Pengaruh Teknologi Maklumat Ke Atas Kehidupan Di Bandar

oleh

Ho Lip Wah

Pengenalan

Teknologi maklumat boleh ditakrifkan sebagai sebarang kaedah yang digunakan untuk memindah, menyebar dan memapar maklumat. Maklumat tersebut boleh wujud dalam pelbagai bentuk samada bentuk fizikal contohnya kertas dan buku, bentuk suara, paparan visual, pergerakan atau dalam bit. Perkembangan teknologi maklumat telah mencapai suatu tahap di mana ia mula menampakkan pengaruh tertentu di dalam kehidupan manusia terutamanya penduduk bandar. Pada asalnya, teknologi ini wujud sebagai satu perantaraan untuk mengedarkan pelbagai jenis maklumat untuk tujuan yang berlainan. Contohnya bagi pengiklanan, pemberitahuan, telekomunikasi dan sebagainya.

Peranannya sebagai agen perubahan tidak pernah berkurang tetapi semakin bertambah lebih-lebih lagi dengan kewujudan komputer. Dewasa ini, ia telah berevolusi kepada bentuk yang menampakkan pengaruh yang lebih mendalam ke atas kehidupan manusia. Contohnya penggunaan rangkaian ‘internet’ telah dan berupaya menyebabkan perubahan yang besar ke atas aspek fizikal, ekonomi dan sosial melalui globalisasi serta berkembangnya modal antarabangsa kapitalis. Teknologi maklumat akan membezakan sebuah negara maju dengan sebuah negara sedang membangun(Arun, 1999).

Aspek fizikal yang dimaksudkan di atas termasuklah corak penggunaan ruang bandar, rangkaian lalulintas dan pengangkutan, ruang ‘virtual’ dan sebagainya. Di samping itu, aspek sosial pula meliputi cara dan corak berinteraksi, pergerakan manusia, aktiviti manusia, cara hidup manusia, kualiti hidup manusia, taraf kesihatan manusia dan lain-lain. Selain itu, rangkaian ‘internet’ juga membolehkan pelbagai urusan perniagaan dijalankan secara ‘digital’ dan ini mempunyai implikasi yang besar terhadap proses pembandaran pada masa akan datang.

Salah satu kesan yang ketara adalah pergantungan kepada bekalan elektrik. Ini adalah kerana tanpanya segala peralatan teknologi maklumat tidak dapat berfungsi, kecuali jenis yang menggunakan tenaga alternatif misalnya tenaga solar, angin, ombak, biojisim dan sebagainya. Namun pergantungan yang lebih membimbangkan adalah dari segi kuasa ekonomi melalui pemindahan modal antarabangsa dalam jumlah yang besar. Ini seterusnya akan mempengaruhi corak gunatanah sesebuah bandar.

Gunatanah kawasan bandar dipercayai akan mengalami perubahan yang ketara. Misalnya lebih banyak kawasan hijau dapat dikekalkan atau dibekalkan berbanding dengan tempat letak kereta. Maknanya isipadu perjalanan boleh digantikan dengan aliran elektrik atau cahaya. Ini dapat mengurangkan tahap pencemaran bandar. Namun begitu, secara sosial manusia masih perlu menjalankan aktiviti tertentu yang tidak mungkin dapat digantikan oleh teknologi maklumat misalnya makan, rehat, berekreasi, bersukan dan sebagainya. Perubahannya cumalah dari segi cara aktiviti tersebut dijalankan dan apakah batasan serta halangan yang wujud akibat gelombang maklumat yang mempengaruhinya.

Justeru itu, memandangkan terdapat pelbagai perubahan besar yang akan berlaku hasil perkembangan teknologi maklumat maka kertas kerja ini akan cuba membincangkan perubahan semasa serta isu utama yang berkaitan dengannya.

Rangka Kerja Teoritikal

Teori Klasik Lepas-Industri(Classical Theory Of Postindustrialism)

Teori ini mengabungkan tiga pernyataan :

  1. Sumber produktiviti dan pertumbuhan bergantung kepada pengwujudan pengetahuan yang dilanjutkan kepada aktiviti ekonomi melalui pemprosesan maklumat.
  2. Aktiviti ekonomi akan berganjak daripada pengeluaran barangan kepada pembekalan perkhidmatan. Pelumpuhan pekerjaan pertanian akan diikuti oleh pengurangan dalam pekerjaan pembuatan dan ini akan menjadikan pekerjaan perkhidmatan lebih penting. Lebih maju sesebuah ekonomi, lebih banyak pekerjaan dan pengeluarannya akan menumpu kepada perkhidmatan.
  3. Ekonomi baru akan meningkatkan kepentingan pekerjaan yang melibatkan pengetahuan dan maklumat yang tinggi. Bidang pengurusan, profesional dan pekerjaan teknikal akan bertumbuh dengan lebih cepat berbanding dengan pekerjaan lain dan ia akan menjadi pekerjaan utama dalam struktur sosial yang baru.

Teori ini menumpukan perbezaan di antara dua bentuk industri berasaskan pengetahuan, pertanian dan pengeluaran perkhidmatan. Isunya, masyarakat akan berpengetahuan, bukan kerana mereka sesuai dalam satu model struktur masyarakat, tetapi kerana mereka menyusun sistem pengeluaran mereka berpandukan prinsip memaksimakan pengeluaran berasaskan pengetahuan, melalui pembangunan dan penggunaan teknologi maklumat.

Selain itu, teori ini juga mengutarakan anjakan kepada industri perkhidmatan dan pengurangan dalam pembuatan. Namun ini dikritik sebagai andaian yang terlalu ringkas tanpa melihat hubungan di antara pembuatan dan perkhidmatan. Justeru itu, ia mencadangkan industri perkhidmatan wujud dalam ekonomi yang berlainan dan sukar difahami. Seterusnya, teori ini juga menyentuh pengembangan pekerjaan yang berkait dengan pengetahuan contohnya pengurusan, profesional dan pekerjaan teknikal.

