(Fatal road accidents and the implications on manpower losses in Malaysia)
Oleh Nurwati Badarulzaman Kertaskerja dibentangkan dalam Seminar Sehari Keselamatan Jalan Raya, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang 4 April 1996
| A B S T R A K |
Fenomena kemalangan jalan raya di Malaysia semakin hari semakin ketara. Jumlah kecederaan ringan dan parah serta kematian akibat kemalangan jalan raya juga terus meningkat. Kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya memang mempunyai banyak implikasi terhadap keluarga mangsa secara khususnya dan kepada negara pada keseluruhannya. Implikasi yang paling jelas ialah dari segi kos kehilangan tenaga kerja. Kertas kerja ini memperincikan kos kehilangan tenaga kerja kepada pendapatan negara atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Analisis kos kehilangan tenaga kerja mengikut ganjaran gaji yang diterima dalam sehari menunjukkan kerugian yang ditanggung oleh negara bernilai jutaan ringgit.Kos kehilangan tenaga pekerja yang produktif dan berpotensi kepada negara amatlah besar dan perlu dipertimbangkan secara serius. Kemajuan negara mungkin terjejas dalam tempoh jangkamasa yang panjang sekiranya tren kematian akibat kemalangan jalan raya ini berterusan. Usaha yang positif perlu digabungkan oleh semua pihak sama ada pihak pengurusan atau pengguna untuk mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya Malaysia ke tahap yang paling minimum.
| 1.0 PENDAHULUAN |
Fenomena kemalangan jalan raya di Malaysia sejak akhir-akhir ini menjadi semakin berleluasa. Saban hari media cetak dan elektronik menyajikan berita kemalangan jalan raya yang mengerikan dan menyayat hati. Mangsa kemalangan jalan raya juga tidak mengenal usia sama ada golongan tua, dewasa, remaja ataupun kanak-kanak. Akibat daripada kemalangan jalan raya tersebut, mangsa akan mengalami kecederaan yang parah atau ringan atau mungkin terus menemui kematian. Pelbagai kesan berikutan kemalangan itu sama ada dari segi fizikal, mental atau emosi akan terus menghantui mangsa yang bernasib baik terselamat daripada maut. Namun, kesan kehilangan nyawa terhadap tenaga kerja dalam negara secara keseluruhannya perlu dipertimbangkan secara lebih mendalam.
Kertas kerja ini membincangkan kemalangan jalan raya di Malaysia yang telah mengakibatkan insiden kematian iaitu kemalangan maut dan menghubungkaitkan insiden kematian itu dengan implikasinya terhadap kos kehilangan tenaga kerja di Malaysia. Statistik kemalangan jalan raya Malaysia sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa lebih daripada 50% mangsa kemalangan terdiri daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 20-35 tahun. Mereka ini merupakan golongan peringkat usia yang paling produktif dan berpotensi dari segi tenaga kerjanya. Mereka mempunyai tempoh masa antara 20-35 tahun lagi untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara dalam apa jua bidang pekerjaan. Oleh yang demikian kehilangan nyawa golongan yang produktif ini akibat kemalangan jalan raya mempunyai implikasi yang amat besar kepada produktiviti tenaga kerja negara. Kematian secara mengejut (untimely death) akibat kemalangan jalanraya menimbulkan kesan yang negatif kepada produktiviti negara. Kemajuan negara mungkin terjejas dalam tempoh jangkamasa yang panjang seandainya tren kematian akibat kemalangan jalan raya ini berterusan.
| 2.0 SENARIO KEMALANGAN JALAN RAYA DAN TENAGA KERJA DI MALAYSIA |
Malaysia pada hari ini mempunyai jalinan infrastruktur jalan raya yang serba moden dan adalah antara rangkaian jalan raya yang terbaik di Asia Tenggara. Namun statistik kemalangan jalan raya di Malaysia (Laporan Polis DiRaja Malaysia,1990-1995) menunjukkan bahawa kadar kemalangan jalan raya di Malaysia semakin meningkat dan membimbangkan.
