Program  Akademik [Academic Courses]

(Perancangan Bandar dan Wilayah)

|Sarjana Muda Perancangan|

|Sarjana Sains Perancangan|

|Sarjana Senibina Landskap|

|Program PhD|

|Pertanyaan dan Permohonan|

|Syarat Kemasukan|

MAIN

SARJANA MUDA SAINS PBP (PERANCANGAN BANDAR & WILAYAH)

PENGENALAN                              KURIKULUM                           SINOPSIS KURSUS

PENGENALAN

Rancangan Ijazah Sarjana Muda Sains di Pusat Pengajian PBP yang menyediakan satu kurikulum berbentuk multi disiplin  dalam bidang alam bina.  Kurikulum am Sarjana Muda Sains PBP menyediakan   beberapa pengkhususan seperti  seni bina, kejuruteraan, pengurusan binaan, rekabentuk dalaman, perancangan dan ukur bahan yang berteraskan kepada latihan ikhtisas yang diikuti menerusi disiplin-disiplinnya yang tersendiri.  Struktur kurikulum berbentuk multi disiplin ini menawarkan pembelajaran yang lebih luas melepasi  sempadan-sempadan  disiplin dan  ikhtisas.  Di pusat pengajian ini, para pelajar pengkhususan Perancangan Bandar dan Wilayah  dapat mengikuti kursus pelbagai disiplin dengan penekanan diberikan kepada kursus-kursus yang berkaitan dengan Perancangan.  Keadaan ini membolehkan pelajar-pelajar Perancangan dapat memahami dengan lebih holistik tentang bidang-bidang tugas para aktor dalam bidang alam bina tanpa hanya tertumpu dalam bidang Perancangan semata-mata. 

Struktur dan kandungan kurikulum di Pusat Pengajian PBP ini memaparkan tujuan utamanya untuk memajukan kemahiran-kemahiran integratif dan kreatif di dalam bidang pengetahuan dan aktiviti-aktiviti berhubung dengan binaan alam sekitar. Struktur kurikulum ini diasaskan kepada sistem berunit iaitu tiap-tiap pelajar diberi peluang  untuk  mengatur rancangan  pengajiannya asalkan mereka dapat memenuhi syarat-syarat keperluan minimum dan maksimum bagi unit-unit yang diambil di dalam sesuatu bidang  kajian  dan kursus.   

Projek-projek yang dijalankan di dalam Studio merupakan unsur penting di dalam kurikulum ini.  Di sini  para pelajar  dapat mempelajari bagaimana hendak menyatukan pelbagai  kemahiran dan jenis-jenis pengetahuan di dalam bidang perumahan, bangunan dan  perancangan.  Pendedahan sedemikian dapat menyediakan latihan kemahiran yang penting untuk menonjolkan kebolehan dan daya kreatif seseorang pelajar.

 Integrasi selanjutnya disediakan untuk membolehkan adunan istimewa di dalam pengajaran teori dan kaedah.  Kurikulum  PBP tidak membezakan di antara teori dan kaedah tetapi mengambil satu daya usaha untuk menentukan bahawa perkara-perkara  yang diajar mempunyai komponen teori dan kaedah yang dapat disatukan di dalam  sesuatu bidang  kursus. Kedua-dua teori dan amali diperkenalkan di dalam kurikulum sebagai komponen-komponen yang berkaitan dan juga meliputi keseluruhan tahap kursus di dalamnya.  Komponen-komponen teori dan amali dapat dikumpulkan di  dalam kurikulum ini  mengikut  kategori- kategori seperti berikut:-

- Kursus-kursus teori dan kaedah

- Projek-projek studio

- Latihan Amali

- Penyelidikan

 

KURIKULUM

Keperluan unit untuk pengijazahan adalah seperti berikut:-

 Ijazah Sarjana Muda Sains (3 tahun) 

Rancangan Pengajian                                                                             Unit                   

 

