PENGLIBATAN BUMIPUTERA DALAM PEMANDU PELANCONG

(Bumiputera Involvement in Tourist Guide in Malaysia)

chigh4.jpg (30602 bytes)

oleh

Nurwati Badarulzaman

Kertaskerja dibentangkan dalam Bengkel Asas Pemandu Pelancong Bumiputera

Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang 7-9 November 1994

1.0 PENGENALAN

Dewasa ini industri pelancongan menjadi semakin penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia dan banyak menyumbang kepada pendapatan dan pertumbuhan negara. Walaupun secara relatif Malaysia masih baru dalam industri pelancongan di peringkat antarabangsa, namun industri pelancongan Malaysia mempunyai potensi untuk meningkatkan mutu, tarikan dan keunggulan produk dan perkhidmatan pelancongannya setanding dengan destinasi pelancongan yang lain di kawasan Asia Tenggara. Pembangunan industri pelancongan ini boleh disifatkan sebagai sebahagian daripada usaha membina, memperluas dan mempelbagaikan asas ekonomi negara dalam sektor perkhidmatan agar sektor ini menjadi lebih dinamik, progresif dan berdaya maju. Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995) telah menekankan dasar dan strategi pembangunan industri pelancongan yang lebih agresif, terselaras dan bersepadu seiring dengan peningkatan pesat bilangan pelancong antarabangsa yang tiba di Malaysia iaitu seramai 3.1 juta orang (1985) kepada 6 juta orang (1990). Prospek pembangunan pelancongan yang cerah ini telah dikembangkan lagi antaranya melalui penawaran produk pelancongan yang beraneka (seperti rekreasi bukit dan laut, makanan dan warisan budaya), peningkatan kemudahan infrastruktur asas (seperti Kompleks Maklumat Pelancong Malaysia MATIC) dan penggalakan kedua-dua sektor pelancongan domestik dan antarabangsa.

Tidak dinafikan bahaw pertambahan berlipat ganda jumlah pelancong antarabangsa yang melawat Malaysia mempunyai implikasi yang penting terhadap struktur gunatenaga dalam industri pelancongan, terutamanya dalam sektor pemasaran pelancongan, perhotelan dan pengangkutan. Aktiviti-aktiviti galakan, pemasaran dan pembangunan produk pelancongan yang kompetitif tidak akan sempurna tanpa penekanan yang seimbang terhadap pembangunan sumber manusia yang merupakan satu komponen yang penting dalam industri pelancongan. Strategi yang kemas dan bersepadu amat perlu untuk mempertingkatkan lagi tahap profesionalisma, jenis dan kualiti perkhidmatan pelancongan yang disediakan oleh para pengusaha pelancongan tempatan. Program pendidikan dan latihan yang khusus mengenai kemahiran bahasa serta pengetahuan tentang nilai tradisional dan budaya tempatan perlu diberikan kepada pemandu pelancong, pihak pengurusan hotel dan restoren supaya mereka dapat menyampaikan maklumat yang tepat and lengkap kepada para pelancong. Pelaksanaan pelan pelancongan kebangsaan sewajarnya mengambilkira faktor penglibatan penduduk tempatan, khususnya Bumiputera, dalam aktiviti pelancongan sambil berusaha memaksimumkan pulangan ekonomi hasil daripada pelancongan.

Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini akan membincangkan penyertaan Bumiputera dalam industri pelancongan, khasnya sebagai pemandu pelancong. Faktor penglibatan Bumiputera dalam industri pelancongan ini amat penting dan perlu dipergiatkan untuk meningkatkan hakmilik, penyertaan dan keusahawanan Bumiputera. Ini adalah sejajar dengan wawasan negara membentuk sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera yang mantap, berdaya saing dan mampan. Kertas kerja ini akan membuat perbandingan di antara kadar penyertaan Bumiputera dengan kadar penyertaan bukan Bumiputera dalam industri pelancongan untuk memperjelaskan lagi situasi gunatenaga dalam sektor pemandu pelancong di Malaysia pada masa kini.