Ini seterusnya membawa kepada perbincangan bahawa, sejajar dengan pengembangan pekerjaan tersebut, pekerjaan berkemahiran rendah juga akan wujud. Dalam lain perkataan, masyarakat maklumat(information society) yang maju boleh mempunyai ciri-ciri pengasingan struktur sosial yang semakin meningkat. (Castells, 1996).

Teori Sosial Reruang dan Teori Pergerakan Ruang(Social Theory Of Space and Theory Of Space Flow)

Ruang merupakan luahan masyarakat. Memandangkan masyarakat sedang mengalami perubahan struktur, bentuk dan proses reruang baru akan muncul. Ruang bukanlah cerminan masyarakat tetapi luahan masyarakat. Justeru itu, ruang tersebut merupakan masyarakat. Menurut teori sosial, ruang adalah bahan sokongan tindakan sosial yang berdimensikan masa, membawa simbol tertentu.

Masyarakat terbentuk melalui aliran modal, aliran maklumat, aliran teknologi, aliran interaksi organisasi, aliran imej, suara dan simbol. Aliran tersebut bukan hanyalah salah satu elemen organisasi sosial, ia adalah luahan proses dominasi ekonomi, politik dan simbolik hidup kita. Justeru itu, wujudlah satu bentuk reruang baru yang membawa ciri-ciri tindakan sosial, yang akan menentukan masyarakat rangkaian maklumat. Reruang yang dimaksudkan adalah ruang aliran(Castells, 1996).

Pengaruh Teknologi Maklumat

Pengangkutan

Pengangkutan Jalan

Bayangkan anda sedang duduk di dalam kenderaan yang berhalaju 120 batu sejam di atas lebuhraya yang padat. Anda menghadapi masalah jerebu namun pengendali kenderaan di lorong sebelah telah tertidur sedangkan anda sedang menonton televisyen. Pelik? Terkejut? Sebenarnya anda agak selamat, anda sedang memandu kenderaan bistari dalam Lebuh-Raya Bersistem Automasi(LBA) masa depan yang berupaya mengurangkan 1.2 juta pelanggaran setiap tahun, menyelamatkan beribu-ribu nyawa, serta menjimatkan berjuta-juta ringgit akibat kemalangan.

Namun isu timbul merujuk kepada penerimaan masyarakat terhadap sistem sebegini. Sediakah mereka melepaskan pemanduan kenderaan secara bebas dan serahkan tugas tersebut kepada komputer. Seperti yang diketahui umum, komputer kadangkala gagal, kegagalannya dalam sistem ini akan mencetuskan kemalangan yang boleh dimasukkan dalam rekod antarabangsa.

Walaubagaimanapun, bukan senang untuk mewujudkan lebuh-raya bersistem automasi tersebut, Amerika Syarikat telah memulakan penyelidikan dan pembangunan sejak 1991 dan ia masih dalam proses. Untuk menyokong lebuh-raya tersebut, pelbagai teknologi diperlukan untuk memandu kenderaan dan mengawal sistem lalulintas; Sistem Pengangkutan Pintar, sesetengah teknologi ini telah dipasarkan dewasa ini.

Selain itu, Kenderaan Pintar diperlukan untuk membantu pengendali dalam pengendalian kenderaan, persekitaran dan memberi amaran terhadap masalah kesesakan. Salah satu elemen kenderaan pintar adalah Anti Lock Braking System(ABS) yang menghalang tayar kenderaan mengunci dirinya dalam keadaan perhentian panik.

Di samping itu, salah satu elemen penting untuk mewujudkan LBA adalah Sistem Kedudukan Global. Dengan wujudnya sistem ini, peta tidak lagi diperlukan, sistem ini akan menentukan jalan yang paling pendek serta cepat dan memandu kenderaan anda ke destinasi yang telah ditentukan anda. Dewasa ini, Sistem Pemanduan Kenderaan telah mula dipasarkan di Amerika Syarikat.

Untuk melengkapkan lagi LBA, Sistem Pengurusan Kesesakan diperlukan untuk mengenalpasti kesesakan. Antara tahun 1985 dan 1994, bandar Lexington, Kentucky telah menggunakan sistem lalulintas berkomputer untuk mengurangkan lalulintas henti-jalan sebanyak 40% serta mengurangkan pelanggaran sebanyak 30%(Meyer, 1999).

Namun LBA dikritik akan memburukkan lagi masalah kesesakan dalam jangka panjang. LBA direkabentuk untuk mengurangkan kesesakan dengan cara mengerakkan kenderaan secara lebih padat. Dengan itu, ia seakan-akan menambahkan lorong dalam lebuh-raya. Namun penambahan ini hanya boleh menyelesaikan masalah kesesakan dalam jangka pendek. Secara logiknya, apabila lorong menjadi banyak, ia akan menggalakkan lebih banyak penggunaan kenderaan. Sekiranya LBA membawa kepada pengembagan keupayaan menampung kenderaan yang tinggi maka kita akan kembali kepada masalah asal kesesakan.

