Back to Main Page

Pengenalan Kepada Bangunan Dan Monumen Lama Di Malaysia

(Introduction to Historic Buildings and Monuments in Malaysia)

oleh

Dr. A. Ghafar Ahmad

Pembentangan Kertaskerja di Bengkel Menangani Masalah Pemuliharaan Bangunan Lama Di Malaysia Kota Ngah Ibrahim, Taiping, Perak  pada 19 - 22 Disember 1994

muarmos.jpg (169575 bytes)

                                     Masjid Jamek, Muar, Johor

Pengenalan

Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan lebih daripada 36 tahun, kesan-kesan peninggalan daripada pihak penjajah kolonial seperti Portugis, Belanda dan British masih boleh dilihat dari pelbagai aspek. Hasil daripada penjajahan Portugis dan Belanda terutamanya di Melaka telah meninggalkan sedikit sebanyak kesan kepada kebudayaan masyarakat tempatan termasuk bahasa, makanan dan agama. Zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke 15 dan ke 16, contohnya, dapat dirasai dengan terdapatnya beberapa buah bangunan lama termasuk Pintu Gerbang Porta de Santiago (1511), Gereja St. Paul (1590), Bangunan Stadthuys (1641-60) dan Gereja Christ (1753). Penjajahan British selama lebih daripada 160 tahun di Malaysia telah mengubah berbagai aspek pembangunan negara dari sistem perundangan dan pendidikan hinggalah ke sistem ekonomi dan pertahanan. Begitu juga dengan seni bina bangunan-bangunan awam dan pejabat kerajaan. Pendekata pengaruh dari pemerintahan di zaman kolonial, terutama dari era kolonial British, masih menebal di Malaysia selepas zaman kemerdekaan hinggalah perubahan-perubahan dasar dijalankan secara beransur-ansur dan seterusnya menjadikan ia sebuah negara yang pesat membangun di rantau ini.

Dari aspek seni bina pula peninggalan bangunan-bangunan lama dan monumen dari zaman pemerintahan kolonial perlu dilihat dari sudut yang positif. Peninggalan kolonial ini amat penting kepada negara dan generasi baru bukan sahaja dari segi warisan dan sejarah tetapi pembangunan negara. Pemuliharaan bangunan dan monumen tersebut patut diberi penekanan yang khusus oleh berbagai pihak kerajaan dan agensi swasta termasuk penguasa tempatan, Jabatan Muzium, Arkib Negara, agensi pelancongan dan pemaju agar kepentingannya dapat dimanafaatkan oleh orang ramai khususnya rakyat Malaysia. Artikel ini menghuraikan ertikata pemuliharaan bangunan dan monumen; dan mengkaji kepentingan proses ini di dalam kontek pembangunan negara.

Definisi

Dari segi definisinya, pemuliharaan bangunan dan monumen bererti memelihara dan membaiki harta dan warisan lama yang mempunyai nilai-nilai seni bina dan sejarah melalui kerja-kerja penyenggaraan dan pembaharuan. Proses ini bertujuan untuk melanjutkan usia atau keadaan sesebuah bangunan lama, monumen atau sebarang harta warisan negara. Kontek bangunan di sini adalah sebarang struktur pembangunan yang telah atau sedang diguna atau didiami oleh penghuni. Sementara monumen pula adalah sesuatu struktur atau objek yang tujuan asalnya bukan untuk didiami oleh penghuni. Contoh monumen ialah menara jam, tugu, pondok talipon, pancutan air dan sebagainya. Penjagaan bangunan lama ini boleh dipraktikkan melalui berbagai kaedah dan teknik pembaikan dan pemuliharaan.

Di Malaysia, di bawah Akta Bendapurba 1976, sesebuah bangunan atau monumen berusia sekurang-kurangnya 100 tahun boleh diwarta atau digazetkan oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Muzium untuk diberi perlindungan, penjagaan dan galakan bagi kerja-kerja pemuliharaan. Sehingga kini lebih kurang 137 buah bangunan dan monumen (termasuk perigi, makam, kota, batu, gua dan tugu) telah diwartakan di bawah Akta tersebut. Daripada jumlah ini, sebanyak 51 buah adalah bangunan lama termasuk 21 buah bangunan kolonial British. Bilangan ini akan bertambah dari masa ke semasa memandangkan terdapat banyak bangunan-bangunan dan monumen yang mempunyai nilai-nilai seni bina dan sejarah di seluruh negara yang perlu dipulihara dengan sebaiknya.

