ABDUL AZIZ HUSSIN AMN
DPA; LL.B (Hons); Dip. M. Mgmt.; MSc.(Prjt.Mgmt.);
MMIM; Peguambela & peguamcara; MMAP.
PENDAHULUAN
Antara
aspek yang ditekankan oleh kerajaan terhadap penjawat awam dan penjawat
badan-badan berkanun adalah mengenai pakaian dan juga aspek penyalahgunaan atau
penagihan dadah. Kertas ini membincangkan dua perkara berkenaan. Ia
dibincangkan disini kerana ia merupakan perkara baru yang diperuntukkan secara
nyata didalan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993
(selepas ini akan disebut juga “PPA 1993”)(bagi pegawai awam) dan juga didalam
Peraturan-peraturan Tatatertib Badan-badan Berkanun 2000 (yakni Jadual Kedua
kepada Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib & Surcaj) 2000 (selepas ini
akan disebut juga “PTB 2000”(bagi pegawai-pegawai badan-badan berkanun).
Salah satu peraturan baru yang diperkenalkan dalam
Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Peraturan
Tatatertib Badan-badan Berkanun 2000 ialah masing-masing Peraturan 6 dan
Peraturan 5, iaitu mengenai etiket pakaian
semasa bertugas dan untuk urusan rasmi.
Peraturan
6 PPA 1993 dan Peraturan 5 PTB 2000, iaitu mengenai peraturan/etiket berpakaian
terbahagi kepada dua, iaitu :
Pertama, peraturan
mengenai pakaian harian semasa bertugas. Dibawah Peraturan 6(1) PPA 1993 dan
Peraturan 5 (1) PTB 2000, pakaian penjawat awam/badan berkanun adalah
sebagaimana mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan
Awam/ Lembaga badan berkanun dari semasa ke semasa, mengikut mana yang
berkenaan, dan
Kedua, peraturan mengenai pakaian semasa menghadiri
upacara rasmi. Dibawah Peraturan 6(2) PPA 1993 dan 5(2) PTB 2000, penjawat awam
atau badan berkanun, mengikut mana yang berkenaan, hendaklah berpakaian
sebagaimana ditentukan bagi upacara tersebut dan jika tiada arahan sedemikian,
maka dia hendaklah berpakaian yang sesuai dengan upacara tersebut.
Mengenai Peraturan 6(1), PPA 1993
dan Peraturan 5(1) PTB 2000, ianya
sendiri bukanlah membuat apa-apa arahan mengenai pakaian apa yang boleh
dan tidak boleh dipakai oleh penjawat awam semasa bertugas harian mereka.
Peraturan 6(1) PPA 1993 dan Peraturan 5(1) PTB 2000 ini perlu dibaca
bersama-sama dengan apa-apa arahan berkaitan berpakaian, yang akan dikeluarkan
oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Lembaga badan berkanun berkenaan,
mengikut mana yang berkenaan, dari semasa ke semasa. Dengan itu Peraturan 6(1)
PPA 1993 dan Peraturan 5(1) PTB 2000 juga mengesahkan “kehadiran” apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam/Lembaga badan berkanun (berkaitan berpakaian harian) ke dalam
peraturan-peraturan tatatertib.
Namun jika Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam atau Lembaga badan berkanun (mengikut mana yang berkenaan)
mengeluarkan arahan sedemikian (dalam bentuk Pekeliling atau Surat Pekeliling
misalnya), adakah penjawat awam atau penjawat badan berkanun berkenaan dengan
sendirinya tahu, atau diandaikan tahu, dan dengan itu terus berkuatkuasa
terhadap penjawat awam atau badan berkanun berkenaan? Jawapannya “Tidak”, penjawat awam atau penjawat
badan berkanun berkenaan setiap
daripada mereka perlu diberitahu secara khusus "kehadiran” arahan sedemikian, misalnya mengedarkan arahan itu untuk dibaca dan difahami oleh
setiap mereka (dan mereka mengesahkan membaca dan memahaminya dengan menurunkan
tandatangan pada edaran itu). Penulis menekankan hal ini kerana nampaknya cara
inilah yang telah diiktiraf dan disahkan oleh mahkamah didalam kes Halimatussaadiah lwn. Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam, Malaysia dan seorang lagi.1
Bagi
maksud Peraturan 6, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)
1993, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sememangnya sebelum peraturan itu
berkuatkuasa telahpun mengeluarkan Pekeliling berkaitan berpakaian ini.