Pengangkutan Udara

Sekiranya lalulintas udara terus meningkat pada kadar dewasa ini, pada tahun 2010, ia akan sampai kebarangkalian satu kemalangan utama setiap minggu. Dalam kes ini, teknologi maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting untuk memastikan keselamatan yang lebih, berkait dengan rekabentuk, juruterbang, sistem pemanduan dan lalulintas udara(Meyer, 1999)

 

Pengangkutan Laut

Dengan wujudnya Emergency Position Indicating Radio Beacons(EPIRB), pelayar-pelayar dengan mudah boleh menghantar isyarat kecemasan sekiranya timbul sebarang masalah. Kedudukan pelayar tersebut akan ditentukan melalui Sistem Kedudukan Global dan bantuan akan dihantar secepat mungkin. Namun masalah komputer seperti Y2K boleh memberi pengaruh negatif terhadap sistem tersebut. Kecacatan ataupun dilemma komputer tersebut boleh mencacatkan sistem kedudukan global dan menyebabkan kapal-kapal menghadapi masalah penentuan lokasi(Star, 21-8-1999).

Pendidikan

Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran

Komputer boleh direkabentuk supaya ia dapat membantu pelajar secara individu dan secara berkumpulan. Ini dapat dijalankan dengan menggunakan Arahan Program, pelajar akan diajar mengikut kadar dan tahap yang boleh diterima oleh mereka. Ini adalah penting supaya pelajar tidak tercicir dan putus asa. Merujuk kepada sistem pendidikan konvensional, kesemua pelajar terpaksa mengikuti sistem yang berlangsung tanpa mengambil kira samada mereka dapat mengikuti pelajaran tersebut. Justeru itu, arahan program dapat memberi peluang terutamanya kepada golongan pelajar "lemah" untuk membaiki kelemahan dia.

Dalam arahan program ini, pelajar akan mengikuti langkah-langkah tertentu dalam pembelajaran dia, langkah tersebut akan diteruskan asalkan pelajar dapat memberi jawapan yang sesuai dan boleh diterima. Namun sekiranya jawapan tersebut tidak memuaskan, dia akan dipandu kepada langkah terdahulu dan ditunjukkan bahan rujukan yang berkaitan bagi memperbaiki kelemahan tersebut. Pengajaran sedemikian biasanya tidak dijalankan di dalam kelas yang terdiri daripada ramai pelajar, tambahan pula pelajar Asia yang kurang bertanya akan memburukkan lagi proses pembelajaran pelajar.

Selain itu, pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Tren semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.

Justeru itu, sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi asas pada awal persekolahan dan menggunakan teknologi maklumat pada masa yang sama. Dengan itu, pelajar mempunyai kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan teknologi maklumat atau cara konvensional sesuai dengan keadaan tertentu.

Reformasi Sistem Persekolahan

Cara pengajaran konvensional di Amerika Syarikat misalnya memberi kuliah didapati tidak mendatangkan keputusan yang baik. Ini adalah kerana pelajar hanya duduk dan mendengar kuliah tersebut tanpa penyertaan yang menggalakkan. Ini merupakan senario yang kerap di dalam USM sendiri terutamanya dalam kuliah sarjana muda. Walaupun terdapatnya usaha pensyarah untuk menggalakkan penyertaan pelajar namun penyertaan yang diharapkan adalah amat kurang.

Namun dengan wujudnya rangkaian maklumat yang membolehkan pelajar memberi pandangan dan maklum balas secara rawak dan dengan cepat maka penyertaan tersebut akan mempunyai kadar yang lebih tinggi. Alasan seperti tidak dapat berjumpa dengan pensyarah akan dihapuskan sama sekali memandangkan faktor masa dalam rangkaian maklumat tidak sama dengan masa sebenar. Menurut teori pergerakan ruang, ruang aliran akan menentukan masyarakat rangkaian maklumat. Segala maklumat yang disalurkan merupakan penyebab yang secara kumulatif menjanakan ruang tersebut. Aktiviti menghantar dan menerima maklumat tersebut merupakan tindakan sosial yang dibawa dalam ruang aliran. Asalkan seseorang peka terhadap rangkaian tersebut, segala maklumat dan maklum balas akan dapat disampaikan mahupun diterima.

Perubatan

Membantu Golongan Yang Memerlukan Bantuan Khas

10 daripada 100 orang adalah cacat. Di Amerika Syarikat, 20 juta orang cacat mengalami halangan dalam kehidupan harian mereka(Meyer, 1999). Bagi golongan ini, teknologi maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting dalam memberi kebebasan kepada mereka. Contohnya kewujudan program yang berupaya membaca teks dapat membantu orang buta berkomunikasi tanpa bantuan keluarga, rakan-rakan dan pekerja lain atau mesin rekod suara.

Selain itu, komputer juga memberi peluang sosial baru kepada orang cacat melalui penggunaan internet, irc serta icq dan lain-lain program. Mereka tidak perlu pergi ke kawasan bandar untuk bertemu atau berkenalan. Mereka juga tidak perlu melalui pengalaman pahit di dalam bandar yang tidak direka untuk mereka. Di samping itu, terdapat rangkaian yang dikhaskan untuk mereka berkenalan dan bergaul dengan golongan yang sama di mana sebelum ini tiada seluran yang begini mudah. Mesyuarat boleh dijalankan bila-bila masa asalkan seseorang mempunyai talian telefon, komputer serta modem.

Tele-Perubatan

Dalam keadaan tertentu, pesakit sebenarnya tidak perlu berjumpa dengan doktor. Ini adalah kerana dalam kebanyakan kes, doktor cuma memeriksa pesakit melalui sintom yang diberitahu oleh pesakit sendiri. Justeru itu, suatu program yang menyeluruh dan sentiasa diperbaiki adalah memadai untuk menggantikan tugas sedemikian. Britain telah menggunakan sistem sedemikian untuk mengurangkan beban doktor(Laver, 1989). Doktor seharusnya menumpukan perhatian dalam kes yang serius yang mana pesakit tidak dapat memeriksa sebarang sintom.

