KESELAMATAN PEKERJA
DI TAPAK BINA:
Tanggungjawab Bersama
ABDUL AZIZ HUSSIN AMN
DPA; LL.B(Hons); Dip. M.Mgmt;
MSc.(Prjt.Mgmt.);
MMIM; Peguambela &
Peguamcara; MMAP.
ABSTRAK: Pekerja di tapak bina adalah
salah satu komponen terpenting dalam pengeluaran output industri pembinaan.
Dengan itu kehadirannya perlu dianggap sebagai suatu aset. Dengan demikian
keselamatan pekerja di tapak bina menjadi salah satu perkara yang mesti diambil
tindakan sewajarnya — bukan sahaja oleh pembuat polisi dan pihak penguatkuasaan
(kerajaan) tetapi juga oleh klien, kontraktor, konsultan, dan pekerja itu
sendiri. Kertas ini membincangkan skop tugas menjaga keselamatan pekerja di
tapak bina daripada perspektif undang-undang; merangkumi tugas dan
tanggungjawab semua pihak itu, statut-statut yang terlibat, dan juga di bawah “common
law”.
KATA KUNCI: keselamatan pekerja –
statut – “common law” – skop tugas berhati-hati – aktiviti-aktiviti terlibat.
1.1 PENGENALAN
Tekanan akibat daripada kesedaran di peringkat
antarabangsa (misalnya WTO) dan dari dalam negeri (misalnya melalui NGO-NGO
seperti MTUC), serta keinsafan semua pihak (kerajaan dan swasta) yang makin
meningkat (dan menonjol) dalam hal keselamatan pekerja, termasuk di tapak bina
telah membawa kepada tindakan susulan pengimplementasian langkah keselamatan
diambil. Salah satunya ialah melalui
cabang undang-undang.
Dalam perbincangan di sini, “keselamatan pekerja”
merujuk kepada keselamatan pekerja itu daripada bencana kecederaan, kematian
atau kerosakan tubuh badannya. Aspek
kesedaran, perspektif undang-undang, pula merangkumi kesedaran oleh pihak
berkuasa sendiri, majikan (kontraktor, subkontraktor, tuanpunya projek dan
konsultan projek), dan kesedaran pekerja itu sendiri. Skop “kesedaran” dan “menyedarkan” ini nampaknya merangkumi
ketiga-tiga pihak itu, termasuk mengimplementasikan kesedaran itu sendiri.
2.1 UNDANG-UNDANG BERKAITAN KESELAMATAN PEKERJA DI
TAPAK BINA – PIHAK-PIHAK YANG TERLIBAT
2.1.1 Pihak Berkuasa dan Klien Projek
Di pihak berkuasa, sekurang-kurangnya ada dua
undang-undang bertulis yang relevan di sini iaitu Akta Keselamatan dan
Kesihatan Pekerja 1994 (disebut AKKP 1994) dan Akta Kilang dan Jentera 1967
(disebut AKJ 1967). Di dalam AKKP 1994,
ditekankan mengenai tugas-tugas am majikan dan pekerja dalam hal keselamatan.
Seksyen 15 AKKP 1994 menekankan bahawa adalah menjadi tugas setiap majikan
mempastikan seberapa yang boleh, keselamatan pekerja-pekerjanya, di mana ini
termasuklah soal-soal sistem dan prosedur kerja yang selamat, peralatan yang
selamat (diguna atau atas kewujudannya di situ) dan tempat serta suasana kerja
yang selamat. Secara khususnya, menurut
Seksyen 15(1) AKKP 1994, tugas menjaga keselamatan pekerja (termasuk di tapak
bina) merangkumi:
(a) penyediaan dan penyenggaraan mesin jentera dan alatan, dan sistem kerja yang selamat, dan tidak memberi risiko kesihatan;
(b) diwujudkan dan dipastikan
pengoperasian dan penggunaan jentera dan alatan itu adalah selamat;
(c) memberi maklumat, arahan, latihan
dan penyeliaan yang sesuai kepada pekerja berkaitan keselamatan mereka semasa
bekerja;
(d) penyenggaraan tempat kerja dan
keadaan kerja supaya sentiasa selamat;
dan
(e) suasana kerja itu juga selamat pada
keseluruhannya kepada pekerja.
