Tamadun dan Senibina: Dunia Berat Barat, Pengagungan Kebatilan?

oleh Dr. Ahmad Sanusi Hassan.

Tamadun dan Senibina jika dibandingkan dari segi aspek fizikal dan kehidupan masyarakat adalah begitu saling berkait rapat di antara satu sama lain. Tinjauan pengenalan ini ialah melontarkan ringkasan sejarah Tamadun dan Senibina dari perspektif Prinsip, Keterangan dan Kefahaman di sebaliknya.

Tajuk yang diberi ini boleh dibincangkan kepada 2 bahagian iaitu ‘Dunia Berat Barat’ dan Pengagunggan Kebatilan? Sejarah Tamadun dan Senibina memang tidak boleh diragui lagi banyak mencernakan pandangan yang berdasarkan teori barat (‘Western World View’). Dari teori inilah berkembangnya berbagai-bagai dasar yang digunakan dalam kehidupan sesebuah tamadun di masa kini, dari segi ekonominya, politik dan pemerintahannya, akademiknya, senibinanya, dan sebagainya. Memang tidak boleh diakui lagi Senibina secara fizikal melambangkan nilai dan ciri-ciri sesebuah masyarakat. Tetapi mengapa sejarah menitikberatkan perkembangan tamadun barat? Ini kerana boleh dikatakan seluruh masyarakat di dunia dari semua pelusuk Timur, Barat, Selatan dan Utara, dari berbagai budaya, kepercayaan dan agama menerima sejarah yang dibukukan oleh ahli-ahli falsafah intelektual Barat. Penghasilan buku-buku ini juga menunjukkan tamadun mereka jauh ke depan berbanding dengan tamadun-tamadun lain seperti Arab, India, Cina, Maya dan Aztez. Penerbitan buku-buku ini juga membenamkan teori-teori dari tamadun lain. Teori-teori barat dijadikan garis ukuran. Persoalan seterusnya timbul mengapa ia terjadi sedemikian? Tidak adakah ahli-ahli falsafah yang sanggup menerbitkan penulisan-penulisan ilmiah dari tamadun lain?

Faktor utama mengapa ianya terjadi sedemikian sudah tentunya ahli-ahli falsafah Barat akan mengakui kepentingan ilmu dalam sesebuah masyarakat. Menjadi dunia barat sebagai pusat ilmu (‘centre of knowledge’) merupakan garis ukuran mereka terhadap kemajuan sesebuah tamadun lain. Pembangunan fizikal seperti kekayaan sesebuah negara, banyaknya bangunan dan industri, atau jumlah penduduk sesebuah masyarakat bukan melambangkan tahap kemajuan sesebuah tamadun kerana semuanya ini dapat dibeli dan diimport.

Ahli-ahli fikir Barat sangat menitikberatkan teori dari tamadun Yunani dan Romawi. Teori memberi lebih penekanan keagungan manusia daripada faktor ketuhanan. Tujuan perbincangan ini bukannya ingin memburukkan teori tersebut tetapi membuat kajian ilmiah dan akademik sebagai kesimpulan berdasarkan kenyataan-kenyataan yang logik dan benar. Dunia Barat sangat mengkagumi tamadun Yunani dan Romawi, dan mereka memelihara teori tersebut yang digunakan oleh 2 tamadun ini untuk dipraktikkan sehingga masa kini. PeTeori ini akan mengekalkan kekuatan mereka sebagai satu kuasa besar di dunia ini sepertimana tamadun Yunani dan Romawi berjaya menjadi sebuah kuasa besar dunia.

