URUSAN
PENGKLASIFIKASIAN DAN PENGHANTARAN
(TRANSMISI)
DOKUMEN BERKAITAN PROJEK PEMBINAAN
BAGI
MAKSUD AKTA RAHSIA RASMI, 1972
ABDUL AZIZ
HUSSIN AMN
Pusat Pengajian Perumahan, Banguna dan Perancangan
Abstracts
Some
documents relating to construction projects may contain secret informations and
been classified as “secret” under the Official Secrets Act 1972. All the
players in the construction projects must take great care, custody and control
in using these documents. One of the ways in conveying information or documents
is by using facsimile machine and e-mail. This article discusses the procedures
that to be followed in order to avoid any act that contravene the said Act,
especially in using facsimile and e-mail.
Kata kunci: Rahsia rasmi –
prosedur – dokumen – faksimili – mel elektronik
PENDAHULUAN
Dalam
menguruskan projek pembinaan, pemain-pemainnya (samaada klien, kontraktor,
subkontraktor, pembekal, arkitek, jurutera, juruukur bahan, pihak-pihak
berkuasa dan lain-lain) biasanya akan terlibat dengan pengurusan
dokumen-dokumen (urusan tender, notis-notis, surat-surat kelulusan pihak
berkuasa, minit-minit mesyuarat, dan lain-lain). Sedar atau tidak sedar, mereka
ini kadangkala akan berurusan menggunakan dokumen (mendapatkan maklumat,
mennyimpan dan menghantar dokumen, contohnya)(Chandler dan beberapa lagi
lwn. Pengarah Pendakwa Raya,1964) atau dokumen berkenaan adalah dibawah
kawalannya (Dullfor Meis et Cie lwn. Bank of England, 1950) yang
sebahagiannya tertakluk dibawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Ini lebih ketara lagi
jika projek yang akan atau sedang dikendalikan itu adalah melibatkan kerajaan
sebagai kliennya.
Artikel ini membincangkan urusan pengklasifikasian
dokumen-dokumen bagi maksud Akta Rahsia Rasmi, 1972, dan juga memberi panduan
urusan penghantaran (transmisi) dokumen melalui mesin faksimili dan mel
elektronik bagi maksud Akta berkenaan terutama kepada pegawai kerajaan yang
berurusan secara langsung dengan projek pembinaan (yakni klien projek adalah
kerajaan).
Kerajaan telah memperkenalkan Akta
Rahsia Rasmi, 1972 (Akta 88) bagi tujuan memberi perlindungan undang-undang
kepada ‘rahsia-rahsia rasmi’. Ianya diwujudkan demi menjaga
kesejahteraan negara secara amnya (Abdul Aziz Hussin, 1997).
Mengikut seksyen-seksyen 2 dan 2B
Akta 88 (seperti pindaan di bawa Akta A 660/86), ‘rahsia-rahsia rasmi’ bermaksud
sebarang dokumen, rekod keputusan dan penyampaian Jemaah Menteri atau Majlis
Mesyuarat Kerajaan, dokumen-dokumen mengenai keselamatan negara, pertahanan dan
perhubungan antarabangsa dan sebarang maklumat dan bahan berkaitan dengannya
termasuklah juga sebarang dokumen rasmi, maklumat dan material yang dikelaskan
‘Rahsia Besar’, ‘Rahsia’, ‘Sulit’ atau ‘Terhad’ sama ada oleh seorang Menteri,
Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau penjawat awam yang
dilantik oleh mereka itu.
Akta 88 ini juga meliputi
dokumen-dokumen dan bahan-bahan badan berkanun (seksyen 2 Akta)(seperti
Universiti-universiti awam, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga
Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan
lain-lain lagi)(Abdul Aziz Hussin, 1997).
Mengikut seksyen 2 itu juga, takrif ‘dokumen’ termasuklah,
sebagai tambahan kepada dokumen yang ditulis, ialah juga peta, pelan, model,
geraf, lukisan, gambar, disk, pita, trek suara dan seumpamanya, filem, dan
seumpamanya. Dan ‘bahan’ pula
termasuklah sebarang alatan, perkakas atau objek. Jika jika perhatikan senarai
itu, sebahagian daripada dokumen tersebut
terdapat dalam milik pegawai yang menguruskan projek pembinaan, yakni
memilikinya secara ‘corpus possesionis’ (yakni dalam kawalannya)(Bird,
R. 1986), seperti pelan, peta, bil kuantiti, anggaran harga, anggaran
peruntukan kewangan, dan lain-lain lagi).