Dalam tempoh 1990-1995 bilangan kemalangan jalan raya meningkat sebanyak 84.7% iaitu pertambahan sebanyak 74,492 kemalangan. Angka kematian turut bertambah sebanyak 41.1% iaitu peningkatan sebanyak 1,664 kematian. Jika diteliti jumlah orang yang terbabit dalam kemalangan jalan raya dari 1990-1994 peratus jumlah kematian telah berkurangan sedikit daripada 13.6% pada 1990 kepada 10.6% pada tahun 1994. Namun begitu jumlah sebenar kematian akibat jalan raya masih tinggi iaitu 5,712 orang pada 1995 sahaja. Sekiranya mangsa berusia dalam lingkungan umur yang produktif dari segi ekonomi, maka kos kehilangan nyawa kepada tenaga kerja negara nyata amat besar.
Laporan Rancangan Malaysia Ke 6 menganggarkan penduduk Malaysia berjumlah 20.26 juta orang pada 1995. Jumlah tenaga kerja (workforce) berjumlah 8.11 juta orang dan jumlah sebenar yang bekerja atau gunatenaga (employment) ialah 7.75 juta orang. Sekiranya mereka yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya berusia antara 20-35 tahun maka jumlah orang yang terlibat dalam kemalangan maut pada 1990 iaitu seramai 4,048 orang merupakan 0.05% daripada tenaga kerja di Malaysia. Sementara pada 1995 pula jumlah yang mati dalam kemalangan jalan raya iaitu seramai 5,712 orang adalah 0.07% daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia. Oleh kerana golongan majoriti yang terlibat dalam kemalangan berusia 20-35 tahun negara akan mengalami kerugian yang besar akibat kehilangan keupayaan kerja daripada tenaga kerjanya.
| 3.0 SENARIO KEMALANGAN JALAN RAYA DI PULAU PINANG |
Secara keseluruhannya jumlah kemalangan jalan raya di negeri Pulau Pinang telah meningkat daripada 11,703 kejadian pada 1993 kepada 14,206 kejadian pada 1995. Jumlah kematian, kecederaan parah dan kecederaan ringan juga turut bertambah seperti yang ditunjukkan di dalam Jadual 1. Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh tersebut iaitu seramai 1,098 orang boleh dianggap satu kos atau kerugian terhadap keupayaan tenaga kerja di Pulau Pinang.
Tahun |
Bilangan Kemalangan |
Bilangan kematian |
Bilangan cedera parah |
Bilangan Cedera ringan |
1993 |
11,703 |
303 |
771 |
4,180 |
1994 |
13,086 |
384 |
803 |
4,706 |
1995 |
14,206 |
411 |
1,310 |
4,611 |
Jumlah |
38,995 |
1,098 |
2,884 |
13,497 |
Sumber: Laporan Perangkaan Jabatan Polis Pulau Pinang (1993-1995)
Taburan jenis kenderaan yang sering terlibat dalam kemalangan di Pulau Pinang ditunjukkan dalam Jadual 2. Kemalangan seringkali melibatkan motokar (47.4%), motosikal (33.5%) & Van/Lori (11.0%). Namun kemalangan yang melibatkan motosikal lebih kerap merupakan kemalangan maut iaitu 60% pada puratanya. Jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan mempunyai hubungkait dengan kadar penggunaan kenderaan tersebut di jalan raya. Motokar merupakan kenderaan yang terbanyak menggunakan jalan raya di Pulau Pinang.
Kenderaan |
1994 |
% |
1995 |
% |
| Motokar | 11,225 |
49.3 |
12,266 |
47.4 |
| Motosikal | 7,605 |
33.4 |
8,680 |
33.5 |
| Van/Lori | 2,583 |
11.3 |
2,841 |
11.0 |
| Bas | 835 |
3.7 |
1,017 |
3.9 |
| Teksi | 169 |
0.7 |
199 |
0.8 |
| Lain-Lain | 357 |
1.6 |
897 |
3.4 |
| Jumlah | 22,774 |
100.0 |
25,900 |
100.0 |
Jadual 3 menunjukkan rangkaian jalan raya di Pulau Pinang yang dikenalpasti sebagai kawasan yang sering berlaku kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian. Statistik ini adalah berdasarkan kepada 299 kejadian kemalangan maut pada 1995 yang menyebabkan 411 kematian.