Pekeliling yang dimaksudkan ialah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun
1985. Pekeliling ini juga telah dipanjangkan pemakaiannya kepada penjawat badan
berkanun. Dibawah ini diperturunkan sebahagian kandungan Pekeliling berkenaan
yang relevan dengan perbincangan disini:
“2 PAKAIAN-PAKAIAN
YANG DITETAPKAN PADA MASA BEKERJA
2.1
Pakaian Lelaki
2.1.1 Bagi pegawai-pegawai dalam Kumpulan A2 dan B3,“lounge
suit” atau “bush-jacket” dengan bahan kain yang sesuai; atau seluar panjang
dengan baju kemeja dan bertali leher; dan jika baju tersebut berlengan panjang,
tangan baju hendaklah jangan dilipatkan.
2.1.2
Bagi
pegawai-pegawai dalam Kumpulan C dan D4,
seluar panjang beserta baju kemeja dengan warna yang sesuai; baju hendaklah
dimasukkan ke dalam; jika baju tersebut berlengan panjang, tangan baju
hendaklah jangan dilipatkan.
2.1.3
Pakaian baju
Melayu lengkap dengan bersamping; atau pakaian baju yang mirip dengan potongan
baju Melayu dan dipakai dengan seluar panjang; pakaian Melayu dengan kain
sarung tidak dibenarkan.
2.1.4 Pada hari Sabtu atau hari bekerja separuh
hari5, pegawai-pegawai awam yang tidak
dikehendaki memakai pakaian seragam boleh memakai baju batik berlengan panjang
atau pendek, dengan syarat baju batik yang dipakai itu adalah buatan Malaysia.
2.1.5 “Jeans” atau seluar pendek tidak boleh
dipakai semasa bekerja.
2.1.6 Kasut kulit atau lain-lain kasut yang sejenis
dengannya. Capal boleh dipakai dengan pakaian baju Melayu yang lengkap dengan
bersamping.
2.1.7 Selipar, kasut getah dan kasut sukan tidak
boleh dipakai semasa bekerja.
2.2
Pakaian Wanita
2.2.1.
Pakaian Kebangsaan atau pakaian kaum masing-masing yang sesuai dipakai semasa
bekerja. “Jeans”, “slacks” seluar pendek dan apa-apa pakaian yang menutup muka6 tidak boleh dipakai semasa bekerja.
2.2.2 Selipar,
cerpu atau yang sejenis dengannya yang mempunyai bentuk yang sesuai boleh
dipakai dengan pakaian yang ditetapkan; kasut sukan tidak boleh dipakai semasa
bekerja.
2.3
Pakaian Seragam (Lelaki dan Wanita)
2.3.1 Pakaian
seragam hendaklah sentiasa dipakai semasa bekerja bagi mereka yang dibekalkan
dengannya.
2.4
Pakaian batik (Lelaki dan Wanita)
2.4.1
Pegawai-pegawai awam yang menyertai rombongan ke luar negara atas
urusan rasmi ataupun dengan anjuran jabatan masing-masing hendaklah pada masa,
tempat dan upacara yang sesuai, dan jika dibenarkan, memakai batik buatan
Malaysia. Pegawai-pegawai awam adalah juga digalakkan memakai batik buatan Malaysia
jika keadaan membenarkan apabila menyertai rombongan ke luar negara dengan
anjuran persatuan, pertubuhan atau koperasi masing-masing.