Perkara-perkara (dokumen dan bahan)
perlulah dijaga dan diuruskan sewajarnya agar tidak memberi kesan negatif
(keselamatan, ekonomi, nama baik, masalah dan mudarat seumpamanya), termasuk
pengintipan (Martin, E.A. 1983).
Perkara ini juga perlu diambil perhatian oleh penjawat-penjawat awam dan
juga pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung dalam projek pembinaan
kerana sebarang perlanggaran peruntukan mengenai penyimpanan/kerahsiaan dokumen
atau material mengakibatkan orang berkenaan dikenakan penjara mandatori paling
kurang setahun dan tidak lebih 7 tahun (seksyen-seksyen 8, 9, 10, 11, 12, 13
dan 14 Akta).
Daripada peruntukan-peruntukan di
atas maka jelas kesannya yang serius sama ada kepada penjawat, organisasi awam,
pihak-pihak dalam projek pembinaan atau negara. Dengan itulah perlunya dokumen atau material itu diuruskan
sewajarnya agar penjawat, organisasi, ahli-ahli dalam projek pembinaan atau
negara tidak terseret ke dalam kesan-kesan serius itu. Ini termasuklah kepada
orang-orang yang membantu atau menolong dalam perbuatan salah tersebut (Lee
Hwa Liang lwn. Pendakwa Raya, 1964; Smith, J.C. & Hogan, B. 1978)
Dengan alasan-alasan sedemikianlah
menyebabkan Kerajaan telah mengeluarkan pelbagai pekeliling dan kertas panduan
mengenainya yang antaranya seperti berikut:-
|
|
Perkara |
Kandungan |
|
(a) |
Surat Pekeliling Am Sulit Sulit Bil. 3 Tahun 1981 Bth.: 3 September 1981 |
- Senarai pemegang
Jawatan Keselamatan Berjadual. |
|
|
|
- Pengurusan Surat-Surat Terperingkat. |
|
(b) |
Surat JPA bil. JPA(R) 30/5/6-1/Klt/2(11) Bth.: 1 Julai 1982 |
- Tafsiran Tugas
Bercorak Sulit dan Keselamatan Mengikut Seksyen 27, Akta
Kesatuan Sekerja, 1959. |
|
(c) |
Surat Pekeliling Am Bil. 2 Tahun 1987 Bth.: 20 Februari 1987 |
- Peraturan
Pengurusan Rahsia Rasmi. |
|
(d) |
Surat JPA Bil. JPA(S) 30/5/2-1 Klt.3/sk/(66) Bth.: 22 November 1984 |
- TafsiranTugas-Tugas
Bercorak ‘Sulit’ dan ‘Keselamatan’ (seperti (b) di
atas). |
|
(e) |
Kertas Ceramah Oleh Peguam Negara Bth.: 17 Januari 1984 |
- Huraian Mengenai
Akta Rahsia Rasmi (Pindaan) 1986. |
PENGURUSAN RAHSIA RASMI
Skop Pengurusan Dokumen
Aspek-aspek yang penting yang ditekankan oleh Akta 88 dan
terutamanya oleh surat-surat dan surat-surat pekeliling adalah dari aspek
pengurusan rahsia rasmi. Pengurusan rahsia rasmi ini merangkumi aspek-aspek
berikut:-
(i)
Urusan-urusan
am dokumen seperti pengklasifikasian, urusetia, perjalanan dokumen, penyimpanan
rahsia rasmi dan seumpamanya. Secara ringkasnya ialah aspek keurusetiaan.
(ii)
Pegawai yang menetapkan
pengklasifikasian dan pemansuhan pengklasifikasian.
(iii)
Penguatkuasaan dan
tindakan atas apa-apa perlanggaran, keengkaran, ketidakhirauan dan seumpamanya
peruntukan Akta 88.
