Debat Pelajar (II)

BANDAR DI MALAYSIA MENONJOLKAN IMEJ YANG BAIK UNTUK NEGARA

Hujah Pencadang

Hujah Pembangkang

HUJAH PENCADANG PERTAMA (Maani)

PENGENALAN

  1. DEFINISI BANDAR
  2. Bandar menurut Melvin G.Marcus & Thomas R. Detwyler 1985, menyatakan bahawa terdapat 3 definisi utama, pertamanya bandar adalah suatu unit politik, suatu petempatan yang didiami oleh sejumlah penduduk atau suatu kelompok rumah kediaman atau lain-lain struktur atau kadangkala ia juga dilihat hanya dari segi penghuninya saja. Sebagai contohnya mengikut Bangsa-Bangsa Bersatu (Demographic Yearbook) 1968-1969 menyatakan bahawa di Malaysia sesuatu kawasan boleh dianggap bandar bila penduduknya berjumlah 10,000 orang atau lebih.

    Keduanya bandar adalah satu gabungan antara tempat dengan penghuninya. Di sini bandar ditakrifkan untuk meliputi keseluruhan elemen semulajadi, sosial dan buatan manusia yang terkelompok dalam kawasan yang mempunyai ramai penduduk; penduduknya mempunyai kebudayaan yang tinggi termasuklah dalam berbagai-bagai kemahiran tetapi tidak dapat menghasilkan tenaga yang mencukupi.

    Ketiganya Dari segi fungsi ia boleh dianggap sebagai satu ekosistem terbuka yang mengembangkan kebudayaan bandar melalui pertukaran bahan dan tenaga. Di sini, dengan adanya sistem pengangkutan yang baik, kawasan pedalaman dapat menyediakan seumber-sumber yang diperlukan oleh bandar (pekerja) dan pekerja pula dapat menyerap beberapa hasil dari bandar.

  3. DEFINISI IMEJ

Terdapat dua maksud imej menurut khamus dewan :-

  1. Imej adalah gambaran atau cerminan bayangan
  2. Keperibadian atau watak seseorang atau sesuatu sebagaimana yang terpapar pada pandangan atau tanggapan orang atau pihak lain.

Menurut Kevin Lynch dalam bukunya "The Image of City" menyatakan bahawa imej bandar adalah satu proses dua hala antara pemerhati dengan alam semulajadi. Imej boleh dikategorikan kepada tiga komponen iaitu identiti, struktur dan maksud. Satu imej yang berfungsi memerlukan satu identiti yang mana ia mempunyai satu sifat yang berbeza dengan yang lain. Ke dua imej mesti termasuk isi keruangan atau corak hubungan di antara objek dengan pemerhati serta kepada objek yang lain. Akhirnya objek itu mesti mempunyai sesuatu maksud kepada pemerhati sama ada secara praktikal atau emosi. Beliau juga membahagikan imej bandar kepada lima elemen iaitu :-

  1. Mercu Tanda – merupakan rujukan titik di mana pemerhati tidak masuk ke dalamnya seperti bangunan, tanda jalan, bukit dan lain-lain.
  2. Laluan – pemerhati bergerak dan mengalami alam sekelilingnya seperti jalan raya, laluan pejalan kaki, landasan dan sebagainya mengikut laluan ini alam sekitar diperhati dan dihubungkait.
  3. Sempadan – elemen linear yang bukan laluan yang digunakan untuk membahagikan dua bahagian yang mempunyai perbezaan seperti sungai, pantai, landasan, dinding atau sempadan yang tidak dapat dilihat. Sempadan juga penting untuk membentuk imej keseluruhan sesuatu bandar.
  4. Daerah – adalah bahagian bandar yang mempunyai persamaan di mana seseorang pemerhati boleh masuk ke dalam.
  5. Titik tumpu – adalah titik atau tumpuan di mana pemerhati boleh masuk seperti simpang jalan, perhentian laluan dan lain-lain konsep titik tumpu ada hubungkaitnya dengan konsep daerah dan laluan.

Jika diperhatikan, definisi imej yang dikemukakan oleh Kevin Lynch lebih menumpukan aspek fizikal bandar, bagaimana pula dengan aspek-aspek lain? Aspek-aspek lain juga sebenarnya mempengaruhi imej sesuatu bandar seperti aspek sosial, politik dan pentadbiran, ekonomi dan sebagainya sama ada yang bersifat positif atau negatif.

Bagi memperluaskan kupasan tajuk ini, kami pihak pencadang bersetuju untuk menggunakan definisi imej yang pertama iaitu imej sebagai cerminan atau gambaran yang diberikan oleh pihak lain. Oleh itu tajuk ini memberikan maksud bahawa suatu petempatan yang mempunyai jumlah penduduk (minima 10,000 orang), elemen-elemen semulajadi dan sosioekonominya telah memberikan gambaran atau cerminan yang baik kepada negara kita.

HUJAH 1 MASYARAKAT MAJMUK

Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia mempunyai pelbagai etnik yang tinggal dalam satu kawasan dan berjiran hidup dengan harmoni dan masing-masing bebas menjalankan aktiviti-aktiviti harian mereka tanpa sebarang gangguan. Hujah ini dapat dikukuhkan lagi apabila pada musim perayaan mereka saling kunjung-mengunjung antara satu sama lain. Apabila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina misalnya, rakan-rakan yang berbangsa Melayu dan India juga turut mengunjungi rumah rakan dan jiran yang berbangsa Cina untuk bersama merayakannya. Perasaan hormat-menghormati antara kaum seperti ini tidak dapat dirasai di Indonesia di mana kaum Cina tidak merasa selamat terutama ketika menjalankan perniagannya kerana khuatir ancaman penduduk tempatan (bumiputera). Kita sebagai warganegara Malaysia seharusnya bersyukur kerana dikurniakan keharmonian antara kaum maka benarlah jika dikatakan bahawa bandar di Malaysia menonjolkan imej yang baik kepada negara dari aspek perhubungan antara kaum.

HUJAH 2 KEBEBASAN BERAGAMA

Kebebasan beragama yang diamalkan oleh Malaysia juga telah menonjolkan imej yang baik kepada negara. Ini dapat dibuktikan dengan adanya Masjid Kapitan Keling yang terletak berdekatan dengan kuil Hindu di Pulau Pinang. Bagaimana pula jika kita bandingkan keadaan ini dengan peristiwa yang berlaku di Ambon pada Januari lalu di mana beberapa orang islam telah ditembak setelah selesai menunaikan sembahyang subuh di sebuah masjid. Begitu juga dengan kejadian penghapusan etnik di Bosnia dan Kosovo. Kejadian-kejadian ini telah jelas bahawa walaupun negara tersebut adalah negara islam namun dari segi praktikalnya mereka masih tidak bebas mengamalkan agama mereka. Sebagai pencadang saya menyatakan sekali lagi bahawa bandar di Malaysia telah menonjolkan imej yang baik untuk negara.