Kepentingan:

Pendapat sesetengah pihak yang menyatakan bahawa bangunan dan monumen lama tidak perlu dipulihara adalah tidak berasas. Ini adalah kerana jika dikaji secara terperinci, bangunan dan monumen yang mempunyai nilai seni bina dan sejarah itu terdapat beberapa kepentingannya yang tersendiri.

Sejarah

Dari segi perkembangan sejarah negara, bangunan dan monumen lama dapat berfungsi sebagai bukti kepada sesuatu era atau peristiwa bersejarah. Ini adalah kerana segala peninggalan penjajah baik rumah besar, jambatan, menara jam dan kota dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajahi oleh pihak pendatang. Di Georgetown, Pulau Pinang, contohnya, terdapat berbagai bangunan kolonial dan monumen seperti Kota Cornwallis (1808), Mesjid Kling (1801), Gereja St. George (1817), Muzium Negeri (1821) dan Menara Jam Victoria (1897) yang mana membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke 18.

Nilai Seni Bina

Dari segi seni bina pula, bangunan-bangunan yang dibina di zaman kolonial termasuk rumah-rumah kayu Melayu mempunyai ciri-ciri rekabentuknya yang unik. Sesetengah daripada bangunan ini masih tegap dan kukuh untuk didiami walaupun berusia lebih daripada 70 atau 80 tahun. Rumah-rumah kayu Melayu yang terdapat di beberapa kawasan di Melaka, Kelantan, Terengganu dan Selangor mempunyai rekabentuk yang berdasarkan ciri-ciri seni bina tempatan dan luar (seperti dari Siam dan Indonesia) di samping mempunyai nilai-nilai seni ukir yang tinggi dan berkualiti. Segala usaha dan kemahiran tukang-tukang rumah dan pengukir kayu tidak akan sia-sia sekiranya generasi muda mengambil inisiatif untuk belajar dari mereka agar kesinambungan warisan negara dikekalkan. Begitu juga dengan bangunan-bangunan kolonial British yang mempunyai pelbagai ciri-ciri rekabentuk seni bina asing yang telah diubahsuai dengan keadaan cuaca tempatan yang panas dan lembab.

Secara ringkasnya, bangunan-bangunan kolonial ini boleh dikategorikan kepada 4 reka bentuk seni bina iaitu:

Moorish (Bangunan Sultan Abdul Samad, Stesen Keretapi dan Mesjid Jamek, Kuala Lumpur)

Tudor (Bangunan Kelab Di Raja Selangor, Kuala Lumpur dan Sekolah King Edward VII, Taiping)

Neo-Classical (Gereja St. George, Georgetown dan Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak)

Neo-Gothic (Gereja Holy Rosary Catholic dan St. Mary, Kuala Lumpur).

Rekabentuk seni bina ini terdapat di beberapa elemen bangunan lama seperti ruang dinding, menara, tingkap, pintu, tiang dan ruang dalaman. Sesetengah elemen yang terdapat di bangunan kolonial tersebut telah dipinjam dan diubahsuai untuk menjadi elemen dan rekabentuk bangunan moden.

Pelancongan

Dari sudut pelancongan pula, pemuliharaan bangunan dan monumen dapat menarik ramai pelancong tempatan dan luar negeri untuk melawat Malaysia. Bangunan-bangunan lama contohnya boleh diubahsuai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis, restoren dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negera Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford dan Cambridge di England, Paris di Perancis; Venice, Pisa dan Florence di Italy; dan Amsterdam di Belanda telah berjaya memulihara dan melindungi sebahagian besar daripada bangunan dan monumen lama mereka dengan baik. Usaha ini telah mampu menarik ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber ekonomi kepada pemilik bangunan dan kerajaan. Selain dari menikmati keindahan alam semulajadi Malaysia, para pelancong boleh juga melawat ke bangunan-bangunan lama lagi bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain daripada artifek-artifek di dalam muzium dan galeri seni lukis. Pemuliharaan bangunan dan monumen secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

Pendidikan

Selain daripada itu, bangunan dan monumen lama juga boleh memainkan peranan yang penting di dalam pendidikan masyarakat Malaysia khususnya para pelajar dan penyelidik. Berbagai ilmu yang boleh dipelajari dari memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Contohnya, dengan terdapatnya bangunan-bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka; dan Mesjid Jamek (1909) di pertemuan Sungai Gombak dan Kelang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur di era kolonial British tetapi kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor (1890) dan Padang (Dataran Merdeka) telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di tanah Melayu pada akhir abad ke 19. Begitu juga dengan kepentingannya pancutan air Horse yang telah dibina berdekatan Dataran Merdeka di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada 1897. Pancutan air Horse (Horse Fountain) itu dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor iaitu Encik Steve Harper.

