PERANCANGAN DAN PENGURUSAN PELANCONGAN BERTERASKAN WARISAN SEJARAH DAN SENI BINA DI MALAYSIA
oleh
Prof. Madya Dr. A. Ghafar Ahmad & Dr. Nurwati Badarulzaman
Kajian dibiayai sepenuhnya oleh Universiti Sains Malaysia
di bawah Geran Penyelidikan USM Jangka Pendek (April 2004)
Kajian
Perancangan dan Pengurusan Pelancongan Berteraskan Warisan Sejarah dan Seni
Bina Di Malaysia ini memberi fokus utama kepada sektor pelancongan warisan
sebagai salah satu produk pelancongan yang berpotensi untuk dimajukan setanding
dengan produk pelancongan yang lain di Malaysia seperti alam semulajadi, syurga
membeli-belah dan budaya tempatan. Pelancongan warisan yang semakin penting di
negara barat dan Asia telah membuka cabaran baru kepada produk warisan Malaysia
untuk turut ditonjolkan di mata dunia. Persoalan asas kajian ini adalah sama ada
tapak warisan di Malaysia mempunyai keistimewaan dan keunikan untuk memikat para
pengunjung atau pelancong tempatan dan luar negara.
Kajian
ini mengupas persoalan dasar tersebut secara terperinci melalui kaedah kajian
kes. Sebanyak 11 buah lokasi tapak warisan yang penting di Malaysia dikenalpasti
bagi kajian ini termasuk Makam Mahsuri, Langkawi; Muzium Arkeologi Lembah Bujang,
Kedah; Fort Cornwallis, Pulau Pinang; Bukit Bendera, Pulau Pinang; Kellie’s
Castle, Perak; Kompleks Sejarah Pasir Salak, Perak; Istana Kenangan, Perak;
Kompleks Kota Ngah Ibrahim, Perak; Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka;
Muzium Sarawak, Sarawak; dan Kompleks Bersejarah Chimney, Wilayah Persekutuan
Labuan. Kajian ini meliputi tiga aspek utama iaitu kajian pengamatan di tapak;
soalselidik para pengunjung ke tapak warisan dan sesi temubual dengan pihak
pengurusan tapak warisan tersebut.