nelayan tidak tertumpu di hujung tanjung muara tersebut kerana tanjung muara tersebut diliputi oleh pasir-pasir halus dan ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai tapak lokasi rumah-rumah nelayan.

 

Bentuk tanjung yang nipis dan panjang juga menyebabkan tiadanya perlindungan yang secukupnya daripada tiupan angin yang kencang. Hujung tanjung ini mungkin terhakis dan ia boleh terpisah daripada tanah besar dan membentuk sebuah pulau di muara sungai. Masalah ini menyebabkan kawasan hujung tanjung menjadi bukan lokasi pilihan yang baik untuk penempatan rumah-rumah nelayan. Tumpuan utama penempatan di tanjung muara yang nipis dan panjang ini ialah di sekitar muara kecil di lokasi pertembungan antara sungai induk  dengan anak sungai.

 

 

Pada peringkat awal penempatan perkampungan nelayan, rumah-rumah dibina di sekitar tebing sungai induk dan tebing muara anak sungai. Rumah-rumah dibina di tebing-tebing sungai sehingga ia sampai ke lokasi yang mempunyai permukaan yang berpasir di sebelah hujung tanjung muaranya atau di lokasi-lokasi tebing anak sungai yang mempunyai tahap kedalaman sungai yang rendah yang tidak sesuai untuk pendaratan kapal-kapal nelayan. Peringkat seterusnya ialah morfologi penempatan rumah-rumah nelayan secara berpusat di tanah daratan yang masih ada di sekitar lokasi pertembungan antara sungai induk dengan anak sungai.

 

Oleh kerana lokasi-lokasi ini merupakan lokasi yang paling strategik untuk pendaratan kapal-kapal nelayan tetapi ia mempunyai kawasan yang sangat terhad iaitu rumah-rumah dibina sangat rapat di antara satu sama lain. Semua penduduk bekerjasama dan bertoleransi supaya semua penduduk mempunyai akses yang  selesa. Mereka tidak merasa janggal mempunyai rumah-rumah yang rapat-rapat didirikan di kawasan tersebut walaupun secara tradisinya, masyarakat di Semenanjung Malaysia di kawasan pertanian tidak mempunyai penempatan yang berdensiti tinggi seperti di perkampungan nelayan. Apabila tapak kawasan penempatan berpusat sudah sesak dengan rumah-rumah nelayan, morfologi seterusnya berkembang di belakang rumah-rumah sedia ada ke sebelah muara tanjung sungai dan tebing anak sungai.

Gambarajah 4.7: Kampung nelayan di Seberang Takir, Kuala Terengganu

 

Morfologi yang berulang berlaku seterusnya sehinggakan tapak-tapak kawasan yang sesuai untuk penempatan penuh. Pada peringkat ini juga boleh didapati bahawa kebanyakan rumah-rumah di tebing sungai ditukarkan fungsinya kepada rumah bengkel. Setengah rumah bengkel didirikan di hadapan rumah sedia ada di atas air muara sungai bagi menampung keperluan penduduk-penduduk kampung yang tidak berpeluang mendirikan rumah-rumah mereka di tebing-tebing sungai. Rumah bengkel ini biasanya digunakan oleh para nelayan untuk penyelenggaraan dan tempat simpanan alat-alat memancing dan fasiliti-fasiliti lain yang berkaitan dengan penangkapan ikan seperti pukat, enjin kapal, kotak-kotak tempat simpan ikan, tempat baiki dan membuat pukat, tempat bermesyuarat dan perjumpaan sebelum operasi penangkapan ikan dijalankan, dan sebagainya.

Gambarajah 4.8: Kampung nelayan di Seberang Takir, Kuala Terengganu

 

Rumah-rumah bengkel ini sangat diperlukan memandangkan kapal-kapal yang digunakan pada masa sekarang adalah lebih besar daripada kapal-kapal pada zaman dahulu dan kebanyakan nelayan menjalankan operasi penangkapan ikan secara berkumpulan dalam sesebuah kapal. Rumah bengkel ini dipunyai oleh sekelompok nelayan yang mempunyai kapal masing-masing tetapi kebiasaannya sekelompok nelayan ini mempunyai pertalian darah yang rapat iaitu berasal daripada satu keluarga.

 

4.3 Kampung Air Benteng Pantai

Kampung Air Benteng Pantai merupakan corak penempatan perkampungan nelayan yang popular di persisiran pantai di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Corak penempatan ini paling banyak didapati di Terengganu kerana negeri tersebut mempunyai persisiran pantai yang panjang. Rata-rata pantainya terbentuk daripada benteng-benteng pasir yang terbentuk selari dengan pantainya. Gabungan benteng-benteng pasir ini menyebabkan hampir keseluruhan persisiran pantai di negeri Terengganu dilapisi oleh benteng-benteng pasir yang terbentuk oleh sungai-sungai yang terdapat di negeri tersebut. Benteng-benteng pasir ini bersambung di antara satu muara sungai dengan muara sungai yang lain.

Gambarajah 4.9: Sebuah kampung nelayan bercorak Kampung Air Benteng Pantai di daerah Marang, Terengganu dalam perjalanan jalanraya Kuala Terengganu, Terengganu - Kuantan, Pahang

 

Maka tidak hairanlah di negeri Terengganu, kebanyakan pantainya mempunyai rangkaian benteng-benteng pasir yang melapisi persisiran pantai. Rangkaian benteng-benteng pasir yang terbentuk oleh pelbagai sungai ini menjadikan kawasan-kawasan ini mempunyai ciri-ciri geografi yang sangat unik yang tidak didapati di kawasan-kawasan lain. Ciri-ciri ini juga memberi pengaruh yang besar dalam aktiviti sosio-ekonomi penduduk-penduduk tempatan. Ramai antara penduduk-penduduk tempatan berkecimpung dalam bidang perikanan. Setengah daripada mereka menjalankan kegiatan perikanan sebagai sebahagian daripada aktiviti mereka manakala sebahagian yang lainnya, mereka berkecimpung dalam aktiviti penanaman padi. Kegiatan ini mampu dilakukan oleh mereka kerana mereka mendapat sumber air dengan banyaknya daripada air sungai yang mengalir selari dengan persisiran pantai.

