SUBKONTRAKTOR

 

Abdul Aziz Hussin AMN

DPA; LL.B(Hons); Dip. M.Mgmt.; MSc.(Prjt.Mgmt.);

MMIM; Peguambela & peguamcara; MMAP

 

 

 

PENDAHULUAN

 

Dalam melaksanakan sesuatu tugas atau kerja, biasanya pihak melaksanakannya mahu tidak mahu perlulah sedikit sebanyak bergantung kepada pihak lain. Hatta bagi sesuatu kerja yang mudah sekalipun bantuan atau pertolongan pihak lain diperlukan. Begitulah juga dalam pelaksanaan kontrak kerja. Biasanya pelaksana kontrak, yakni kontraktor, tidak melaksanakan kerja berkenaan olehnya sendiri bagi keseluruhan kerja itu. Ada sebahagiannya akan diserahkan kepada pihak lain untuk melaksanakannya. Dari sinilah wujudnya senario subkontrak.

 

SIAPAKAH SUBKONTRAKTOR?

 

Kita sudah pun maklum bahawa jika tuanpunya projek tidak melakukan sendiri projek tersebut (misalnya jika tuanpunya bangunan tidak membina sendiri bangunan tersebut) tetapi menyerahkan kerja-kerja itu kepada pihak lain, di bawah suatu perjanjian untuk pihak lain itu yang melaksanakan projek tersebut, maka pihak kedua itu kita namakan sebagai kontraktor. Ini kerana seseorang yang melaksanakan kerja-kerja itu bukan untuk mendapat projek itu tetapi mendapat ganjaran (kewangan) sebagai upah melaksanakan projek untuk tuanpunya projek (disebut juga klien atau majikan).

 

Orang yang melaksanakan sesuatu kerja sedemikian itu disebut “kontraktor”, yang kadangkala juga disebut pembina, kontraktor bangunan, kontraktor kejuruteraan sivil, dan lain-lain[1].

 

Namun seperti yang dinyatakan pada awal perbincangan ini, pelaksanaan kerja kontrak itu mungkin dipecah-pecah, diagih-agih kepada pelaksana-pelaksana kontrak yang lain. Pihak yang diberi kerja yang telah dipecah atau diagih itu, yang akan melaksanakan bahagian itulah yang dinamakan subkontraktor (atau kontraktor kecil) – yang boleh berupa kontraktor kecil bagi kerja, atau kontraktor kecil bagi bekalan bahan-bahan dalam melaksanakan projek berkenaan.

 

KONSEP ASAS PELAKSANAAN KONTRAK DAN PERKEMBANGANNYA

 

Konsep Asas

 

Di bawah, dan pada asasnya, menurut peraturan praktis am dan diluluskan, hanya pihak-pihak yang terlibat secara langsung di dalam sesuatu kontrak sahaja mempunyai hak dan dikenakan tanggungjawab kepada pihak yang satu lagi.

 

Menurut penulis Marsh, P.D.V.[2], bahawa peraturan umumnya ialah bahawa sesuatu kontrak itu hanya mewujudkan hak-hak dan obligasi-obligasi yang boleh dikuatkuasakan oleh pihak-pihak yang berkontrak itu terhadap mana-mana pihak di antara mereka itu sahaja.

 

Major, W.T.[3] pula ada mencatatkan,

                  “prinsipnya ialah kontrak cuma mewujudkan hak dan obligasi hanya antara pihak-pihak itu sahaja … Kontrak tidak memberi hak kepada orang luar (orang asing)”

 

Prinsip di atas sebenarnya telah diputuskan oleh hakim Lord Haldane di dalam kes Dunlop Pneumatic Tyre Co.. Ltd. lwn. Selfridge & Co. Ltd.[4]

 

Anson[5] pula menekankan tentang prinsip bahawa pelaksanaan kontrak pada asasnya tidak boleh diserahkan kepada pihak ketiga, terutamanya dan yang terpenting, ialah yang melibatkan kontrak berbentuk personal.