Namun kesahihan sistem sedemikian akan sentiasa dipertikaikan akibat faktor-faktor keselamatan, kepercayaan, psikologi dan sebagainya. Selain itu, kos pelaksanaan sistem sedemikian juga amat tinggi kerana ia perlu sentiasa dinaik taraf dan dinilai bagi memberikan tahap ketepatan dan kepercayaan yang tinggi. Di samping itu, pelaksanaan sistem sedemikian akan menggugat kesenangan golongan buta huruf untuk mendapatkan rawatan biasa memandangkan sistem tersebut cenderung mengurangkan atau menggantikan peranan klinik. Justeru itu, timbul pendapat bahawa ia hanya sesuai untuk tujuan farmasi sahaja di mana pesakit telah diberikan diskripsi ubat; dan menggunakan tele-perubatan cuma untuk mendapatkan ubat tersebut.

Walau bagaimanapun, penggunaan Smart Card akan melengkapkan lagi sistem tersebut memandangkan kesemua maklumat peribadi pesakit termasuk sejarah perubatan telah dikodkan. Namun kita tidak harus melihat bidang perubatan ditukarkan kepada sejenis industri. Perubatan sebagai perindustrian akan mencetuskan kesan mental yang buruk terhadap pesakit. Pesakit sebenarnya telah dibebankan dengan persekitaran hospital yang dipenuhi dengan pesakit-pesakit lain. Justeru itu, penggunaan teknologi yang keterlaluan akan menyebabkan hubungan doktor-pesakit hilang, ini akan menjanakan keadaan yang tidak menggalakkan dalam kes kesihatan yang serius.

Seni dan Hiburan

Digital

Dewasa ini, semakin banyak bahan-bahan ditukarkan kepada bit-bit dalam komputer. Penukaran ini akan mencetuskan perubahan yang besar dalam penggunaan ruang di bandar. Misalnya penduduk bandar tidak perlu berada di sesuatu lokasi tetapi dapat merasai situasi tersebut melalui internet. Kes yang sama berlaku terhadap perpustakaan, apabila lebih banyak teks ditukarkan dalam bentuk bit. Pelajar atau penduduk tidak perlu sampai ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan tersebut.

Penduduk bandar juga tidak semestinya pergi ke panggung wayang atau muzium untuk melihat filem atau khazanah negara. Kesemua ini memberi impak terhadap perancangan guna tanah kawasan bandar. Kesan langsung daripadanya adalah pengurangan dalam isipadu lalulintas yang disebabkan oleh aktiviti tersebut. Ini akan mengagihkan tanah bagi tujuan yang lain misalnya kawasan hijau atau taman-taman yang tidak dapat digantikan oleh teknologi maklumat.

Namun harus diingati bahawa dengan menukarkan bahan-bahan kepada bit-bit. Masalah cetak rompak akan lagi berleluasa. Bahan-bahan yang didigitkan kemungkinan besar akan menjadi tidak berharga. Ini adalah kerana ia boleh disalin dan dikeluarkan semula berkali-kali, berbeza dengan bahan-bahan sebenar yang akan berkurangan kuantitinya apabila digunakan.

Dunia Maya

Ia adalah satu sistem yang mensimulasikan alam nyata(reality). Alam nyata ditayangkan dalam bentuk imej, dalam dunia yang kelihatan seperti dunia nyata. Pengalaman dalam dunia maya bukan hanya menerusi skrin imej tetapi ia sendiri menjadi pengalaman kepada mereka yang berada di dalamnya(Castells, 1999). Kewujudan dunia maya akan membawa perubahan tertentu dalam cara hidup di bandar. Memandangkan ia begitu benar dan kadangkala dapat memuatkan ciri-ciri idealisme yang tidak terdapat dalam dunit nyata. ia merupakan satu ruang yang membolehkan penduduk membuat pilihan samada hendak memilih dunia maya atau dunia nyata untuk menjalankan aktiviti tertentu.

Contohnya seseorang yang ingin keluar bersiar-siar di bandar boleh memilih bandar nyata atau bandar maya. Bagi mereka yang ingin melihat bandar sebagai utopia maka dunia maya mampu memberi satu bandar sedemikian. Namun penggunaan dunia maya bukan hanya terhad kepada hiburan sahaja. Ia menjadi medan ujian bagi percubaan pengalaman yang seakan-akan benar. Misalnya ujian memandu kenderaan boleh dijalankan di dalam sebuah bilik tanpa menggunakan jalanraya sebenar. Dari segi perancangan pula, model-model boleh dihasilkan untuk menguji kesan perancangan terhadap sesebuah bandar. Seseorang boleh mencuba pengalaman di dalam bandar tersebut sebelum pelan susun atur diluluskan. Ini akan menambahkan lagi penilaian pelan tersebut.

 

Rekreasi

Dengan wujudnya teknologi maklumat yang membolehkan pemindahan maklumat dengan cepat dan tepat, kebanyakan pekerjaan boleh dijalankan di rumah. Ini bermakna waktu kerja yang lebih bebas serta pendek. Ini adalah kerana seseorang tidak perlu meluangkan masa untuk pergi ke pejabat, tersesak atas jalanraya, makan di luar dan sebagainya. Kesannya masa rekreasi penduduk akan bertambah dan ini akan mempengaruhi penawaran jenis perkhidmatan pada masa depan.

Perdagangan dan Perindustrian

Perdagangan Elektronik

Perdagangan elektronik ditakrifkan sebagai penggunaan telekomunikasi atau rangkaian yang luas untuk melaksanakan pemindahan kewangan. Menjelang tahun 2001, gedung membeli-belah berangkai(online shopping) dijangka akan menarik antara $3.5 hingga $6 juta di Amerika Syarikat(Meyer, 1999). Di Malaysia, gedung-gedung seperti Parkson, Sapura, 3Comm dan Biz.st telah menawarkan khidmat beli-belah berangkai. Rasionalnya adalah kadar penggunaan internet yang tinggi akan menggalakkan penawaran sedemikian. Pada tahun 1994, terdapat lebih kurang 500,000 pengguna yang berdaftar dengan Jaring dan TmNet(Star, 31-7-1999).