 

Gambarajah 4.10: Sebuah kampung nelayan bercorak Kampung Air Benteng Pantai di daerah Marang, Terengganu dalam perjalanan jalanraya Kuala Terengganu, Terengganu - Kuantan, Pahang

 

Penempatan kampung tertumpu di sepanjang sungai-sungai ini. Perkampungan nelayan terletak berdekatan dengan muara-muara sungai kerana muara sungai merupakan pintu utama bagi para nelayan untuk keluar ke laut dan masuk ke tanah daratan. Penempatan kampung biasanya tertumpu di sebelah tebing sungai yang terletak di tanah daratan. Penempatan di tebing benteng pasir kurang popular kerana struktur geologi di kawasan tersebut terlalu berpasir. Ia kurang sesuai untuk dibangunkan sebagai tapak-tapak perumahan nelayan. Alasan lainnya ialah setengah kawasan benteng pasir tidak mempunyai kelebaran yang secukupnya untuk tapak-tapak perumahan. Kawasan ini semakin terhad apabila air pasang berlaku.

 

Kawasan benteng juga terdedah daripada tiupan angin kencang yang bertiup daripada arah lautan. Masalahnya ialah tiupan angin ini boleh merosakkan struktur rumah. Angin ini bertiup menyebabkan percikan air laut yang masin ke lapisan luar bahan-bahan struktur rumah seperti papan, besi dan bumbung-bumbung rumah yang dibuat daripada daun mengkuang, nipah, zink dan ceramik. Bahan-bahan ini akan mudah rosak apabila terdedah kepada air masin.

 

Berdasarkan faktor-faktor konstrain ini, para nelayan memilih tebing sungai di sebelah tanah daratan sebagai tapak lokasi rumah-rumah mereka. Rumah-rumah mereka dibina berdekatan antara satu sama lain. Situasi ini berlaku kerana para nelayan ingin mendapat tapak lokasi yang paling efisien dengan kerjaya mereka iaitu aktiviti penangkapan hasil-hasil laut yang menggunakan kapal sebagai alat pengangkutan utama. Tebing-tebing sungai yang terletak berdekatan dengan muara sungai adalah kawasan yang paling strategik untuk rumah-rumah nelayan. Lokasi ini memberi akses yang paling selesa untuk kapal-kapal nelayan keluar ke laut dan masuk ke muara sungai untuk ke rumah mereka. Seperti arus sungai di tanjung muara, arus sungai di muara benteng pasir juga kurang berombak. Oleh itu, ia amat sesuai untuk pendaratan kapal-kapal nelayan.

 

Arus laut biasanya bergelora. Ia menyebabkan masalah pendaratan kerana airnya tidak tenang. Gelora arus ombak boleh merosakkan kapal-kapal mereka kerana kapal-kapal mereka akan berlaga antara satu sama lain. Kapal-kapal mereka juga akan berlaga dengan jeti-jeti pendaratan dan ia boleh menyebabkan kedua-duanya mengalami kerosakan. Kapal-kapal juga berkemungkinan akan dipukul oleh ombak laut dan membawanya ke persisiran pantai yang berpasir. Jika perkara ini berlaku, ia boleh merosakkan struktur bawah dan kemudi kapal. Ia juga akan merosakkan kipas enjin kapal-kapal nelayan. Kawasan tebing-tebing benteng ini biasanya ditumbuhi oleh pokok-pokok kelapa dan rhu. Pokok-pokok ini sedikit sebanyak melindungi rumah-rumah nelayan yang terletak di sebelah kawasan tanah daratan daripada angin kencang. Pokok-pokok ini mempunyai akar yang kuat yang mengukuhkan struktur tanah pasir di benteng-benteng tersebut dan membantu pembentukan benteng-benteng pasir seterusnya.

 

Setengah benteng pasir mempunyai kelebaran yang besar. Lebar benteng ini cukup selamat untuk pembinaan rumah-rumah penempatan para nelayan. Rumah-rumah tidak dibina berhampiran persisiran pantai. Ia dibina pada jarak yang tertentu iaitu suatu jarak yang selamat daripada perubahan air pasang surut. Berdasarkan pengamatan daripada lawatan ke kampung-kampung nelayan, boleh dikatakan jarak penempatan rumah-rumah nelayan daripada garisan persisiran pantai ialah di antara 15 hingga 30 meter. Rumah-rumah dibina berkelompok-kelompok serapat yang mungkin di sebelah tebing benteng dan bercorak selari dengan sungai. Di setengah kampung nelayan seperti Kampung Merchang rumah-rumah penempatan tidak dibina di atas benteng ini walaupun ia cukup lebar untuk tujuan penempatan.

 

Sebaliknya, para nelayan membina rumah-rumah yang digunakan sebagai bengkel iaitu tempat menyimpan dan membaiki peralatan nelayan dan sebagainya. Jeti-jeti pendaratan nelayan juga dibina bagi menempatkan kapal-kapal nelayan mereka. Situasi ini berlaku kerana para nelayan mendapat akses yang lebih baik dalam aktiviti perikanan apabila mereka membina bengkel-bengkel tersebut di sepanjang tebing sungai di lokasi benteng pasir. Setengah bengkel dibina di bahagian tebing tanah daratan, manakala bengkel-bengkel lain dibina di seberang tebing sedia ada kerana bahagian tebing tanah daratan telah penuh dibina dengan bengkel-bengkel dan rumah-rumah. Perkara ini mungkin juga berlaku kerana paras air sungai sebelah tebing sungai di benteng pasir adalah lebih dalam daripada tebing di seberang sungai tersebut.

 

Oleh itu, para nelayan dapat mudik kapal-kapal mereka dengan lebih selamat dan selesa. Jika lokasi bengkel mereka terletak di tanah daratan, mereka perlu membina jeti yang panjang ke arah sungai supaya mereka dapat mendaratkan kapal-kapal mereka dengan selamat. Di setengah kampung, para nelayan tidak membina rumah di lokasi tebing benteng pasir kerana mereka merasakan ia kurang praktikal. Semua rumah-rumah penempatan ditempatkan secara berkelompok di tebing sungai tanah daratan. Kampung Merchang, Terengganu contohnya mempunyai sebuah jambatan yang merintangi sungai tersebut. Ia dibina bagi memudahkan para nelayan untuk menyeberangi sungai ke bengkel dan kapal mereka.