HUJAH 3 RAKYAT YANG PERAMAH & BERSOPAN-SANTUN

Telah acap kali kita dengar pelancong mengatakan bahawa rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbagai kaum amat peramah dan bersopan-santun bila menyambut pelancong. Temasya sukan Komanwel di Kuala Lumpur yang baru berlangsung pada September lepas sudah cukup membuktikan bahawa rakyat Malaysia peramah dan sentiasa menghormati tetamu yang datang. Begitulah betapa bandar di Malaysia ini telah menonjolkan imej yang baik kepada negara.

Hujah Pencadang Kedua (Teh Siew Lee)

Dari Aspek Politik Dan Pentadbiran,

Kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Orang Jepun memandang tinggi kegigihan kita, China sendiri yang bertamadun terulung beratus-ratus tahun tanpa segan silu mahu mempelajari kejayaan kita. Bandar Malaysia dikagumi oleh semua negara dan berjaya mengikis mentaliti yang sentiasa memberi jawapan ‘ya’ kepada segala bentuk arahan dan pemerintahan Barat. Malahan, Bandar Malaysia iaitu Kuala Lumpur telah dipilih sebagai satu tapak untuk Sukan Komanwel, 1998. Ini telah membuktikan kepada dunia bahawa bandar di Malaysia mempunyai imej yang baik dan menjadi tatapan untuk seluruh negara dalam mata kaca dunia.

Selepas 38 tahun merdeka, imej Malaysia kelihatan dengan jelasnya dalam ‘teropong’ Amerika Syarikat dan Presiden Bill Clinton dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Muhammad di White House, Washington pada tahun 1995 berkata :

"Saya amat kagum dengan tuan dan saya kagum dengan pencapaian negara tuan yang sukar dipercayai sejak beberapa tahun lalu." Inilah di di antara contoh yang kita dapat lihat ekoran kejayaan Malaysia membuka mata dunia dengan pelbagai kejayaannya.

Bekas Perdana Menteri Britain, Margarat Thatcher ketika berucap di Kuala Lumpur pada 1993 berkata :

"Dalam sejarah, kita mendapati tidak semestinya sesebuah negara besar memiliki pengaruh besar sebaliknya negara yang mempunyai kepimpinan yang mantap dan wawasan yang jelas. Ciri-ciri itu yang dimiliki Malaysia mencapai kedudukan yang baik, terserlah menerusi dasar kerajaan yang proaktif dan futuristik.

Malaysia menjadi katalis penting bagi Negara Dunia Ketiga bagi mengutarakan pendirian, prinsip dan masa depan dengan Barat dan tidak gentar dalam menghadapi isu : Bosnia-Herzegovina, Somalia, Palestin, Iraq, Afrika Selatan yang bergolak. Ini kerana suara dan pendirian Malaysia sering mendapat perhatian dari negara utara dan Negara Selatan pula mengharapkan Malaysia menjadi ‘jurucakap’ Negara Dunia Ketiga.

Dalam lembaran sejarah, Malaysia merupakan negara Islam yang masih belum terlibat dalam pertelingkahan budaya di seluruh dunia. Malaysia, masyarakat hormat-menghormati memupuk pluralisme budaya sebagai faktor perpaduan antarabangsa. Ini memaparkan bandar Malaysia mempunyai keutuhan integrasi nasional yang kuat.

Perlembagaan Persekutuan – warisan murni orang Malaysia tanpa mengira warisan etnik, agama individu. Ini membuktikan bangsa Malaysia bukan hanya dibentuk daripada perkataan dan artikel yang tertulis dalam Perlembagaan. Bangsa di bandar Malaysia berkembang hasil kerelaan mereka untuk hidup, bekerja, mati bersama sebagai rakyat Malaysia mengikut rangka Perlembagaan.

Rukun Negara memaparkan komitmen asas bagi setiap rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan nasional dan membina masyarakat di bandar Malaysia sebagaimana yang didapati pada hari ini.

Kerajaan Malaysia dibentuk menerusi spektrum politik parti yang luas. Polisi menerusi konsensus telah menghasilkan pelaksanaan pentadbiran yang adil dan saksama dalam usaha memantapkan keutamaan nasional. Pendekatan secara demokrasi inilah menjadi model pentadbiran yang dapat dicontohi oleh negara lain terutama Indonesia untuk mencapai aspirasi sosial ekonomi komponen pelbagai etnik dalam masyarakat.

Dari Aspek Ekonomi

Malaysia berbangga sebagai satu-satunya negara tidak menelan ‘pil penawar’ ekonomi IMF (Tabung Mata Wang Antarabangsa). Kerajaan Malaysia membuktikan kepada dunia bahawa program pemulihan semula ekonomi berdasarkan pendekatan sendiri melalui kawalan Mata Wang. Ketika ini, ekonomi Malaysia sudah pulih, dilihat menerusi peningkatan nilai indeks Bursa Saham Kuala Lumpur mencecah angka 800 selepas diumum oleh Bank Negara. Bandar Malaysia tidak mudah melatah dalam fenomena krisis ekonomi malah menjadi pemangkin / wasilah untuk mencapai integrasi nasional dan mengekalkan kedaulatan. Ini juga menjadi ikhtibar kepada Asia bahawa ekonomi Asia perlu berubah menerusi ‘rumusan sendiri’ jika didapati langkah Barat tidak sesuai.

Kadar pertumbuhan yang tinggi selama 10 tahun berturut-turut, terpantas di dunia menjadi bandar Malaysia antara pusat perdagangan, pelaburan utama serantau dan antarabangsa. Kemampuan kita mengurus ekonomi negara terserlah menerusi Dasar Fiskal dan Dasar Kewangan yang progresif yang mampu mengorak langkah ke arah pembangunan ekonomi yang lebih dinamis. Tiada negara yang heterogenus sifat demografinya ampu untuk mencapai kejayaan ekonomi tanpa integrasi yang utuh dan kental.

Pelaburan asing terus bertambah mencecah angka RM 9.961 billion setelah diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz. Keputusan Syarikat Gergasi meneruskan pelaburan menunjukkan pelaburan asing yakin terhadap Malaysia dan pekerja kami yang merupakan rakyat Malaysia di sini. Ini mencerminkan bandar Malaysia yang imej kestabilan politik telah menjadi daya tarikan kepada dunia luar.

DEB berjaya membawa pencapaian sosial yang baik dalam pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Ia menjadi alat integrasi sosial yang ampu membentuk masyarakat majmuk yang mengambilkira kepentingan semua kaum, golongan dan kawasan. Keseimbangan ini tidak mencurah minyak ke api seperti yang berlaku di Indonesia.