 

Hal atau situasi asas ini telah lama mendapat keputusan kehakiman, contohnya seperti yang telah diputuskan di dalam kes Robson & Sharpe lwn. Drummond[6].

 

Namun demi perkembangan dunia perniagaan, termasuk pelaksanaan projek, konsep pelaksanaan turut berubah dan undang-undang juga turut berubah bagi menyesuaikannya agar menjamin ianya terlaksana dengan lancar dan licin di dalam bentuk yang lebih adil dan saksama kepada semua pihak.Dari titik tolak inilah wujudnya konsep “pelaksanaan vikarius”.

Pelaksanaan Vikarius

 

Pelaksanaan vikarius atau disebut juga pelaksanaan beraleh adalah satu konsep yang diterimapakai secara meluas dalam banyak bidang perniagaan atau perusahaan termasuk industri pembinaan, dan disahkan serta diiktiraf oleh undang-undang.

 

Cuba kita lihat kepada industri pembinaan. Kita bandingkan (dan cantumkan) kemahuan atau niat sebenar pihak-pihak:

 

Tuanpunya projek/klien

Kontraktor

 

Projek siap dengan cepat,

jimat/murah dan

bermutu

Projek dapat diguna seperti

dihajati

 

Ada kerja

Pelaksanaan memberi

Keuntungan

       Memberi perkhidmatan

(i.e. pelaksanaan projek)

terbaik

 

 

Nama baik dijaga

Saling bergantung & memerlukan

Mungkin akan bekerjasama di masa hadapan

Tidak mahu perbalahan

 

 

 

Adalah jelas bahawa klien dan kontraktor sebenarnya dalam satu pasukan (dan bukan dua pihak yang masing-masing dihujung yang berbeza), di mana menurut Cadmon,D.[7]

 

                  “Saling percaya mempercayai yang total di antara pemaju (klien) dan semua ahli di dalam pasukan pemajuan adalah amat mustahak”.

 

Dengan hal yang sedemikian mereka perlulah bersedia saling faham memahami, saling bantu membantu dan saling beranggapan baik. Demi mencapai tujuan itu, apa salahnya jika pihak lain turut “membantu” dalam pelaksanaan? Ini kerana kedatangan mereka membawa banyak kebaikannya. Dan inilah peranan atau tujuan subkontraktor. Di antara kebaikan (dan menjadi sebab) kenapa wujud pelaksanaan vikarius (iaitu pelaksanaan oleh subkontraktor, yang diberikan oleh  Murdoch, J. dan Hughes, W.[8], adalah seperti berikut:

 

·        Kos-kos bukan saraan pekerjaan, seperti latihan, hak-hak pencen, bayaran pemberhentian kerja, bayaran masa sakit bukan lagi tugas kontraktor tetapi berpindah kepada subkontraktor;

 

·        Subkontraktor diambil kerana keperluan yang meningkat dalam tugas-tugas berasaskan kemahiran yang berbagai jenis yang diperlukan akibat bertambah rumitnya perkembangan industri pembinaan;

 

·        Memperimbangkan risiko-risiko berkaitan tanggungjawab dengan cara memindahkan (sebahagian atau sepenuhnya) ke bahu subkontraktor;

 

·        Keperluan di pihak kontraktor untuk mendapat kepakaran yang boleh dipercayai dan diyakini yang dimiliki oleh subkontraktor.

Menurut Marsh, P.D.V.[9] pula, bahawa aktiviti-aktiviti industri moden (maka ini termasuk industri pembinaan) adalah berasaskan pengkhususan dan penggabungan kemahiran dan kepakaran untuk mewujudkan integrasi tanggungjawab kontraktor maka dengan itu bahagian-bahagian tertentu kerja-kerja tersebut akan disubkontrakkan.

 

Secara ringkasnya, sebab-sebab kenapa pelaksanaan kerja disubkontrakkan ialah kerana:

·        Kemahiran atau kepakaran khas yang ada pada subkontraktor

 

·        Menjimatkan masa (dan tentunya kos)

·        Mengurangkan atau mengagihkan tanggungjawab atau risiko pelaksanaan.