Perkara-perkara di atas perlu diterjemahkan kepada pernyataan bertulis polisi keselamatan oleh majikan (Seksyen 16 AKKP 1994).
2.1.2 Pihak Pekerja dan Kontraktor Projek
Di pihak pekerja sendiri, menurut Seksyen 24 AKKP
1994, mereka dikehendaki:
(a) mengambil langkah yang munasabah dalam menjadi keselamatan mereka (yakni berhati-hati semasa bekerja);
(b) memberi
kerjasama kepada majikan dalam pengimplementasian Seksyen 15(1) yang dinyatakan
sebelum ini;
(c) sentiasa memakai atau mengguna
peralatan perlindungan atau pakaran keselamatan yang disediakan majikan semasa
bekerja; dan
(d) mematuhi sebarang arahan atau
langkah-langkah keselamatan yang diberi oleh majikan.
Perkara-perkara di atas juga amat diharapkan diimplemen oleh kontraktor utama (Maule, K. 1998). Malah penwujudan Kod Praktis Industri (Seksyen 37 & 38), Pegawai dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (Bahagian VII) AKKP, 1994, menggambarkan betapa undang-undang perihatin dalam keselamatan pekerja.
3.1 LANGKAH-LANGKAH DAN
AKTIVITI-AKTIVITI YANG DIPERLUKAN
3.1.1 Di bawah Statut
Jika kita
jengok kepada Akta Kilang dan Jentera 1967 (AKJ 1967), terutama Bahagian II
Akta, ia menekankan langkah-langkah atau aktiviti-aktiviti keselamatan pekerja
yang perlu diambil oleh semua pihak di dalam industri (terutama oleh
majikan). Ini temasuklah:
(a) menentukan kekukuhan binaan, lantai, atas, laluan, tangga, tempat bekerja yang selamat untuk pekerja;
(b) borang dan bahan yang disimpan
selamat kepada pekerja;
(c) kaedah kerja (seperti cara
mengangkat beban) yang tidak menyebabkan/memungkinkan mencederakan pekerja;
(d) keselamatan daripada kebakaran; dan
(e) mesin, jentera dan alatan kerja yang
dipasang, dibaiki dan diselenggara perlulah mengambilkira keselamatan pekerja
(yang menggunakannya atau mungkin menerima kesan daripadanya).
Secara lebih terperinci lagi, berkaitan penggunaan atau pemakaian alatan kerja, Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970 menyenaraikan peralatan-peralatan berkaitan yang termasuklah:
(a) alat pelindung muka (goggles) yang sesuai
bagi kerja-kerja yang memerlukan ia dipakai (seperti kerja pemeterian);
(b) penutup telinga; dan
(c) pakaran keselamatan – seperti baju,
seluar, topi dan sarung tangan.
Alat-alat ini perlu disedia majikan (bagi kerja-kerja di mana alatan itu perlu disedia) dan ia mesti dipakai oleh pekerja berkenaan.
Perkara-perkara mengenai
tanggungjawab majikan (menyedia peralatan keselamatan) dan tanggungjawab
pekerja (memakai atau mengguna peralatan berkenaan) pernah menjadi isu
perbincangan utama dalam kes Wong Soon San lwn. Malayan
United Industrial Co. Ltd. ([1967] 1 MLJ 1). Dalam kes ini sekeping
zink telah melantun dan mengenai mata kanan
plaintif (pekerja)(dan mata itu buta) semasa dia sedang bekerja dengan
defendan (majikan) membaikrapi kepingan zink dengan menggunakan sebuah mesyin.
Walaupun mesyin itu dilengkapi alat penghadang (deflector) sebarang lantunan
kepingan zink namun ianya kadangkala dipindahsuai oleh operator mesyin dan ini
memerlukan ianya diperiksa oleh
penyelia kilang. Plaintif pula tidak disediakan alat pelindung muka seperti
yang dikehendaki oleh peraturan 16(3) Peraturan (Keselamatan, Kesihatan dan
Kebajikan) 1956. Mahkamah menyatakan bahawa majikan itu telah melanggar
tanggungjawab statutori berkenaan (dan juga dibawah “common law”). Namun
dalam kes ini pekerja itu juga turut cuaisumbang (yang mahkamah kira pada tahap
30%) kerana tindakannya memindahsuai alat penghadang mesyin tanpa pengetahuan
penyelia. Namun begitu, yang menarik perhatian adalah apa yang dikatakan oleh
hakim Raja Azlan Shah, iaitu, “Saya mesti juga ingat bahawa
Peraturan-peraturan (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) adalah ditujukan
bukan sahaja kepada pekerja-pekerja yang cermat, bijaksana dan patuh tetapi
juga kepada mereka yang bodoh, tidak berwaspada dan tidak patuh”.