2.4.2 Pegawai-pegawai awam yang menghadiri sesuatu upacara, perjumpaan
atau mana-mana jemputan, jika ditetapkan memakai batik, hendaklah memakai batik
buatan Malaysia.
2.5
Pakaian Lain (Lelaki dan Wanita)
2.5.1
Pakaian-pakaian jenis lain termasuk jenis kasut,
boleh dipakai oleh pegawai-pegawai awam semasa bekerja jika tugas-tugasnya
memerlukan pakaian demikian dan dibenarkan oleh Ketua Jabatan masing-masing.
2.6
Pakaian Yang Menjolok Mata (Lelaki dan Wanita)
2.6.1 Pegawai-pegawai awam tidak dibenarkan memakai pakaian
yang menjolok mata.
3.
PAKAIAN-PAKAIAN SEMASA MENGHADIRI UPACARA-UPACARA
RASMI
3.1
Pakaian Rasmi (Formal) Untuk Lelaki
3.1.1.
Seseorang pegawai awam,
yang berhak memakai uniform ataupun dikehendaki memakai uniform yang khas
hendaklah memakai uniform tersebut apabila menghadiri upacara-upacara rasmi.
Peraturan-peraturan pakaian seperti yang telah ditetapkan melalui surat edaran
yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA. SULIT, 2578/Pt.1 35
bertarikh 8hb. Jun 1970 di Lampiran “A” mengenai Pakaian Seragam
Pegawai-Pegawai Tadbir dan Professional dalam Kumpulan Pengurusan dan Ikhtisas
seperti dipinda oleh Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 tahun 1975, hendaklah
dipatuhi pada masa menghadiri istiadat-istiadat rasmi yang menetapkan dif-dif
jemputan memakai pakaian seragam atau pakaian rasmi kebangsaan. Sekiranya
pegawai itu tidak mempunyai uniform, maka “lounge suit” bolehlah dipakai kecuali
jika peraturan pakaian khas ditetapkan.
3.2 Pakaian Untuk Upacara Separuh Rasmi (Lelaki)
3.2.1 Untuk upacara-upacara separuh rasmi yang lain,
seperti menghadiri upcara-upacara pembukaan seminar, adalah diputuskan bahawa
bagi peringkat kebangsaan (national), di mana tidak ada perwakilan daripada
luar negara, maka pakaian waktu bertugas di pejabat seperti yang ditetapkan di
dalam pekeliling ini hendaklah dipakai. Untuk upacara-upacara peringkat
antarabangsa (International), maka pakaian “lounge suit” hendaklah dipakai.”
Jika kita perhatikan peruntukan di dalam Pekeliling
berkenaan, nampaknya ia mengandungi tiga bentuk arahan:
Pertama, arahan mengenai jenis pakaian
dan cara berpakaian yang mesti dipakai pada masa atau tempat tertentu;
Kedua, arahan
yang berbentuk memberi budibicara untuk penjawat awam memakainya atau tidak
(misalnya baju batik dibawah perenggan 2.1.4 Pekeliling); dan
Ketiga, larangan
memakai jenis-jenis pakaian tertentu, ataupun jenis pakaian pada tempat-tempat
atau upacara tertentu (misalnya larangan memakai pakaian menutup muka dibawah
perenggan 2.2.1 Pekeliling dan pakaian yang menjolok mata dibawah perenggan
2.6.1 Pekeliling)
Mengenai larangan berpakaian menutup
muka pada masa bekerja, ia pernah berbangkit didalam kes Halimatussaadiah lwn. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Malaysia dan
seorang lagi7. Didalam kes ini,
seorang penjawat awam wanita senantiasa memakai purdah (iaitu penutup muka,
selain daripada telekung labuh, yang menutup seluruh muka kecuali sedikit diruang mata), semasa waktu beliau
bekerja (yakni waktu kerja). Beliau telah ditunjukkan Pekeliling Perkhidmatan
Bil. 2 Tahun 1985 itu, dan dinasihatkan oleh ketua jabatannya (dan juga oleh
seorang pakar agama Islam) untuk menanggalkan purdah itu, tetapi beliau enggan.