·        Pengagihan modal kerja bagi kerja

 

Marsh, P.D.V.[10] sekali lagi menekankan bahawa di dalam industri pembinaan, cuma lebih kurang satu pertiga dari seluruh kerja kontrak yang dibuat oleh kontraktor sendiri. Selebihnya akan disubkontrakkan – termasuk kerja-kerja memplaster, memasang jubin, pengetaran dan lain.

 

Dengan alasan-alasan dan ulasan-ulasan di atas maka undang-undang turut menyokong konsep pelaksanaan kontrak oleh pihak lain ini di bawah konsep pelaksanaan vikarius.

 

Konsep pelaksanaan vikarius adalah satu cabang kekecualian kepada larangan serahak (yang dilarang di bawah undang-undang kontrak, kecuali dipersetujui oleh pihak yang satu lagi – contohnya klien). Prinsip undang-undang yang membenarkan pelaksanaan vikarius ini ialah ‘quil facit per alium facit per se’, yang bermaksud seseorang dikira melakukan sendiri apa-apa yang dilakukan oleh orang lain. Prinsip ini telah diperkenalkan di dalam kes British Waggon Company lwn. Lea & Co.[11]

 

Fakta kes ini seperti berikut:

 

            Parkgate Waggon Company (iaitu Plaintif Bersama dalam tindakan undang-undang ini) telah bersetuju menyewakan sejumlah wagon keretapi kepunyaannya kepada Defendan dan termasuk membaiki kerosakan-kerosakannya. Syarikat Parkgate telah digulung dan ia telah menyerahkan hak penyewaan dan pembaikiannya dan liabiliti-liabilitinya itu kepada British Waggon Company. Defendan menghujjah bahawa kontrak itu tamat apabila plaintif melakukan perbuatan itu dan seterusnya dia enggan menerima perkhidmatan British Waggon Company. Mahkamah memutuskan bahawa kontrak itu adalah berbentuk pelaksanaan vikarius, dan ia boleh dilakukan.

 

Dalam hal ini Anson[12] menyatakan bahawa adalah dibolehkan pihak-pihak berkontrak untuk melaksanakan kontrak di pihaknya secara pelaksanaan vikarius, iaitu dengan cara mendapatkan seseorang lain melakukannya dengan memuaskan sepertimana dikehendaki di dalam kontrak. Anson menambah[13],

 

                  “Kes-kes sedemikian kadangkala secara longgar dirujuk sebagai suatu serahak liabiliti kontrak tetapi mereka itu sebenarnya contoh-contoh kontrak pelaksanaan vikarius”.

 

Anson[14] seterusnya menekankan bahawa pihak-pihak asal dalam kontrak masih kekal bertanggungan atas kontrak dan hanya mereka yang berhak untuk mendakwa untuk bayaran.

 

Di bawah Akta Kontrak 1950, peruntukan yang relevan, termasuk yang membenarkan pelaksanaan vikarius, ialah seksyen 41. Seksyen 41 memperuntukkan seperti berikut:

 

                  “41. Jika ternyata dari keadaan perkara itu bahawa adalah menjadi niat pihak mana-mana kontrak bahawa mana-mana janji yang terkandung di dalamnya itu hendaklah dilaksanakan oleh pembuat janji sendiri, maka yang sedemikian itu mestilah dilaksanakan oleh pembuat janji itu. Dalam perkara-perkara lain, pembuat janji atau wakil-wakilnya bolehlah menggunakan khidmat seorang yang cekap untuk melaksanakannya.”

 

Perkara di atas telah juga dibincangkan oleh  Sinnadurai, V.[15]

 

Perkara yang sama juga telah dibincangkan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Letchumi Ammal lwn. Nam Fong Housing Sdn. Bhd.[16]

Secara mudahnya, di Malaysia, konsep pelaksanaan vikarius adalah diiktiraf dan diterimapakai.