2.0 PERBANDINGAN RELATIF PENYERTAAN BUMIPUTERA

Pertumbuhan industri pelancongan yang pesat amat memerlukan perkhidmatan sokongan yang baik dari pelbagai pihak. Contohnya, penawaran pakej-pakej percutian yang kompetitif oleh agensi-agensi pelancongan, pemberian skim pinjaman pelancongan oleh institusi kewangan serta kemahiran berbahasa dan berkomunikasi oleh pemandu pelancong. Beberapa petunjuk penglibatan relatif Bumiputera dalam pemandu pelancong akan dibincangkan dalam bahagian ini.

2.1 Agensi Pelancongan Yang Beroperasi

Sehingga bulan Ogos 1994, terdapat sebanyak 1998 buah agensi pelancongan yang telah diluluskan lesennya dan sedang beroperasi di seluruh Malaysia (Jadual 1). Dari jumlah tersebut, sebanyak 726 buah agensi pelancong adalah milik Bumiputera (36%). Agensi pelancongan milik bukan Bumiputera berjumlah sebanyak 768 buah (38%), hakmilik secara usahasama sebanyak 495 buah (25%) manakala bakinya (9 buah atau 1%) adalah milik warganegara asing.

Perbandingan mengikut negeri pula menunjukkan bahawa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendahului senarai dari segi bilangan agensi pelancongan yang telah diluluskan lesennya iaitu 704 buah agensi (35%). Ini diikuti oleh Pulau Pinang (229 agensi; 11%) dan Johor (187 agensi; 9%). Negeri Selangor, Terengganu, Kelantan dan Perlis masing-masing mencatatkan sekurangnya 50% kadar penyertaan Bumiputera dalam agensi pelancongan. Kadar penyertaan Bumiputera dalam agensi pelancongan didapati terrendah di Negeri Sembilan (20%) dan Pulau Pinang (18%). Dari analisis ini, usaha yang gigih perlu dijalankan untuk mempertingkatkan penglibatan Bumiputera dalam agensi pelancongan dalam tempuh jangka panjang.

Namun begitu, adalah disedari bahawa maklumat mengenai kuantiti atau bilangan agensi pelancongan yang beroperasi di Malaysia tidak memberi gambaran yang jelas tentang jenis, kualiti dan prestasi perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan. Kajian lain yang lebih terperinci adalah penting untuk meneliti mutu dan tahap perkhidmatan agensi pelancongan di Malaysia, terutama yang dimiliki oleh Bumiputera, supaya pencapaian agensi pelancongan ini lebih kompetitif.

Jadual 1

Bilangan Agensi Pelancongan Yang Beroperasi di Malaysia

Mengikut Negeri dan Status Hakmilik (Sehingga 31 Ogos 1994)

Negeri Bumiputera Bukan Bumiputera Usahasama Warga Asing Jumlah
W.Persek'an 296 (42%) 206 119 3 704
P.Pinang 42 (18%) 110 75 0 229
Johor 54 (29%) 84 49 0 187
Sarawak 48 (28%) 85 32 6 171
Sabah 35 (26%) 62 40 0 137
Kedah 54 (45%) 41 24 0 119
Selangor* 55 (53%) 51 27 0 103
Perak 23 (25%) 54 15 0 92
Pahang 26 (46%) 18 12 0 56
Melaka 15 (35%) 21 7 0 43
T'rengganu* 36 (86%) 1 5 0 42
Kelantan* 28 (74%) 6 4 0 38
N.Sembilan 7 (20%) 23 5 0 35
Labuan 2 (29%) 4 1 0 7
Perlis* 5 (71%) 2 0 0 7
 Jumlah  726 (36%) 768 (38%) 495 (25%) 9 (1%) 1998 (100%)

* Nota : Kadar penyertaan Bumiputera melebihi 50% dari jumlah keseluruhan

2.2 Pemandu Pelancong Berlesen di Malaysia

Pemandu pelancong berlesen boleh difahamkan sebagai seseorang yang menerima bayaran hasil daripada perkhidmatannya memandu pelancong sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992. Status pemandu pelancong di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga kategori yang utama seperti yang berikut:

Pemandu pelancong yang aktif

Pemandu pelancong yang tidak aktif

Pemandu pelancong yang telah dibatalkan lesen perkhidmatan mereka

Pemandu pelancong yang aktif boleh ditakrifkan sebagai mereka yang bergiat cergas sebagai pemandu pelancong sepenuh masa. Sebaliknya, pemandu pelancong yang tidak aktif boleh dikategorikan sebagai mereka yang menjadi pemandu pelancong sementara sahaja. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan menghadapi sedikit masalah mengenalpasti sebahagian daripada kumpulan pemandu pelancong yang tidak aktif ini kerana fail perkhidmatan mereka gagal dikesan.Kumpulan pemandu pelancong yang ketiga pula ialah kumpulan yang telah dibatalkan lesen pemandu pelancong mereka terutamanya kerana melakukan perbuatan yang bercanggah dengan peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992. Contohnya, gagal menghadiri atau menyempurnakan dengan jayanya sebarang kursus kecekapan lanjutan atau kursus latihan lanjutan, atau membenarkan orang lain menggunakan kad pemberian kuasanya untuk bertindak sebagai pemandu pelancong.

Sehingga bulan September 1994, terdapat seramai 3,676 orang yang dikenalpasti sebagai pemandu pelancong di Malaysia. Dari jumlah tersebut, seramai 1629 orang (44%) dikategorikan sebagai pemandu pelancong yang aktif, 1766 orang (48%) ialah pemandu pelancong yang tidak aktif, sementara selebihnya 281 orang (8%) ialah pemandu pelancong yang telah dibatalkan lesen mereka (Jadual 2). Analisis mendapati bahawa bilangan Bumiputera yang bertindak sebagai pemandu pelancong adalah seramai 468 orang (13%). Daripada jumlah itu, 221 orang (47%) ialah pemandu pelancong yang aktif manakala 213 orang (46%) ialah pemandu pelancong yang tidak aktif. Bakinya seramai 34 orang (7%) ialah kumpulan pemandu pelancong Bumiputera yang telah dibatalkan lesen perkhidmatan mereka mungkin kerana kesalahan melanggar peruntukan akta.

Jadual 2

Status Pemandu Pelancong di Malaysia (Sehingga September 1994)

Kategori

Kumpulan

Jumlah

Keseluruhan

Bilangan

Bumiputera

Bil. Bukan

Bumiputera

Bil. Fail Gagal

Dikesan

 Aktif

1629 (44%)

221 (47%)

1408 (55%)

 0

Tidak Aktif

1766 (48%)

213 (46%)

928 (36%)

625

Lesen Dibatal

281 (08%)

34 (07%)

247 (10%)

0

Jumlah Besar

3676 (100%)

468 (100%)

2583 (100%)

625

Kajian perbandingan menunjukkan bahawa terdapat seramai 2,583 orang bukan Bumiputera yang bertindak sebagai pemandu pelancong di Malaysia sehingga bulan September 1994. Jumlah ini mewakili 87% daripada jumlah pemandu pelancong di Malaysia. Daripada peratusan tersebut, seramai 1408 orang (55%) ialah pemandu pelancong yang aktif, 928 orang (36%) ialah pemandu pelancong yang tidak aktif, sementara 247 orang (10%) merupakan kumpulan yang telah dibatalkan lesen perkhidmatan mereka kerana sebab-sebab tertentu. Analisis perbandingan ini menunjukkan dengan jelas bahawa penyertaan Bumiputera dalam pemandu pelancong setakat ini masih terlalu kecil. Langkah untuk mengenalpasti masalah berhubung kekurangan penyertaan Bumiputera dalam pemandu pelancong perlu diambil segera untuk tindakan sewajarnya oleh pihak yang berkenaan.

Analisis pemandu pelancong yang aktif mengikut pecahan negeri ditunjukkan dalam Jadual 3. Adalah didapati bahawa pada keseluruhannya kadar penyertaan bukan Bumiputera yang aktif dalam pemandu pelancong lebih menyerlah daripada kadar penyertaan Bumiputera yang aktif. Bukan Bumiputera mewakili 86% daripada pemandu pelancong yang aktif di Malaysia berbanding dengan Bumiputera yang hanya mewakili 14% sahaja. Jadual 3 juga menunjukkan bahawa semua negeri di Malaysia, kecuali Terengganu dan Kelantan, mencatatkan kadar penyertaan Bumiputera dalam pemandu pelancong sebanyak 30% atau kurang. Penyertaan Bumiputera yang paling kecil pula dicatatkan di negeri-negeri Perak (8%), Negeri Sembilan (8%) dan Pulau Pinang (4%).

