SARJANA SAINS SENI BINA LANDSKAP

(M.Sc. in Landscape Architecture)

________________________________________________________________

PENGENALAN

Landskap

Bidang landskap ialah satu bidang yang berkaitan dengan pengajian sains dan seni dan ianya adalah satu profesion yang menekankan pertalian di antara alam binaan dan alam tabie dengan mengambilkira kedua-duanya dalam konteks penghidupan manusia sejagat. Dari segi pentakrifan bidang ikhtisas rekabentuk landskap bolehlah ditakrifkan sebagai 'seni dan sains mengubahsuai kawasan persekitaran dengan mengatur dan mengambilkira unsur-unsur semulajadi, tumbuhan serta binaan mengikut suatu rancangan estetik dan teknik yang menyeluruh'. Peranan arkitek landskap (landscape architect) akan menjadi bertambah penting dengan pemesatan proses urbanisasi dalam tekad kerajaan mencapai matlamat wawasan 2020.

Pengajian Landskap

Sebagai pengajian yang menggabungkan unsur-unsur 'seni dan sains', landskap adalah salah satu profesion yang memerlukan kefahaman saintifik dan seni dalam mewujudkan alam bina bagi penghidupan manusia. Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1995 (pindaan), telah menekan pentingnya peranan yang akan dimainkan oleh bidang landskap dalam proses pemajuan. Malah Jabatan Landskap Negara baru sahaja ditubuhkan oleh kerajaan atas sebab kesedaran ini. Pihak berkuasa perancang tempatan di Malaysia memandang serius terhadap pentingnya pelan-pelan landskap dikemukakan bagi mana-mana projek yang hendak dimajukan sebelum kebenaran menjalankan kerja-kerja tanah dimulakan. Namun demikian pelaksanaan peraturan ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya disebabkan kekurangan kakitangan yang terlatih sebagai seorang arkitek landskap yang profesional sama ada di pihak swasta atau kerajaan. Keperluan pakar dalam bidang landskap tidak dapat dinafikan pada masa kini dengan kepesatan pembangunan yang tinggi dipelbagai sektor - perumahan, industri, perhutanan, lebuh raya, perlombongan, pelancongan dan taman-taman rekreasi. Pengetahuan pelbagai disiplin amatlah penting dalam mewujudkan seorang pakar dalam bidang landskap dan ini telah sedia terdapat di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia. Kekuatan Pusat Pengajian ini dalam pelbagai disiplinnya akan mengukuhkan lagi pengajian bidang landskap yang tidak terdapat di Universiti-Universiti atau Pusat Pengajian Tinggi yang lain. Di samping itu juga, keistimewaan kursus landskap di sini mengambilkira kaedah pengajaran yang dapat diambil dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, dan juga Taman Botanikal Pulau Pinang yang terkenal di negara ini, yang sudah tentu akan memantapkan lagi pengajian landskap yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian ini.

Landskap dan Pembangunan

Bidang landskap adalah penting dalam proses pembangunan kawasan-kawasan kediaman, komersial, industri dan rekreasi. Ini jelas terbukti dengan perkembangan kawasan-kawasan pembangunan yang meningkat pada kadar 35 peratus (%) setahun. Jika pembangunan ini tidak dikawal dengan pengindahan landskap yang sempurna, ia akan mewujudkan suatu suasana alam sekitar tandus, kering dan tidak bermaya. Justeru itu perancangan, rekabentuk dan pengurusan landskap yang profesional akan menampilkan suasana persekitaran bagi penghidupan manusia sejagat secara lebih inovatif dan berdaya maju. Pengajian landskap antara lain merangkumi isu guna tanah dan perancangan alam sekitar, perancangan dan rekabentuk tapak dan permasalahan tanah dan pengurusan landskap.

Profesion Arkitek Landskap

Keterbatasan pemahaman profesion arkitek landskap pada suatu masa dahulu kini telah mula menampakkan keperluannya pada masa kini. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, para arkitek landskap biasanya sejak awal-awal lagi menjadi ahli integral kepada pasukan ikhtisas yang bertanggungjawab merancang, merekabentuk dan melaksanakan projek-projek pembangunan. Peranan serta sumbangan para arkitek landskap, dalam keseluruhan perancangan dan merekabentuk alam sekitar adalah mustahak. Namun begitu, senario tersebut di Malaysia adalah agak berlainan. Pada suatu ketika dahulu, peranan para arkitek landskap tidak langsung diambilkira dan diberi tempat dalam keseluruhan merancang, merekabentuk dan melaksanakan projek-projek pembangunan alam sekitar.

Landskap dan Industri Binaan

Industri Binaan dijangka berkembang pada kadar purata 8 peratus setahun sehingga 2020. Jangkaan ini selari dengan hasrat kerajaan supaya Malaysia menjadi negara maju pada tahun tersebut.

Dalam masa lima tahun yang akan datang, industri pembinaan akan berkembang dengan begitu rancak. Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh, telah dijangkakan bahawa 16,100 km jalan akan dibina; 800,000 rumah akan didirikan; pelaburan di dalam industri pembuatan dijangka mencecah RM110 billion; pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia diramalkan meningkat sebanyak 9.6 peratus setiap tahun sehingga mencapai 12.5 juta orang pada tahun 2000; dan sejumlah RM2.6 billion akan dibelanjakan untuk meningkat perkhidmatan kesihatan negara. Projek-projek besar seperti Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang memberi penekanan yang amat tinggi kepada persekitaran. Justeru itu, permintaan untuk kepakaran bidang landskap akan meningkat bagi tahun-tahun yang akan datang.

Pembangunan landskap di Malaysia berkembang dengan kadar yang begitu cepat sekali. Pembangunan industri binaan yang juga berkembang dengan begitu pesat telah juga memungkinkan profesion ini mendapat kesan limpahan walaupun terpaksa menghadapi keterbatasan yang tertentu.