 

Terdapat juga beberapa sungai yang mengalir selari dengan persisiran pantai sudah kehilangan fungsi sedia adanya sebagai sebatang sungai. Ia berlaku kerana proses evolusi perubahan aliran air sungai yang membentuk aliran sungai yang lain; dan secara tidak langsung, ia tidak bergantung kepada aliran asalnya. Sungai-sungai yang tidak lagi berfungsi ini membentuk tanah-tanah paya dan tasik-tasik kecil kerana paras tanah-tanah ini lebih rendah daripada tanah-tanah di kawasan sekelilingnya. Tanah-tanah paya ini sangat subur kerana tanah-tanah ini berasal daripada kelodak-kelodak tanah yang dimendapkan semasa pengaliran air sungai ke laut. Ia membekal tanah-tanah subur yang sesuai untuk dijadikan sebagai sawah-sawah padi, dan untuk penternakan lembu dan kambing kerana terdapat rumput-rumput yang subur tumbuh di kawasan tersebut.

 

 

Tasik-tasik kecil pula membekalkan sumber air untuk pengairan kawasan-kawasan pertanian, ia juga membekalkan sumber air minuman kepada penduduk-penduduk yang tinggal di kawasan tersebut. Penempatan-penempatan kampung nelayan pula dibina antara persisiran pantai dan tanah-tanih tersebut, dan ada yang berdekatan dengan aliran sungai barunya supaya para nelayan mendapat akses yang selesa untuk aktiviti perikanan. Setengah nelayan hanya menggunakan perahu-perahu kecil untuk aktiviti perikanan. Mereka terus mendarat daripada persisiran pantai kerana perahu-perahu mereka kecil dan ringan yang boleh ditolak ke arah laut dan ditarik ke arah daratan semasa pendaratan dengan menggunakan tangan oleh sekumpulan nelayan.

 

 

Gambarajah 4.16: Kampung Merchang bercorak Kampung Air Benteng Pantai di bahagian sebelah tebing tanah daratan

Gambarajah 4.17: Kampung Merchang bercorak Kampung Air Benteng Pantai di bahagian sebelah tebing tanah daratan

 

Walau bagaimanapun, perahu-perahu kecil ini hanya mampu belayar di persisiran pantai dan ia tidak sesuai untuk digunakan untuk perikanan laut dalam. Menurut seorang pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), ikan-ikan biasanya tertumpu di kawasan kurang daripada 5 batu nautika daripada persisiran pantai kerana kawasan ini merupakan kawasan yang paling subur dan baik untuk pembiakan dan kehidupan sumber-sumber kehidupan laut. Perahu-perahu yang digunakan oleh nelayan-nelayan tersebut digolongkan oleh pihak LKIM sebagai kapal-kapal nelayan kelas A iaitu jenis saiz kapal kecil. Hanya kapal-kapal kelas A sahaja dibenarkan untuk menangkap ikan dan sumber-sumber kehidupan laut di kawasan kurang daripada 5 batu nautika. Kapal-kapal nelayan kelas B, C1 dan C2 hanya dibenarkan untuk menangkap ikan di kawasan laut luar daripada 5 batu nautika. Jika pihak LKIM mendapati terdapat kapal-kapal nelayan selain daripada kapal kelas A beroperasi di kawasan lautan ini, nelayan-nelayan tersebut akan dikenakan saman dan hasil-hasil tangkapan mereka akan dirampas. Lesen mereka kemungkinan akan digantung. Peraturan ini dikuatkuasakan untuk membantu kehidupan nelayan-nelayan yang bergantung kepada perahu-perahu kecil supaya hasil penangkapan perikanan mereka tidak diganggu oleh kapal-kapal nelayan besar yang beroperasi secara lebih komersil. Ia juga dikuatkuasa untuk memastikan sumber kehidupan laut di kawasan ini tidak berkurangan apabila penangkapan secara berleluasa terkawal. Kawasan laut kurang daripada 5 batu nautika senang dikawal oleh pihak berkuasa dan oleh itu, ia perlu dijaga dengan rapi.

 

4.4 Kampung Air Sisir Sungai

Kampung Air Sisir Sungai terletak di kawasan tebing-tebing sungai panjang/induk yang mempunyai kelebaran sungai yang besar. Kampung-kampung ini boleh didapati di Sungai Kelantan, Sungai Terengganu, Sungai Pahang dan Sungai Kuantan. Lokasi kampung-kampung ini terletak di sepanjang sungai induk berhampiran dengan muara sungai. Ramai antara penduduk-penduduk kampung bekerja sebagai nelayan. Berbanding  dengan corak-corak kampung nelayan yang lain, kedudukan kampung-kampung nelayan ini terletak di sepanjang sungai dan bukannya terletak di muara sungai iaitu boleh diandaikan sebagai sedikit tersisih daripada lokasi yang strategik yang diperlukan oleh para nelayan supaya mereka mempunyai akses yang mudah ke laut.

 

Kebanyakan kampung-kampung ini boleh didapati di sungai yang lebar dan dalam paras air sungainya. Jika air sungainya tidak dalam, tidak mungkin penempatan kampung-kampung nelayan dapat berkembang di sisir sungai. Kampung-kampung ini biasanya berkembang di sungai-sungai utama di pantai timur Semenanjung Malaysia. Sungai-sungai ini menjadi lokasi utama penempatan kampung-kampung nelayan. Apabila semua lokasi yang strategik telah dihuni, nelayan-nelayan lainnya mencari penempatan alternatif di persisiran sungai. Ada antara muara-muara sungai ini ialah sebahagian daripada kawasan bandar.