 

Sukalah juga diberikan apa yang disebut oleh Hakim Lord Greene M.R. dalam kes Davies lwn. Collins[17]

 

                  “Dalam banyak kontrak apa yang dinyatakan ialah bahawa kerja hendaklah dilaksanakan dan tangan sebenar yang dikehendaki melakukannya bukan semestinya tangan pihak-pihak yang berkontrak itu sendiri, pihak yang satu lagi boleh menerima pelaksanaan yang dilakukan oleh pihak lain. Pihak berkontrak tentunya adalah pihak yang masih bertanggungan. Dia tidak boleh menyerah hak liabilitinya kepada sesuatu subkontraktor tetapi liabilitinya dalam kes-kes itu ialah mempastikan kerja dilaksanakan, dan jika tidak dilaksanakan dengan betul maka dia bertanggungjawab. Adalah suatu kesilapan untuk menganggap itu sebagai suatu serahak kontrak ia bukan serahak.

 

 

Pelaksanaan Vikarius Perlu Dibezakan Dengan Serahak

 

Perkara-perkara mengenai kedudukan perbezaan dan liabiliti serahak dan pelaksanaan vikarius ada dibincangkan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Perkayuan OKS No. 2 Sdn. Bhd. lwn. Kelantan State Economic Development Corporation[18].

 

Secara mudah, serahak adalah pemindahan sesuatu faedah (dalam mana sesuatu pihak dalam kontrak berhak kepadanya), kepada pihak lain (iaitu pihak ketiga kepada kontrak) dan orang yang menyerahak hilang hak-hak yang diserah itu[19].

 

Dalam kontrak pelaksanaan vikarius, pihak-pihak asal dalam kontrak masih wujud (bersama-sama hak dan liabiliti di bawah kontrak) dan dengan itu jika kontrak ditamatkan maka subkontraktor juga turut tamat secara otomatik.

 

Namun begitu, samada dalam kes-kes serahak pelaksanaan dan juga pelaksanaan vikarius, liabiliti pelaksanaan kontrak utama masih dibahu kontraktor utama[20].

 

Bagi serahak pelaksanaan, ianya mesti mendapat kebenaran pihak yang satu lagi (yakni klien dalam kes-kes kontrak kerja). Bagi kes-kes pelaksanaan vikarius, tiada kebenaran sedemikian diperlukan, dan pelaksanaan kontrak masih lagi dianggap seolah-olah dibuat oleh kontraktor (pelaksana asal).[21]

 

Secara gambarajah, iaitu seperti Gambarajah 13 di bawah, nampaknya pelaksanaan kerja boleh agih boleh dipecah dua iaitu pelaksanaan secara serahak dan pelaksanaan vikarius.

 

Gambarajah 13: Pelaksanaan Kerja Boleh Ageh

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Had-had Pelaksanaan Vikarius Dan Kesan

 

Walaupun nampaknya keputusan untuk pelaksanaan kontrak adalah dengan cara disubkontrakkan atau tidak adalah di tangan kontraktor, namun hak-hak untuk pelaksanaan vikarius ini ada had-hadnya.

 

Pertama, jika kontrak itu adalah yang khusus, maka ia tidak boleh disubkontrakkan. Dalam kes Johnson lwn. Raylton & Dixon[22], Hakim Lord  Collings menyebut,

 

                  “Jika satu gambar ditempah dari seorang pelukis, ia semestinya diakui bahawa tempahan itu adalah untuk suatu gambar yang dilukis olehnya …”

 

Kedua, syarat-syarat nyata perjanjian antara klien dengan kontraktor perlulah juga dipatuhi, iaitu :

 

·        Mengenai sama ada boleh atau tidak sesuatu kerja atau komponen kerja itu disubkontrakkan;

 

·        Jika boleh, ada atau tidak lain-lain prasyarat yang kontraktor perlu patuhi sebelum dan semasa kerja disubkontrakkan.

 

Contohnya, bagi pihak-pihak yang menggunakan format seragam JKR 203, fasal-fasal 17, 28, 29, 32, 33, 34, 35, 43 dan 55 perjanjian[23] perlulah dipatuhi.

