Hit Counter
 
PUNCA-PUNCA BANJIR

Sistem Perparitan dan Sistem Saliran

Sistem Perparitan

           Sistem perparitan dianggap sebagai salah satu punca menyebabkan banjir kerana dua sebab iaitu hasil temubual dan soal selidik.  Walaupun sistem perparitan bukan punca utama banjir, tetapi rekabentuk parit masih merupakan kesan yang menyebabkan banjir di kawasan kajian kumpulan kami----kawasan Jalan P. Ramlee.

           Melalui temubual dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran, En. Yahya berpendapat, "secara keseluruhannya, sistem perparitan yang sedia ada tidak cukup besar dan perlu diperbaiki mengikut keadaan semasa ( selaras dengan pembangunan ketika itu ) dan pelan induk perancangan gunatanah."  Berdasarkan soal selidik, terdapat 61 atau 24% orang responden yang menyatakan bahawa sistem perparitan yang tidak sempurna yang menyebabkan banjir (rujuk 3).  Oleh itu, andaian sistem perparitan yang kurang efisien diuji.

          Untuk membuktikan andaian tersebut, data-data seperti saiz parit (Drain size), aras pembalikan iaitu aras-aras parit yang tertentu yang membolehkan air mengalir dari satu parit ke parit yang lain (Invert level), peratusan kecerunan (gradient of persentage), dan jenis parit yang dibina sama ada konkrit atau bukan konkrit (type of drain).  Maklumat ini penting untuk membuat pengiraan dan menentukan rekabentuk parit di kawasan Jalan P. Ramlee.  Pihak yang bertanggungjawab dalam mengendalikan sistem perparitan ialah bahagian kejuruteraan di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.  Hasil pencarian data kumpulan kami, didapati pihak kejuruteraan tidak mempunyai data-data tersebut kerana tiada sistem perparitan yang dibina di kawasan Jalan P. Ramlee.  Walau bagaimanapun, terdapat 'roadside drain' iaitu parit tepi jalan di kawasan kajian.  Perkara yang mengecewakan ialah tiada orang yang ditugaskan untuk menyimpan maklumat yang berkaitan dengan parit itu sungguhpun kerja pengubahsuaian dijalankan.  Alasan yang diberi oleh pihak kejuruteraan ialah kawasan Jalan P. Ramlee banyak bergantung pada Sungai Pinang.  Sistem perparitan bukan satu pengaruh yang kuat dalam sistem pangairan.  Oleh itu, reked-rekod tidak disimpan. 

          Jadi, kumpulan kami tidak dapat menentukan rekabentuk parit yang sebenar di kawasan kajian.  Tambahan pula, data-data daripada hasil temubual dan soal selidik tidak kukuh.  Justeru, andaian sistem perparitan yang kurang efisien tidak dapat disahkan. 

Sistem Saliran

           Sistem saliran berfungsi mengalirkan jumlah air permukaan dan air sisa domestik ke tempat-tempat yang selamat seperti tasik, kolam, sungai, atau laut tanpa menjejaskan struktur-struktur lain.  Untuk mengenalpastikan sama ada sistem saliran menyumbang dalam kejadian banjir, kumpulan kami telah membuat kajian ke tapak dan mengumpul maklumat yang berkaitan.  Pihak yang bertanggungjawab atas sistem saliran ialah Jabatan Pengairan dan Saliran. 

           Berdasarkan Rancangan Struktur MPPP, terdapat enam kawasan tadahan air yang seluas 12,604 ekar (rujuk..4.).  Sungai Pinang merupakan salah satu kawasan tadahan air dan juga merupakan sungai yang utama mengalir ke Terusan Selatan.  Hal ini memang menunjukkan kepentingan Sungai Pinang di kawasan sekitar Jalan P. Ramlee.  Selain itu, terdapat sistem sub-basin, Empangan Air Itam (Air Itam Dam) dan sistem lencongan untuk menampung dan menakung air.  Didapati bahawa terdapat banyak sub-basin di sekitar Sungai Pinang dan Sungai Air Itam (rujuk.5.).  Terdapat dua lencongan iaitu Lencongan Terjun (Terjun Diversion Channel) dan Lencongan Jelutong (Jelutong Diversion Channel) (rujuk..6.). 

           Keputusan berasaskan analisis data, kumpulan kami mendapati sistem perparitan dan sistem saliran saling berkait rapat dan mempunyai fungsi yang masing-masing.  Pihak kejuruteraan menunjukkan sikap tidak prihatin terhadap fungsi sistem perparitan di kawasan Jalan P. Ramlee.  Hal ini kerana tidak mempunyai rekod-rekod dan catatan yang diperlukan untuk memudahkan kerja pengubahsuaian masa depan.  Walaupun Sungai Pinang merupakan sungai yang utama dalam sistem saliran, tetapi sungai itu tidak digunakan dengan sepenuhnya.  Sungai Pinang telah mengalami pencemaran dan kadar hakisan yang serius (rujuk..7.).  Hal ini telah menunjukkan sikap tidak menghargai dan menjaga sistem saliran yang sedia ada.  Oleh itu, banjir senang berlaku.

Isi Kandungan | Lokasi | Soal Selidik | Maklum Balas
1