Gambarajah 4.18: Corak Kampung Air Sisir Sungai di persisiran Sungai Terengganu berhampiran dengan bandar Kuala Terengganu

 

Pembangunan dan perkembangan infrastruktur menyebabkan penempatan kampung-kampung nelayan sedia ada terancam kerana lokasi-lokasi di muara sungai digunakan untuk pembangunan bandar. Situasi ini dapat dilihat pada muara-muara sungai yang menjadi lokasi bandar-bandar besar di pantai timur seperti muara sungai Terengganu yang menjadi lokasi utama bandar Kuala Terengganu dan muara sungai Kuantan iaitu menempatkan bandar Kuantan. Di muara sungai Terengganu, pembangunan bandar berlaku di sebelah selatan tebing muara sungai Terengganu. Penempatan perkampungan nelayan di sebelah selatan tebing muaranya sudah pupus kerana lokasi ini telah diambil untuk tujuan pembangunan bandar.

 

 

Rumah-rumah nelayan yang hampir sekali dengan muara sungai di sebelah selatan tebing sungai ini ialah jaluran rumah-rumah kedai yang dimiliki oleh kaum cina yang menggunakan bahagian belakang rumah kedai untuk pendaratan kapal-kapal mereka. Bagi sebilangan nelayan-nelayan Cina ini, aktiviti penangkapan ikan bukanlah menjadi pekerjaan utama mereka. Kebanyakan daripada mereka menjalankan aktiviti ini separuh masa sahaja. Mereka lebih menumpukan kepada aktiviti komersial. Nelayan-nelayan Cina di sungai Kuantan sebaliknya menjalankan kegiatan penangkapan ikan sebagai aktiviti utama mereka, walaupun rumah-rumah dan jeti pendaratan kapal-kapal mereka terletak lebih dari satu batu jauhnya daripada muara sungai Kuantan. Kebanyakan daripada nelayan-nelayan ini mempunyai kapal jenis kelas C yang mampu menjalankan penangkapan ikan laut dalam.

Gambarajah 4.21: Sebuah kampung nelayan Cina yang mempunyai ciri-ciri corak Kampung Air Sisir Sungai di persisiran Sungai Terengganu di  bandar Kuala Terengganu

 

Di sungai Terengganu, kebanyakan nelayan-nelayan Melayu menetap di kampung-kampung nelayan di bahagian utara tebing dan muara sungai (Seberang Takir). Nelayan-nelayan yang tinggal di bahagian selatan tebing sungai tinggal di kampung-kampung yang terletak lebih daripada satu batu jauhnya daripada muara sungai. Kedudukan rumah-rumah dan jeti pendaratan kapal-kapal mereka agak jauh daripada muara sungai. Bagi nelayan-nelayan yang menggunakan kapal kelas B dan C, perkara ini mungkin tidak menjadi masalah utama. Bagi nelayan-nelayan yang bergantung kepada kapal kelas A sebaliknya kurang selesa kerana cara penangkapan sumber laut dijalankan secara harian iaitu berulang-alik belayar antara laut dengan jeti pendaratan setiap hari kerana perahu-perahu mereka tidak sesuai digunakan untuk bermalam di atas lautan.

 

Pembangunan bandar jika tidak dirancang dengan elok akan menyisihkan golongan yang bekerja sebagai nelayan dari segi aktiviti ekonomi, kehidupan dan budaya mereka amalkan. Situasi ini dapat dilihat dari aspek masalah yang mungkin akan timbul dalam jangkamasa yang terdekat kepada nelayan-nelayan yang tinggal di bahagian selatan tebing muara Sungai Kuantan iaitu perkampungan nelayan Tanjung Lumpur. Sejak pembinaan jambatan yang merentangi berhampiran dengan muara sungai Kuantan siap, penempatan nelayan Tanjung Lumpur (Corak Kampung Air Muara Tanjung) semakin tergugat kerana tekanan pembangunan oleh pihak kerajaan dan swasta. Kebanyakan nelayan yang tinggal di kampung ini membina di atas tapak tanah yang dipunyai oleh kerajaan. Hanya segelintir nelayan yang membina rumah mereka di atas tapak tanah yang dipunyai oleh mereka.

 

Mengikut undang-undang tanah kerajaan, mana-mana tanah persisiran/tebing sungai dalam jarak 10 meter (30 kaki) daripada sempadan sungai ialah tanah kerajaan negeri. Tiada individu boleh mendapat hak pemilikan ke atas kawasan tersebut kecuali dalam kes-kes yang tertentu. Penjagaan ke atas kawasan tanah tersebut diberi mandat kepada Jabatan Parit dan Saliran (JPS). Dalam usaha mendapatkan kawasan tanah Kampung Tanjung Lumpur, kerajaan telah memindahkan sebahagian daripada penduduk kampung ke kawasan lain iaitu Kampung Peramu yang terletak lebih kurang 2 kilometer daripada muara sungai. Nelayan-nelayan yang terlibat diberi hakmilik tanah dalam menjayakan program ini. Usaha yang dianjurkan oleh pihak berkuasa ini adalah amat baik sekali dalam menaiktarafkan kehidupan para nelayan.

 

Walau bagaimanapun, penekanan dalam aspek tradisi dan budaya kehidupan sosial dan aktiviti perikanan golongan nelayan kurang difokuskan. Penempatan baru ini agak jauh daripada muara sungai. Corak morfologi yang terbentuk di penempatan baru ini ialah Kampung Air Sisir Sungai. Pihak berkuasa sepatutnya membaikpulihkan infrastruktur Kampung Tanjung Lumpur dengan membekalkan fasiliti-fasiliti yang dapat memperbaikkan sistem keselamatan infrastruktur sedia ada dan tahap kesihatan masyarakat nelayan. Kerajaan negeri juga perlu berusaha supaya masyarakat nelayan di kampung ini diberi hakmilik tanah. Hakmilik-hakmilik tanah yang perlu diiktirafkan ini sepatutnya suatu hakmilik yang istimewa tanpa mengikut undang-undang tanah kerajaan. Mereka perlu digalakkan membina rumah-rumah mereka di tepi sungai kerana aktiviti mereka sangat berkait rapat dengan sungai dan laut sebagai jalanair utama. Hak keistimewaan ini tidak boleh diperkecilkan. Aplikasi undang-undang tanah dan undang-undang pembinaan bangunan perlu dikaji semula untuk masyarakat nelayan.