 

Begitu juga bagi pihak-pihak yang menggunakan format seragam PAM (1998), maka fasal-fasal 17, 18, 19, 20, 25, 27 dan 28[24] perlulah dipatuhi.

 

Seterusnya, bagi pihak-pihak yang menggunakan format seragam (borang) CIDB 2000, maka peruntukan fasal 40[25] perlulah dipatuhi.

 

Selain daripada itu, jika pihak-pihak mahu “aliran keterikatan” dipindahkan atau dikongsi juga oleh subkontraktor, maka terma-terma dan syarat-syarat yang terdapat di dalam perjanjian induk (yakni perjanjian di antara klien dengan kontraktor) perlulah dimasukkannya juga ke dalam perjanjian subkontrak – misalnya mengenai pengenaan gantirugi tertentu ditetapkan, penginsuranan, dan lain-lain. Perkara ini diputuskan didalam kes Smith & Montgomery lwn. Johnson Bros. Co. Ltd.[26] Fakta dan keputusan kes yang relevan adalah seperti berikut:

 

         Dalam kes ini subkontraktor tidak tahu menahu mengenai terma-terma di dalam kontrak induk. Dengan itu Mahkamah memutuskan subkontraktor tidak boleh dikenakan liabiliti yang dipikul oleh kontraktor terhadap klien di dalam hal berkenaan.

 

Dalam kes Ohbayashi–Gumi lwn. Kian Hong Holdings Pte. Ltd.,[27] fakta dan keputusan kes yang relevan adalah seperti berikut

:

         Ohbayashi-Gumi (defendan) adalah kontraktor kepada Lembaga Pembangunan Perumahan (Singapura) (yakni klien projek) bagi sebuah projek penambakan laut.

         Sebahagian daripada kerja-kerja berkaitan telah diberi subkontrak kepada Kian Hong (plaintif). Telah timbul persoalan mengenai kaedah pembayaran antara kontraktor dengan subkontraktor tersebut, dimana di dalam kontrak utama (perjanjian utama) diantara defendan dengan klien, kontrak itu berbentuk kontrak bayar penuh apabila siap. Dalam perjanjian subkontrak diantara defendan dengan plaintif pula, bayaran kepada plaintif adalah atas kadar setiap unit kerja dibuat. Ada pula peruntukan (fasal) di dalam perjanjian subkontrak bahawa jika ada percanggahan diantara perjanjian utama dengan perjanjian subkontrak maka fasal-fasal didalam perjanjian utama adalah terpakai. Hakim Abdul Wahab Ghows (Mahkamah Tinggi) menyatakan bahawa, kecualilah ianya dinyatakan dengan jelas didalam perjanjian subkontrak maka kita tidak boleh mengandaikan bahawa subkontraktor bersetuju memikul risiko yang kontraktor terima dibawah perjanjian utama. Perkara ini dipersetujui di Mahkamah Rayuan dimana mahkamah itu memutuskan subkontraktor perlu dibayar mengikut kadar setiap unit kerja, dan bukan secara bayaran penuh apabila semua kerja siap.

 

Dalam kes Regional Construction Sdn. Bhd. lwn. Chung Syn Kheng,[28] diputuskan bahawa subkontraktor yang dinamakan hanya akan terikat dengan terma-terma dan syarat-syarat yang dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian subkontraktor (termasuk untuk pengenaan gantirugi yang ditetapkan) dan bukan syarat-syarat perjanjian diantara kontraktor dengan klien (dan subkontrak itu cuma dinyatakan akan menanggung rugi kontraktor atas apa-apa kelewatan).

 

Sekurang-kurangnya subkontraktor perlulah diberitahu mengenai kewujudan terma berkenaan (yang akan turut dipikul oleh subkontraktor). Contohnya di dalam kes Trembloy lwn. Bauchard[29] di mana diputuskan, oleh kerana subkontraktor (pembekal) tidak tahu syarat kontrak bekalan batu untuk membina dermaga, maka kontraktor utama sahaja yang dipertanggungjawabkan atas apa-apa perlanggaran syarat bekalan batu-batu.

