Back to Main Page

Rangka Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

(The Framework of Historical Building Conservation)

 

Oleh

 A Ghafar Ahmad

(Artikel diterbitkan dalam majalah Sejarah@Malaysia November/Disember 2006/ Bil 1. ms.50-56)

 

Di Malaysia, terdapat beberapa buah bangunan bersejarah yang telah dipulihara dengan baik. Antaranya ialah bangunan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu dan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur; Dewan Bandaran Pulau Pinang dan Masjid Melayu Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang; Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan Masjid Kampung Hulu, Melaka; dan Istana Kenangan serta Galeri Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak. Bangunan-bangunan bersejarah di Malaysia didapati berbeza-beza di antara satu dengan yang lain dari aspek gaya seni bina, fungsi, struktur bangunan dan kecacatan bangunan yang mana memerlukan pendekatan pemuliharaan bangunan yang menyeluruh dan bersistematik. Pendekatan ini amat penting bagi memastikan keaslian dan kepentingan sesebuah bangunan bersejarah itu terpelihara dan tidak terjejas.

   

Prinsip Pemuliharaan Bangunan

Projek-projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia sering kali melibatkan satu pasukan kerja yang terdiri daripada pelbagai pihak termasuk pemilik bangunan, agensi kerajaan yang berkaitan dengan bangunan warisan, pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak konsultan bangunan seperti arkitek, jurutera, juru ukur bahan dan konservator bangunan. Manakala, kerja-kerja pemuliharaan bangunan dilakukan oleh pihak kontraktor bangunan yang berwibawa dan mempunyai pengalaman yang berkaitan dengan kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah. Bagi memastikan kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah dijalankan dengan kaedah dan teknik yang betul, terdapat empat prinsip utama yang perlu diamalkan dalam membaik pulih sesebuah bangunan bersejarah.

 

1.      Meminimakan Gangguan

Kerja-kerja pemuliharaan bangunan perlu dijalankan secara berhati-hati di samping meminimakan gangguan terhadap struktur dan fabrik bangunan sedia ada. Hanya struktur dan fabrik bangunan yang rosak sahaja perlu dibaik pulih manakala bahagian bangunan yang elok dan masih berfungsi perlu dikekalkan keasliannya. Adalah penting untuk mengenal pasti komposisi bahan binaan asal sebelum kerja-kerja pemuliharaan bangunan dijalankan. Sekiranya bahan binaan baru digunakan bagi menggantikan bahan binaan asal yang rosak, maka bahan binaan baru perlu diambil dari spesis atau bahan yang serupa sifatnya dengan bahan yang asal. Dalam konteks ini, penggunaan bahan yang diselamatkan (salvaged material) adalah digalakkan.

 

2.      Menjalankan Kajian Saintik dan Ujian Makmal

Semua kerja-kerja membaik pulih adalah berasaskan kepada kajian saintifik dan ujian makmal bagi mengekalkan keaslian bahan binaan dan struktur bangunan. Kajian saintifik dan ujian makmal sering dijalankan untuk menentukan kandungan bahan binaan sedia ada, tahap kecacatan bangunan dan struktur bangunan. Maklumat yang diperolehi dari kajian saintifik dan ujian makmal boleh dijadikan sebagai bahan sokongan dan bukti sebelum membuat sesuatu keputusan bagi kerja-kerja pemuliharaan bangunan. Antara kajian saintifik dan ujian makmal yang dilakukan dalam kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah adalah kajian tahap serangan garam, kelembapan dinding, tumbuhan organik, spesis kayu, bahan campuran lepa dan kekuatan batu-bata.

 

3.      Mendokumentasi Kerja-kerja Pemuliharaan

Semua kerja-kerja pemuliharaan bangunan perlu didokumentasikan sama ada dalam bentuk laporan kajian dokumentasi seni bina, penyataan kaedah (Method of Statement) atau dalam rekod maklumat yang dilengkapi dengan dokumentasi bergambar. Kesemua bahan dokumentasi amat berfaedah sebagai bahan rujukan sama ada ketika projek pemuliharaan dijalankan atau pun bagi tujuan simpanan untuk kerja-kerja penyelenggaraan bangunan pada masa hadapan. Justeru, pihak pemilik bangunan dan pihak-pihak lain yang berkaitan seperti Jabatan Warisan Negara, Jabatan Arkib dan pihak berkuasa tempatan harus menyimpan dengan baik segala bahan dokumentasi kerja-kerja pemuliharaan bangunan.