Gambarajah 4.23: Kampung Semut Api yang mempunyai ciri-ciri  corak Kampung Air Sisir Sungai di persisiran Sungai Kuantan berhampiran dengan bandar Kuantan, Pahang

 

Undang-undang yang diaplikasikan berasal daripada undang-undang di negara-negara barat yang diperkenalkan semasa zaman kolonial. Undang-undang ini sesuai digunakan untuk pembangunan dan perancangan penempatan di Eropah, dan kurang sesuai untuk digunapakai terutama untuk perkampungan dan penempatan tradisional seperti Kampung Nelayan. Ada lagi program kerajaan yang lagi teruk iaitu memindahkan masyarakat nelayan ke satu kawasan yang terletak jauh di daratan daripada muara sungai dan persisiran pantai/sungai. Mereka tinggal di rumah-rumah teres yang terletak jauh di daratan. Para nelayan terpaksa menggunakan motosikal dan kereta untuk sampai ke jeti kapal-kapal mereka. Program ini secara tidak langsung memisahkan tradisi, sosial dan aktiviti sosio-ekonomi nelayan daripada kehidupan seharian. Program ini menunjukkan kepentingan masyarakat nelayan disisihkan. Ia boleh melenyapkan sejarah, budaya dan peranan masyarakat nelayan dalam menjanakan sumbangan ekonomi perikanan di negara ini. Pihak-pihak yang terlibat perlu berhati-hati dalam hal ini supaya mereka dapat memastikan sebarang perancangan perlu mengintegrasikan isu sosial, tradisi dan budaya masyarakat nelayan.

 

4.5 Kampung Air Teluk Sungai

Corak perkampungan ini bukannya suatu corak penempatan nelayan yang biasa dapat temui di muara-muara sungai di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia. Corak perkembangan penempatan di perkampungan ini pada dasarnya dipengaruhi oleh bentuk semulajadi sungainya. Pada asalnya, teluk ini merupakan satu sungai yang mengalir agak selari dengan persisiran pantai tetapi lama kelamaan, fungsinya sebagai sebatang sungai semakin kurang apabila berlaku perubahan aliran puncanya di kawasan pendalaman. Secara tidak langsung, sungai ini membentuk satu teluk pada jarak yang tertentu apabila aliran asalnya terputus, dan membentuk satu corak teluk sungai. Evolusi pembentukan teluk sungai ini adalah hampir sama dengan evolusi sungai-sungai yang membentuk rangkaian tasik-tasik dan tanah paya yang mencorakkan penempatan Kampung Air Benteng Pantai. Situasi yang sama berlaku pada kedua-dua jenis evolusi sungai ini apabila aliran sungai asalnya berubah. Pembentukan teluk sungai, tasik dan tanah paya sangat membantu perkembangan penempatan kampung-kampung nelayan kerana pembentukan teluk sungai, tasik dan tanah paya menyumbangkan jalan air, bekalan air minuman dan sumber pengairan.

 

Gambarajah 4.24: Kampung Geting yang mempunyai ciri-ciri  corak Kampung Air Teluk Sungai di persisiran Sungai Geting, anak Sungai Golok berhampiran dengan bandar

Pengkalan Kubur, Kelantan

 


Salah satu daripada teluk sungai yang ada di pantai timur Semenanjung Malaysia ialah teluk sungai yang terbentuk dengan Sungai Golok yang menjadi sempadan antara negara Malaysia dengan Thailand. Sungai yang membentuk teluk sungai ini dikenali sebagai Sungai Geting. Perkataan ‘geting’ dalam bahasa Kelantan ialah benteng pasir yang terbentuk di sepanjang aliran sungai tersebut. Sungai Geting bersama-sama Sungai Golok bertemu di muara Sungai Golok. Sungai Golok merupakan sungai induk manakala Sungai Geting ialah sebatang anak sungai yang bercabang di Sungai Golok.

 

Gambarajah 4.25: Kampung Geting yang mempunyai ciri-ciri  corak Kampung Air Teluk Sungai di persisiran Sungai Geting, Pengkalan Kubur, Kelantan

 

Gambarajah 4.26: Satu lagi pemandangan Kampung Geting yang mempunyai ciri-ciri  corak Kampung Air Teluk Sungai di persisiran Sungai Geting, Pengkalan Kubur, Kelantan

 

 

 

Walau bagaimanapun, anak Sungai Geting mempunyai kelebaran sungai yang agak besar berbanding dengan anak-anak sungai lain. Kelebaran ini membolehkan kapal-kapal besar mudik ke kawasan yang mempunyai jarak yang lebih jauh. Sungai ini juga mempunyai paras air yang dalam. Dalam kes Sungai Geting, kapal-kapal kelas C mampu mudik sehingga ke penghujung teluk sungai ini. Faktor-faktor ini memainkan peranan yang besar kerana ia sesuai untuk penempatan kampung-kampung nelayan di sepanjang sungai tersebut. Jarak di antara hujung teluk sungai dengan muara Sungai Geting hanya lebih kurang 2 kilometer. Boleh dikatakan hampir semua penempatan terletak di sebelah tebing daratan Sungai Geting. Apabila kita membuat perbandingan antara tebing benteng pantai dengan tebing di bahagian sebelah daratan, kita akan mendapati bahawa tebing benteng mempunyai ketinggian tanah pasir yang rendah manakala tanah tebing di bahagian sebalah daratan adalah tinggi. Ketinggian tanah di bahagian sebelah daratan merupakan salah satu daripada faktor utama penempatan rumah-rumah nelayan yang terletak di lokasi tersebut. Rumah-rumah dibina rapat-rapat antara satu sama lain.

 

Walau bagaimanapun, kebanyakan rumah tidak dibina secara langsung di tepi sungai. Para nelayan sebaliknya membina jalan di sepanjang tepi tebing Sungai Geting. Rumah-rumah nelayan didirikan di sepanjang tebing kerana mereka akan mendapat sumber bekalan air dengan mudah dan akses secara langsung ke sungai sebagai jalan pengangkutan air yang utama. Rumah-rumah tidak dibina di bahagian sebelah tebing benteng pantai Sungai Geting. Alasannya tidak ketahui tetapi berdasarkan pengamatan penyelidik, ia mungkin kerana kawasan tersebut tidak mempunyai tebing yang tinggi, berpasir dan berangin kencang. Faktor-faktor ini menyebabkan para penduduk di sungai ini tidak mendirikan rumah-rumah mereka di kawasan tersebut. Di bahagian hujung teluk sungai ini terdapat aktiviti-aktiviti industri kecil dan sederhana perikanan yang diusahakan oleh penduduk-penduduk tempatan di bawah program yang dijalankan oleh pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Kolam-kolam penternakan ikan air tawar diusahakan. Bangunan-bangunan untuk kilang pemerosesan hasil-hasil tangkapan ikan dibina di tebing teluk sungai ini di samping jeti-jeti pendaratan utama kapal-kapal nelayan.