Dengan berkembangnya perkhidmatan sedemikian pada masa depan, pengguna tidak perlu melangkah keluar dari rumah untuk membeli-belah. Di samping itu, mereka boleh membeli-belah 24 jam sehari tanpa gangguan kesesakan, cuaca dan jurujual yang membosankan. Selain itu, lokasi juga tidak menjadi masalah kerana perkhidmatan yang dibekalkan akan menjamin pembelian tersebut dijalankan dengan senang. Halangan yang wujud cumalah kos penghantaran yang mahal bagi lokasi yang jauh.

Selain daripada aktiviti membeli-belah, rangkaian teknologi maklumat juga membolehkan aktiviti perbankan dan pasaran dijalankan. Ini akan memberi pengaruh yang besar ke atas guna tanah kawasan perdagangan pusat. Dewasa ini, aktiviti tersebut sentiasa berkait dengan kesesakan di lokasi perletakan bank atau bursa saham. Namun dengan adanya rangkaian maklumat yang membolehkan aktiviti tersebut dijalankan dengan selamat maka penduduk bandar dengan sukarela akan memilih rangkaian tersebut berbanding dengan cara konvensional yang tidak berkesan serta membazirkan masa dan tenaga.

Di samping itu, surat elektronik yang semakin tinggi kadar penggunaannya akan memberi pengaruh terhadap perkhidmatan pos serta sistem pengangkutan yang bersabit dengannya. Ia juga mengurangkan penggunaan kertas dan sampul surat. Ini merupakan satu langkah baik ke arah kemampanan hutan di dunia.

Isu-isu

Kolonialisme Elektronik

Kolonialisme elektronik merupakan pergantungan hubungan yang dibentukkan melalui import peralatan komunikasi, perisian asing, bersama-sama dengan jurutera, juruteknik dan protokol yang berkenaan. Kesemua ini secara tidak langsung membentuk satu siri norma asing, nilai dan jangkaan, dalam tahap yang berlainan, yang akan mengubah budaya serta proses sosialisasi tempatan. Kehilangan, penyesaran, anjakan dan pelupaan nilai-nilai tempatan menjadi sesuatu yang membimbangkan di negara dunia ketiga. Kolonialisme elektronik pada abad ke-20 dilihat sama dengan kolonialisme perdagangan pada abad ke-18 dan ke-19.

Kolonialisme perdagangan mengambil kesempatan ke atas buruh yang murah; ia melibatkan tenaga buruh secara fizikal untuk mengeksplotasikan sumber tempatan. Namun kolonialisme elektronik mengambil kesempatan ke atas minda manusia; tujuannya adalah untuk mempengaruhi perangai, tingkah laku, keinginan, kepercayaan, cara hidup, pandangan pengguna atau corak pembelian pengguna(McPhail, 1987).

Justeru itu, pengaruhnya amat kuat dan berupaya meninggalkan kesan yang mendalam untuk jangka masa yang panjang. Ini merupakan suatu ancaman sekiranya masyarakat kurang peka terhadap pergantungan tersebut malah mengagung-agungkan perkara yang tidak harus diagungkan.

Negara sedang membangun yang ingin bersaing pada masa depan perlu menceburi bidang teknologi maklumat. Dalam hal ini, Malaysia tidak dikecualikan. Malaysia ingin menjadi sebahagian daripada arena antarabangsa dan memainkan peranan yang lebih penting dalam mempengaruhi keputusan antarabangsa. Ini memaksa Malaysia mengambil bahagian dalam hubungan antarabangsa. Pada masa yang sama, Malaysia cuba menghindarkan kuasa antarabangsa di samping menjadi sebahagian daripada dunia, yang melibatkan interaksi yang amat dengan negara Barat. Negara Barat cenderung menyebarkan nilai budaya, politik dan kewangannya.

Inilah dilemma yang dihadapi Malaysia dalam pembangunan masa depan dan pemimpin negara sedar bahawa ini merupakan satu ancaman. Justeru itu, banyak pembangunan yang dijalankan dewasa ini lebih bercorakkan acuan pembangunan tempatan. Cabaran utama kerajaan dalam era teknologi maklumat adalah cara mengawal dan mengurus rangkaian teknologi maklumat supaya memanfaatkan penduduk serta negara dan bukan sebaliknya.

 

Cadangan

Cara pentadbiran yang lebih telus diperlukan bagi mendapatkan pandangan masyarakat melalui debat terbuka yang bebas. Dalam era teknologi maklumat, membuat keputusan dengan cepat merupakan salah satu faktor penting yang menjamin kejayaan sesebuah negara. Melalui saluran maklumat yang terbuka dan cepat, rakyat mampu menilai sebarang isu secara bersama dan ini adalah penting untuk menjanakan kuasa rakyat dalam menghadapi serta mengelakkan kolonialisme elektronik.

Pengetahuan dan Tanpa Pengetahuan

Terdapat ramalan yang mengatakan bahawa perkembangan teknologi maklumat akan membolehkan maklumat dan kemudahan komputer yang bernilai diwujudkan secara global. Ini dikatakan akan memanfaatkan kepentingan masyarakat kerana ia akan meningkatkan keupayaan penduduk dalam memahami, pengaruhi dan mencabar tindakan & dasar kerajaan serta koperasi besar yang mempunyai pengaruh ke atas kehidupan mereka(Laver, 1989).