 

4.      Mengaplikasi Kaedah dan Teknik

Kerja-kerja pemuliharaan bangunan perlu mengaplikasikan kaedah dan teknik yang terbukti keberkesanannya. Ini adalah penting demi memastikan setiap kaedah dan teknik yang dipraktikkan semasa kerja-kerja pemuliharaan tidak akan mendatangkan masalah kepada struktur dan fabrik bangunan. Kaedah dan teknik pemuliharaan bangunan yang diguna pakai bukan sahaja perlu berjaya mengatasi masalah kecacatan bangunan tetapi juga tidak menjejaskan keaslian rekabentuk bangunan bersejarah.

 

Rangka Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

Pemuliharaan bangunan bersejarah telah sekian lama diamalkan di Malaysia . Akan tetapi kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan memelihara warisan seni bina tempatan masih ditahap yang rendah. Keadaan ini berterusan sehinggalah projek pemuliharaan bangunan Pasar Seni (Central Market), Kuala Lumpur dijalankan pada 1980an. Bangunan pasar yang dahulunya dipenuhi oleh penjual ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan bekalan dapur kini telah berubah menjadi sebuah pasar seni yang mempromosikan kraftangan dan makanan tempatan. Usaha pemuliharaan bangunan ini bukan sahaja berjaya membuka mata masyarakat tentang kepentingan membaik pulih dan mengubahsuai fungsi asal bangunan pasar tersebut tetapi juga mampu meningkatkan ekonomi masyarakat dalam memajukan industri pelancongan warisan negara.

 

Dalam usaha untuk memelihara bangunan bersejarah di Malaysia, segala usaha-usaha pemuliharaan bangunan perlu dilaksanakan dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk nilai sejarah, warisan, seni bina, usia, fungsi, bahan binaan dan penyelenggaraan serta sokongan daripada pelbagai pihak yang berkaitan. Berdasarkan kepada beberapa projek membaik pulih bangunan di Malaysia , satu rangka kerja dapat digariskan bagi amalan pemuliharaan bangunan bersejarah negara ini. Rangka kerja pemuliharaan bangunan bersejarah adalah penting bagi menjamin bangunan-bangunan bersejarah yang dipulihara dapat dirancang secara menyeluruh dan bersistematik. Justeru, rangka kerja ini melibatkan lima peringkat yang penting seperti berikut:

 

Peringkat Pertama: Penyelidikan Awalan

Penyelidikan awalan perlu dilakukan apabila sesebuah bangunan bersejarah dikenal pasti untuk dipulihara. Ia merupakan peringkat yang penting bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang bangunan dan persekitarannya termasuk dari aspek sejarah, seni bina, pemilik atau penghuni bangunan dan juga sebarang kerja-kerja penyelenggaraan yang telah dijalankan terdahulu. Maklumat tersebut boleh diperolehi daripada pelbagai sumber seperti berikut:

1.                  temuramah dengan individu yang mengetahui tentang bangunan bersejarah seperti pemilik bangunan, jiran tetangga, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.  

2.                  dokumen dan laporan tentang bangunan bersejarah yang tersimpan di beberapa agensi dan organisasi berkenaan seperti muzium, arkib, perpustakaan, universiti dan persatuan warisan tempatan.

 

Semua maklumat yang diperolehi tentang bangunan bersejarah perlu dipersembahkan dalam sebuah laporan lengkap untuk tujuan rujukan terutamanya di peringkat kedua dan ketiga dalam rangka kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Laporan tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak pemilik bangunan yang seterusnya akan menubuhkan satu jawatankuasa pemandu bagi tujuan memantau projek pemuliharaan bangunan. Pihak pemilik bangunan akan melantik pasukan perunding projek yang terdiri daripada arkitek, jurutera, juru ukur bahan, konservator bangunan dan ahli sejarah bagi memastikan projek dilaksanakan dengan baik dan tersusun.

 

Peringkat Kedua: Kajian Dilapidasi

Peringkat kedua melibatkan satu kajian dilapidasi (dilapidation survey) bagi mengenalpasti tahap kecacatan bangunan. Kajian ini merupakan satu amalan kerja bagi mendokumentasi sebarang masalah dan kecacatan bangunan dengan menggunakan kaedah bergambar sebelum kerja-kerja pemuliharaan bangunan dijalankan. Antara masalah dan kecacatan bangunan yang sering berlaku di bangunan bersejarah di Malaysia adalah serangan anai-anai pada struktur kayu bangunan, serangan garam di dinding, kelembapan, lumut, tumbuhan organik, cat mengelupas, sistem saliran hujan yang tidak berfungsi, bumbung bocor, tingkap dan pintu yang rosak serta beberapa masalah keretakan di dinding dan lantai. Kajian dilapidasi dijalankan secara menyeluruh dengan melibatkan kepakaran dan tenaga kerja mahir dari pasukan perunding termasuk arkitek, jurutera, juru ukur bahan dan konservator bangunan. Bagi kecacatan bangunan yang bersifat saintifik, bantuan kepakaran teknikal boleh diperolehi daripada perunding luar terutamanya dalam bidang-bidang seperti mikro-biologi, kimia, arkeologi, geologi dan sebagainya.