Dalam aspek ini, yang ditekankan ialah mengenai
tanggungjawab dan peranan penjawat awam mengenai kawalan Rahsia (Perenggan 1,
Surat Pekeliling Am Sulit Bil. 3/1981). Ini diberikan oleh Buku Panduan
Keselamatan. Antara yang perlu
dipastikan ialah:
(a) Penjawat
(sementara/tetap) yang mula memegang jawatan perlu menandatangani Perakuan
menyimpan rahsia. Begitulah juga yang akan meninggalkan perkhidmatannya.
(b) Menyedia
senarai pemegang jawatan keselamatan berjadual (tatacaranya seperti perenggan 5
Surat Pekeliling Am Sulit Bil. 3/81).
(c) Prosedur
menguruskan surat-surat terperingkat juga perlulah dipatuhi (tatacaranya
seperti perenggan-perenggan 6 dan 7 Surat Pekeliling Am Sulit Bil. 3/81 dan
perenggan-perenggan 3.1.2. dan 3.1.4. Surat Pekeliling Am Bil. 2/1987).
(d) Perlantikan
penjawat untuk mengelaskan surat rasmi, maklumat atau bahan. Mengikut perenggan 3.1.1. dan LAMPIRAN ‘A’,
Surat Pekeliling Am Bil. 2/1987, bagi maksud badan berkanun, penjawat yang
boleh dan diberikan kuasa melakukannya ialah Pengurus Besar, Timbalan Pengurus
Besar dan Pengurus-Pengurus Bahagian/Unit Tingkatan Tertinggi ‘G’ (iaitu
Tingkatan-Tingkataan seperti L2, N2, M2, J2, W2, U2 dan lain-lain di bawah SSB)
dan keatas. Jika di Universiti, ini termasuklah Naib Canselor, Timbalan Naib
Canselor dan Pendaftar. (Tatacara dan format-format yang diguna untuk lantikan
ini adalah seperti perenggan 3.1.1 yang sama).Jika jabatan-jabatan kerajaan
pula, ia termasuklah Pengarah Negeri, Timbalan Ketua Pengarah dan Ketua
Pengarah (bergred jawatan seperti L2, N2, M2, J2, W2, U2 dan lain-lain yang
setara dan keatas). Diperingkat Kementerian pula, ianya termasuklah
Setiausaha-setiausaha Bahagian, Timbalan Ketua Setiausaha dan Ketua Setiausaha
(bergred jawatan L2, N2, M2, W2, J2, U2, dan lain-lain yang setara dan keatas)
Aspek-aspek pengklasifikasian adalah seperti yang
dihuraikan di bawah perenggan 3.1.4.
Surat Pekeliling Am Bil. 2/1987, Arahan-arahan 4(a) dan 4(b), Bab 4 bagi
Arahan Perkhidmatan. Penulis tidak bercadang membincangkannya disini.
Aspek ini akan diuruskan sewajarnya oleh Pegawai
Keselamatan Kerajaan dan juga pihak polis serta Pejabat Pendakwaraya.
Aspek-aspek ini ada ditekankan oleh Peguam Negara dalam ceramahnya mengenai
Akta Rahsia Rasmi (Pindaan) 1986 pada Januari 1987. Namun bagi maksud artikel
ini ianya tidak dibincangkan..
PENGHANTARAN DOKUMEN (TRANSMISI)
DENGAN MESIN FAKSIMILI DAN MEL ELEKTRONIK
Kenyataan-kenyataan
akhbar pada awal bulan November 1992 mendedahkan bahawa salah satu kebocoran
rahsia rasmi adalah melalui transmisi mesin faksimili (dan kini mungkin pula
melalui mel elektronik). Ini kerana penggunaan mesin teknologi maklumat
berkenaan kini semakin berleluasa, dan dengan itu garis panduan khusus
mengenainya perlulah dibuat.