Tidak dapat dinafikan bahawa rangkaian teknologi maklumat akan mengukuhkan hubungan yang mengikat individu kepada masyarakat. Namun ia juga boleh dilihat sebagai pemisah di antara golongan celik maklumat serta golongan tidak celik maklumat. Jurang tersebut boleh digiatkan dengan suntikan teknologi maklumat secara mendadak. Malangnya, mereka yang tidak celik maklumat biasanya adalah golongan miskin dan kurang pendidikan, merekalah yang sebenarnya memerlukan faedah yang boleh dibawa oleh maklumat.

Cadangan

Program-program perlu dijalankan untuk membantu golongan tidak celik maklumat supaya mereka diberi peluang yang sama untuk mengikut perkembangan semasa. Walaupun ini akan membebankan pembayar cukai namun dalam jangka panjang ia akan menjanakan faedah untuk seluruh negara.

 

 

Kesan Teknologi Maklumat Terhadap Pekerjaan : Kepada Masyarakat Tanpa Kerja?

Penggunaan teknologi maklumat dalam kilang, pejabat dan sektor perkhidmatan telah mencetuskan kebimbangan pekerja bahawa mereka akan digantikan oleh peralatan. Namun berdasarkan pencapaian negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun, kebimbangan tersebut nampaknya tidak berasas. Merujuk kepada "1994 White Paper of the European Commision on Growth, Competitiveness, and Empoyment " antara 1970 dan 1992, ekonomi Amerika Syarikat bertumbuh 70% sementara pekerjaan bertumbuh 49%. Ekonomi Jepun bertumbuh sebanyak 173%, dengan pertumbuhan pekerjaan 25%. Di samping itu, antara 1993 dan 1996, apabila kebanyakan negara Eropah mempunyai kadar pengangguran yang tinggi, Amerika Syarikat yang menggunakan teknologi maklumat dalam pejabat dan kilang, telah menghasilkan lebih lapan juta pekerjaan baru(Castells, 1996).

Ahli teori perdagangan(Trade theorists) berhujah bahawa potensi pengurangan pekerjaan sebagai kesan penggunaan teknologi maklumat akan wujud sekiranya ;

Pengembangan dalam permintaan tidak diseimbangi peningkatan dalam produktiviti buruh; dan
Tiada tindakbalas institusi untuk mengurangkan masa pekerjaan dan bukannya pekerjaan sendiri.

Menurut Castells, tiada struktur hubungan yang sistematik di antara penggunaan teknologi maklumat dengan evolusi pekerjaan dalam ekonomi secara keseluruhannya. Sesetengah pekerjaan semakin tidak penting tetapi terdapatnya pekerjaan baru yang kian meningkat. Namun kuantiti hubungan di antara kerugian dan keuntungan tersebut berbeza di antara firma, industri, sektor, wilayah dan negara. Ia bergantung kepada keupayaan saing, strategi firma, dasar kerajaan, persekitaran institusi dan kedudukan relatif dalam ekonomi global.

Menurut Organization for Economic Cooperation and Development(OECD), pada awal abad ke-21, dijangkakan akan terdapat peningkatan pekerjaan bagi negara-negara tersebut : Amerika Syarikat, 1992-2005, akan mengalami peningkatan pekerjaan bersih 24 juta(peningkatan 19% sepanjang tempoh), Jepun, 4 juta(peningkatan 6%); dan Kesatuan Eropah lebih kurang 10 juta(peningkatan 6-7%). Namun unjuran ini adalah amat sensitif kepada kepelbagaian dalam andaian yang digunakan. Pertama sekali, evolusi tahap pekerjaan tidak diberi. Ia amat bergantung kepada tahap penggunaan teknologi tersebut oleh masyarakat, atas dasar penghijrahan, evolusi keluarga, pengagihan tempoh pekerjaan dalam hidup dan sistem baru dalam perhubungan industri.

Justeru itu, teknologi maklumat tidak akan menyebabkan pengangguran walapun ia secara nyatanya mengurangkan tempoh kerja per unit pengeluaran. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa ia akan membawa kepada pengasingan jenis pekerjaan yang lebih nyata terutamanya pekerjaan yang bersabit dengan maklumat dan pekerjaan yang tidak.

Cadangan

Sekiranya wujud tren pengangguran yang disebabkan oleh peningkatan teknologi maklumat maka campurtangan kerajaan adalah perlu untuk mengenakan dasar serta garispanduan bagi mewujudkan peluang pekerjaan di dalam sektor yang akan menguntungkan keseluruhan sistem ekonomi negara misalnya sektor sokongan perkhidmatan.

Keperluan Untuk Celik Maklumat

Dalam era maklumat, celik maklumat adalah amat penting untuk membolehkan seseorang bersaing dalam dunia perdagangan dan pasaran pekerjaan. Kecelikan maklumat amat penting tidak kira seseorang itu bekerja di rumah atau di pejabat. Orang dengan kemahiran internet mendapat maklumat yang lebih, mengetahui lebih banyak isu semasa, dan dapat mencari maklumat dengan lebih cepat berbanding dengan orang berpendidikan tinggi yang kurang kemahiran tersebut. Namun kecelikan maklumat juga memerlukan pemikiran kritikal. Tanpanya seseorang tidak dapat menilai kualiti maklumat yang diperolehi daripada rangkaian maklumat.

Selain itu, untuk hidup dalam zaman teknologi maklumat, jika seseorang tidak ingin dilihat sebagai seorang yang ketinggalan zaman maka seseorang perlu celik maklumat dan mempunyai kemahiran asas sekurang-kurangnya untuk mengikuti perkembangan semasa. Bayangkanlah betapa tidak sesuai sekiranya seseorang cuba bersaing dalam dunia perdagangan pada tahun 2020 dengan menggunakan komputer Pentium 3(diubah daripada Robins, 1987).