 

Kajian dilapidasi juga merangkumi maklumat tentang punca berlakunya kecacatan bangunan serta cadangan kaedah dan teknik pemuliharaan bangunan. Beberapa lukisan terukur termasuk pelan bangunan, tampak dan keratan diperlukan bagi melengkapkan maklumat mengenai lokasi kecacatan bangunan. Pada kebiasaannya, kajian ini dipersembahkan dalam laporan lengkap bersaiz A3 sebelum diserahkan kepada pihak pemilik bangunan.

 

Peringkat Ketiga: Penyediaan Dokumen Tender

Pada kebiasaannya, apabila pihak pemilik bangunan menerima laporan kajian dilapidasi, ia akan dibentangkan kepada pihak jawatankuasa pemandu projek. Laporan tersebut kemudiannya diserahkan kepada juru ukur bahan bagi mengenal pasti tahap kecacatan bangunan yang dilaporkan, mempertimbangkan kaedah dan teknik pemuliharaan bangunan yang dicadangkan seterusnya menilai kos keseluruhan projek pemuliharaan bangunan. Dengan persetujuan pemilik bangunan, juru ukur bahan akan menyediakan laporan lengkap Senarai Kuantiti (Bill of Quantity) sebagai memenuhi sebahagian daripada keperluan dokumen tender. Laporan Senarai Kuantiti akan mengandungi skop kerja pemuliharaan bangunan yang perlu dilakukan termasuk keperluan menjalankan kajian saintifik dan ujian makmal serta mendokumentasi keadaan bangunan sebelum, semasa dan selepas kerja-kerja pemuliharaan seperti dinyatakan di peringkat keempat.

 

Dalam penyediaan dokumen tender, adalah penting bagi juru ukur bahan bekerjasama dengan pihak arkitek dan perunding konservator bangunan dalam menentukan skop kerja dan kesesuaian kaedah dan teknik pemuliharaan bangunan yang diguna pakai. Hasil daripada perbincangan bersama, juru ukur bahan boleh memastikan anggaran kos projek pemuliharaan bangunan yang dicadangkan. Peringkat ini dianggap kritikal dalam rangka kerja pemuliharaan bangunan. Ini adalah kerana kegagalan pihak perunding menentukan anggaran kos keseluruhan projek akan menimbulkan masalah yang rumit kepada pihak pemilik bangunan termasuk dari segi pertambahan peruntukan kewangan dan kengkangan masa.

 

Peringkat Keempat: Kerja-kerja Pemuliharaan Bangunan

Kontraktor bangunan yang dipilih untuk melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan bangunan perlu terdiri daripada kumpulan yang terlatih dan berpengalaman luas dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah. Ini adalah kerana peringkat ini memerlukan kepakaran dan kemahiran teknikal yang tinggi dalam menjalankan kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Pemilihan kontraktor bangunan perlu dilakukan secara terperinci dengan mengambil kira skop kerja yang telah ditentukan oleh pihak perunding projek. Kemampuan pihak kontraktor menjalankan kerja-kerja pemuliharaan bangunan dari projek yang lalu juga perlu diambil kira sebagi criteria dalam pemilihan kontraktor bangunan.

 

Kontraktor bangunan yang dipilih perlu melantik seorang konservator bangunan bagi tujuan membantu dan menasihati pihak kontraktor dalam menjalankan kerja-kerja pemuliharaan bangunan. Konservator bangunan ini pula akan bekerjasama dengan pihak perunding termasuk menyediakan penyataan kaedah, rekod maklumat, laporan kajian saintifik dan ujian makmal. Hubungan kerja yang profesional di antara pihak kontraktor dengan perunding amat penting bagi menjamin projek pemuliharaan bangunan berjalan dengan lancar. Mesyuarat teknikal dan mesyuarat tapak perlu diadakan dengan kerap bagi memantau perkembangan projek dan mengatasi sebarang masalah teknikal di tapak.