Sebagai satu polisi bersama, menurut Tatacara Bagi
Keharmonian Industri, perkara mengenai memberi latihan yang mencukupi kepada
pekerja dan keadaan fizikal kerja yang baik adalah ditekankan. Hal yang sama dinyatakan di dalam Seksyen 26
AKJ 1967.
Jika kita lihat Borang-Borang Seragam Kontrak Pembinaan seperti JKR 203/203A, PAM 1998 dan CIDB 2000, seperti sudah menjadi amalan bahawa tuan punya projek (klien) menafikan (disclaimed) tanggungjawab menjaga keselamatan pekerja di tapak bina, dan ia diserah (dipindah) kepada kontraktor dan subkontraktor (lihat fasal 18.0 PAM 1998, fasal 32 JKR 203/203A dan fasal 35.1 CIDB 2000). Seni “mengelak tanggungan” yang diamalkan oleh klien projek ini, walaupun dari segi kontrak boleh dipakainya dengan jayanya, namun dari segi tanggungjawab moral dan daripada perspektif keharmonian industri, ianya tidak wajar.
3.1.2 Di bawah “Common Law”
Walau apapun, seperti yang dinyatakan di dalam kes Smith
lwn Baker (Charles) & Sons ([1981] A.C. 325), “kontrak di antara majikan dengan orang
yang diambil bekerja melibatkan di pihak majikan itu kewajipan untuk mengambil
langkah berhati-hati yang munasabah… yang mana pada menjalankan operasinya
tidaklah menjadikan pekerja-pekerjanya itu terdedah kepada risiko yang tidak
perlu. Ini termasuk menyedia perkakas
yang sesuai dan tidak mendatangkan risiko kepada pekerja”. Jika majikan gagal mengambil langkah
berjaga-jaga (berhati-hati) yang munasabah dalam menjaga keselamatan
pekerjanya, maka majikan itu (misalnya kontraktor) boleh didakwa cuai (Abdul
Aziz Hussin, 2000, m.s. 20-25). Misalnya, seperti yang dikatakan oleh hakim
Lord Wright dalam kes Nichols lwn. Austin (Leyton)
Ltd.([1946] 2 All E.R.97), bahawa, ”kewajipan ‘common law’ …tidaklah
boleh dipersoalkan lagi. Namun ianya terhad kepada [kewajipan] berhati-hati dan
kemahiran yang munasabah dalam melindungi daripada bahaya, dimana sebagai
seorang manusia yang munasabah, majikan sepatutnya telah dapat
menjangkakannya[ bahaya itu]”.
Dalam kes Paris lwn Stepney Borough Council
([1951] 1 All E.R. 42] pula, hakim Lord Oaksley menyebut bahawa, ”tugas
seseorang majikan terhadap pekerjanya ialah untuk mengambil langkah
berhati-hati yang munasabah mengenai keselamatan pekerjanya dalam semua keadaan bagi sesuatu hal itu”.
Contohnya seperti yang dinyatakan di dalam kes Ng
Kim Cheng Pte. lwn. Naigai Nitto Singapore Ltd. ([1991] 2
MLJ 296), majikan telah didapati cuai kerana gagal mengambil langkah-langkah
keselamatan atas keselamatan plaintif (pekerja) dan menyedia sistem kerja dan
gagal untuk menjaga atau membaiki brek keselematan jenangkat-susun itu dengan
baik. Mahkamah juga memutuskan bahawa
majikan berkewajipan untuk berjaga-jaga yang munasabah untuk menyediakan logi
dan perkakasan yang selamat untuk kegunaan pekerja-pekerjanya, dan
menyenggaranya supaya senantiasa dalam keadaan baik. Dan obligasi ini adalah secara berterusan – Wilson &
Clyde Co. lwn. English ([1938] A.C.57). Sistem kerja yang selamat dan yang tidak
mendedahkan risiko kecederaan/kematian kepada pekerja ditekankan juga di dalam
kes Mohd. Sainudin b. Ahmad lwn. Consolidated Hotels Ltd.