 

Antara produk-produk perusahaan yang dihasilkan daripada kilang-kilang ini ialah budu, ikan kering dan keropok. Teluk sungai ini menjadi jeti pendaratan utama kapal-kapal untuk membekalkan hasil-hasil tangkapan untuk digunakan sebagai bahan-bahan mentah di kilang-kilang perusahaan ini.

 

4.6  Kampung Air Ladam Kuda

Corak perkampungan ini bukanlah suatu corak penempatan kampung nelayan yang biasa didapati di persisiran pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Kampung Air Tanjung Muara dan Kampung Air Benteng Pantai. Perkembangan corak ini dipengaruhi oleh bentuk geografi semulajadi sungai. Kebanyakan sungai di pantai timur mengalir beberapa kilometer selari dengan persisiran pantai. Oleh itu, sungai yang mempunyai bentuk ladam kuda kurang dapat dijumpai. Walau bagaimanapun, bentuk mukabumi persisiran pantai timur di negeri Johor berbeza dengan bentuk mukabumi persisiran pantai di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bentuk mukabuminya berbukit-bukau di bahagian utara manakala berpaya di bahagian selatannya iaitu sama dengan struktur geografi di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia.

 

 

Lokasi Kampung Air Ladam Kuda

 

Laut China Selatan

 

Gambarajah 4.29: Lokasi Kampung Air Ladam Kuda di Sungai Endau yang terletak di bahagian tengkak ladam kuda yang terbentuk berdasarkan aliran sungai semulajadi

 

Salah satu daripada Kampung Air Ladam Kuda terletak di tebing Sungai Endau, iaitu sungai yang menyempadani antara negeri Pahang dan Johor. Sungai ini terletak di bahagian tanah pamah Johor di pinggir kawasan bukit-bukau yang terletak di selatannya. Boleh dikatakan bahawa bentuk mukabuminya masih sama dengan ciri-ciri persisisran pantai timur di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Keunikan Sungai Endau ialah sungai ini mempunyai corak aliran sungai yang berliku-liku. Di muara sungai, ia membentuk tanjung muara dan terdapat beberapa penempatan kampung nelayan di kawasan tersebut. Lebih kurang 1 kilometer daripada muara sungai tersebut, sungai mula membentuk aliran berliku-liku dan membentuk topografi Sungai Ladam Kuda.

 

 


 

 


Gambarajah 4.30: Corak Kampung Air Ladam Kuda, Bandar Kecil Endau di Sungai Endau

 

Ladam kuda ialah kawasan tebing sungai yang mempunyai bentuk tanjung. Ia sesuai dijadikan penempatan untuk kampung-kampung nelayan di lokasi yang tidak jauh daripada muara sungai. Keunikan Kampung Air Ladam Kuda di Sungai Endau ialah ia terletak di bahagian ‘kaki’ tanjung di pinggir bandar kecil Padang Endau. Di bandar kecil ini, hampir semua tebing-tebing sungai di bahagian utaranya menjadi tapak bengkel-bengkel kapal nelayan dan jeti-jeti pendaratan kapal manakala di bahagian selatan tebing dipenuhi dengan rumah-rumah nelayan. Terdapat satu jalan utama yang merentasi penempatan ini. Jalan ini membahagikan antara kawasan bengkel-bengkel nelayan dengan kawasan rumah-rumah nelayan. Jalan utama ini merupakan lokasi pusat perniagaan di bandar Padang Endau. Di sepanjang jalan utama, terdapat deretan rumah-rumah kedai yang dibina daripada kayu dan batu-bata. Rumah-rumah kedai mempunyai seni bina yang berbeza berbanding dengan rumah-rumah tradisional. Ia dibina di atas tanah, berderet-deret dan dibina daripada batu-bata manakala teknik binaannya adalah berdasarkan teknik bidang tebusguna tanah.

 

Konsep binaan rumah-rumah kedai ini sangat berbeza dengan konsep binaan rumah tradisional. Ia diperkenalkan semasa zaman kolonial. Penjajah-penjajah Eropah membina rumah-rumah dan bangunan-bangunan yang menggunakan teknik binaan daripada negara mereka yang beriklim sederhana sejuk. Mereka mengintegrasikan elemen-elemen rumah tradisional seperti bukaan tingkap yang maksima verandab dan anjakan bumbung keluar beberapa kaki daripada dinding rumah supaya bangunan yang dibina dapat disesuaikan dengan iklim tempatan iaitu iklim tropikal. Rumah-rumah kedai ini menjadi rekabentuk bangunan popular di kalangan masyarakat berbangsa Cina yang tinggal di bandar-bandar di Malaysia. Kedatangan orang-orang Cina di Tanah Melayu memperkenalkan rekabentuk seni bina rumah kedai sesuai dengan pekerjaan mereka yang begitu berkecimpung dalam aktiviti perniagaan.

Gambarajah 4.33: Corak Kampung Air Ladam Kuda, Bandar Kecil Endau, Johor

 

Rumah-rumah kediaman nelayan terletak di barisan belakang rumah-rumah kedai ini daripada jalan utama. Rumah-rumah ini dibina berdasarkan konsep teknik binaan tradisional. Ia tidak perlu didirikan di laluan jalan utama kerana ia bukanlah bangunan perniagaan iaitu ia tidak memerlukan lokasi yang dapat menarik perhatian untuk tujuan komersial. Perkembangan pada peringkat awalnya ialah sebuah kampung penempatan nelayan tetapi sekarang ia bertukar menjadi sebuah bandar perikanan iaitu bandar Padang Endau menyebabkan aktiviti-aktiviti ekonomi nelayan dengan kehidupan sosialnya sedikit dipisahkan. Situasi ini berlaku kerana beberapa kawasan penempatan nelayan berkembang sebagai pusat bandar Padang Endau. Lokasi strategik di sepanjang jalan utama dikembangkan untuk aktiviti komersil dan perkhidmatan rumah-rumah kedai, bazaar, pejabat dan pasar. Jalan utama yang menjadi pusat aktiviti komersil dan perkhidmatan memisahkan jeti-jeti pendaratan dan bengkel-bengkel nelayan dengan kawasan rumah-rumah penempatan nelayan.