 

Di peringkat ini, pihak kontraktor perlu mematuhi prinsip-prinsip pemuliharaan bangunan seperti yang diterangkan dalam bahagian awal. Kontraktor bangunan perlu menjalankan kajian saintifik dan ujian makmal terlebih dahulu sebelum menangani masalah kecacatan bangunan seperti yang dilaporkan oleh pihak perunding projek dalam laporan dilapidasi di peringkat pertama. Selain daripada itu, kontraktor juga diminta mendokumentasi kerja-kerja pemuliharaan bangunan secara bersistematik dengan merekod keadaan bangunan dalam tiga peringkat iaitu sebelum, semasa dan selepas pemuliharaan bangunan menggunakan kaedah Historical Architectural Building Survey (HABS). Kerja-kerja dokumentasi yang melibatkan kaedah HABS ini sering diamalkan dalam kebanyakan projek pemuliharaan bangunan di bawah penyeliaan agensi kerajaan termasuk Jabatan Muzium Malaysia , Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan. Secara spesifiknya, HABS merupakan kaedah merekod keadaan bangunan secara sistem bergrid berukuran 1 m2 pada keseluruhan permukaan dinding, lantai dan siling. Semua laporan kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah akan disimpan oleh pemilik bangunan atau agensi kerajaan yang berkaitan sebagai bahan rujukan terutamanya bagi kerja-kerja penyelenggaraan di masa hadapan.

 

Peringkat Lima: Pengurusan Warisan

Pemuliharaan bangunan secara dasarnya merupakan suatu proses pengurusan warisan budaya yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang tinggi. Ia merangkumi nilai budaya masyarakat tempatan yang perlu dijaga dan pelihara dengan baik. Pengurusan yang profesional bukan sahaja diperlukan semasa kerja-kerja pemuliharaan bangunan di tapak tetapi juga selepas bangunan tersebut siap dipulihara dan berfungsi semula seperti biasa. Ia melibatkan usaha-usaha penjagaan, penyelenggaran dan pembaikan bangunan bersejarah dari masa ke semasa. Manakala pengurusan warisan merupakan satu langkah pengawalan ke atas pelbagai sumber  fizikal, sosial dan ekonomi yang terdapat di sekitar tapak bersejarah, objek atau koleksi. Ia bertujuan untuk menghindari atau mengurangkan kesan kemusnahan akibat daripada pendedahannya kepada masyarakat umum selain daripada faktor alam semula jadi. Justeru, bagi memastikan bangunan bersejarah terus dipulihara dan dijaga dengan baik serta dapat dihayati oleh pengunjung, pengurusan tapak bersejarah yang berkesan perlu dirancang dengan baik.

 

Bangunan Bersejarah Sebagai Produk Pelancongan Warisan

Perancangan dan pengurusan bangunan bersejarah sememangnya mempunyai kaitan secara langsung dengan pelancongan. Bangunan bersejarah yang telah dipulihara dengan baik boleh diubahsuai ruang dalamannya untuk dijadikan sebagai premis perniagaan dan perkhidmatan yang bercirikan pelancongan warisan. Terdapat banyak bangunan bersejarah di Malaysia yang dijadikan sebagai produk pelancongan setelah diubahsuai fungsi asal bangunannya. Contohnya, bangunan Istana Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, Johor yang dijadikan sebagai Muzium Diraja Sultan Abu Bakar; Rumah Agam Eu Tong Seng di Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang telah dijadikan sebagai Pusat Pelancongan Malaysia; dan bangunan rumah teres tiga tingkat di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Melaka yang telah dijadikan sebagai Hotel Puri yang bercirikan warisan seni bina Cina.

 

Bangunan bersejarah mampu ditampilkan sebagai produk pelancongan yang berjaya sekiranya perancangan dan pengurusan bangunan bersejarah dijalankan dengan baik. Penglibatan bersama di antara pemilik bangunan dengan pihak swasta dalam mempromosikan pelancongan warisan juga dilihat mampu meningkatkan usaha-usaha pemuliharaan bangunan bersejarah. Contohnya, program Jejak Warisan yang melalui beberapa kawasan bersejarah di Georgetown, Pulau Pinang; Melaka dan Kuala Lumpur . Program yang ditaja oleh firma American Express (M) Sdn. Bhd. ini dianggap berjaya mempromosikan bangunan bersejarah sebagai produk pelancongan warisan kepada para pelancong luar dan dalam negara. Dengan kewujudan tahap kesedaran masyarakat yang tinggi terhadap nilai bangunan bersejarah di Malaysia , aspek penjagaan dan pemuliharaan bangunan dapat dipertingkatkan lagi selaras dengan falsafah rangka kerja pemuliharaan bangunan bersejarah.