PEMULIHARAAN MASJID MELAYU LEBUH ACHEH,
GEORGETOWN, PULAU PINANG
(Conservation of the Acheen Street Mosque, Georgetown, Penang)
Oleh
Dr. A. Ghafar Ahmad
Artikel diterbitkan dalam majalah "Penang Past & Present" Disember 1998 ms. 27-29
Pada 1995, sebanyak RM 2.2 juta telah diperuntukkan oleh pihak kerajaan bagi kerja-kerja pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh. Projek pemuliharaan masjid ini telah mengambil masa selama 2 tahun yang bermula pada Jun 1995 dan berakhir pada Jun 1997. Projek ini telah diletakkan di bawah penyelarasan sebuah Jawatankuasa Pemandu Projek yang terdiri daripada pelbagai pihak termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Pejabat Kemajuan Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Jabatan Muzium dan Antikuiti, Universiti Sains Malaysia, Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang dan Badan Warisan Masjid Melayu Lebuh Acheh.
Sejarah Masjid Melayu Lebuh Acheh bermula pada 1792 apabila Tengku Syed Hussain Al-Aidid iaitu seorang kerabat diraja Acheh, Sumatera, Indonesia telah membuka sebuah kawasan perkampungan masyarakat Islam seluas 66,000 kaki persegi di Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang. Tengku Syed Hussain Al-Aidid adalah seorang pedagang Acheh yang kaya dan berjaya ketika Pulau Pinang baru dibuka oleh Kapten Sir Francis Light pada akhir abad ke 18. Dengan kekayaan yang dimilikinya, Tengku Syed Hussain Al-Aidid dengan kerjasama kaum keluarga dan pengikutnya telah membuka dan memajukan sebuah penempatan di Lebuh Acheh dengan mendirikan sebuah masjid, menara, rumah kediaman, deretan rumah kedai, Madrasah Al-Quran dan pejabat perdagangan. Hasil usahanya ini secara tidak langsung telah mewujudkan sebuah pusat pengajian agama Islam dan pusat perdagangan antarabangsa yang bukan sahaja terkenal pada ketika itu tetapi yang terulung dan terawal di Pulau Pinang. Bilangan penduduk dan masyarakat di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah berkembang pesat dengan kedatangannya ramai pedagang-pedagang baru dari negeri-negeri di Tanah Melayu, Tanah Arab dan India. Selepas kematian Tengku Syed Hussain Al-Aidid pada pertengahan abad ke 19, perkampungan ini terus berkembang maju dan telah mencapai tahap kegemilangannya sehingga akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Beliau telah disemadikan di sebuah makam yang terletak di bersebelahan Masjid Melayu Lebuh Acheh. Di kawasan makam ini juga terdapatnya beberapa kubur ahli keluarga Tengku Syed Hussain Al-Aidid.
Perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menyaksikan pelbagai jenis perdagangan termasuk perniagaan rempah ratus, bazar pakaian dan barangan kemas, percetakan kitab agama Islam, pengurusan haji dan kedai-kedai makanan. Suatu ketika dahulu, perkampungan ini telah dikenali sebagai "Jeddah Kedua" di rantau ini. Ini adalah kerana di kawasan inilah ratusan bakal-bakal haji dari Malaysia, Indonesia dan Thailand berkumpul sebelum berlepas ke tanah suci Mekah. Bakal-bakal haji ini akan menaiki kapal laut yang telah disewa dari syarikat swasta Inggeris, Mansfield & Co. di bawah jaminan Sheikh Zakaria Basheer. Tidak hairanlah sekiranya terdapat banyak syarikat pengurusan bakal-bakal haji dan wakil-wakil penjualan tiket penumpang kapal laut termasuk syarikat Jeddah Pilgrims Tiketing Agency yang beralamat di No. 87, Lebuh Acheh. Setiap kali musim haji tiba, perkarangan dan persekitaran Masjid Melayu Lebuh Acheh menjadi sibuk bukan sahaja dipenuhi oleh bakal-bakal haji yang menunggu dokumen-dokumen haji mereka diproses tetapi juga dibanjiri oleh saudara-mara dan sahabat-handai. Ini telah menyebabkan hampir kesemua rumah-rumah di kawasan masjid ini telah disewakan kepada orang ramai. Walau bagaimanapun, segala urusan haji telah terhenti semasa Perang Dunia Kedua dan disambung semula pada 1949. Dengan tertubuhnya Lembaga Urusan dan Tabung Haji Malaysia pada awal 1970an, perkhidmatan pengurusan haji di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah dihentikan.