& seorang lagi ([191] 1 MLJ. 27).
Kegagalan menyediakan peralatan keselamatan (misalnya
tali pinggang keselamatan) kepada pekerja dalam jenis-jenis kerja yang
memerlukan penggunaannya boleh mengakibatkan majikan didakwa cuai, contohnya di
dalam kes Chong Fah Lin lwn. United Engineers (M) Sdn. Bhd.
([1978] 2 MLJ 359).
Di pihak pekerja itu sendiri juga perlulah insaf
untuk menjaga keselamatannya sendiri dari risiko kecederaan/kematian, misalnya
berhak semasa kerja (Wilson lwn. Tyneside Window Cleaning
[1958] 2 Q.B.110) termasuk menggunakan peralatan keselamatan yang disediakan,
misalnya talipinggang keselamatan (McWilliam lwn. Sir
Willim Arrol & Co. Ltd. [1962] 1 W.L.R. 295) atau menggunakan
tangga mudahaleh dengan betul dan cermat (Eng Lye Hup Co. Ltd.
lwn. Chua Sai Choo & seorang lagi [1968] 1 MLJ 231).
Kegagalan majikan mematuhi perkara-perkara perkaitan
keselamatan pekerja juga suatu kesalahan di bawah AKJ 1967 (Seksyen 50) dan
AKKP 1994 (Seksyen 51).
4.1 PENUTUP
Walau apapun, daripada semua perspektif (pekerja,
kontraktor, klien, konsultan, dan hatta kerajaan sendiri), sebarang
ketidakpatuhan atau kegagalan dalam hal keselamatan pekerja tentunya merugikan
semua pihak dan mewujudkan kos-kos tak perlu (unneccessary costs)(seperti kos
penalti, halangan penerusan kerja kerana cedera atau oleh pihak berkuasa,
tuntutan gantirugi, jam kerja (man-hour) dan lain-lain lagi), dan ini perlu
diinsafi semua.
Adalah jelas bahawa di pihak kerajaan aspek-aspek undang-undang dan polisi (yang berbentuk fasilitatif, pengawasan dan penguatkuasaan) yang melibatkan aspek instrumen undang-undang itu sendiri (Akta dan Peraturan), orang (pihak penguatkuasa) dan kewangan (belanjawan yang mencukupi) adalah perlu.
Di pihak majikan pula (termasuk konsultan-konsultan projek), aspek-aspek penerapan dan pematuhan undang-undang dan polisi, keperihatinan, dasar kerja yang proaktif dan fasilitatif dalam hal keselamatan, dan pengetahuan yang cukup amatlah diperlukan. Di pihak pekerja sendiri, kesedaran dan kesediaan mematuhi peraturan dan prosedur keselamatan juga turut memberi sumbangan besar dalam menjamin keselamatan mereka sendiri. Dalam hal ini tentunya kita mengalu-alukan langkah proaktif kerajaan yang bercadang menghapuskan cukai import bagi alatan-alatan keselamatan kerja yang akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2002 ini (Laporan Media 27 Ogos 2001).
Walau apa pun, perkara terpenting yang perlu ada pada
setiap pihak berkaitan ialah keinsafan, rasa tanggunjawab, amanah dan sikap
positif dalam hal-hal berkaitan kepentingan keselamatan pekerja. Undang-undang
hanyalah salah satu instrumen dalam menjayakan perkara-perkara berkenaan.
Rujukan:
Akta
Kilang dan Jentera ,1967.
Peraturan
Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan & Kebajikan), 1970.
Akta
Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, 1994.
Abdul Aziz Hussin, 2000, Aspek Undang-Undang Tort Dalam Projek Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Sidang Media 27 Ogos 2001, Y.A.B. Perdana Menteri.
Kementerian Sumber Manusia, 1975, Code of Conduct
for Industrial Harmony.
Borang-borang Seragam Kontrak JKR 203, PAM 1998 dan CIDB 2000.
Maule, K.
“Expectation of the Principal Constractor” Buletin NIOSH September,
1998.
Artikel yang hampir serupa terbit
didalam The Malaysian Surveyor Vol. 36.3. 3rd.Quarter
2001,m.s 50.