Pengenalan

Sejak Jun 1998, Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan (PBP) telah melaksanakan beberapa initiatif untuk menggalakkan kegunaan teknologi maklumat (IT) di kalangan kakitangan akademik dan pelajar di PBP.  Satu daripada usaha yang telah mendapat sambutan yang amat baik di kalangan kakitangan akademik dan pelajar ialah penggunaan teknologi laman web.

Ramai pensyarah di PBP kini mengendalikan Sub-Web masing-masing untuk menyebarkan maklumat berkaitan dengan kuliah termasuk pengumuman umum, nota-nota kuliah, kertaskerja seminar, latihan dan juga penyerahan tugasan secara elektronik.  Perlu dititikberatkan bahawa semua pensyarah mengendalikan Laman Web masing-masing tanpa bantuan staf teknikal atau jurutaip.  Mereka hanya diberi "tutorial" pada peringkat awal untuk menyakinkan mereka terhadap faedah dan mudahnya mengguna teknologi Laman Web.

Pelajar-pelajar PBP kini dapat memperolehi nota-nota kuliah dan menyerahkan tugasan secara elektronik.  Mereka juga telah mula mengadakan perbincangan dalam forum elektronik sebagai suatu media untuk mempertingkatkan kemahiran mereka dalam perbincangan akademik.

 

Status Sekarang Dalam Penggunaan Teknologi Laman Web Di PBP

Kini, teknologi laman web digunakan untuk urusan-urusan berikut :

Nota Kuliah  -  Pensyarah kini boleh menerbitkan nota kuliah serta bahan-bahan lain dari bilik masing-masing ke HBP Web Server (yang terletak di Makmal IT PBP) melalui Rangkaian Tempatan USM (USMNet).  HBP Web Server telah dilengkapi dengan Frontpage 98 Server Extension dan pensyarah boleh mengguna Frontpage 98 dari PC di bilik mereka untuk terus menerbit dan menguruskan sub-web masing.  Sekuriti ke sub-web adalah melalui kaedah Windows NT Challenge-and-Response (ia itu suatu sistem sekuriti yang amat kukuh).  Kini 2 daripada pensyarah PBP telah mula menerbit dan mengurus sub-web mereka dari luar kampus (rumah kediaman) melalui Jaring dan TMNet.   Dengan ini, PBP telah menuju ke arah telework dan kampus tanpa sempadan.
Laporan Elektronik  -  Penyediaan laporan dalam bentuk elektronik sebenarnya telah lama berlaku di PBP dan ini termasuk penyerahan laporan dan tugasan dalam berbagai bentuk dengan diskette.  Kini pelajar PBP diberi peluang untuk menulis dan seterusnya serahkan laporan mereka ke HBP Server dengan mengguna teknologi laman web juga. Kemahiran menulis dan menerbit secara elektronik amat penting untuk generasi pekerja masa depan ("knowledge workers")..
"Electronic Dropboxes"  -  Selain penerbitan terus ke HBP Web, kotak elektronik juga telah disediakan di HBP Server untuk penyerahan tugasan oleh pelajar dengan FTP (File Transfer Protocol).  Tugasan itu mungkin dalam bentuk laporan atau pun projek pangkalan data, CAD, GIS dan lain-lain.
Kongsi Sumber  -  Hasil projek pelajar (serta pensyarah) termasuk CAD, GIS dan Pengkalan Data serta laporan-laporan boleh diperolehi dari HBP Web Server.  Diharapkan hasil projek ini boleh dipertingkatkan lagi oleh pelajar masa depan sehingga tahap yang cemerlang dan mantap.
Forum Elektronik  -  HBP Forum telah diguna oleh kursus undang-undang perancangan sebagai sesuatu media untuk membawa inovasi kepada pembelajaran.   Perbincangan yang dijalankan di Forum tersebut akan dapat membuka pandangan pelajar terhadap issue-issue dan pendirian yang mungkin bertentangan.
Maklumbalas  -  Sebagai suatu pertubuhan yang peka kepada kehendak dan pandangan "pelanggannya", PBP telah sediakan kemudahan untuk mendapat maklumbalas, terutamanya daripada pelajar.  Penerangan dapat diberi terhadap keraguan berkaitan dengan kaedah dan objektif kursus atau projek.
Belajar Teknologi Web di Laman Web HBP -  Satu innovasi di HBP Web ialah pelawat boleh belajar bagaimana mereka sediakan suatu laman web yang serupa.  Kelebihannya ialah pelawat dapat lihat bagaimana sesuatu kemudahan itu sebenarnya berfungsi manakala buku tercetak dapat menerangkan sahaja.

 

Faedah Mengguna Laman Web

Kelebihan laman web ialah ia amat mudah untuk difahami dan diuruskan.  Sesiapapun boleh mengendalikan laman web tanpa kemahiran dalam pengaturcaraan komputer.  Maka ia sungguh menarik kepada pensyarah-pensyarah yang ingin berkecimpung di dalam dunia IT tetapi belum lagi yakin boleh mengendalikan sistem komputer atau perisian yang selalunya dianggap susah (computerphobia).  Dengan pengalaman daripada mengguna IT ini, diharapkan kakitangan akademik ini akan terus mencuba teknologi maklumat yang lain.
Penerbitan dalam laman web akan memudahkan pencarian maklumat (information retrieval) oleh pelajar.  Dari seluruh dunia, sesiapa pun boleh guna search engine untuk mencari maklumat yang dikehendaki dan maklumat itu boleh dibaca oleh ramai orang secara serentak.
Penerbitan dalam Laman Web menetapi sasaran USM dalam era globalisasi.  Bahan-bahan kuliah PBP kini boleh diperolehi oleh pelawat dari seluruh dunia.
Penerbitan tercetak mengambil masa yang panjang tetapi dengan laman web, sebaik sahaja pensyarah siapkan bahagian-bahagian tertentu, beliau boleh terbitkannya untuk faedah pembaca.  Sebarang pindaan juga dapat diterbitkan dengan cepat.   Dalam dunia akademik, sesuatu buku ilmiah biasanya mengambil masa yang panjang untuk ditulis, dikritik, diulas dan seterusnya dipinda.  Dengan laman web, pensyarah boleh terbitkan tulisan ilmiah mereka untuk mendapat ulasan daripada pelajar atau pun pelawat lain dan seterusnya mantapkan karya mereka.
Penggunaan teknologi oleh pensyarah boleh meringankan kerja mereka terutamanya untuk memenuhi permintaan pelajar untuk nota-nota kuliah tercetak.   Ia juga boleh jimat perbelanjaan universiti daripada segi kos kakitangan dan bahan-bahan untuk mengeluarkan nota tercetak.
Hasil yang diterbitkan oleh pensyarah sendiri akan memberi kepuasan kepada pensyarah (job satisfaction) itu dan seterusnya mendorong beliau untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang mereka.  Ia juga boleh menjadi contoh kepada pensyarah lain.
Penerbitan nota kuliah serta hasil kerja pelajar di Web Server akan menambahkan isikandungan web (Web content) daripada masyarakat Malaysia untuk faedah seluruh dunia.
Akhir sekali, penggunaan laman web untuk pengajaran dan pembelajaran mempertahankan pelaburan beberapa Juta Ringgit yang telah dan akan digunakan untuk USMNet.

10 November 2003 12:33:45