Pembentukan Minda

Pemuliharaan bangunan dan monumen amat penting di dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset negara yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan dan monumen ini, generasi muda akan lebih menghargai dan peka kepada perkembangan sejarah negara. Ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan dan pemusnahan terhadap bangunan dan monumen yang bersejarah.

Perancangan

Sungguhpun pemuliharaan bangunan dan monumen di Malaysia masih berada di peringkat awal, adalah penting bagi usaha-usaha ini diberi keutamaan sebelum warisan dan khazanah negara lenyap dibawa arus pembangunan moden. Berbagai langkah boleh dilakukan untuk menyelamat bangunan dan monumen dari perobohan dan pemusnahan.

Sistem perundangan yang sedia ada (seperti Akta Bendapurba 1976, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Enakmen Johor No. 7 1988 dan Enakmen Melaka No. 6 1988) perlu diketatkan lagi supaya bangunan dan monumen lama yang belum diwarta atau digazetkan dapat dilindung, pulihara, baharui dan senggara dengan baik. Sebarang bentuk perobohan dan pemusnahan ke atas bangunan dan monumen tersebut tanpa kebenaran dari pihak penguasa tempatan patut diambil tindakan yang serius. Proses mewarta atau mengazetkan bangunan dan monumen perlu ditumpukan bukan sahaja kepada bangunan dan monumen milik kerajaan tetapi juga kepada bungalo, hotel, rumah rehat, rumah tradisional Melayu dan juga bangunan kolonial British yang dimiliki oleh pihak persendirian. Pihak penguasa-penguasa tempatan perlu menyenaraikan nama-nama bangunan dan monumen yang terdapat di kawasan mereka untuk memudahkan kerja-kerja pengwartaan, pemuliharaan, penyenggaraan dan pembaharuan.

Pemuliharaan bangunan dan monumen di Malaysia harus diberi penekanan di dalam sistem pendidikan negara. Subjek-subjek pemuliharaan bangunan dan monumen patut diajar di sekolah-sekolah rendah, menengah dan di institusi pengajian tinggi untuk menanamkan semangat cintakan warisan dan khazanah negara kepada generasi muda. Di peringkat pengajian tinggi pula, institusi-institusi tempatan perlu memainkan peranan yang lebih aktif di dalam mengadakan program-program pemuliharaan bangunan dan monumen samada berbentuk bengkel, seminar, kursus jangka pendek, pengajian Diploma atau Ijazah Lanjutan bagi melahirkan golongan yang berilmu di dalam bidang pemuliharaan bangunan dan monumen .

Dari segi teknikal pula, pihak kerajaan dan swasta boleh bekerjasama bagi menubuhkan jawatankuasa teknikal di mana pemilik-pemilik bangunan dan monumen boleh mendapatkan maklumat dari masa ke semasa berhubung dengan kerja-kerja penjagaan, pemuliharaan dan penyenggaraan bangunan. Jawatankuasa tersebut, yang dianggotai oleh pelbagai disiplin dan profesional termasuk akitek, jurutera, ahli sejarah, kurator muzium, juruukur, penguasa tempatan dan sebagainya; boleh menubuhkan cawangan-cawangan di beberapa bandar lain supaya operasinya boleh diperluaskan. Jawatankuasa tersebut boleh memainkan peranan yang penting dalam mendidik orang awam di dalam menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan pemuliharaan bangunan dan monumen.

Kesimpulan

Fenomena pemuliharaan bangunan dan monumen adalah suatu perkara yang baru dan mungkin asing bagi sesetengah masyarakat Malaysia dewasa ini. Walaubagaimanapun, segala usaha-usaha pemuliharaan bangunan dan monumen lama yang dilakukan oleh pihak-pihak penguasa tempatan, Jabatan Muzium dan badan-badan warisan patut diberi sokongan yang padu. Ini adalah kerana pemuliharaan bangunan dan monumen lama dapat dimanafaatkan oleh masyarakat dan negara melalui aspek-aspek kebudayaan, pelancongan dan pendidikan. Sehubungan itu, segala program pendidikan dan promosi pelancongan negara merupakan pendekatan yang amat penting ke arah meningkatkan lagi tahap kefahaman dan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap pemuliharaan bangunan dan monumen lama.