Kemudiannya beliau diberi Surat Tunjuk Sebab Dengan Tujuan Buang Kerja atas
perbuatannya itu.8 Akhirnya beliau dibuang
kerja berkaitan pelanggaran larangan
berpakaian menutup muka itu. Mahkamah memutuskan bahawa tidak salah bagi
Kerajaan (yakni Perkhidmatan Awam) membuat apa-apa peraturan atau syarat
mengenai cara berpakaian (yang harus, diarah atau dilarang dipakai) penjawat
awam semasa bekerja demi tatatertib perkhidmatan asalkan arahan atau syarat itu
tidak berlawanan dengan ketenteraman awam, akhlak atau kesihatan.9 Dengan itu Mahkamah memutuskan
pembuangan kerja itu sah atas keengkaran penjawat awam berkenaan mematuhi
peraturan atau syarat berpakaian semasa bekerja.
Satu
lagi peruntukan baru yang diwujudkan didalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam
(Kelakuan dan Tatatertib) 1993 ialah Peraturan 7 (dan Peraturan 6 PTB 2000)
iaitu mengenai larangan mengguna atau mengambil dadah berbahaya (kecuali bagi
maksud perubatan seperti preskripsi yang dibuat oleh pengamal perubatan
berdaftar atau pegawai perubatan kerajaan). Ini termasuklah juga larangan
menyalahgunakan atau menagih dadah berbahaya. Dengan itu adalah menjadi
kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib dibawah Peraturan-peraturan
Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993
(atau dibawah Peraturan Tatatertib Badab Berkanun 2000, mengikut yang
berkenaan) jika seseorang penjawat awam itu didapati:
(i) mengguna
atau mengambil dadah berbahaya (kecuali bagi tujuan perubatan); atau
(ii)
menyalahguna atau menagih
dadah berbahaya.
Pada
pandangan penulis, perkataan “menyalahguna”
atau “menagih” adalah sama
maksudnya (ejusdem generis). Begitu
juga dengan “mengguna” atau “mengambil” dadah berbahaya.
Persoalannya:
Apakah yang digolongkan sebagai “dadah
berbahaya”. Menurut Peraturan 7(4)PPA 1993 atau Peraturan 6(4) PTB 2000, “dadah berbahaya” ertinya apa-apa dadah
atau bahan yang dinyatakan didalam Jadual Pertama kepada Akta Dadah Berbahaya
1952. Jadual Pertama Akta tersebut menyenaraikan dadah-dah dan bahan-bahan yang
dikategori sebagai “dadah berbahaya”10
Walaupun
Peraturan 7, PPA1993 atau Peraturan 6, PTB 2000 membolehkan seseorang yang
menagih dadah dikenakan tindakan tatatertib, namun pada pandangan penulis,
Peraturan 7 PPA 1993 dan Peraturan 6 PTB 2000 tersebut perlu dibaca bersekali
dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1984 iaitu mengenai “Peraturan Dan Tindakan Ke Atas Pegawai Dan
Kakitangan Yang terlibat Dengan Penagihan Dadah”. Pekeliling ini menekankan
mengenai langkah-langkah yang perlu Ketua Jabatan ambil apabila didapati ada
penjawat awam dibawahnya menagih dadah.
Menurut Pekeliling ini, langkah-langkah pemulihan dan rawatan kepada
penjawat awam terbabit perlulah diambil terlebih dahulu dengan seberapa segera
yang boleh, dan jika semua langkah rawatan dan pemulihan itu gagal maka barulah
tindakan tatatertib boleh diambil terhadap penjawat awam tersebut, termasuk
dibuang kerja.