Proton mencipta nama di luar negara dengan potensi jualan yang stabil memenuhi cita rasa banyak negara. Pusat Servisnya di Shah Alam boleh memberi servis kepada hampir 300 buah kereta sehari. Anugerah yang dimenangi oleh Proton adalah daripada United Kingdom Caravan Club, "Top Car Of The Year" – 1989. Ini membuktikan bandar di Malaysia ‘Boleh’ di peringkat antarabangsa dan menjadi nadi penggerak untuk rakyat dalam arena pembangunan negara.

MSC (Multimedia Super Coridor), koridor Projek Putrajaya dan Cyber Jaya, KLCC (Kuala Lumpur City Center) dan KLIA (Kuala Lumpur Internasional Airport) bukan setakat hanya menggunakan produk tetapi memasarkan produk sendiri ke seluruh bandar dunia. Bandar Malaysia berdiri sebagai pemimpin dalam perkhidmatan multimedia dan menempatkan diri sebaris dengan bandar negara maju , penuh yakin dapat menangani kedudukan sebagai pusat niaga dan teknologi maklumat utama di rantau ini selain menawarkan persekitaran perdagangan yang unggul di Asia.

Bandar di Malaysia mempunyai status tersendiri di mata dunia dan mamaparkan imej yang baik untuk negara. Inilah hasil usaha yang panjang dengan menempuh pelbagai rintangan kerana kita mempunyai kekuatan tersendiri – kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial. Bandar akan memberitahu kita , kita sedang melihat sesuatu yang kita tidak dapat mencari di tempat lain, kita tahu kita berada di Malaysia.

HUJAH PENCADANG KETIGA (Fahruddin Amat)

Pembangkang kedua nampaknya terlalu risau dengan kuasa-kuasa perniagaan luar yang memaparkan imej-imej mereka seperti McDonalds, KFC, Esso, BP dan lain-lain. Tidakkah pembangkang tahu bahawa itu merupakan tren perniagaan dunia sekarang. Kita tidak boleh mengamalkan dasar tutup pintu sepertimana yang telah diamalkan oleh neara Cina pada beberapa dekad lalu. Sepertimana diketahui ia merupakan satu kegagalan dan kini negara tersebut telah mengubah dasar perniagaannya daripada dasar tertutup kepada pasaran terbuka. Imej-imej yang ditonjolkan oleh syarikat-syarikat luar itu merupakan cerminan imej keterbukaan yang merupakan globalisasi ekonomi.

Kalau tadi rakan-rakan saya mengutarakan perkara-perkara berkaitan ekonomi, kini saya akan menonjolkan imej fizikal bandar yang baik di Malaysia. Bandar-bandar di Malaysia seperti mana yang telah diketahui mempunyai jalinan rangkaian jalanraya yang baik dan antara yang terbaik di Asia. Jalanraya yang dibina samada bertol atau tidak akan mempercepatkan pergerakan dan menjadikan hubungan yang lebih pantas. Ia juga banyak menyumbang kepada peningkatan aktiviti ekonomi bandar.

Dari segi perumahan, bandar-bandar di Malaysia komited untuk menyediakan rumah yang cukup untuk penghuninya. Penglibatan pihak swasta dalam menyediakan rumah-rumah adalah cerminan imej kerjasama yang baik yang wujud antara pihak kerajaan dengan swasta. Bandar-bandar di Malaysia juga komited untuk menyelesaikan masalah setinggan dengan sasaran setinggan sifar menjelang tahun 2005 di seluruh negara dan tahun 2000 bagi Kuala Lumpur. Sasaran ini sekalipun tidak dapat dicapai, setidak-tidaknya ia dapat menonjolkan keazaman pihak pentadbiran bandar-bandar itu mencapai bandar bebas setinggan telah dapat menonjolkan imej bandar yang baik.

Pembanguanan lanskap telah berjaya memperlihatkan imej yang baik di bandar-bandar di Malaysia. Kuala Lumpur telah diberi gelaran ‘Bandar Taman Dalam Taman’ sesuai dengan imejnya yang mempunyai banyak tumbuhan hijau. Sebanyak 1 juta pokok jenis besar dan 300 spesis tumbuhan renek telah di tanam di seluruh Kuala Lumpur. Bandaraya Kucing pula telah memperlihatkan pembangunan lanskap yang mengkagumkan dengan pembangunan tebing sungainya yang telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa. Dibandar-bandar lain juga peruntukan untuk lanskap ada diperuntukan dan tidak diabaikan. Pembangunan lanskap di bandar-bandar di Malaysia telah juga berjaya menonjolkan pembangunan fizikan bandar yang baik.

Keazaman kerajaan untuk menonjolkan imej pentadbiran yang cekap telah ditonjolkan melalui pembangunan Putrajaya. Putrajaya merupakan bandar pentadbiran pintar. Ia merupakan lambang dan azam untuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang lebih cekap, sistematik dan berteknologi terkini. Kesemua perkara yang disebutkan tadi merupakan satu cerminan tentang pembandaran di Malaysia yang menonjolkan imej yang baik.

HUJAH PENGGULUNGAN (Fahruddin Amat)

Pihak pembangkang kedua nampaknya terlalu memikirkan soal fizikal sahaja tentang sesuatu bandar. Contohnya mereka mengatakan bumbung bangunan tinggi di Malaysia sepatutnya mempunyai bumbung Minangkabau sebagai identiti. Tetapi adakah pembangkang telah memikirkan samada bumbung sedemikian sesuai untuk bangunan-bangunan tinggi. Sepertimana yang kita tahu bahawa senibina tradisional Malaysia tidak mempnyai imej bangunan yang tinggi yang boleh ditonjolkan. Disini apa yang penting adalah bukanlah imej fizikal bangunan tersebut, tetapi apa yang lebih penting adalah falsafanya. Imej yang ingin ditonjolkan adalah tentang kecekapan sistem bangunan, nilai bangunan dan lain-lain imej selain daripada imej fizikalnya.

Dikatakan juga KLCC adalah bangunan tinggi yang terlalu tinggi dan tidak berskala manusia. Ini mungkin satu pandangan berunsur irihati daripada pihak-pihak tertentu di luar negara. Mereka irihati kerana kita mampu membina bangunan yang teringgi di dunia. Namun bukanlah taraf bangunan tertinggi didunia yang dipentingkan tetapi apa yang lebih penting adalah pembinaan bangunan tersebut telah dapat menceminkan pencapaian kita. Ia merupakan lambang kepada pencapaian dalam bidang pembinaan oleh pakar-pakar tempatan walaupun dengan bantuan pakar luar dan yang lebih penting adalah kewujudan KLCC merupakan kepada cerminan kepada kestabilan ekonomi dan politik negara kita. Tanpa kestabilan-kesabilan tersebut KLCC tidak akan dapat dibina di Kuala Lumpur. Bukankah itu juga merupakan imej yang baik yang ditonjolkan dalam bandar-bandar di Malaysia.