Cadangan

Media-media tempatan harus memberi tumpuan kepada penjanaan pemikiran penduduk. Program yang disalurkan sebaik-baiknya jenis yang menggalakkan penilaian serta pemikiran masyarakat. Masyarakat maklumat adalah masyarakat yang boleh berfikir; bukan semata-mata pengguna sahaja. Begitu juga halnya dengan institusi pengajian tinggi tempatan harus memberi perhatian yang lebih dalam melahirkan graduan yang boleh berfikir daripada melahirkan juruteknik yang menjadi hamba kepada kolonialisme elektronik.

 

 

 

Cetak Rompak

Dengan kebebasan aliran maklumat dalam rangkaian maklumat, aktiviti cetak rompak atau salin tanpa kebenaran akan berleluasa. Contohnya yang nyata adalah pelajar universiti atau kolej yang mempunyai akses kepada internet.

Bayangkan satu senario yang melibatkan seorang pelajar yang terpaksa menghantar tugasan pada keesokan harinya. Pada pukul 4.00 pagi, pelajar tersebut mendapati dia tidak sempat menghabiskan tugasan tersebut. Namun begitu, secara kebetulan pelajar tersebut terjumpa satu esei yang sesuai dengan tema tugasannya melalui internet, tiada cetakan hakcipta dalam esei tersebut. Nampaknya pengarang sengaja menggalakkan percetakan. Ini akan mendorong pelajar tersebut menyimpan esei tersebut dan kemudian membuat pengubahsuaian tertentu untuk mengubah wajahnya, kemudian dia menghantar tugasan tersebut dan menganggap itu adalah hasilnya(Meyer, 1999).

Cadangan

Perundangan maklumat dan sistem pengawalan yang canggih perlu digunakan untuk mengatasi masalah cetak rompak. Contohnya virus dimasukkan bersama fail yang mempunyai hakcipta, apabila pengguna menghasilkan semula fail tersebut tanpa kod hakcipta maka virus tersebut akan berfungsi dan memusnahkan fail tersebut.

Penggunaan Surat Elektronik

Walaupun pengguna surat elektronik mempunyai kebebasan teks dalam surat tersebut, sebenarnya pembekal perkhidmatan Internet mempunyai akses ke atas setiap surat tersebut. Mereka akan menyimpan salinan surat tersebut sekurang-kurangnya enam bulan, walaupun surat tersebut dibuang daripada fail atau komputer(Meyer, 1999). Ini mengurangkan 'privacy' berbanding dengan cara konvensional. Justeru itu, segala maklumat sulit seperti kata rahsia atau kod yang penting tidak sesuai dimasukkan ke dalam surat elektronik.

Di samping itu, penggunaan pelbagai surat elektronik dewasa ini tidak mengenakan sebarang bayaran. Contohnya yahoo mail, mail excite, American express, mail city, alta vista mail, hotmail dan sebagainya telah menarik pengguna yang ramai. Namun begitu, pergantungan kepada surat elektronik akan mengurangkan kepentingan persuratan konvensional kecuali melibatkan persuratan rasmi atau penghantaran barang-barang.

Apabila pihak yang menguruskan surat elektronik mengenakan bayaran pada suatu hari nanti(apabila pergantungan kepadanya tinggi) maka wujudlah isu di kalangan penggunanya. Namun surat elektronik menjamin penghantaran yang jauh lebih cepat dan jimat kos serta tenaga. Kelemahannya adalah kadar 'privacy' yang tidak begitu tinggi namun seseorang boleh berhujah bahawa persuratan konvesional mengalami risiko kehilangan surat serta pecah amanah yang sama tinggi. Justeru itu, masyarakatlah yang perlu menilai cara mana yang lebih menyenangkan.

Cadangan

Perlu adanya kontrak sosial berhubung dengan isu 'privacy' yang telah ditimbulkan tadi. Masyarakat harus menentukan sendiri saluran mana yang boleh atau tidak boleh diperiksa kandungannya. Namun kesan daripada setiap tindakan juga perlu dinilai contohnya pengiriman bahan-bahan yang memudaratkan masyarakat mesti dihalang. Sekiranya tiada pemeriksaan pada tahap-tahap tertentu, kebebasan itu boleh membawa kesan yang buruk.

Internet : Tempat Penjanaan Kebencian dan Jenayah?

Dengan wujudnya rangkaian World Wide Web, individu dan organisasi boleh memaparkan sebarang maklumat dengan senang. Namun sekiranya ini digunakan untuk tujuan yang tidak baik maka ia akan membawa pengaruh yang negatif terhadap kehidupan bandar. Contohnya, pengeboman di bandar Oklahoma dipercayai hasil sebaran maklumat melalui internet(Meyer, 1999).

Merujuk kepada konteks Malaysia, terdapat banyak maklumat berasaskan kebencian berterbangan dalam rangkaian Internet. Kesemuanya ditujukan kepada sesetengah pemimpin negara. Gejala sedemikian berupaya menjanakan kebencian dan kekeliruan di kalangan pengguna internet yang mempercayai terus maklumat yan diperolehi. Ini boleh mencetuskan kekacauan di dalam bandar dan mengancam keselamatan serta ketenteraman bandar. Rusuhan-rusuhan telah berlaku beberapa bulan lalu di sekitar Kuala Lumpur dan ini berpotensi dicetuskan selagi masyarakat tidak mempunyai pemikiran kritikal untuk menilai kesahihan maklumat tersebut.

Selain itu, Internet juga membawa maklumat-maklumat lucah yang boleh menjanakan masalah sosial terutamanya jenayah. Rangkaian internet boleh juga menjadi saluran tidak sihat untuk melakukan jenayah. Merujuk kepada pengalaman Singapura, tahun ini, lima gadis dan seorang wanita telah dirogol oleh "kawan" yang mereka kenali melalui internet atau telefon(Star, 1999). Singapura merupakan satu negara pengguna Internet yang tinggi disebabkan dasar kerajaannya untuk menggalakkan kecelikan komputer bagi menghadapi kemajuan abad ke-21.