Gambarajah 4.34: Corak Kampung Air Ladam Kuda, Bandar Kecil Endau, Johor

 

Aktiviti sosio-ekonomi di bandar ini masih bergantung kepada hasil perikanan. Aktiviti sosio-ekonomi penangkapan hasil perikanan masih menjadi kegiatan utama kerana bandar ini terletak di lokasi yang terpencil dan ia bukanlah menjadi perhatian untuk dibangunkan kepada aktiviti ekonomi lain. Bandar-bandar seperti Kuala Terengganu, Kertih, Kuantan dan Paka merupakan contoh sosio-ekonomi perikanan yang telah menjadi aktiviti sekunder kerana kepesatan aktiviti pembangunan bandar. Bandar Mersing pada masa kini mendapat saingan daripada pembangunan pelancongan dan komersial. Walaupun rumah-rumah nelayan sedikit diasingkan daripada aktiviti ekonominya, bentuk topografi ladam kuda sekurang-kurangnya masih menawarkan lokasi rumah-rumah nelayan kepada sungai. Topografi ladam kuda memberi akses kepada mereka dengan aktiviti jalan air kepada  nelayan-nelayan. Sekurang-kurangnya topografi ini dapat menawarkan pemeliharaan kehidupan dan tradisi masyarakat nelayan yang tidak boleh dipisahkan dengan jalan air.

 

4.7  Kampung Air Pulau Muara

Corak kampung Air Pulau Muara ialah suatu corak penempatan rumah-rumah nelayan yang terletak di pulau-pulau yang terdapat di muara sungai. Corak perkampungan ini biasanya didapati di muara-muara sungai yang mempunyai kelebaran sungai yang besar seperti Sungai Terengganu dan Kelantan. Muara-muara sungai membentuk pulau-pulau di muaranya samada pulau-pulau tersebut sememangnya tanah tinggi sedia ada yang terletak di tengah-tengah muara sungai ataupun ia terbentuk daripada timbunan kelodak-kelodak lumpur dan pasir yang dibawa oleh aliran sungai. Ia dikenali sebagai delta sungai. Setiap delta dipisahkan oleh sungai-sungai kecil yang bercabang-cabang. Sungai Kelantan contohnya ialah sungai yang membentuk delta berjenis ‘payung’ yang sangat besar di muka muaranya. Terdapat lebih kurang 100 buah pulau yang membentuk delta-delta ini. Semasa lawatan penyelidikan tapak ke lokasi tersebut, penyelidik dapati banyak antara pulau-pulau tersebut diduduki oleh para nelayan. Penempatan kampung-kampung nelayan terletak di atas pulau-pulau ini kerana ia melindungi kampung-kampung tersebut daripada tiupan angin kencang dan ombak yang bergelora terutamanya semasa musim tengkujuh. Kedudukan pulau-pulau tersebut di perairan muara sungai memudahkan pergerakan kapal-kapal dan perahu-perahu nelayan semasa bertolak dan mendarat di jeti-jeti pendaratan kerana perairan muara sungai mempunyai arus yang tenang berbanding dengan arus lautan yang senantiasa berombak-ombak yang menyebabkan masalah pendaratan kapal-kapal jika jeti-jeti dibina di persisiran pantai. Pengangkutan air menjadi pengangkutan utama di delta ini kerana pulau-pulau sedia ada dipisahkan oleh cawangan-cawangan sungai yang terbentuk di delta muara Sungai Kelantan.

Laut China Selatan

 

Gambarajah 4.34: Pulau-pulau yang terbentuk di delta muara Sungai Kelantan

 

Masalah utama penduduk-penduduk yang tinggal di pulau-pulau ini ialah untuk mendapat fasiliti-fasiliti secukupnya sepertimana yang ada di bandar-bandar kerana masalah kedudukan perkampungan mereka di pulau-pulau yang berasingan antara satu sama lain. Di pulau-pulau utama penempatan kampung-kampung, bekalan elektrik disediakan. Kebanyakan daripada penduduk-penduduk di sini mendapatkan bekalan air daripada telaga yang dipamkan dengan menggunakan jentera pam air ke rumah masing-masing. Terdapat sekolah rendah dan sekolah menengah dibina di lokasi tersebut, contohnya sekolah rendah terletak di Pulau Beluru. Pelajar-pelajar yang tinggal di pulau-pulau yang berdekatan menggunakan perahu untuk ke sekolah. Pelajar-pelajar yang tinggal di pulau-pulau lain belajar di tanah besar Semenanjung Malaysia di sekolah-sekolah berhampiran dengan rumah-rumah mereka.

Gambarajah 4.35: Sebuah kampung yang terletak di Pulau Suri, delta Sungai Kelantan

 

Gambarajah 4.36: Kampung Pantai Mek Mas yang terletak di Pulau Buaya, delta Sungai Kelantan

 

Corak perkampungan nelayan di delta Sungai Kelantan tidak begitu mempunyai rumah-rumah yang dibina berdasarkan densiti unit rumah sehektar yang tinggi. Situasi ini berlaku kerana terdapat banyak pulau-pulau yang terletak di muara sungai Kelantan. Mereka tidak mempunyai masalah mendapatkan lokasi perkampungan yang strategik untuk aktiviti ekonomi yang diperlukan untuk penangkapan ikan. Sebilangan kecil penduduk-penduduk di sini menjalankan penangkapan ikan air tawar.