Jadual 3

Taburan Pemandu Pelancong Yang Aktif Mengikut Negeri di Malaysia

(Sehingga September 1994)

Negeri

Pemandu Pelancong Bumiputera

Pemandu Pelancong Bukan Bumiputera

Jumlah Besar Pemandu Pelancong

W. Persekutuan

45 (10%)

399

444

P.Pinang*

14 (4%)

337

351

Johor

36 (15%)

211

247

Selangor

35 (16%)

183

218

Sabah

20 (22%)

70

90

Sarawak

21 (28%)

53

74

Kedah

21 (30%)

49

70

Melaka

11 (21%)

42

53

Pahang

Perak*

7 (23%)

2 (8%)

23

24

30

26

N.Sembilan*

Terengganu

1 (8%)

4 (67%)

11

2

12

6

Kelantan

Perlis

3 (75%)

1 (25%)

1

3

4

4

Jumlah Besar

 221 (14%)

1408 (86%)

1629 (100%)

* Nota : Penyertaan Bumiputera kurang daripada 10% dari jumlah keseluruhan.

Dari pemerhatian ini dapat disimpulkan bahawa Bumiputera masih ketinggalan dari segi kuantiti dalam membina kerjaya sebagai pemandu pelancong di Malaysia. Mungkin bertugas sebagai pemandu pelancong masih dianggap sebagai suatu fenomena yang asing dalam kalangan masyarakat Bumiputera amnya. Oleh itu, usaha-usaha penerangan untuk menarik minat lebih ramai Bumiputera untuk menceburkan diri dalam pemandu pelancong harus diperluaskan selaras dengan kemajuan industri pelancongan negara yang amat berpotensi ini.

2.3 Kemahiran Bahasa Pemandu Pelancong

Salah satu peraturan asas memandu pelancong yang digariskan di dalam Akta Industri Pelancongan 1992 ialah seorang pemandu pelancong hanya dibenarkan menggunakan bahasa yang dilesenkan sahaja dan hendaklah bahasa tersebut difahami oleh para pelancong yang dipandunya. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa para pelancong dapat memahami maklumat yang disampaikan oleh pemandu pelancong dengan jelas dan tepat. Pemandu pelancong yang kompeten dan dapat berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa akan dapat memberi imej dan penerangan yang baik mengenai pelancongan di Malaysia dan kelebihan ini mungkin menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk terus berkunjung ke Malaysia. Kegagalan pemandu pelancong mematuhi arahan ini boleh mengakibatkan mereka didenda serta digantung atau dibatal lesen mereka jika sabit kesalahan.

Jadual 4

Kemahiran Bahasa Dalam Kalangan Pemandu Pelancong

Yang Aktif di Malaysia (1994)

Bahasa

Bilangan Bumiputera

Bilangan Bukan Bumiputera

Jumlah Keseluruhan

Malaysia

114

45

159

China

3

646

649

Tamil

0

10

10

Inggeris

170

682

852

Jepun

14

195

209

Korea

0

5

5

Itali

0

2

2

Sepanyol

Arab

0

1

2

0

2

1

Perancis

3

11

14

Jerman

5

20

25

Rusia

0

1

1

Lain-lain

3

15

18

Taburan kemahiran bahasa dalam kalangan pemandu pelancong Bumiputera dan bukan Bumiputera ditunjukkan dalam Jadual 4. Kajian ini mendapati bahawa kemahiran bahasa asing dalam kalangan pemandu pelancong Bumiputera masih lemah jika dibandingkan dengan bukan Bumiputera. Peningkatan jumlah pelancong yang berasal daripada negara-negara yang bukan berbahasa Inggeris akan memerlukan pemandu pelancong yang boleh menguasai bahasa antarabangsa yang lain pula untuk memudahkan komunikasi dua hala. Kelemahan bahasa yang ketara mungkin akan menjejaskan minat pelancong untuk melawat ke negara ini.