Pihak pembangkang juga ada mengatakan bahawa pembangunan jalanraya akan jadi penghalang kepada interaksi dua kampung yang terpisah akibat pembinaannya. Kita tahu bahawa jalanraya adalah penting untuk perhubungan didalam bandar. Pihak pembangkang tidak sepatutnya berfikiran sempit dengan memikirkan bahawa perhubungan antara penduduk akan hanya berlaku secara fizikal sahaja, tetapi perhubungan juga dapat dilakukan melalui kadah lain seperti telefon, internet dan sebagainya.

Pembangkang juga ada membangkitkan hal berubung kewujudan setinggan yang menonjolkan inej yang tidak baik bandar-bandar di negara kita. Nampaknya persepsi pihak pembangkang tidak adil dan ‘double standard’. Pembangkang nampaknya hanya menjaga kepentingan golongan terentu sahaja di dalam bandar. Mereka hanya menjaga golongan kaya atau yang berpendapatan tinggi sahaja dan golongan yang kurang mampu diabaikan. Tidakkah pembangkang sedar bahawa kewujudan setinggan di Kuala Lumpur seperti yang dikatakan merupakan cerminan toleransi yang wujud di kalangan pemimpinan didalam bandar tersebut. Tanah-tanah milik kerajaan boleh digunakan oleh mereka sementara belum dibangunkan. Yang penting adalah kerajaan mesti mempunyai dasar untuk mengatasi dan menempatkan semula setinggan-setinggan ini melalui program pembasmian setinggan seperti yang telah kita amalkan di bandar-bandar kita. Toleransi ini akan dapat memberikan kebaikan kepada golongan miskin di bandar-bandar kita.

Dalam segi ukuran untuk mengukur kemajuan, pihak pembangkang juga tidak bersetuju dengan dengan hujah kami yang telah masih merujuk kepada kata-kata presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dalam mengambarkan ukuran pencapaian bandar-bandar kita. Tetapi tidakkah pembangkang fikir bahawa adalah lebih baik sekiranya satu kata-kata pujian atau kekaguman itu lahir dari mulut orang luar atau musuh kita sendiri.

Disebutkan juga oleh pihak pembangkang bahawa terdapat ketidakserasian atau perselisihan antara agama yang berlaku di dalam bandar kita sepertimana yang telah berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini. Kononnya ada ketegangan agama antara sebuah kuil dan masjid yang lokasinya berdekatan. Cuba pembangkang bayangkan berapa banyak masjid dan kuil Hindu yang duduk berdekatan di Malaysia ini. Adakah sering erjadi perkara seunpama ini. Dari sudut kajian juga kesimpulan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan satu kes sahaja.

Tuduhan pihak pembangkang bahawa pembangunan bandar-bandar di Malaysia hanya menumpukan hanya kepada pembangunan ekonomi sahaja adalah kurang tepat.. Contohnya di Pulau Pinang telah diwujudkan garispanduan untuk untuk mengawal bangunan-bangunan warisan. Zon-zon warisan tertentu telah ditetapkan dan kawasan-kawasan yang terletak dalam zon ini adalah bernilai tinggi. Namun ia tetap dikekalkan dengan tidak membangunkannya untuk tujuan perdagangan semata-mata demi menjaga warisan kita. Sekian.

Rujukan :

  1. Amin Shakib, Feb 1997, Bukti Malaysia Boleh, Dewan Ekonomi
  2. Azman Abdul Hamid, 30 Jun 1999, Ekonomi Pulih Tanpa ‘Pil’ IMF, Berita Harian Internet
  3. Daliza Ariffin, 23 Jun 1999, Pelaburan Asing Terus Bertambah, Utusan Malaysia
  4. Mohd Zaini Hassan, 5 Mei 1995, Dunia Kagumi Pimpinan Malaysia, Utusan Malaysia
  5. Nawi Abdullah, Nov 1993, Memantapkan Ekonomi Malaysia, Dewan Masyarakat
  6. Nur Amirah Fatin, Feb 1997, MSC : Permulaan Yang Baik Untuk Malaysia, Dewan Ekonomi.
  7. P. Bala Kumar, 28 Mac 1995, Jurucakap Dunia Ketiga, Utusan Malaysia
  8. Tun Dato’ Seri Dr. Lim Chong Eu, 1997 Integrasi Nasional, Universiti Sains Malaysia
  9. Zaini Ujang, 14 Mac 1995, Kepimpinan Berwawasan, Utusan Malaysia
  10. Ratnawati Jamil, 26 Okt – 1 Nov 1996 Seni Bina Moden Bukan Bererti Meminggirkan Budaya, Majalah Massa
  11. Ruangan Saujana 13 – 19 Mac, Mangsa Dendam, Majalah Massa
  12. Thomas R.Detwyler, Melvin G. Marcus, Sulong Muhamammad, Pembandaran & Persekitaran, Geografi Fizikal Bandar, DBP 1985
  13. Kevin Lynch, The Image Of City, The Technology Press & Havard University Press 1960

 

HUJAH PEMBANGKANG

PEMBANGKANG 1 (6 MINIT)

  1. Membangkang Hujah Pencadang 1
  2. Sebagai pembangkang pertama, saya sama sekali tidak bersetuju dengan tajuk perbentangan kita pada pagi ini, iaitu Bandar Di Malaysia Menonjolkan Imej Yang Baik Untuk Negara. Kami barisan pembangkang dengan tegasnya berpendapat bahawa Bandar Di Malaysia Tidak Menonjolkan Imej Yang Baik Untuk Negara.

    Sebelum saya meneruskan hujah-hujah saya, saya ingin membangkang dahulu apa yang telah dikemukakan oleh pencadang pertama. Pencadang pertama telah menyatakan bahawa bandar di Malaysia menonjolkan imej yang baik untuk negara kerana masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum yang hidup dengan aman damai. Persoalannya adakah negara kita betul-betul menonjolkan dirinya sebagai sebuah masyarakat yang majmuk? Sedangkan sehingga kini masih wujud banyak ‘China Town’ dan ‘India Street’ di bandar-bandar kita, dan kebanyakan daripada kaum dalam negara kita masih memilih untuk hidup dalam kelompok-kelompok sendiri. Kajian telah mendapati bahawa imej negara kita sebagai sebuah masyarakat yang majmuk sebenarnya adalah sangat kabur terutamanya di kalangan pelancong-pelancong asing. Ini adalah disebabkan promosi pelancongan yang dijalankan di luar negara biasanya terlalu tertumpu kepada budaya-budaya sesetengah kaum yang tertentu sahaja. Pelancong-pelancong asing yang datang ke Malaysia kemudian akan mendapati bahawa masyarakat kita sebenarnya tidak menunjukkan kemajmukkan seperti yang dijangkakan kerana wujudnya perkelompokkan kaum di dalam bandar, misalnya orang cina adalah tertumpu di kawaasn perniagaan, orang India tertumpu pula kepada urusan pertukaran wang asing dan sebagainya.