Selain daripada menjadi pusat perniagaan Melayu dan pusat haji, kawasan perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menjadi pusat pengajian agama Islam yang terulung di Pulau Pinang. Sheikh Omar Basheer Al-Khalilee yang pernah tinggal di rumah beralamat No. 69, Lebuh Acheh telah menjadi imam di Masjid Melayu Lebuh Acheh sebelum pertengahan abad ke 19 dan juga pernah mengajar agama Islam kepada masyarakat tempatan. Selepas kematian Sheikh Omar Basheer, anaknya Sheikh Zakaria telah mengambil-alih tugasnya sebagai pemimpin agama di kawasan tersebut. Sheikh Zakaria kemudiannya telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama. Pada 1888, abangnya Sheikh Yahya telah dilantik sebagai Kadi Pulau Pinang yang pertama yang mana beliau telah menjadikan rumah beralamat No. 69, Lebuh Acheh sebagai pejabat kadinya. Kemudian pada 1917, Sheikh Zakaria telah menjadikan rumah kediamannya sebagai Madrasah Al-Quran.
Selain daripada aspek sejarah dan latar belakangnya yang menarik, perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh mempunyai warisan seni bina yang unik. Masjid Melayu Lebuh Acheh yang dilengkapi dengan menara bersegi lapan, kolah wudhuk, tandas, perigi, anjung (verandah) dan kawasan makam yang mencerminkan gabungan pengaruh seni bina Moorish (seni bina yang berasal dari utara India), Cina dan Klasikal. Gaya dan rekabentuk seni bina ini boleh dilihat pada archa atau gerbang di pintu masuk, kubah kecil di atas tembok bumbung (parapet), ukiran bertanduk di tetulang (roof ridges) bumbung utama yang berbentuk Bumbung Lima, tingkap dan pintu kayu yang dilengkapi dengan ukiran tembus kerawang di bahagian atas (fanlights), tiang klasikal, ukiran lepa (plaster rendering) yang menarik di bahagian mehrab dan atas dinding; serta menara yang berbentuk seakan pagoda Cina.
Manakala seni bina kebanyakan rumah kediaman di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh mencerminkan rumah kayu tradisional Melayu yang berelemenkan tingkap ram, tangga di pintu masuk utama, pintu berdaun dan ukiran tembus kerawang. Terdapat juga beberapa buah rumah yang bercirikan rumah tradisional bandar yang menggunakan bahan batu-bata di tingkat bawah dan kayu di tingkat atas.
Selain daripada masjid dan rumah kediaman tradisional, deretan rumah kedai di Lebuh Acheh juga mempunyai rekabentuk seni bina yang menarik. Terdapat 3 jenis rekabentuk rumah kedai di sini iaitu rekabentuk tradisional, klasikal dan Straits Eclectic. Rumah kedai yang mempunyai rekabentuk tradisional atau early permanent boleh dilihat di rumah kedai beralamat No. 77, 79 dan 81, Lebuh Acheh. Rumah kedai ini tidak mempunyai lorong kaki lima di tingkat bawah manakala di tingkat atasnya terdapat tingkap kayu berdaun. Jenis rumah kedai klasikal pula boleh dilihat di alamat No. 83, 85 dan 87, Lebuh Acheh. Terdapat pengaruh rekabentuk klasikal di fasad hadapan rumah kedai ini seperti tiang Corinthian di tingkat bawah, pilaster, archa dan ukiran lepa di tingkat atas disamping tingkap kayu dan kaca. Lorong kaki lima pula ada terdapat di rumah kedai jenis ini. Manakala rumah kedai dengan rekabentuk Straits Eclectic, yang beralamat di No. 47, 49, 51, 53, 53a dan 55, Lebuh Acheh mempunyai ciri-ciri seni bina seperti lorong kaki lima, tiang penyokong, dinding penghalang (party walls), tingkap kayu dan pengalir udara (air wells).
Perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh yang suatu ketika dahulu begitu terkenal dengan aktiviti-aktiviti agama, perdagangan dan urusan hajinya kini hanya mengekalkan aktiviti perniagaan dan percetakan buku-buku agama Islam termasuk Al-Quran dan muqaddam. Begitu juga dengan fungsi masjid yang masih kekal sehingga kini. Keadaan masjid yang sering dibocori hujan dan kawasan persekitarannya yang tidak terurus sebelum ini telah menjadikan perkampungan ini sebagai tumpuan pelbagai pihak untuk menjaga dan memulihara keadaan bangunan dan persekitarannya demi kepentingan masyarakat setempat dan warisan Pulau Pinang amnya.