 

Dalam kes Union Workshop (Construction) Co. lwn. Ng Chew Ho Construction Co. Sdn. Bhd.[30] perjanjian induk diantara kontraktor dengan klien projek memperuntukkan bahawa bayaran adalah bagi kuantiti kerja-kerja yang siap (bagi kerja besi) (yakni kontraktor kena tanggung besi itu). Kontraktor pula telah membuat perjanjian subkontrak semua kerja, membekal, fabrikasi, menyerah dan membina bingkai besi bagi kerja-kerja besi tersebut (yakni kontraktor membuat semuanya, yang termasuklah besi lebihan dan besi buangan hasil kerja-kerja itu). Jadi telah timbul itu mengenai amaun bayaran yang tidak serupa diantara bayaran oleh klien kepada kontraktor (berdasar kerja bersih) dengan bayaran oleh kontraktor kepada subkontraktor (iaitu berdasarkan kerja-kerja kasar/keseluruhan – iaitu termasuk buangan). Mahkamah memutuskan perjanjian induk tidak terpakai dan bukan sebahagian daripada perjanjian subkontraktor.

 

Dengan itu subkontraktor perlu dibayar berdasarkan perjanjian subkontrak (iaitu berdasarkan kerja-kerja kasar).

 

JENIS-JENIS SUBKONTRAK

 

Dari segi jenis pelaksanaan, terdapat dua jenis subkontraktor, iaitu :

 

(a)         Subkontraktor kerja

 

-         yakni subkontraktor yang melaksanakan bahagian-bahagian atau segmen atau bentuk kerja kontrak itu sendiri.

 

(b)         Subkontraktor bekalan

 

-         yakni subkontraktor yang menyediakan bahan-bahan untuk projek seperti membekal batu, pasir, simen, besi, alatan elektrik (kipas, pendingin hawa), permaidani, dan lain-lain.

 

Dari segi pihak pula, terdapat dua jenis subkontraktor iaitu :

 

(a)         Subkontraktor dinamakan

 

-         yakni subkontraktor yang dinamakan oleh klien dan ia kemudiannya dilantik oleh kontraktor bagi melaksanakan apa-apa jenis kerja subkontraktor. Contoh subkontraktor dinamakan ialah subkontraktor yang dilantik di bawah fasal 28 Borang JKR 203[31] atau fasal-fasal 27 dan 28 Borang PAM 1998[32], atau dibawah Opsyen Modul C Borang CIBD 2000[33].

 

(b)         Subkontraktor domestik

 

-         yakni subkontraktor yang dipilih dan dilantik sendiri oleh kontraktor bagi melaksanakan apa-apa jenis kerja subkontrak. Jika perjanjian pihak-pihak adalah menggunakan Format Seragam JKR 203, fasal berkaitan ialah fasal 27.[34] Jika pihak-pihak menggunakan format seragam PAM 1998, fasal yang berkaitan ialah fasal 17(2)[35]. Jika menggunakan format seragam CIDB 2000, ianya di bawah fasal 40.4[36].

 

Secara gambarajah, jenis-jenis subkontrak bolehlah digambarkan seperti Gambarajah 14 berikut:

 

 

 

 

 

Gambarajah 14: Jenis-jenis Subkontrak

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


PENUTUP

 

Sebagai penutup, adalah jelas bahawa terdapat beberapa prinsip asas berhubungkait dengan subkontraktor-subkontraktor ini iaitu seperti berikut:

Pertama,

Dari segi hubungan kontraktual dengan klien, kontraktor masih lagi dan terus menerus bertanggungjawab sepenuhnya atas pelaksanaan kerja (mutu, kegagalan, perlanggaran syarat, pembayaran, idemniti dan penginsuranan dan lain-lain).

Kedua,

Bagi subkontraktor dinamakan, bayaran kerja subkontraktor itu boleh terus dibayar kepadanya.

Ketiga,

Subkontraktor (dinamakan atau domestik) boleh ditamatkan oleh kontraktor-kontraktor (atas kegagalan subkontraktor, dan lain-lain) dan kontraktor boleh menggantinya dengan subkontraktor lain.