Bagi
memudahkan pemahaman mengenai langkah-langkah awalan ini, diperturunkan
peruntukan-peruntukan yang relevan yang terdapat didalam Pekeliling
Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1984 :
2.1 Di bawah
Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283), penagih-penagih
dadah boleh dimasukkan ke pusat pemulihan dengan ;
(i)
perintah Mahkamah
(ii)
cara sukarela iaitu penagih dadah sendiri memohon
untuk menjalani rawatan dan pemulihan.
2.2 Ketua-ketua
Jabatan juga boleh melaporkan kepada mana-mana Pegawai Pemulihan atau mana-mana
Pegawai Kebajikan Masyarakat atau mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak
rendah dari Sarjana atau mana-mana pegawai penjaga balai polis, mengenai
pegawai dan kakitangan mereka yang disyaki terlibat dengan penagihan dadah.
3. Dasar dan
Peraturan Baru mengenai Masalah Dadah
3.1
Kerajaan telah memutuskan bahawa dasar dan
peraturan-peraturan berikut hendaklah dikuatkuasakan :
(i)
Calon-calon yang akan dilantik
Tiap-tiap
seorang calon yang akan dilantik ke perkhidmatan awam hendaklah mengangkat
sumpah di bawah Akta akuan Berkanun 1960 bahawa “ianya bukan penagih dadah”.
(ii) Pegawai dan
Kakitangan dalam percubaan
Pegawai
dan kakitangan dalam percubaan bagi lantikan pertama akan ditamatkan
perkhidmatan mereka di bawah Perintah Am 58, Perintah-perintah Am Bab A
(Lantikan dan Kenaikan Pangkat 1973) sekiranya mereka didapati terlibat dengan
penagihan dadah.
(iii)
Pegawai dan kakitangan yang telah disahkan dalam
jawatan
(a)
Pegawai dan kakitangan Kerajaan yang memohon cara
sukarela untuk menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan boleh diberi
cuti separuh gaji selama mereka berada
di pusat pemulihan dengan syarat bahawa rawatan dan pemulihan itu adalah buat
kali yang pertama:
(b) Pegawai dan
kakitangan Kerajaan yang dihantar ke pusat pemulihan dengan perintah Mahkamah
(i)
akan diberi cuti tanpa gaji selama tempoh menjalani
rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan;
(ii)
tidak akan diberi kenaikan gaji selama tempoh
menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan.
(iii)
Akan dibayar gaji atas kadar yang diterima sebelum
masuk ke pusat pemulihan sekembalinya mereka berlepas semula selepas menjalani
rawatan dan pemulihan:
(c)
Pegawai dan kakitangan yang didapati menagih dadah semula selepas menjalani rawatan dan
pemulihan di pusat pemulihan atau dengan cara pengawasan, termasuk mereka yang
pernah menjalani rawatan dan pemulihan dipusat pemulihan atau secara pengawasan
sebelum Pekeliling ini dikeluarkan, boleh diambil tindakan tatatertib di bawah
Perintah Am 36, Perintah-perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)
198011 dengan tujuan dibuang kerja.
(d)
Pegawai dan kakitangan yang meninggalkan pusat
pemulihan tanpa kebenaran sebelum tamat tempoh rawatan dan pemulihan atau gagal
mematuhi perintah pengawasan, boleh diambil tindakan tatatertib seperti
dinyatakan di perenggan kecil (c) di atas.
(iv) Pegawai dan
kakitangan yang telah pulih penagihan dadah
Pegawai dan
kakitangan yang telah pulih dari penagihan dadah hendaklah diberi tugas dan
tanggungjawab yang sama seperti sebelum mereka terlibat dengan penagihan dadah.
Sekiranya prestasi mereka didapati menurun, pegawai dan kakitangan yang berkenaan
hendaklah di laporkan kepada pegawai perubatan untuk menentukan sama ada mereka
boleh diberi tugas dan tanggungjawab yang sama seperti sebelum mereka menagih
dadah”
Oleh
kerana peruntukan didalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1984 ini adalah
jelas, maka penulis tidak bercadang menghuraikannya lagi disini.