Rank |
Nama Jalan |
Daerah |
Bilangan Kemalangan Maut |
1 |
Jln. Perusahaan Perai | Butterworth, Seberang Perai Utara | 20 |
2 |
Jln. Ampang Jaja | Butterworth, Seberang Perai Utara | 17 |
3 |
Jln. Sultan Azlan Shah | Pulau Pinang | 14 |
4 |
Km 136.8 LB.Utara-Selatan |
Bukit Mertajam | 12 |
5 |
Jln. Jelutong | Timur Laut, P. Pinang | 10 |
6 |
Jln. Chain Ferry | Butterworth | 9 |
7 |
Km 116.5-124.1 LB.Utara-Selatan | Butterworth | 8 |
8 |
Lebuhraya
Seberang Perai Selatan |
Nibong Tebal | 6 |
9 |
Jln. Air Itam | Pulau Pinang | 6 |
10 |
Jln. Permatang Nibong | Bukit Mertajam | 6 |
11 |
Jln. Masjid Negeri | Timur Laut, P. Pinang | 4 |
12 |
Jln. Bukit Mertajam | Bukit Mertajam | 4 |
13 |
Jln. Permatang Pauh | Seberang Perai Utara | 3 |
14 |
Jln. Kampong Gajah | Seberang Perai Utara | 3 |
15 |
Jln. Machang Bubuk | Seberang Perai Utara | 3 |
16 |
Jambatan P. Pinang | Pulau Pinang | 3 |
17 |
Jln. Batu Ferringhi | Barat Daya, P. Pinang | 3 |
18 |
Km 33, Jalan Besar | Nibong Tebal | 2 |
19 |
Jln. Sultan Azlan Shah & Bulatan Bayan Baru | Pulau Pinang | 2 |
20 |
Jln. Mount Eskrine | Timur Laut, P. Pinang | 2 |
21 |
Jln. Dato' Keramat | Pulau Pinang | 2 |
22 |
Lain-lain | - | 160 |
Jumlah Kemalangan Maut |
299 |
||
Bilangan Kematian |
411 |
||
Sumber: Laporan Perangkaan Jabatan Polis Pulau Pinang 1995
Jadual 3 menunjukkan bahawa Jalan Perusahaan Perai dan Ampang Jaja yang terletak di daerah Butterworth, Seberang Perai Utara, merupakan rangkaian jalan raya yang paling berbahaya kepada lalulintas. Masing-masing mencatatkan 20 & 17 kejadian kemalangan maut pada 1995. Jalan Sultan Azlan Shah pula adalah jalan raya paling berbahaya di kawasan Barat Daya Pulau Pinang dengan 14 kejadian kemalangan maut pada 1995. Jalan-jalan yang dikenalpasti sebagai jalan raya yang berbahaya ini seringkali merupakan laluan utama yang mengendalikan kapasiti lalulintas yang tinggi.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan jalan-jalan ini menjadi laluan yang berbahaya kepada pengguna-pengguna. Sebagai contoh Jalan Perusahaan Perai adalah jalan keluar-masuk yang utama bagi kawasan perindustrian Perai yang amat pesat membangun. Laluan ini selalu digunakan oleh pelbagai jenis kenderaan perusahaan seperti lori kontena, kenderaan penumpang seperti bas dan van serta kenderaan persendirian seperti motosikal dan motokar. Kadar penggunaan jalan yang tinggi ini besar kemungkinan menjadi faktor penyebab yang menyumbang kepada kejadian kemalangan maut di jalan-jalan ini.