    Di samping itu, pencadang pertama juga menyatakan bahawa bandar kita menonjolkan imej yang baik kerana kita bebas mengamalkan agama sendiri. Saya tidak menyangsikan bahawa rakyat negara kita memang diberi kebebasan untuk mengamalkan agama sendiri secara bebas. Tetapi apa yang menjadi persoalan sekali lagi ialah sama ada kebebasan mengamalkan agama ini dapat menonjolkan imej bandar yang baik dalam negara kita. Nampak jawapannya adalah pasti tidak kerana kita tidak dapat melihat hubungkait antara kedua-dua pekara ini. Sebaliknya kebanyakan bangunan agama kita adalah terletak jauh di antara satu sama lain untuk mengurangkan perselisihan yang mungkin berlaku. Sebagai contohnya, pada tahun lepas satu kes perselisihan faham telah berlaku di Pulau Pinang antara penganut agama Islam dengan penganut agama Hindu. Jadi adalah jelasnya kebebasan beragama tidak dapat menjadi satu alasan atau bukti yang kukuh untuk menunjukkan bahawa bandar di Malaysia menonjolkan imej yang baik untuk negara memandangkan peranannya adalah tidak jelas kelihatan di dalam bandar kita sendiri.

  3. Memberi Definisi Bandar & Imej

Sebelum memulakan hujah saya, ingin saya memberi definisi bandar sekali lagi iaitu ia merupakan satu penempatan yang mempunyai saiz dan populasi yang kukuh di mana terdapatnya kegiatan yang bukan pertanian seperti perindustrian dan perdagangan dijalankan. Di Malaysia bandar merupakan satu penempatan yang mempunyai saiz penduduk seramai minimumnya 10,000 orang.

Imej pula menurut kebanyakan ahli sarjana boleh disimpulkan sebagai gambaran mental atau tanggapan seseorang tentang sesuatu (benda/negara/destinasi/sekumpulan manusia).

Kevin Lynch dalam bukunya "The Image of The City" telah menyatakan unsur-unsur imej bandar yang baik termasuk:

  1. ‘Legibility’ – perihal mudah difahami coraknya, boleh dikenali, mempunyai sistem atau aturan yang terang dan sebagainya. Ia penting kerana memudahkan pergerakan seseorang.
  2. Imej untuk bangunan – terdapat imej umum bagi bandar.
  3. Struktur dan Identiti – terdapat identiti, struktur dan makna bagi bandar.
  4. ‘Imagebility/Visibility’ – terdapat identiti yang terang yang dapat dibayangkan oleh seseorang.

Bagaimanapun, kalau kita tanya sesama sendiri apa itu imej bandar yang baik, yang selalunya terlintas dalam fikiran kita ialah suasana yang bersih, harmoni, aman damai, sistem yang tersusun, dan juga keadaan yang tidak menimbulkan masalah. Sebagai contohnya Singapura merupakan sebuah bandar moden yang mempunyai imej bandar yang cukup baik kerana bandarnya bersih, cantik, sistematik dan sebagainya. Sebaliknya kalau kita lihat bandar-bandar di Malaysia, adalah didapati bahawa bandar kita mempunyai banyak masalah. Jadi adalah tidak wajar bagi kita menyatakan bahawa bandar di Malaysia menonjolkan imej yang baik untuk negara. Jika bandar kita yang banyak bermasalah ini boleh dikatakan menonjolkan imej yang baik maka tidak dapat lagi dipertikaikan bahawa terdapat terlalu banyak bandar yang mempunyai imej yang jauh lebih baik berbanding dengan negara kita.

  1. Hujah-Hujah Menyokong Pendirian Pihak Pembangkang
  1. Bandar di Malaysia tidak dapat menonjolkan imej yang baik kerana bandar kita telah dirancang lebih kepada tujuan untuk memenuhi keperluan ekonomi. Disebabkan terlalu tertumpu kepada aktiviti perdagangan, perindustrian dan perkhidmatan, maka bandar kita nampaknya penuh sesat dengan pusat membeli-belah, bangunan pejabat yang tinggi melampai, pelbagai pusat hiburan dan lain-lain lagi. Hal ini sebenarnya telah menyebabkan kekurangan kemudahan awam di dalam bandar yang lebih memanfaatkan penduduk-penduduk yang tinggal di dalamnya.
  2. Sebenarnya bandar tidak berfungsi sebagai pusat perdagangan dan komersil sahaja, tetapi boleh berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pusat pendidikan, pusat budaya dan sebagainya. Sebagai contohnya, Bandar Melaka yang terkenal sebagai Bandar Sejarah di negara kita telah semakin dikomersilkan dengan pembinaan banyak bangunan komersil dan perdagangan sehingga imejnya telah semakin kabur.

  3. Selain itu, bandar kita sepatut memainkan peranan sebagai pengerak dalam mengembangkan dan memangkinkan pembangunan bandar-bandar kecil lain di sekitarnya. Tetapi kini peranan bandar telah berubah sehingga bandar telah membawa satu imej yang buruk iaitu sebagai ‘parasit’. Akibat daripada ini bandar-bandar telah menjadi semakin maju dan berkembang, sedangkan bandar-bandar kecil di sekitar bandar telah semakin mundur dan mengecut. Segala sumber yang ada di bandar-bandar kecil telah digunakan untuk membangunkan bandar. Yang lebih teruk lagi ialah masalah penghijrahan golongan muda dari desa ke bandar yang menyebabkan pembangunan di desa semakin tergendala. Jadi saya ingin bertanya kepada pihak pencadang, adakah keadaan ini yang diingini oleh kita selama ini dan adakah ini imej bandar yang baik yang telah ditonjolkan oleh bandar-bandar kita?
  4. Di samping itu, sistem perancangan yang dijalankan di negara kita ialah perancangan ‘ad-hoc’ di mana perancangan kita dibuat dengan tujuan untuk memenuhi keperluan semasa sahaja tanpa mengambil kira masalah yang mungkin wujud di masa depan. Selalunya apabila masalah timbul barulah tindakan memperbaiki akan diambil dengan pengenalan perancangan yang baru. Dengan itulah, kita dapati bahawa pembinaan bangunan-bangunan komersil dan kawasan perumahan adalah tidak terkawal sehingga terjadi lebihan penawaran terutamanya pada masa kemelesatan ekonomi ini. Sebagai contohnya, Megamall yang dirancang dengan tanpa mengambilkira kepada keperluan penduduk setempat telah menyebabkan kebanyakan lot kedai di dalamnya tidak dapat disewakan keluar. Tidak kurang pula kita dapat lihat bahawa sistem jalan di Pulau Pinang yang sentiasa diubah antara jalan sehala dan dua hala yang sangat menyusahkan pengguna-pengguna jalan di bandar ini. Tidakkah dapat kita merancang dengan teliti dahulu sebelum melaksanakan apa-apa perancangan di dalam bandar kita supaya ia tidak menimbulkan masalah di masa depan ? Adakah dengan keadaan yang berlaku di bandar-bandar kita pada hari ini yang pihak pencadang masih ingin mengatakan bahawa bandar di Malaysia menonjolkan satu imej yang baik untuk negara kita ?

