Back to Main Page

 PEMULIHARAAN  BANDAR  WARISAN   UNTUK  PEMBANGUNAN

PELANCONGAN: KAJIAN  KES  MELAKA &   KOTA  BAHRU

  oleh

 Dr. A. Ghafar Ahmad

 Kajian dibiayai sepenuhnya oleh USM di bawah peruntukan Geran Penyelidikan IRPA Jangka Pendek (Disember 1997)

malacca.jpg (17262 bytes)

Sungai Melaka, Melaka

  Abstrak Kajian: 

Pemuliharaan bandar boleh disifatkan sebagai penjagaan dan pengekalan warisan bandar daripada dimusnah atau diubah tanpa perancangan, pengawalan dan pengurusan yang sempurna lagi sistematik. Dalam konteks sebuah bandar warisan, fakta sejarah dan latarbelakang serta peninggalan seni bina memainkan peranan yang penting di dalam memajukan industri pelancongan. Ini adalah kerana fakta sejarah dan latarbelakang sesuatu tempat, kawasan atau bangunan dapat memberikan maklumat yang berguna kepada para pelancong mahupun generasi akan datang. Maklumat ini menjadi lebih kukuh lagi dengan adanya kesan dan bahan peninggalan sejarah seperti bangunan lama, kota atau kubu, monumen dan artifak.

Tujuan utama kajian ini ialah mengkaji hubungkait di antara konsep pemuliharaan bandar dengan pembangunan pelancongan tempatan. Selain daripada mendalami konsep pemuliharaan bandar, kajian ini juga menyentuh aspek-aspek pembentukan imej bandar dan pemasaran pelancongan. Dua buah bandar warisan, iaitu Bandar Melaka dan Kota Bharu telah dipilih sebagai bahan kes di dalam mencapai tujuan utama kajian ini. Kaedah pengamatan imej bandar yang diperkenalkan oleh Kevin Lynch telah diaplikasikan dalam kajian kes Bandar Melaka dan Kota Bharu. Selain daripada itu, aspek pelancongan juga dibincangkan dalam kajian ini. Industri pelancongan yang kian berkembang di Malaysia telah menjadikan bandar-bandar warisan sebagai produk pelancongan yang amat berharga. Faktor budaya yang unik juga dianggap sebagai produk pelancongan yang menarik terutamanya di kalangan para pelancong. Kajian ini juga membincangkan kepentingan pemuliharaan bandar kepada negara dan generasi akan datang.

Hasil penemuan kajian adalah seperti berikut:

Fakta sejarah dan latarbelakang perkembangan Bandar Melaka dan Kota Bharu merupakan bahan maklumat yang menarik dalam setiap persembahan produk pelancongan.

Budaya masyarakat tempatan yang terdapat di Bandar Melaka dan Kota Bharu mempunyai keunikannya yang tersendiri yang menambat hati para pelancong.

Bandar Melaka dan Kota Bharu mempunyai pelbagai produk pelancongan dari monumen dan bangunan bersejarah hingga ke aktiviti perniagaan dan barangan kraftangan.

Kawasan pemuliharaan seperti Zon Budaya di Kota Bharu dan Zon Melaka Lama di Bandar Melaka adalah baik untuk menggalakkan pembangunan pelancongan.

Laluan pejalan kaki di bandar warisan seperti Bandar Melaka dan Kota Bharu dapat mengelakkan gangguan gegaran kenderaan berat terhadap bangunan lama.

Pengurusan pelancongan termasuk persembahan produk, paparan maklumat pelancongan, pengurusan kewangan dan strategi pemasaran pelancongan oleh pihak awam dan swasta adalah amat penting untuk pembangunan bandar warisan.