Kerja-kerja pemuliharaan perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah dijalankan dalam 2 fasa. Fasa I melibatkan kerja-kerja penggantian bumbung masjid dan makam manakala Fasa II meliputi kerja-kerja pemuliharaan bangunan masjid termasuk siling, dinding, tiang, pintu, tingkap, bilik air, kolam wudhuk, menara dan mimbar. Tujuan utama kerja-kerja pemuliharaan ini ialah untuk memelihara dan membaiki warisan seni bina masjid tanpa menjejaskan bentuk mahupun keadaan asalnya. Sebelum kerja-kerja pemuliharaan dijalankan, keadaan masjid dan persekitarannya telah direkodkan bagi tujuan dokumentasi. Struktur bangunan, bumbung, siling dan sistem saliran air hujan telah dikaji dan dianalisis bagi mengenalpasti punca masalah dan anggaran kos keseluruhan projek. Kerja-kerja pemuliharaan yang dijalankan di Fasa I adalah seperti berikut:
Antara kerja-kerja pemuliharaan di Fasa II adalah seperti berikut:
biru muda, hijau dan putih.
Seramai 86 orang pekerja tempatan dan asing telah terlibat secara berperingkat dalam kerja-kerja pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh termasuk 11 orang bagi membaiki bumbung, 2 orang memasang siling, 11 orang mengecat, 22 orang memecah dan melepa dinding, 8 orang mengukir lepaan bunga dan kepala tiang, 9 orang membina tandas baru, 6 orang memasang jubin lantai, 8 orang membaikpulih menara dan 9 orang kontraktor binaan. Projek ini juga melibatkan 2 orang pakar pemuliharaan dari Perancis yang telah membantu memberi nasihat dan tunjuk ajar mengenai kaedah dan teknik menjalankan kerja-kerja pemuliharaan. Ini adalah penting kerana pendekatan bagi menjalankan kerja-kerja pemuliharaan amat berbeza jika dibandingkan dengan kerja-kerja membina bangunan moden. Kerja-kerja pemuliharaan melibatkan kaedah dan teknik tertentu yang memerlukan tahap kepakaran, pengalaman dan ketekunan yang tinggi. Oleh yang demikian, beberapa siri perbincangan teknikal dan latihan kemahiran sering diadakan di kawasan tapak di antara pakar pemuliharaan Perancis dengan pasukan kerja projek termasuk pengurus projek, arkitek, jurutera dan pihak kontraktor. Selain daripada itu, beberapa perjumpaan di antara pasukan kerja projek dengan penduduk tempatan, pihak Badan Warisan Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang kerap diadakan bagi membincangkan perkembangan dan isu-isu yang melibatkan kepentingan masyarakat setempat seperti pengurusan masjid, impak sosial dan ekonomi.
Projek pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh merupakan suatu projek perintis baikpulih kawasan sejarah di Georgetown, Pulau Pinang. Semasa kerja-kerja pemuliharaan dilaksanakan, Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menjadi tumpuan ramai pelawat dari dalam dan luar negera. Antara pelawat yang berkunjung ke Masjid Melayu Lebuh Acheh semasa kerja-kerja pemuliharaan dijalankan termasuk:
| Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Ketua Menteri Pulau Pinang | |
| Tan Sri Dato Abdul Halim Ali, Ketua Setiausaha Negara | |
| Dato Tengku Alaudin Tengku Abd. Majid, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan | |
| Tan Sri Dato Seri Ahmad Sarji Abdul Hamid, Presiden Badan Warisan Malaysia | |
| Dato Kee Phaik Cheen, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Hal Ehwal Wanita Pulau Pinang | |
| Haerve De Charatte, Menteri Luar Perancis | |
| Edouard Braine, Duta Perancis ke Malaysia | |
| Profesor Dr. Syamsuddin Mahmud, Gabenor Acheh, Sumatera, Indonesia | |
| Wayne Mathews, Menteri Kerja Raya Australia Selatan. |
Projek pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah mendapat liputan yang agak meluas di dalam media masa tempatan kerana ia merupakan satu projek rujukan kepada banyak pihak khususnya di Pulau Pinang. Walaupun projek ini telah mengharungi pelbagai masalah termasuk masalah teknikal dan sosial, pihak pasukan kerja projek termasuk kontraktor, pengurus projek, arkitek, jurutera dan pakar pemuliharaan Perancis telah berjaya mengatasinya dengan semangat persefahaman dan bekerjasama yang tinggi. Banyak pengalaman dan pengetahuan baru telah ditimba oleh mereka. Dengan terlaksananya projek pemuliharaan masjid ini, maka adalah diharapkan agar kesemua bangunan yang terdapat di perkampung Masjid Melayu Lebuh Acheh ini dapat dipulihara dengan baik sekaligus mengembalikan imej dan suasana kegemilangannya suatu ketika dahulu. Projek ini sekurang-kurang telah dapat mencetuskan sikap keprihatinan pihak awam amnya dan masyarakat tempatan di Pulau Pinang khasnya terhadap penjagaan dan pemuliharaan bangunan dan kelangsungan khazanah warisan negara.
Dr. A. Ghafar Ahmad ialah Pengurus Projek Pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh dan juga seorang Pensyarah di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.