Oleh itu, sekali lagi di sini saya ingin menegaskan pendirian kami bahawa bandar di Malaysia tidak menonjolkan satu imej yang baik untuk negara sebaliknya imej bandar di negara kita adalah kabur dan kurang jelas.

PEMBANGKANG 3 (6 MINIT)

Sebelum ini saya ingin membangkang balik apa yang telah dibentangkan oleh pihak pencadang. Pembangunan fizikal seperti pembinaan lebur raya utara –selatan yang dikatakan telah dapat merapatkan hubungan manusia dan pembangunan tersebut dikatakan merupakan jalinan jalan raya yang terbaik di Asia telah memaparkan imej yang baik untuk negara. Tetapi cuba saudara-saudari merenung sekejap. Kita membina bandar untuk manusia atau membina bandar untuk kereta ?. Tidakkah saudara dan saudari terfikir bahawa pembinaan jalinan jalan raya tersebut telah mengasingkan banyak kampung yang sedia boleh berhubung antara satu sama lain dipaksakan berpisah dengan jalan raya yang melalui mereka. Mereka sebenarnya dapat berhubung antara satu sama lain, menjalankan perdagangan dan perniagaan antara mereka dipaksa berpisah dengan projek yang dijalankan. Di samping itu, penambahan bilangan kenderaan dalam lebuh raya telah menghasilkan masalah pencemaran yang serius. Kesesakan lalulintas turut menjadi masalah di bandar-bandar seperti GeorgeTown dan Kuala Lumpur, iaitu antara dua buah bandar yang paling menonjol di negara kita. Adakah ini dapat menonjolkan imej yang baik untuk negara ?

Di samping itu, dikatakan Kuala Lumpur telah mengambil usaha dalam penanaman landskap yang dapat menonjolkan imej negara. Tetapi mengapakah usaha sebegini diambil ? Tidakkah pihak pencadang tahu bahawa Kuala Lumpur telah menjadi salah satu bandar yang ditumbuhi dengan ‘hutan batu-bata dan hutan konkrit’. Hutan dan tumbuhan semulajadi telah digondolkan untuk pembangunan. Rambut telah dicabut baru nak tanam balik, dan ia mungkin tidak akan berjaya ataupun akan mengambil jangka masa yang panjang . Usaha sebegini memaparkan ketiadaan perancangan bandar yang sistematik. Walaupun usaha telah diambil, tetapi untuk keadaan yang sebenarnya, bandar tersebut memang telah meninggalkan satu imej yang tidak baik kepada orang.

Seterusnya, biarlah saya menyakinkan pihak pencadang bahawa bandar di Malaysia tidak menonjolkan imej yang baik untuk negara.

Hujah-hujah yang akan saya kemukakan termasuklah,

  1. Dualisme yang berlaku di bandar tidak menonjolkan imej yang baik untuk negara. Kebanyakan bandar di Malaysia telah wujudnya masalah kemiskinan relatif yang genting. Contohnya, banyak ‘slum area’ atau kawasan setinggan terkepung dalam bandar akibat ketidakmampuan bandar tersebut menghasilkan penawaran pekerjaan untuk penduduk migrasi dari luar bandar dan pertambahan penduduk sendiri dalam bandar. Adakah kewujudan kawasan setinggan dalam bandar tersebut dapat menonjolkan imej yang baik untuk negara?
  2. Kemakmuran dan kemajuan yang dicapai oleh negara tidak bermakna, jika taraf kebajikan rakyat rendah. Kemakmuran dan kemajuan negara tidak bermakna, jika terdapat jurang kebajikan yang luas antar golongan berada dan kaya dengan gologan miskin yang terus mewarisi kemiskinan. Kemakmuran dan kemajuan yang menjadi lambang pembangunan tidak akan bermakna, sekiranya kebajikan sebahagian besar kehidupan rakyat terabai.

    Dualisme tersebut telah melanjutkan masalah sosial lain seperti wujudnya golongan pengemis yang banyak yang duduk atau bersandar di jejantas yang meminta sedekah dari orang lain khasnya pelancong asing. Adakah ini dapat menonjolkan imej yang baik untuk negara??

    Jawapannya tidak, cuba pihak pencadang membayangkan diri kamu berada dalam bandar sedemikian, apakah imej dan tanggapan yang terdapat dalam otak kamu. Adakah negara ini tidak dapat menjaga kebajikan golongan tersebut ? Bagaimanakah sistem kerajaan negara tersebut?? Ataupun harap-harap budak yang mengemis itu jangan mendekati saya, ataupun terus terfikir tentang ketidakseimbangan yang wujud dalam bandar tersebut. Kesimpulannya, saudara – saudari tidak akan menafikan bahawa telah terdapat satu imej buruk terhadap bandar tersebut dan negara tersebut. Ataupun dengan jelasnya bandar itu telah tidak dapat menonjolkan imej yang baik untuk negara.

  3. Hujah yang akan saya bentangkan seterusnya berkenaan dengan budaya pemandu jalanraya di bandar kita. Gelagat tidak bersabar-sabar boleh didapati dalam keadaan jalan raya di bandar kita. Kebanyakan pemandu tidak sabar dan mempunyai gelagat angkuh, rakus dan berbahaya. Fenomena ini senantiasa boleh didapati daripada kalangan pemandu bas awam dan pemandu persendirian.
  4. Kamu mesti mempunyai otak yang agak cergas dan tindak balas yang pantas terutama jika kamu menunggu di lampu isyarat. Seminit lambat sahaja kamu akan terdengar bunyi hon kereta yang mengejutkan anda. Kalau lama tinggal dalam bandar seperti ini, tentu hati dan emosi anda mudah terganggu. Ini mencorakkan keadaan di bandar kita. Bising, tidak sopan , tidak sabar dan tidak bertolak ansur. Seterusnya, ia turut mencerminkan sistem perancangan bandar di negara kita. Satu sistem perancangan dan pengurusan lalulintas yang tidak terancang. Jalan di bandar raya Georgetown yang sentiasa diubah. Dari dua hala ke satu hala atau sebaliknya. Adakah keadaan seperti ini dapat menonjolkan imej yang baik untuk negara ???? Jawapannya tentulah tidak.

  5. Hujah seterusnya cuba kami meninjau masalah pembuangan sampah dalam bandar kita. Di bawah papan tanda Hukuman Denda RM 500, terhimpun sampah yang setinggi bukit. Di tepi tong sampah berseleraknya sampah-sarap. Longkang tersumbat kerana sampah berkumpul. Backlane kedai dan rumah dijadikan lapangan pembuangan sampah sarap. Penghuni bandar kita telah menolong membentuk satu tempat penginapan untuk nyamuk Ades. Mengapakah masalah denggi di negara kita tidak pernah lenyap dalam sejarah negara?? Adakah saudara dan saudari terfikir bahawa sikap penghuni yang tidak menjaga kebersihan lansung dalam negara.