Beberapa aspek melibatkan mesin
faksimili dan komputer untuk mel elektronik, dan penggunaannya perlulah
ditekankan dan diambil perhatian serius yang antaranya adalah seperti berikut:
(a) Penempatan
mesin faksimili dan komputer untuk kegunaan mel elektronik di tempat, ruang dan
masa penggunaannya;
(b) Penjaganya/pengawasnya
yang khusus;
(c) Penghantaran
dokumen kepada dan daripada mesin faksimili atau mel elektronik serta sistem
penghantarannya yang teratur dan pengirim/penerima itu sendiri;
(d) Pemilihan
dokumen yang sesuai untuk difakskan dengan melihat dari perspektif
alternatif-alternatif lain yang ada (kourier, hantaran cepat, serahan tangan,
telefon dan lain-lain) dan penjenisan dokumen itu sendiri; dan
(e)
Penelitian
dalam penggunaanya (bagi mengelakkan salah/silap hantar/terima dan
seumpamanya), serta sistem-sistem amaran mengenainya.
Diantara sistem amaran
yang pernah penulis perkenalkan dan digunakan oleh agensi ditempat penulis
pernah bekerja ialah seperti berikut:
Pertama, perkenalkan BORANG PENGHANTARAN
DOKUMEN MELALUI FAKSIMILI/MEL ELEKTRONIK, yang mengandungi nama
pengirim, penerima dan tajuk dokumen (termasuk bilangan halaman dokumen bagi faksimili);
Kedua, pada bahagian hujung bawah BORANG
atau format mel elektronik berkenaan dicatatkan amaran berikut:
AMARAN PENTING:
Dokumen yang dikirimkan ini hanya untuk
orang yang dinyatakan seperti
dinyatakan diatas sahaja.Jika anda bukan orang yang dimaksudkan atau dokumen ini
silap dihantar, sila kembalikan SEGERA kepada pengirim atau
memadamkan mel ini (mengikut mana yang berkenaan). Ini kerana kandungan
dokumen ini adalah tertakluk dibawah Akta
Rahsia Rasmi, 1972.
PENUTUP
Adalah jelas bahawa sebahagian
daripada dokumen projek pembinaan, seperti dokumen tender (pada peringkat
penenderan, contohnya) dalam kontrak-kontrak kerajaan, adalah dokumen yang
tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (jika ianya didaftar atau disenaraikan
sedemikian). Dokumen-dokumen berkenaan perlulah diuruskan sewajarnya dan dengan
cermat agar tidak terdedah kepada pihak-pihak yang tidak diingini. Pengurusan
dokumen berkenaan perlulah dibuat dengan mematuhi prosedur-prosedur yang telah
dibincangkan didalam artikel ini.
Selanjutnya, salah satu cara
yang dikenalpasti yang mungkin boleh mendedahkan dokumen yang tergolong dalam
rahsia rasmi ialah melalui penggunaan mesyin faksimili dan mel elektronik.
Sekali lagi peraturan ketat transmisi dokumen melalui mesyin faksimili atau mel
elektronik perlu diuruskan dengan prosedur-prosedur yang ketat agar kerahsiaannya
dapat dijaga (disamping mengelakkan orang berkaitan dihukum dibawah Akta Rahsia
Rasmi 1972).
Dipihak kontraktor dan ahli-ahli
profesional projek (terutamanya diperingkat tender) adalah perlu mereka
memeriksa samaada dokumen-dokumen berkenaan tertakluk dan dikelaskan dibawah
Akta Rahsia Rasmi 1972 (Pendakwa Raya lwn. Lim Kit Siang, 1979). Jika
jawapannya “ya”, maka mereka perlu mengambil langkah-langkan seperti yang
dibincangkan didalam kertas ini.
Abdul Aziz Hussin. Undang-undang Berkaitan Rahsia
Rasmi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1997.
Akta Rahsia Rasmi 1972.
Bird, R. Osborn’s Concise Law Dictionary.
Edisi Ketujuh. London: Sweet & Maxwell Limited. 1986.
Kerajaan Malaysia. Surat
Pekeliling Am Sulit Bilangan 3 Tahun 1981.
Martin, E. A. The Concise
Dictionary of Law. Oxford: Oxford University Press. 1983.
Smith, J.C. &
Hogan, B. Criminal Law. Edisi Keempat. London: Butterworths &
Co. (Publishers) Limited. 1978.