Justeru itu, dalam ucapan Perdana Menterinya pada 3-7-1998 di dalam Mesyuarat Menteri APEC yang Ketiga untuk telekomunikasi dan industri maklumat, beliau telah menyarankan ancaman pengaruh Barat melalui teknologi maklumat(Arun, 1999).

Cadangan

Pihak kerajaan perlu peka terhadap isi kandungan internet supaya dapat mengambil tindakan segera bagi memaklumkan kesahihan maklumat tersebut kepada rakyat. Namun ini tidak bermakna makluman kerajaan merupakan kata putus. Rakyat harus diberi peluang untuk memberi maklum balas berkenaan isu tersebut melalui saluran yang telah dikhaskan untuk tujuan tersebut oleh kerajaan.

Keselamatan

Dengan pergantungan kepada teknologi maklumat, adalah sukar untuk suatu masyarakat berpatah balik. Ini adalah kerana teknologi maklumat akan menyebabkan perubahan yang besar ke atas aspek sosial, ekonomi, fizikal dan juga politik(diubah daripada Star, 1-7-1999). Namun masalah boleh timbul daripada teknologi maklumat sendiri. Kegagalan sistem boleh berlaku melalui kerosakan fizikal peralatan, ralat data atau 'bugs' perisian misalnya Y2K. Kegagalan tersebut boleh membawa kerugian yang besar kepada masyarakat terutamanya apabila pemindahan modal yang besar sedang berlangsung.

Justeru itu, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun mempunyai stesen janakuasa yang pelbagai sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan ancaman tersebut(Laver, 1989). Namun begitu, keadaan di Malaysia adalah jauh berbeza, kita terlalu bergantung kepada beberapa stesen janakuasa utama tanpa memikirkan kepentingan kepelbagaiannya. Dengan itu, kerugian yang besar dijangkakan akan berlaku sekiranya timbul sebarang masalah ke atas stesen janakuasa yang akan menjejaskan pembekalan elektrik yang diperlukan untuk perjalanan teknologi maklumat.

Usaha negara dalam memperkenalkan tenaga alternatif juga kurang nyata. Dengan itu, ia menambahkan lagi risiko kerugian apabila Koridor Raya Multimedia(KRM) dilancarkan.

Cadangan

Pelaksanaan KRM perlu diimbangi dengan pembinaan infrastruktur sokongan yang lebih mampan serta berkesan mengambil kira semua keadaan yang boleh diramalkan. Peluang-peluang pemindahan teknologi perlu diambil oleh kerajaan sekiranya ia tidak melibatkan sebarang pergantungan yang boleh menggugat kebebasan negara.

Kesimpulan

Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat, asas teoritikal tentangnya harus diperkembangkan. Bidang-bidang "teknologi maklumat" dan "sains komputer" dalam universiti dan politeknik nampaknya lebih kepada kaedah teknikal di sebalik proses intelektual(Laver, 1989). Kita masih agak kabur tentang konsep "maklumat". Kekurangan asas teoritikal yang kukuh akan menyukarkan lagi penjelasan fenomena berhubung dengan teknologi maklumat.

Tiga kuasa telah mempengaruhi pembangunan teknologi maklumat. Pertama sekali, keghairahan pakar yang menciptanya, diikuti harapan untuk faedah masa depan dan akhirnya kebimbangan terhadap peperangan. Tiada satu pun daripada ini nampaknya menyokong kajian ke atas kesan sosial yang dibawa oleh teknologi maklumat. Daripada perbincangan di atas, jelaslah bahawa teknologi maklumat boleh digunakan untuk tujuan baik atau jahat. Kuasanya adalah amat kuat dan kuasa ini boleh digunakan dengan cara yang tidak sesuai untuk kepentingan peribadi yang boleh menjejaskan kepentingan pihak lain.

Justeru itu, dalam keasyikan Malaysia melancarkan era teknologi maklumat, rakyatnya harus diberi pendedahan tentang kesan baik dan buruk yang akan dibawa oleh teknologi maklumat. Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia memerlukan teknologi ini untuk bersaing dan berganjak kepada corak ekonomi baru namun masyarakat haruslah bersedia terutamanya secara mental untuk menerima kos dan faedah yang akan dijanakan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rujukan :

1. Arun Arun, Smart Cities : The Singapore Case, Cities, Vol. 16, No. 1, pp. 13-18, 1999, Pergamon.

2. Castells, Manuel, The Informational City : Information Technology, Economic Restructuring, and the Urban-Regional Process. Basil Blackwell, 1989.

3. Castells, Manuel, The Rise of the Network Society. Blackwell Publishers Ltd., 1996.

4. Erwitt, Smolan, One Digital Day : How the Microchip is Changing Our World. Times Books, New York, 1998.

5. IT age a time of radical change as well as challenge. Star, Thursday, 1-7-1999.

6. Laver, Murray, Information Technology : Agent of Change. Cambridge University Press, Cambridge, 1989.

7. McPhail, Thomas L, Electronic Colonialism : The Future of International Broadcasting and Communication. Sage Publications, 1987.

8. Meyer, Marilyn Wertheimer, Computers In Your Future. Macmillan Computer Publishing, 1999.

9. Robins, Kevin & Frank Webster, Dangers of Information Technology and Responsibilities of Education. in R. Finnegan, G. Salaman & K. Thompson(ed.), Information Technology : Social Issues. Sevenoaks : Hodder & Stoughton, 1987.

10. What's in store for on-line shopping. Star, Saturday, 31-7-1999.