Asas                                                                                                           29

 

Teras                                                                                                          46                                               

 

Elektif                                                                                                         20                                          

 

 

Universiti/Opsyen

 

Bahasa Inggeris/Bahasa lain                                                                      4

Bahasa Melayu                                                                                           2

Tamadun Islam                                                                                            4

Ko-kurikulum/Opsyen                                                                                3

Kursus Kemahiran/Opsyen                                                                        2

 

Jumlah                                                                                                        110

 

Kursus Asas/Teras

 

Studio Bersepadu [1] [2]

Studio Perancangan [1]  [2]  [3 & 4]

Sains Persekitaran

Kaedah Kuantitatif Gunaan

Pengantar Alam Bina & Penempatan Manusia

Prinsip-Prinsip Ekonomi Bangunan

Pembinaan Bangunan 1

Pengenalan Struktur

Prinsip-Prinsip Perancangan

Asas Ukur Tanah

Kaedah Analisis Perancangan

Pengantar Pengurusan Projek

Pengantar Teknologi Maklumat

Aspek Sosial dalam Perancangan

Ekonomi Bandar & Wilayah

Latihan Amali Wajib

Kursus Elektif

Pemuliharaan

Infrastruktur Bangunan

Perancangan dan Pembangunan Pelancongan

Rekabentuk Bantuan Komputer

Penilaian

Kajian Perumahan

Pentadbiran Tanah

Perancangan Landskap

Rekabentuk Bandar

Perancangan Lalulintas

Rekabentuk Jalan dan Lebuhraya

MAIN

 

SARJANA SAINS PERANCANGAN 

PENGENALAN                           KURIKULUM                         SINOPSIS KURSUS

 

PENGENALAN

Rancangan Sarjana Sains Perncangan (Bandar dan Wilayah) ini merupakan rancangan sarjana yang terawal dijalankan di Universiti Sains Malaysia.

Falsafah asas yang digunakanmenekankan promosi dan implementasi aktiviti-aktivit pembangunan dengan cara-cara yang sensitif kepada alam sekitar dan melalui pendekatan pembangunan mampan.  Dengan itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang kritikal serta analitikal digunakan dalam rancangan ini.

Objektif khusus rancangan ini adalah untuk melatih pelajar-pelajar bagi membolehkan mereka melaksanakan kerja perancangan dan secara umumnya, membekalkan mereka dengan kemahiran-kemahiran untuk membolehkan mereka menghadapi dan menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan dengan cara yang berintegrasi dan profesional.

Pelajar-pelajar akan mengikuti latihan di agensi-agensi profesional untuk mendedahkan mereka kepada aspek-aspek teknikal, pentadbiran dan profesional.  Ijazah Sarjana Sains ini diiktirafkan sebagai kelulusan profesional oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Perancang Malaysia.

Rancangan pengajian ini dijalankan secara penuh masa melalui kerja kursus seperti berikut:

1 tahun (2 semester) bagi calon-calon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains PBP pengkhusuusan Perancangan.

2 tahun (4 semester) bagi calon-calon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dari pengkhusuusan Ukur Bahan, Kejuruteraan, Seni Bina, Bangunan, Penilaian, Sastera, Sains Kemasyarkatan, Geografi dan Ijazah-Ijazah lain berkaitan.

Kesemua kursus dinilai berdasarkan tugasan dan peperiksaan.  Untuk projek penyelidikan, pelajar-pelajar perlu menyiapkan satu laporan pada penghujung semester kedua.  Penilaian untuk projek penyelidikan ini adalah berdasarkan kepada laporan akhir yang disediakan berserta viva.

Untuk menjayakan pengurniaan ijazah, pelajar-pelajar perlu lulus sekurang-kurangnya gred C+ dalam kesemua kursusu dan memperolehi tidak kurang daripada 85 unit kredit.  PNGK yang ditetapkan oleh Universiti ialah 2.5 dan ke atas.