Tamadun Yunani merupakan tamadun yang bermulanya detik sejarah dunia Barat. Tamadun ini berasaskan ibunegeri kota (‘city state country’). Setiap negeri adalah kecil dan diwakili oleh satu pusat bandar seperti Athens, Sparta, Olympia, Ephesus dan Delphi. Negara Singapura merupakan contoh yang terdekat corak ibunegeri kota. Athens merupakan pusat ilmu falsafah yang terkenal di masa tersebut. Ilmu falsafah tamadun Yunani ini berkembang di saat gemilang di antara 8 hingga 6 sebelum Masihi. Perkembangan ini berasaskan konsep kemanusiaan yang mendapat tempat sebagai peneraju dunia ini di mana fahaman ini sangat bertentangan dengan agama-agama lain di masa itu yang lebih menekankan sumber lain sebagai asas-asas ketuhanan. Manusia direkabentuk menjadi patung-patung dewa dan dewi mereka seperti Zeus, Hephaestus, Apollo, Athena Nike, Athena Polias dan sebagainya. Mereka percaya Tuhan-tuhan mereka ini dalam bentuk fizikal manusia tetapi mempunyai kekuasaan, kekuatan dan qualiti yang sempurna berbanding dengan manusia biasa. Pentakrifan konsep manusia luarbiasa (‘super human’) memberi kesan yang mendalam dalam perkembangan teori-teori politik, ekonomi, akademik, sains, senilukis, senibina dan sebagainya. Teori ini sekaligus menjadikan konsep kemanusiaan sebagai garis ukur dalam kehidupan mereka.

Dalam aspek senibina pula, bentuk tubuh badan manusia menjadi garis ukur elemen-elemen sepert ‘Doric’ dan ‘Ionic Order’ dan rekabentuk senibina klasikal (‘classical’). Ukuran manusia dijadikan sukatan pada setiap pembinaan bangunan-bangunan. Berbeza dengan tamadun-tamadun yang terdahulu seperti Mesopotamia dan Mesir di mana senibina saling berkait rapat dengan pembinaan tugu (monument) ketuhanan, istana dan kehebatan rekabentuk kubur, tamadun Yunani menekankan aspek-aspek rekabentuk civil seperti ‘theatre’, ‘amphitheatre’, bangunan pusat pemerintahan dan kuil-kuil. Tamadun-tamadun terdahulu begitu menekankan kekuasaan individu seseorang raja dan berkait rapat dengan ketuhanan yang berteraskan sumber-sumber alam sekeliling (‘Theocentricism’ konsep). Tamadun Yunani pula memberi penekanan kepada ‘relationship’ diantara manusia dan alam sekeliling (‘man and his nature’) di mana kehidupan manusia penting dalam mencorak alam persekitarannya. Kepercayaan ini melambangkan theori ‘Antrocentricism’ iaitu melihat setiap aspek dalam perspektif kemanusiaan.

Kesan pengaruh Yunani dalam tamadun Romawi sangat besar di mana tamadun Romawi boleh dikatakan mengambil hampir semua pengaruh ini dalam perkembangan tamadun mereka seperti stuktur pemerintahan, ekonomi, perancangan bandar, senilukis, senibina dan sebagainya. Tamadun Romawi sangat terhutang budi pada tamadun Yunani dan boleh dianggapkan Yunani sebagai ‘bapa’ dalam pengasasan tamadun Romawi. Pengaruh ini diterapkan dengan perkembangan dalam bidang struktur pembinaan seperti ‘arches’, ‘vaults’, ‘dome’, ‘Circus Maximus’ dan sebagainya hasil daripada perkembangan teknologi. Berbeza dengan tamadun Yunani yang berasaskan ibunegeri kota, tamadun Romawi berkembang sebagai sebuah empayar yang luas. Hampir semua kawasan di persekitaran lautan Mediteranean adalah di bawah kekuasaan Romawi dan mereka mengamalkan teori-teori ini di tanah jajahan mereka.

Tamadun Romawi boleh dipecahkan kepada 3 peringkat iaitu zaman awal, pertengahan dan akhir Romawi. Tamadun mereka melalui saat gemilang pada zaman pertengahan. Ahli sejarah barat menafsirkan zaman ini sebagai Romawi jahiliah (pagan) kerana kepercayaan kepada dewa-dewi sebagai agama mereka. Zaman akhir Romawi (Byzantium empayar) merupakan zaman perubahan di mana kepercayaan ini sama sekali berbeza dengan kepercayaan asal. Kepercayaan ini ialah agama Kristian yang dibawa oleh pendakwah-pendakwah yang mengembang agama yang dibawa oleh Nabi Isa Al-masih a. s. (‘Jesus’) yang menitikberatkan persoalan ketuhanan.