Cuba kita renung kembali Perayaan Penyambutan Hari kemerdekaan yang berlangsung di padang Minden U.S.M, cuba kita renung kembali ‘ Penang Bridge Run’ Pulan Pinang, selepas tamatnya temasya tersebut, apa yang tertinggal, sampah merata-merata di padang tersebut? Adakah ini dapat menonjolkan imej yang baik untuk negara. Jawapannya masih tidak. Jadi jelaslah bahawa bandar di Malaysia tidak dapat menonjolkan imej yang baik untuk negara.

PENGULUNG (6 MINIT)

Saya ingin menekankan bahawa pendirian kumpulan kami adalah bandar di Malaysia tidak menonjolkan imej yang baik untuk negara dan bukannya bandar di Malaysia menonjolkan imej yang tidak baik untuk negara. Harap pihak pencadang dapat membezakannya. Pendirian kumpulan kami membawa makna bandar di Malaysia tidak dapat menonjolkan imejnya yang baik tetapi ia tidak bermakna bahawa bandar-bandar di Malaysia secara keseluruhannya mempunyai imej yang tidak baik (atau negetif) atau dengan kata lain bahawa bandar-bandar di Malaysia berimej tidak baik. Sebaliknya ia bermaksud bahawa bandar-bandar ini juga ada imej baik tetapi ia tidak jelas atau tidak menonjol.

Terlebih dahulu saya ingin memperbincangkan secara mendalam tentang unsur-unsur imej bandar yang baik yang telah dinyatakan oleh Kevin Lynch dalam bukunya The Image of The City, supaya pihak pencadang akan lebih memahami apakah yang dikatakan sebagai imej yang baik dalam konteks built environment. Menurut Kevin Lynch, unsur-unsur imej bandar yang baik adalah termasuk legebility, imej untuk bangunan, struktur dan identiti serta imagebiliti atau visibility.

Legebility bermakna ia boleh dikenali, mempunyai sistem atau aturan yang terang, nyata dan mudah difahami terutama dari segi coraknya. Dengan kata lain, bermakna corak yang terdapat dalam suatu ruang bandar itu mesti mudah dikenali dan diingati, seperti yang telah dinyatakan oleh Kevin Lynch dalam City Sense and City Design. Ini penting supaya seseorang individu tersebut tidak akan sesat malahan ia memudahkan pergerakan seseorang serta mempercepatkan pergerakan. Timbul persoalan adakah unsur ini kelihatan dengan jelas di bandar-bandar kita? Jawapan kumpulan kami iaitu pembangkang adalah tidak sebagai mana yang telah diperbahaskan oleh pembangkang ketiga tentang sistem lalulintasan dan rangkaian di George Town.

Legebility bertujuan supaya kita berperasaan bahawa kita berada di dalam rumah (ruang) dan dapat berfungsi dengan senang. Oleh itu persekitaran kita perlu boleh dibaca bagaikan satu sistem petunjuk (system of sign). Jadi, ia perlu ada perhubungan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain untuk menempatkan lokasinya dari segi masa dan ruang, supaya dapat memahami fungsinya, aktiviti yang terkandung dalamnya dan keadaan sosial penggunanya. Apabila sesebuah bandar itu kekurangan perhubungan antara satu sama lain, maka ketidakperkaitan ini akan menyebabkan kita rasa terasing, iaitu akan hilang dalam persekitaran yang tidak dapat berdialog. Selain dari segi kepentingan keselamatan perasaan (emotional security) ia juga penting dari segi pembangunan diri (individual growth).

Imej untuk bangunan menekankan imej umum (public image) iaitu the common mental pictures carried by large number of a city’s inhabitants area of agreement which might be expected to appear in the interaction of a single physical reality, a common culture and a basic physiological nature. Jadi, cuba kita tanya penghuninya adalah bandar-bandar di Malaysia mempunyai unsur ini dan apakah public image yang kita peroleh? Sudah tentu ini sukar dijawab oleh penghuninya kerana bandar-bandar kita memang kekurangan public image malahan tiada. Sebagai contoh, apakah public image yang terdapat di bandar Kuala Lumpur? Jawapannya adalah imej antarabangsa (global). Kenyataan ini dibuat memandangkan bandar Kuala Lumpur tidak berbeza dengan bandar New York, bandar Shanghai, bandar Singapura atau pun bandar Hong Kong. Walau pun, kenyataan di atas tidak sesuai bagi bandar George Town dan Melaka tetapi permasalahan yang timbul ialah ia tidak menonjol. Oleh itu, sebagai pengulung saya sama sekali tidak bersetuju dengan pendirian pencadang pada pagi ini, iaitu bandar di Malaysia menonjolkan imej yang baik untuk negara. Kami barisan pembangkang dengan tegasnya berpendapat bahawa bandar di Malaysia tidak menonjolkan imej yang baik untuk negara.

Dari segi struktur dan identiti pula Kevin Lynch memperbincangkannya dari tiga sudut iaitu identiti, struktur dan makna (meaning). Identiti dan struktur adalah termasuk visual sensation (perasaan visual) terhadap warna, bentuk, gerak, sentuhan, bunyi dan bau. Makna (meaning) pula termasuk amalan (practical), perasaan (emotional) dan perhubngan (relation). Selain itu, makna juga termasuk makna sosial (social meaning) yang juga termasuk fungsi, aktiviti, struktur masyarakat, nilai masyarakat dan sejarah. Jadi, identiti yang dibincangkan adalah terbahagi kepada dua iaitu identiti manusia dan alam. Jika sesuatu tempat itu mempunyai imej yang kuat maka ia akan memberikan satu sokongan gambaran yang kuat ke atas identiti kumpulan (group identity). Tetapi keadaan ini kurang menonjol di negara kita, sebagai contoh rekabentuk bangunan tol kita yang tidak mempertimbangkan dan mengambilkira tentang identiti tempatan. Didapati kesemua rekabentuknya adalah sama, oleh kerana ini apabila seseorang pengguna telah melepasi sempadan negeri tidak akan sedar bahawa dirinya telah melepasi sempadan melainkan terdapat petunjuk jalan. Jadi, dengan jelas dapat kita buktikan sekali lagi bahawa bandar di Malaysia tidak menonjolkan imej yang baik untuk negara. Oleh itu, ia bertentangan dengan pendirian pihak pencadang iaitu identiti masyarakat majmuk negara kita adalah menonjol. Ingin saya menanya kepada pihak pencadang di manakah pendirian mereka setelah mendengari perbahasan kami?