 

KURIKULUM

Kursus Wajib

 

Studio Perancangan [3&4]  [5&6]

Prinsip-Prinsip Perancangan

Kaedah Analisis Perancangan

Teori & Falsafah Perancangan

Perancangan Pembangunan

Kaedah & Teknik Penyelidikan

Perancangan Pembangunan Bandar

Perancangan Wilayah & Desa

Penggunaan Komputer Untuk Perancangan

Perundangan & Pentadbiran

Latihan Amali Wajib

Projek Penyelidikan Perancangan

Kursus Pengkhususan

Ekonomi Bandar & Wilayah

Aspek Sosial dalam Perancangan

Perancangan Pengangkutan

Perkhidmatan Bangunan

Kursus Pengkhususan

Pemuliharaan

Perancangan & Pembangunan Pelancongan

Rekabentuk Bandar

Perancangan Lalulintas

Penilaian

Kajian Perumahan

Perancangan Landskap

Rekabentuk Jalan dan Lebuhraya

MAIN

 

SINOPSIS KURSUS

Peringkat Ijazah Pertama

Peringkat Sarjana

  Peringkat Ijazah Pertama

RUS 101 Studio Bersepadu I

Studio tahun satu ini digunakan sebagai wadah untuk memperkenalkan pelajar kepada alam bina.  Proses pembelajarannya menekankan pengalaman dan pengamatan di suatu petempatan yang akan dinilai dan dikaji.  Persepsi dan buah fikiran pelajar akan dipertajamkan melalui kaedah kaji selidik dan eksperimen pelbagai dimensi.  Luahan citarasa cetusan daripada pengamatan dan pengalaman akan disalurkan melalui media grafik, slaid, fotografi, laporan dan secara lisan.  Unsur-unsur struktur, geometri, warna-warni akan disentuh untuk menghasilkan kerja seni dan saintifik.  Aspek proses dinamik alam persekitaran  yang rencam akan diperkenalkan dalam bentuk spatial dan bukan spatial untuk memahami masalah reka bentuk alam binaan manusia.

 RUS 102 Studio Bersepadu 2

Komponen ini ditumpukan kepada konsep dan analisis kawasan di Pulau Pinang.  Para pelajar diberi tugas untuk memperkenalkan dan mendokumenkan sifat-sifat utama Pulau Pinang daripada segi sistem sosio-ekonomi, bentuk kebudayaan, bentuk penempatan manusia dan ekologinya.  Daripada kajian tersebut para pelajar dikehendaki mengenal pasti keperluan perumahan dan memilih tapak-tapak untuk merancang penempatan-penempatan baru di negeri ini.  Para pelajar akan juga didedahkan kepada pendekatan dan teknik merancang tatatur suatu tapak perumahan bersaiz sederhana.

 Projek-projek studio memberikan pendedahan secara integrasi kepada pelajar berhubung dengan aspek-aspek perancangan, pengurusan dan kejuruteraan.

 

RAG 121 Sains Persekitaran I

 Kursus ini memperkenalkan elemen-elemen yang terdapat di alam persekitaran yang mempunyai kesan secara langsung kepada rekabentuk, orientasi, perletakan  dan susunatur bangunan.  Antara aspek yang dikaji ialah:

 Iklim:  Bancian keadaan iklim tropika, unsur-unsur iklim dan cuaca yang berhubung dengan bangunan dan alat-alat ramalannya.  Penggunaan data iklim dalam rekabentuk bangunan untuk keselesaan serta kaedah-kaedah kawalan.

 Faktor-faktor pencemaran udara dan air: Takrifan pencemaran udara dan air, punca-punca pencemaran, kaedah menilaikan jenis pencemaran, aplikasi data-data pencemaran dalam pembangunan dan perancangan, hakisan tanah dan kaitannya dengan pembangunan, kaedah-kaedah pengawalan.