Walaupun pepatah ada mengatakan bahawa malang itu tidak berbau tetapi di dalam banyak keadaan sesuatu kejadian kemalangan maut itu dapat dielakkan sekiranya pengguna jalan raya mengamalkan sikap berhati-hati dan pemanduan berhemat. Langkah-langkah yang positif perlu diambil oleh pihak yang tertentu untuk mengurangkan kadar ke tahap yang paling minimum. Ini kerana kos yang terpaksa ditanggung oleh pihak yang terlibat secara langsung dalam kemalangan tersebut khususnya dan kos kehilangan tenaga kerja kepada negara pada amnya amat besar.
| 4.0 IMPLIKASI KEMALANGAN MAUT TERHADAP TENAGA KERJA |
Sehingga hari ini Malaysia telah kehilangan banyak nyawa yang berharga di jalan-jalan raya. Dalam tempoh 1990 hingga Jun 1995 sebanyak 206,951 orang telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Daripada jumlah tersebut sebanyak 27,683 orang (13.4%) telah menemui ajal mereka. Kemalangan maut membawa pelbagai implikasi kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Salah satu daripada implikasi yang utama ialah kerugian dari segi kehilangan tenaga kerja yang aktif dan berpotensi dalam industri. Dalam era pembangunan negara yang begitu pesat dewasa ini dan keperluan mengambil tenaga buruh asing untuk menampung tenaga kerja sedia ada dalam negara Malaysia tidak mampu untuk kehilangan terlalu banyak nyawa di jalan raya di kalangan rakyatnya sendiri. Kematian ini mempunyai kos yang amat besar dari segi sumbangan tenaga kerja. Jumlah sumbangan tenaga kerja ini adalah berdasarkan kepada ganjaran gaji yang diterima oleh pekerja tersebut selama dia berada dalam tempoh perkhidmatan.
Suatu formula telah dibentuk untuk mengira kos kehilangan tenaga kerja kepada negara akibat kemalangan maut di jalan raya. Andaian yang digunakan ialah seseorang bekerja selama 25 hari dalam sebulan (300 hari dalam setahun) dan menerima ganjaran sebanyak RM Y/hari. Kos kehilangan tenaga kerja bagi seorang pekerja dalam setahun boleh ditentukan dengan menggunakan formula berikut:
| Bilangan hari bekerja dalam sebulan (25 hari) | x | Gaji sehari (RM) |
x | 12 bulan | = | Kos kehilangan tenagakerja setahun iaitu jumlah gaji diterima dalam setahun |
Bilangan hari bekerja dalam sebulan |
Gaji sehari (RM) |
Gaji sebulan (RM) |
Gaji setahun (RM x 12 bulan) |
25 |
10 |
250 |
3,000 |
25 |
20 |
500 |
6,000 |
25 |
30 |
750 |
9,000 |
25 |
40 |
1,000 |
12,000 |
25 |
50 |
1,250 |
15,000 |
25 |
60 |
1,500 |
18,000 |
25 |
70 |
1,750 |
21,000 |
25 |
80 |
2,000 |
24,000 |
25 |
90 |
2,250 |
27,000 |
25 |
100 |
2,500 |
30,000 |
25 |
150++ |
3,750++ |
45,000++ |
*Nota: Jumlah hari bekerja tidak termasuk cuti hari Ahad dan kelepasan am.
Jadual 4 menunjukkan senarai kos kehilangan tenaga kerja dalam setahun bagi seorang pekerja yang menerima ganjaran gaji dalam kategori tertentu. Bagi pekerja yang mendapat gaji RM10 sehari, kematian beliau menyebabkan kerugian sebanyak RM3,000 setahun kepada pendapatan negara sementara pekerja yang bergaji RM50 sehari pula, kematian beliau membawa kerugian bernilai RM15,000 setahun kepada KDNK negara. Analisis ini menunjukkan bahawa kerugian yang ditanggung amat besar dan membawa implikasi negatif kepada keupayaan tenaga kerja negara. Ini kerana perkhidmatan pekerja tersebut terhenti serta merta & mengurangkan jumlah sumbangan kepada KDNK.