Imagebiliti atau visibility adalah anality in a physical object which gives it a high probability of evoking a strong image in any given observers. Ia termasuk bentuk, warna dan aturan (arrangement) yang menyebabkan adanya identiti yang terang dan nyata atau jelas (vividly identified). Ia juga perlu mempunyai struktur yang berkesan (powerful structured) dan penggunaan imaginasi mental yang tinggi ke atas persekitaran (useful mental image of the environment). Contoh bandar-bandar yang mempunyai imagebiliti atau visibility yang baik adalah Vinece, Bali, Tibet, Boston, Paris dan San Francisco. Tetapi dalam kes sebahagian besar bandar-bandar di Malaysia, imej yang telah kita tonjolkan adalah imej global. Ini berikutan kekeliruan kita terhadap pembangunan. Terdapat sesetengah golongan yang beranggapan bahawa adanya bangunan tinggi maka adanya perbandaran.

Identiti yang terdapat dalam sesebuah bandar seharusnya kuat terutama dari segi identiti visualnya supaya dapat memperbezakannya dari bandar yang lain malahan ia mudah dikenali dan diingati. Tetapi di dalam bandar yang sama imejnya tidak boleh pula terlalu berbeza supaya adnya sence of place. Pihak pencadang pertama ada menyatakan bahawa masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum Persoalannya sejauh manakah identiti masyarakat majmuk tertonjol sebagai imej negara kita seperti yang diperbincangkan oleh pembangkang pertama?

Ingin saya mengigati para hadirin sekali lagi bahawa pendirian kumpulan kami adalah bandar di Malaysia tidak menonjolkan imej yang baik untuk negara. Didapati perancangan kini adalah tidak berskalakan manusia. Keadaan ini berlaku terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Baharu. Ini telah melahirkan perasaan terasing. Di Amarika, bangunan tinggi telah dikatakan sebagai satu perancangan yang gagal sebab ia terlalu isolated iaitu ia tidak mempunyai pertalian dengan ruang bandar yang lain.

Puvan J. Selvanathan pernah menyatakan bahawa bandar-bandar di Malaysia kekurangan identity-by-skyline. Beliau mengatakan bahawa bandar Kuala Lumpur tidak memerlukan KLCC yang sebegitu tinggi kerana masalah kekurangan tanah tidak dihadapi seperti di Manhattan dan Singapura. Jadi persoalan saya kepada pihak pencadang adakah perancangan sebegini hanya untuk membukti kepada mata dunia bahawa negara kita mengalami pembangunan dan pertumbuhan? Mengapa pula wang ringgit yang dipunyai tidak disalurkan untuk perancangan sosial sebagai mana yang telah dinyatakan oleh pengulung pihak pencadang?

Kekeliruan wujud, manusia ingat bahawa imej untuk bandar mesti bangunan tinggi. Contohnya di bandar Kuching, Sarawak di dapati bangunan tinggi kian banyak didirikan sedangkan bandar ini tidak menghadapi masalah keluasan tanah untuk tujuan pembangunan.

Le Corbusier pula memperbincangkan the pack donkey’s way dan man’s way. The pack donkey’s way mempunyai ciri-ciri berikut iaitu merayau-rayau di sepanjang pejalannanya, merenung, berselerak pemikirannya dan binggng serta mudah diganggu oleh fashion. Dia berjalan secara bengkang-bengkok untuk elak batu besar, atau untuk tujuan menyenangkan pemanjatannya dan segala halangan yang terdapat di hadapannya. Man’s way pula sebaliknya. Jadi, persoalannya bukankah perancangan lalulintas dan rangkaian di bandar-bandar kita menonjolkan unsur ini? Contohnya seperti yang telah dibincangkan oleh pembangkang ketiga. Contoh yang seterusnya ialah tentang pembinaan lebuhraya lingkaran luar di bandar Kuala Lumpur. Mengapakah kesedaran wujud setelah begitu lama bukankah perancangan awal sudah mengenali masalah ini hasil daripada pengalaman bandar-bandar dunia lain. Maka, cuba para hadirin fikirkan adakah wajar jika kita mengatakan bahawa bandar di Malaysia menonjolkan imej yang baik untuk negara? Sudah tentunya tidak.

Pihak pencadang telah mengatakan bahawa perbahasan pembangkang (kumpulan kami) terlalu menekankan kepada aspek fizikal, tetapi kenyataan ini adalah salah memandangkan bahawa pihak pencadang kurang jelas tentang unsur-unsur imej bandar yang baik yang telah diperbincangkan terlebih dahulu. Perlu ditegaskan bahawa imej yang kita (pembangkang) bincangkan adalah merangkumi public image, identity dan social meaning yang berkait rapat dengan sosial masyarakat. Persoalan yang seterusnya ialah adakah pihak pencadang sedar bahawa perancangan fizikal mempunyai perkaitan yang rapat dengan tingkah laku manusia dan ia adalah saling mempengaruhi?

Selain daripada itu, imej bandar-bandar kecil di Malaysia juga kabur dan tidak menonjol seperti bandar-bandar kecil di Eropah dan Jepun. Di luar negara kebanyakan bandar-bandar kecil adalah destinasi percutian yang digemari oleh masyarakat tempatan memandagkan keistimewaannya dari segi sistem masyarakat dan pemandangannya. Walau pun, bandar-bandar kecil kita mempunyai identiti, sistem masyarakatnya yang tersendiri dan permandangan yang cantik serta persekitarannya yang sunyi dan tenang tetapi ia kini sedang menhadapi kesan limpahan pembangunan bandar-bandar besar yang tidak terkawal yang seterusnya telah menyebabkan bandar-bandar kecil ini ditelani oleh arus pembangunan.

Sebelum mengakhiri perbahasan ini saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan satu persoalan kepada pihak pencadang iaitu tentang kebebasan beragama. Pihak pencadang pertama ada menyatakan bahawa bandar kita menonjolkan imej yang baik kerana rakyatnya bebas mengamalkan agama sendiri. Bukankah ini merupakan hak rakyat dan kebebasan asas yang patut ada pada setiap negara demokrasi? Selain itu, saya juga mempunyai persoalan itu pihak pencadang kedua iaitu tentang usaha DBKL dalam mengindahkan kembali permandangan bandaraya Kuala Lumpur dengan mengadakan program landskap, sedar tak pihak pencadang bahawa disebabkan oleh imej bandar kita yang kurang menonjol maka pihak pentadbir kini berusaha mengembalikankan. Malahan, disebabkan kekurangan imej yang menonjol maka pihak DBKL terpaksa berusaha merekabentuk (mencipta) satu imej baru untuk bandar Kuala Lumpur iaitu Imej Bandar Bercahaya. Jadi adaakah bandar-bandar di Malysia tidak menonjolkan imej yang baik untuk negara? Jawapannya sudah tentunya.

Hasil daripada perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa bandar-bandar kita mempertunjukkan banyak kekeburan, kekeliruan dan ketiadaan pertalian. Maka dapat dirumuskan bahawa pendirian kami iaitu bandar-bandar di Malysia tidak menonjolkan imej yang baik untuk negara adalah tepat sama sekali.

Sekian terima kasih.