 Cahaya:  Prinsip-prinsip cahaya asli, cahaya siang (langsung dan resap) rekabentuk pencahayaan siang dan data yang berkaitan.

 Haba dan Alir Udara:  Prinsip-prinsip haba, haba kepada bahan-bahan binaan, tindak balas haba kepada manusia dan bangunan, kawalan haba dalam bangunan secara pasif.  Alir udara dan ventilasi, rekabentuk bagi alir udara semulajadi.

 Bunyi dan hingar:  Prinsip-prinsip bunyi dan hingar, keadaan bunyi, kesan-kesan hingar, hingar di tempat terbuka dan tertutup, kaedah-kaedah kawalan hingar (luar dan dalam).

 

RPG 131 Kaedah Kuantitatif Gunaan

 Kursus ini memperkenalkan kaedah statistik dan penyelidikan operasi untuk kegunaan dalam bidang perumahan, bangunan dan perancangan.

Kaedah statistik meliputi pengutipan dan persembahan data, kaedah statistik deskriptif dan inferens.  Kaedah penyelidikan operasi meliputi pengaturcaraan linear, penyelesaian bergraf dan algebra. 

 

RAG 132 Pengantar Alam Bina dan Penempatan Manusia

 Pendedahan dan perbincangan aspek-aspek sosial serta tindak balas manusia kepada jenis, bentuk dan perancangan bangunan dan persekitarannya, psikologi individu tentang bentuk, ruang dan warna, perbincangan faktor-faktor perubahan sosial dan perubahan semula penempatan bangunan seperti perumahan, tempat kerja, pusat rekreasi, tempat ibadat dan sebagainya.  Pengenalan teori-teori psikologi manusia, variasi kebudayaan dan tindak balas dengan bentuk-bentuk binaan ketidak samaan individu, interaksi dalam perhubungan fizikal, konsep privasi, reruang dan sebagainya.

  

RMK 152 Prinsip-Prinsip Ekonomi Bangunan

 Kursus ini mendedahkan tentang konsep asas ekonomi.  Perbincangan ditumpukan kepada masalah asas ekonomi, permintaan, penawaran dan keseimbangan pasaran, keanjalan penawaran dan permintaan, perlakuan pengguna, struktur-struktur pasaran, teori dan kos pengeluaran.

Pelajar-pelajar turut didedahkan terhadap ekonomi industri pembinaan yang meliputi pembinaan dalam sistem ekonomi, polisi ekonomi dan kesannya ke atas industri binaan, ekonomi industri pembinaan dan pasaran pembinaan.

 

RAG 161 Pembinaan Bangunan 1

 Pelajar-pelajar didedahkan kepada penyediaan tapak bina, sistem asas binaan, cerucuk, tembok dan sekatan, lantai, bumbung, tangga, pintu dan tingkap, siling, tembok langsir dan kemasan luar.  Pelajar-pelajar turut didedahkan kepada lukisan kerja dan butiran pembinaan.

 

 REG 162 Pengenalan Struktur

 Pelajar-pelajar didedahkan kepada asas-asas statik iaitu konsep daya, komponen dan uraian daya, paduan daya, momen daya, gandingan, poligon dan segitiga daya, keseimbangan daya dan poligon funikulus.  Pelajar-pelajar turut diperkenalkan kepada analisis struktur bangunan  seperti kekuda, kaedah keratan, kaedah uraian daya, kaedah graf dan pekali tegangan, kabel dan gerbang.

 

RMK 252 Pengantar Pengurusan Projek

Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan para pelajar kepada konsep dan prinsip-prinsip pengurusan secara umum dengan penumpuan kepada kegunaannya dalam industri binaan.

 Kursus ini d ibahagikan keapda dua bahagian.  Bahagian pertama menumpukan kepada tajuk-tajuk asas berkaitan dengan pengurusan secara umum meliputi: Pengertian Konsep Pengurusan dan Organisasi, Evolusi Teori Pengurusan, Objektif dan Struktur Organisasi, Kepimpinan, Motivasi, Komunikasi.