Adalah
jelas bahawa kerajaan begitu perihatin dan amat menekankan soal etiket pakaian
penjawat awam atau penjawat badan berkanun. Selain daripada itu, masaalah
penyalahgunaan dadah yang turut juga “menyerang” penjawat awam atau penjawat
badan berkanun turut dipandang serius oleh kerajaan. Ini menjadikan dua perkara
tersebut didokumenkan didalam Peraturan Tatatertib. Amat jelas tujuan ianya
diwujudkan, iaitu kearah menjadikan perkhidmatan awam/badan berkanun disegani,
berwibawa dan melaksanakan tugas dengan baik. Kita semua, samaada dikalangan
penjawat awam sendiri atau penjawat badan berkanun, dan juga orang awam, perlu
sama-sama menyokong pemakaian peraturan-peraturan berkenaan dan menghayati
maksud atau tujuannya.
1 (1992) 1 MLJ 513. Lihat penghakiman hakim Eusoff Chin, di m.s. 517 berkaitan hal tersebut.
2 Yakni Kumpulan Pengurusan dan Profesional dibawah Sistem Saraan baru (SSB) atau Sistem Saraan Malaysia (SSM).
3 Yakni Kumpulan Sokongan I dibawah SSB atau yang setara dengannya dibawah SSM.
4 Yakni Kumpulan Sokongan II dibawah SSB atau yang setara dengannya dibawah SSM.
5 Perkataan “Pada hari Sabtu atau hari bekerja separuh hari” disini perlulah ditafsirkan sebagai mana-mana hari kerja separuh hari, tanpa mengira mana-mana hari Sabtu atau Khamis (iaitu mengikut Negeri), dan lain-lain – Mengenai Waktu Bekerja, lihat contohnya Perintah-Perintah Am Bab G, 1978 (dan pindaan-pindaannya).
6 Perenggan 2.2.1, walaupun ditujukan (yakni dibawah tajuk kecil “Pakaian wanita”), larangan kepada penjawat awam wanita, tetapi pada pandangan penulis ia juga ditujukan kepada penjawat awam lelaki. Ini kerana apa yang ditekankan ialah semua penjawat awam perlu mendedahkan muka supaya tidak ada unsur-unsur negatif seperti penyamaran, salah atau silap identiti, dan lain-lain – lihat pendapat hakim Eusoff Chin dalam kes Halimatussaadiah lwn. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Malaysia dan seorang lagi (1992) 1 MLJ 513 di m.s. 526-527.
7 Ibid
8 Oleh kerana kes ini dibawah Perintah-Perintah Am Bab D, 1980 (yakni sebelum kewujudan Peraturan 6) maka penjawat awam itu diambil tindakan tatatertib atas alasan melakukan kesalahan yang tidak bertanggungjawab dan engkar perintah dibawah Perintah Am 4(2)(g) & (i) Perintah-Perintah Am Bab D, 1980.
9 Mengenai pandangan ini, lihat keputusan hakim Eusoff Chin, di m.s. 526-527 kes berkenaan. Diputuskan selanjutnya arahan atau syarat itu juga tidak melanggari Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan (yakni mengenai kebebasan menganuti dan mengamalkan agamanya) kerana pakaian purdah, mengikut Islam, bukan wajib sebagai sebahagian pakaian bagi menutup aurat (yang tidak perlu ditutupi – iaitu muka)
10Lihat LAMPIRAN 9b buku Abdul Aziz Hussin. 2002. Undang-undang Mengenai Kalakuan dan Tatatertib Penjawat Awam – Hak dan Tanggungjawab. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, mengenai senarai dadah-dadah dan bahan-bahan yang dikategorikan sebagai “dadah berbahaya”
11 Ayat “boleh diambil tindakan tatatertib dibawah Perintah Am 36, Perintah-perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1980 dengan tujuan dibuang kerja ,” kini perlu dibaca, “boleh diambil tindakan tatatertib dibawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dengan tujuan dibuang kerja”.