Keempat,

Sebagai tambahan, bagi subkontraktor domestik, garispanduan yang berikut perlulah dipakai[37]:

 

                  Jika kerja yang akan dilaksanakan itu adalah berbentuk yang memerlukan kepakaran, maka kontraktor sendiri perlu memastikan bahawa kerja-kerja itu diberi kepada subkontraktor yang kompeten. Kontraktor akan dikira cuai jika ia gagal  menyemak (mempastikan) bahawa subkontraktor itu kompeten, atau jika ia gagal memberi arahan yang betul seperti mana yang diperlukan.

 



[1]           Uff, J. 1985. Construction Law. Edisi Keempat. London : Sweet & Maxwell Ltd. m.s. 49

[2]           Marsh, P.D.V. 1988. Contracting for Engineering Project. Edisi Ketiga Essex : Gower Publishing Co. Ltd. m.s. 42

[3]           Major, W.T. 1978. The Law of Contract. Edisi Kelima. Playmouth : MacDonald & Evans Ltd. m.s. 171

[4]           [1915] A.C. 847 ; [1914-15] All E.R. Rep. 333

[5]           Guest, A.G. (Ed.) 1975. Anson’s Law of Contract. Edisi Keduapuluh Empat. Oxford : Oxford Universiti Press. m.s. 422

[6]           [1831] 2 B. & Ad. 303

[7]           Cadmon, D. & Austin-Crowe, L. 1983. Property Development. BSP Professional Book. m.s. 132.

[8]           Murdoch, J. & Hughes, W. 1996. Construction Contracts : Law and Management. Edisi Kedua. London : E & F.N. Spon. Ltd. m.s. 282

[9]           Marsh, P.D.V. Op. cit. Nota kaki 2. m.s. 201

[10]         Ibid.

[11]         (1880) 5 Q.B.D. 149

[12]         Op. cit. Notakaki 5. m.s. 422

[13]         Ibid

[14]         Ibid. m.s. 22

[15]       Sinnadurai, V. 1979. The Law of Contract in Malaysia and Singapore – Cases and Commentaries. Kuala Lumpur: Oxford University Press. m.s 520 - 578

[16]         [1982] 2 M.L.J. 19

[17]         (1945) 1 M.L.J. 1

[18]         [1995] 1 M.L.J. 1

[19]         Horgan, M.O.C. & Roulton, F.R. 1989. The Foundation of Engineering Contract. London : E & F.N. Spon Ltd. m.s. 125

[20]         Lihat Young & Marten lwn. McManus Child (1969) 1 A.C. 454

[21]         Lihat Robinson, N.M. & Lavers, A.P. 1988. Construction Law in Singapore and Malaysia. Singapura: Butterworth & Co. (Asia) Pte. Ltd. m.s. 112 – 114.

[22]         [1981] 7 Q.B.D. 438; 45 L.T. 374

[23]         Lihat LAMPIRAN TIGA

[24]         Lihat LAMPIRAN EMPAT

[25]         Lihat LAMPIRAN LIMA

[26]         (1954) 1 All. E.R. 1008 ; (1954) 2 Q.B. 243

[27]         [1987] BLD (Aug.) 475

[28]         [1987] BLD (Jun) 180

[29]         (1948) Que. K.B. 490 ; (1949) S.C.R. 552

[30]         [1978] 2 M.L.J. 22

[31]         Op. cit. Nota kaki 23. Lihat juga LAMPIRAN ENAM yang merupakan Garispanduan Jabatan Kerja Raya apabila mereka menguruskan Subkontraktor Dinamakan.

[32]         Op. cit. Nota kaki 24

[33]         Op. cit. Nota kaki 25

[34]         Op. cit. Nota kaki 23

[35]         Op. cit. Nota kaki 24

[36]         Op. cit. Nota kaki 25

[37]         Lihat Owen, S. 1987. Law for Builder. Essex: Longman Group. m.s. 249.