ASPEK EKONOMI DALAM SEKTOR PERHOTELAN BERCIRIKAN WARISAN SENI BINA DI MALAYSIA
oleh
Prof. Madya Dr. A. Ghafar Ahmad & Dr. Nurwati Badarulzaman
Kajian dibiayai sepenuhnya oleh Universiti Sains Malaysia
di bawah Geran Penyelidikan USM Jangka Pendek (November 2001)
Hotel
Puri, Melaka
Warisan seni
bina yang unik dan halus adalah di antara aset yang amat berharga kepada
kesinambungan identiti sejarah, bangsa dan budaya sejak zaman-berzaman. Bangunan
warisan iaitu bangunan lama dan bersejarah mampu mengimbau episod nostalgia yang
membawa kepada penubuhan masyarakat majmuk Malaysia. Bangunan warisan pernah
mengecap era kegemilangan pada suatu ketika dahulu. Namun, putaran masa dan
kecanggihan teknologi moden menyaksikan sesetengah bangunan warisan semakin
dilupakan, hilang fungsi asal dan kepentingannya sehingga reput dimamah usia.
Pengubahsuaian bangunan (adaptive re-use) adalah satu usaha yang murni
untuk memulihara dan memberi nafas baru kepada bangunan warisan. Langkah ini
adalah amat bertepatan dan wajar dialu-alukan demi untuk mempertahankan khazanah
bangsa dari terus hanyut ditelan masa.
Kajian ini melibatkan beberapa buah bangunan warisan di Malaysia yang telah dipulihara, diubahsuai dan diberi nafas baru untuk kembali berfungsi sebagai sebuah bangunan yang dihuni dan mendapat pulangan ekonomi yang baik iaitu pengubahsuaian menjadi hotel warisan. Kajian ini meneliti antara lain kesesuaian amalan mengubahsuai bangunan lama dan bersejarah menjadi hotel warisan, implikasi rekabentuk dan kewangan berhubung dengan amalan pengubahsuaian bangunan, dan tahap sambutan dan minat masyarakat Malaysia dan antarabangsa untuk menginap di hotel warisan berbanding dengan hotel konvensional yang lain. Sebanyak tujuh buah hotel warisan yang terletak di Pulau Pinang, Taiping, Ipoh, Kuala Lumpur dan Melaka telah dikenalpasti sebagai bahan kajian kes ini.
1. Hotel Cathay, Pulau Pinang
2. Hotel 1926, Pulau Pinang
3. Hotel Lagenda, Taiping, Perak
4. Hotel Majestic Station, Ipoh, Perak
5. Hotel Heritage Station, Kuala Lumpur
6. Hotel Cliseum, Kuala Lumpur
7.
Hotel Puri, Melaka
Kajian ini terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu (1) aspek rekabentuk hotel warisan termasuk ciri rekabentuk luaran dan dalaman bangunan, perkhidmatan bangunan, papan tanda, kemudahan hotel dan hiasan dalaman; (2) aspek pengurusan hotel warisan termasuk kos pengubahsuaian dan pola penginapan; dan (3) aspek persepsi tetamu yang menginap di hotel warisan. Hasil analisis daripada bahagian ini dapat mengenalpasti apakah kelebihan utama yang menjadi aset bagi hotel bercirikan warisan seni bina dalam menghadapi persaingan dalam industri perhotelan negara. Penemuan daripada kajian ini mendapati hotel bercirikan warisan seni bina sememangnya mempunyai potensi untuk terus berkembang dalam industri perhotelan negara. Majoriti para pengusaha hotel bercirikan warisan seni bina termasuk para penginap hotel berpendapat hotel warisan mempunyai daya tarikannya yang tersendiri berbanding dengan hotel konvensional yang lain. Rekabentuk luaran hotel warisan yang unik dan klasik, serta rekabentuk dalamannya yang mempesonakan menyebabkan ramai pelancong asing dan tempatan berminat untuk bermalam di sini. Pada masa hadapan pihak kerajaan dan pemilik hotel warisan wajar bergabung tenaga melipatgandakan usaha untuk terus mempromosikan hotel warisan di mata dunia.