Sebagai contoh sekiranya 411 orang yang menemui kematian akibat kemalangan jalan raya di Pulau Pinang pada 1995 diandaikan sedang bekerja dengan ganjaran gaji RM50 sehari, jumlah kerugian kos tenaga kerja adalah seperti berikut:
| Bilangan pekerja terkorban dalam kemalangan jalan raya | x |
Bilangan hari bekerja sebulan | x |
Gaji sehari (RM) | x |
12 bulan | = |
Kos kehilangan tenagakerja setahun iaitu jumlah gaji diterima dalam setahun |
| 411 pekerja | X |
25 hari |
X |
RM50 |
X |
12 bulan | = |
RM6,165,000 |
Kerugian sebanyak RM6.165 juta dalam bentuk sumbangan tenaga kerja ditanggung oleh negeri Pulau Pinang pada 1995 sahaja kerana kematian 411 orang dalam kemalangan jalan raya. Dalam tempoh 10 tahun akan datang kerugian akan berjumlah RM61.65 juta sekiranya angka kematian terus dikekalkan pada tahap sekarang.
Kos kehilangan tenaga kerja di peringkat negara mungkin lebih besar lagi dan bernilai berjuta-juta ringgit setahun. Ini dapat ditunjukkan dalam pengiraan berikut dimana seramai 5,712 orang meninggal dunia akibat kemalangan pada 1995. Andaian yang dibuat ialah kesemua mereka yang terbunuh itu bekerja dan mendapat ganjaran gaji sebanyak RM50 sehari. Jumlah kos kehilangan tenaga kerja setahun bernilai RM85.68 juta.
| Bilangan pekerja terkorban dalam kemalangan jalan raya | x |
Bilangan hari bekerja sebulan | x |
Gaji sehari (RM) | x |
12 bulan | = |
Kos kehilangan tenagakerja setahun iaitu jumlah gaji diterima dalam setahun |
| 5,712 pekerja | X |
25 hari |
X |
RM50 |
X |
12 bulan | = |
RM85,680,000 |
Dengan itu dapat disimpulkan bahawa implikasi kos kehilangan tenaga kerja akibat kemalangan jalan raya adalah amat serius. Jika tindakan yang sewajarnya tidak diambil untuk membendung keadaan ini, implikasinya akan bertambah buruk lagi di masa-masa akan datang.
| 5.0 RUMUSAN |
Kertas kerja ini memberi tumpuan yang khusus kepada implikasi kos kehilangan tenaga kerja kepada pendapatan negara (KDNK) akibat kematian di jalan raya. Jumlah kerugian yang ditanggung oleh negara akibat kemalangan maut memang besar hingga mencapai angka jutaan ringgit. Di samping itu tidak dinafikan terdapat beberapa implikasi yang implicit akibat kemalangan maut seperti kehilangan harta, kehilangan masa dan kesan sosial terhadap masyarakat. Kos-kos ini juga membabitkan nilai yang besar sekiranya ditukar dalam bentuk ganjaran kewangan.
Penganalisisan kos kehilangan tenaga kerja akibat kemalangan jalan raya ini telah menunjukkan kesan kerugian yang tinggi kepada negara. Oleh itu usaha-usaha yang lebih tegas perlu diambil oleh semua pihak sama ada pihak pengurusan lalulintas mahupun pihak pengguna jalan raya untuk mengurangkan kadar kemalangan. Mangsa yang menjadi korban jalan raya mungkin akibat kecuaian mereka sendiri tetapi kecuaian boleh diatasi dengan pendidikan mengenai cara-cara mengelakkan kemalangan. Satu usaha yang menyeluruh amat perlu supaya negara tidak menanggung kerugian kehilangan tenaga kerja yang berterusan.
| 6.0 RUJUKAN |
Laporan Perangkaan Jabatan Polis Pulau Pinang, Pelbagai Tahun.
Laporan Polis Di Raja Malaysia (Ibu Pejabat), Pelbagai Tahun.
Kerajaan Malaysia (1990) Rancangan Malaysia Keenam, Kuala Lumpur, Percetakan Negara.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang (1992) Penang Into The 21st Century, Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Shanmugam, Navaratnam (1996) Kesan Kemalangan Dan Kematian Akibat Kemalangan Jalan Raya Ke Atas Kehilangan Tenaga Kerja, Harta, Masa Dan Sosial Kepada Masyarakat, Seminar Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Sabah, Mac 1996.