 

 

Berbeza dengan corak perkampungan nelayan yang ada di delta Sungai Kelantan, corak perkampungan yang ada di muara Sungai Terengganu mempunyai densiti unit rumah sehektar yang tinggi. Situasi ini berlaku kerana pulau-pulau yang terbentuk di muara sungai Terengganu adalah tidak sama seperti pulau-pulau yang terbentuk di muara sungai Kelantan. Muara sungai Terengganu mempunyai beberapa buah pulau sahaja. Pulau Duyung adalah salah satu pulau yang menjadi lokasi penempatan utama rumah-rumah nelayan. Pulau ini terletak kira-kira ½ kilometer daripada muara sungai

Terengganu. Terdapat beberapa kampung nelayan di pulau ini seperti kampung Pulau Duyung Kecil dan Kampung Pulau Duyung Besar.

 


Gambarajah 4.38: Kampung Pulau Duyung Kecil yang mempunyai corak Kampung Air Pulau Muara

 

Kampung Pulau Duyung Kecil terletak paling hampir dengan muara sungai Terengganu. Di kampung ini, rumah-rumah nelayan didirikan rapat-rapat di antara satu sama lain dalam satu kelompok yang besar. Masing-masing dibina pada tebing-tebing sungai supaya setiap penghuni mempunyai akses kepada sungai. Kampung ini terletak di hujung Pulau Duyung yang berbentuk tanjung. Oleh itu, setiap rumah mendapat lokasi yang strategik dengan jeti-jeti pendaratan. Sebahagian daripada rumah-rumah terletak di bahagian kelompok kampung tersebut. Ia dipercayai ialah rumah-rumah yang dibina pada peringkat selanjutnya apabila setiap tebing pulau tersebut telah dibina dengan rumah-rumah semasa peringkat awal penempatan. Ada antara rumah-rumah yang terletak di tebing-tebing sungai dipenuhi oleh air sungai beberapa kaki daripada aras tebing tanahnya sewaktu air pasang. Oleh itu, binaan rumah yang mempunyai lantai yang dibina beberapa kaki lebih tinggi daripada aras tanah menjadi teknik binaan utama di Kampung Pulau Duyung Kecil.

 

Konsep teknik binaan ini sangat sesuai dengan bentuk topografi sedia ada yang mempunyai paras air sentiasa berubah-ubah mengikut pengaruh air pasang dan surut. Di samping itu, rumah-rumah di Kampung Pulau Duyung Kecil mempunyai ciri-ciri rekabentuk tropikal (rumah tradisional) seperti alas tiang, rekabentuk bumbung yang dominan, bukaan tingkap yang maksima, anjung, teknik binaan sistem ‘prefabrication’ iaitu sistem pemasangan komponen-komponen rumah yang menggunakan kayu, sistem rumah tambah, aplikasi bukaan siling dan bumbung untuk tujuan ventilasi dan konsep tapak pembinaan tanpa mengaplikasikan sistem tebusguna tanah.

 

Rumah tradisional tidak mengaplikasikan teknik binaan tapak kawasan berlandaskan sistem tebusguna tanah. Perkara ini boleh diandaikan bahawa masyarakat yang hidup sebelum zaman kolonial sememangnya telah lama menghormati alam sekitar sedia ada yang ada di sekeliling mereka. Jika teknik tebusguna tanah diaplikasikan, ia akan merosakkan alam sekitar. Kerosakan kepada alam sekitar boleh mendatangkan bencana seperti tanah runtuh, pencemaran air, dasar sungai yang menjadi semakin cetek, tanah jerlus dan sebagainya. Masalah ini biasanya berlaku semasa musim tengkujuh dan musim kemarau, dan ia boleh mengorbankan nyawa dan harta benda, dan mengurangkan rezeki tangkapan hasil-hasil laut dan sungai.

 

Pada masa dahulu, Pulau Duyung ialah dua pulau. Kampung Pulau Duyung Kecil terletak di Pulau Duyung Kecil manakala beberapa buah kampung lagi termasuk Kampung Pulau Duyung Besar terletak di Pulau Duyung Besar. Walau bagaimanapun, tekanan pembangunan telah membangunkan prasarana sistem tebusguna tanah di Pulau Duyung Kecil sehingga sekarang ia bercantum menjadi sebuah pulau apabila pembangunan tebusguna tanah ini menambunkan tanah dan pasir, dan menambakkan tebing-tebing pulau sehingga dua pulau ini bercantum menjadi satu pulau. Perkara ini berlaku terutamanya apabila jambatan baru yang menghubungkan Seberang Takir dengan bandar Kuala Terengganu siap.

Gambarajah 4.40: Kampung Pulau Duyung Kecil yang diancam oleh pembangunan tebusguna tanah

 

Sebelum adanya jambatan, penduduk-penduduk di Pulau  Duyung sangat bergantung kepada Sungai Terengganu sebagai jalan pengangkutan utama. Pada masa sekarang, pengangkutan air masih digunakan oleh penduduk-penduduk di Pulau Duyung  dan Seberang Takir untuk ke bandar Kuala Terengganu. Walau bagaimanapun, sejak adanya jambatan, penggunaan jalan air kurang digunakan di Pulau Duyung. Bot awam hanya memberi perkhidmatan berulang alik daripada jeti Kuala Terengganu ke Pulau Duyung 2 jam sekali kerana kekurangan penggunanya. Penduduk-penduduk di Seberang Takir masih bergantung kepada bot-bot awam yang berulang alik dalam 15 hingga 30 minit dari bandar ke Seberang Takir. Perkhidmatan ini masih penting kerana masa perjalanan menggunakan pengangkutan air lebih cepat berbanding dengan pengangkutan darat dan kerana lokasi jalan darat Seberang Takir sangat jauh daripada bandar. Pasar, stesen bas, gedung-gedung membeli belah dan bank  terletak di sekitar tebing sungai di bandar Kuala Terengganu. Ia tidak secara langsung menarik perhatian penduduk-penduduk di Seberang Takir menggunakan bot-bot awam. Harga tambang bot yang dikenakan hanya 50 sen bagi orang-orang dewasa.

Gambarajah 4.41: Kampung Pulau Duyung Kecil yang diancam oleh pembangunan tebusguna tanah

 

Masa depan kampung-kampung nelayan di Puyung Duyung nampaknya terancam. Lebih-lebih lagi kawasan yang telah ditebusguna semakin luas. Kemungkinan pihak berkuasa akan menggunakan kawasan-kawasan tersebut dalam jangkamasa terdekat untuk tujuan pembangunan.