Kelemahan penguasaan bahasa antarabangsa selain daripada Bahasa Inggeris mungkin merupakan salah satu faktor utama yang mengurangkan minat Bumiputera untuk berkecimpung dalam pemandu pelancong. Tambahan pula kemahiran dan penguasaan bahasa yang baik mengambil masa yang agak lama serta memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi. Oleh itu program dan latihan kemahiran bahasa perlu diperkemaskan lagi untuk mengatasi masalah ini dalam tempuh jangka panjang. Pelajar-pelajar di peringkat awal lagi perlu digalakkan mempelajari bahasa asing selain daripada bahasa Inggeris untuk membina kemahiran bahasa mereka. Pengetahuan mengenai bahasa asing adalah suatu aset yang boleh melancarkan perhubungan dan kemajuan dalam industri pelancongan negara.

3.0 KESIMPULAN

Industri pelancongan Malaysia sedang berkembang pada kadar yang amat pesat sekali. Peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa di Malaysia adalah hasil usaha promosi dan penggalakan pelancongan yang strategik lagi sistematik yang bertujuan untuk memasarkan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Promosi Tahun Melawat Malaysia telah menampakkan pulangan yang memberangsangkan. Pertambahan jumlah pelancong yang melawat Malaysia saban tahun memberi beberapa implikasi yang penting terhadap sumber daya tenaga manusia yang diperlukan untuk menyokong industri ini, terutamanya sumber manusia dalam sektor perkhidmatan. Pemandu pelancong merupakan salah satu sektor yang penting dalam industri pelancongan, yang berhubung secara terus dengan para pelancong. Pemandu pelancong memainkan peranan yang amat besar dalam memberikan gambaran yang jelas, tepat dan menarik mengenai negara Malaysia kepada pelancong. Pemandu pelancong yang berketrampilan mampu meninggalkan kesan positif yang berkekalan kepada para pelancong untuk menarik minat mereka kembali mengunjungi Malaysia.

Penyertaan Bumiputera dalam aktiviti pemandu pelancong amatlah bertepatan sekali untuk menyokong perkembangan pesat industri pelancongan. Walau bagaimana pun, statistik terkini menunjukkan bahawa kadar penyertaan Bumiputera dalam pemandu pelancong masih di tahap yang belum boleh dibanggakan. Bilangan Bumiputera yang aktif sebagai pemandu pelancong masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Begitu juga, bilangan agensi pelancongan Bumiputera yang beroperasi di Malaysia masih lagi kecil berbanding dengan golongan bukan Bumiputera. Tahap kemahiran bahasa antarabangsa selain daripada Bahasa Inggeris dalam kalangan Bumiputera juga perlu dibaikki lagi.

Adalah jelas bahawa Bumiputera perlu mempergiatkan usaha dan menyiapkan diri untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar ini, yang mungkin merupakan kerjaya yang agak asing bagi masyarakat Bumiputera sebelum ini. Minat menjadi pemandu pelancong perlu dipupuk sejak dari awal lagi dan penerangan kerjaya perlu diadakan di sekolah-sekolah untuk mempromosi bidang pemandu pelancong kepada para pelajar. Insentif dan galakan tertentu juga perlu untuk menarik minat para belia untuk menjadi pemandu pelancong. Kerjaya sebagai pemandu pelancong perlu dilihat dari skop yang lebih luas iaitu bukan semata-mata sebagai seorang pegawai penerangan tetapi sebagai seorang pegawai pemasaran yang cuba mempromosikan produk-produk pelancongan yang kompetitif. Kemampuan seorang pemandu pelancong mempamir, menerang dan menyakinkan para pelancong mengenai kualiti dan keunggulan produk pelancongan di Malaysia adalah satu kejayaan peribadi dan kejayaan negara pada keseluruhannya. Bumiputera sebagai satu kumpulan etnik yang signifikan di Malaysia sewajarnya turut serta menjayakan aspirasi negara memperkenalkan Malaysia kepada komuniti antarabangsa dengan menceburi bidang pemandu pelancong.