Pemerintahan Byzantium merupakan zaman bersejarah dalam masyarakat Romawi. Sistem ketuhanan telah mengambil-alih kepercayaan yang diambil dari tamadun Yunani. Sistem ini memberi kekuasaan yang lebih kepada paderi-paderi Kristian yang memainkan peranan yang utama di dalam tamadun Romawi. Senibina tertumpu kepada pembinaan rekabentuk gereja dan pondok agama (monastery). Senibina ini dikenali dengan senibina ‘Romanesque’ dan ‘Gothic’ yang mempunyai rekabentuk ‘basilica’. Secara amnya, gereja-gereja dan ‘monastery’ menjadi imej utama dalam perancangan bandar mereka. Perkembangan senibina ini melahirkan konsep ketuhanan sebagai ukuran alam ini. Gereja-gereja ini didirikan begitu tinggi sehingga 100 kaki iaitu bangunan berukuran yang tertinggi yang dapat dibina. Elemen-elemen seperti ‘rib vault’, ‘butresses system’, ‘pointed arches’ dan cermin kaca berwarna adalah rekabentuk yang disumbangkan dalam zaman tersebut. Kekuasaan Romawi mulai jatuh dengan kejatuhan kota Rome di mana zaman ini benua Eropah ditakrifkan oleh ahli-ahli sejarah barat sebagai Zaman ‘gelap’ (‘dark ages’). Zaman ini merupakan zaman kejatuhan kekuasaan barat dan kekuasaan beralih kepada kekuasaan tamadun Islam yang berpusat di Timur Tengah. Sistem yang berkait dengan keagamaan menjadi ilmiah penting seperti dalam perkembangan sistem pemerintahan, sosial, senibina, ekonomi, senilukis dan sebagainya.

Eropah mengalami zaman pembaharuan (‘Renaissance’) dari kemelut keagamaan kepada penerimaan pengangan Yunani dan Romawi (‘Greek dan Roman Revival’). Ini kerana zaman gelap menyebabkan perkembangan barat untuk kembali mendapat kekuasaan terbantut oleh sekatan dari fahaman agama mereka. Senibina di zaman ini memaparkan penerapan kembali rekabentuk klasikal yang tertumpu kepada bangunan-bangunan civil. Tidak seperti pada zaman gelap, manusia menjadi garis pengukur alam. Barat melalui proses pembaharuan zaman fahaman logik dan sebab-musabab/alasan (‘logic and age of reason’). Segala ilmu ditafsirkan ada kebenarannya asalkan dapat diterima atas sebab-musabab dan logik. Fahaman ini penting kerana ianya sekaligus menolak fahaman ‘spiritual’ iaitu kepercayaan yang diterima tanpa alasan yang logik dan bersebab kerana ianya termaktub di dalam kitab (‘Bible’).

Fahaman ini terus dipengangi sehingga kini kerana ianya menjadikan barat sebagai satu kuasa besar. Fahaman ini diperkenalkan pada tamadun-tamadun lain melalui penjajahan dan perdagangan. Fahaman ini juga menimbulkan sistem kapitalis dan materialistik yang diamalkan oleh kebanyakan negara-negara di dunia ini. Hasilnya Barat dapat mengekalkan kekuasaannya. Dari segi aspek senibina, akitek-akitek yang terkenal seperti Le Corbusier, Mies Van Der Rohe dan Frank Lloyd Wright menggunakan kaedah-kaedah fahaman ini sebagai asas rekabentuk seperti klasikal konsep tetapi dalam kaedah ‘simplicity’, ‘human scale’ dan ‘grid order’.

Perkara yang kedua iaitu persoalan pengagungan kebatilan. Ini mungkindapat ditakrifkan sebagai menolak kepercayaan agama sebagai kepercayaan di peringkat yang tertinggi dan sebaliknya menerima sistem yang lebih berpihak kepada konsep kemanusiaan sebagai gantinya. Ianya melahirkan kepentingan fahaman bertuhankan kebendaan dan menjadikan soal lain sebagai soal kedua.