 Bahagian kedua memperkenalkan kaedah, teknik dan alat-alat yang digunakan dalam pengurusan seperti analisis rangkaian kerja, pengarasan sumber, carta bar, garisan seimbang, analisis aliran tunai dll.

 

REG 264 Pengantar Teknologi Maklumat

Kursus ini akan mendedahkan pelajar kepada penggunaan Teknologi Maklumat dalam rekabentuk dan pembinaan.  Ini termasuk keperluan kepada perancangan rapi terhadap penggunaannya, pembangunannya dan pengurusannya sambil memberi perhatian kepada keperluan-keperluan perekabentuk-perekabentuk, pembina-pembina dan pengurus-pengurus yang bertanggung jawab kepada segala urusan pembentukan pembangunan (built-forms).  Teras perbincangan akan tertumpu kepada pengurusan maklumat di aras projek, produk dan organisasi.

 

RPK 231 - Prinsip-Prinsip Perancangan

Pengenalan kepada evolusi perancangan dan teori-teori asas di dalam perancangan.  Penegasan atas kebangkitan bandar-bandar di dunia serta falsafah pembangunan yang progresif dan perubahannya. Pengenalan kepada amalan perancangan, dan proses penyediaan pelan fizikal, dan rancangan struktur dan rancangan tempatan.

 

REG 231 -  Asas Ukur Tanah

Kursus ini meliputi prinsip-prinsip asas bagi kerja ukur tanah termasuklah ukur tinjauan, ukur rantai, ukur meja satah, ukur aras, ukur terabas, ukur teodolit, ukur kompass, ukur takeometri. Penentuan isipadu dalam kerja penambakan dan pemotongan dan juga ukur tapak binaan.   Pelajar-pelajar  juga dimestikan membuat kerja-kerja lapangan, selepas menjalani kuliah-kuliah yang berkaitan.

 

REG 261 -  Perkhidmatan Bangunan

 Meliputi aspek-aspek utama seperti berikut:

 Rekaan Pendawaian Elektrk - Pendawaian elektrik dan rekaan pembahagian untuk rumah-rumah, bangunan;  bangunan perniagaan dan perindustrian. Infrastruktur tenaga untuk bangunan-bangunan tersebut termasuk sistem pembahagian E.H.T. dan L.T.  Pendawaian TNB dan undang-undang pembahagian.

 Pendingin Hawa - Pendingin hawa untuk kegunaan rumah-rumah dan perindustrian termasuk tingkap, loji pusat, zon dan sistem air sejuk.

 Lif - Lif  dan  eskalator untuk bangunan-bangunan tinggi.  Amalan praktis jentera untuk lif barang-barang dan penumpang-penumpang. Pencegahan kebakaran untuk lif dan escalator.

 Pencahayaan - Rekaan bagi bangunan-bangunan rumah dan industri. Syor-syor daripada pertubuhan kejuruteraan pencahayaan mengenai  pemasaran cahaya.  Pelbagai jenis pencahayaan dan sifat-sifatnya.

 Pencegah Kebakaran - Kecemasan kebakaran dan sistem mencegah kebakaran bagi semua kelas.

Bekalan Air - Sistem  terus dan tidak terus.  Bekalan air untuk bangunan tinggi: kaedah tanpa pam dan berpam (pengawalan paras air dan pengawalan tekanan). Konsep dan fungsi silinder pneumatik.  Sistem bekalan air sejuk dan air panas. Rekabentuk saiz paip.  Injap dan bahan paip.

Sanitasi - Sistem satu paip pengudaraan penuh, sistem dua paip  dan  sistem satu lorong.   Konsep lorong dan lurah kecil terperangkap. Pengiraaan cerun dan saiz dengan Formula Chezy.  Rekabentuk paip sanitasi.

 

REG 265 - Infrastruktur Bangunan

 Elektrik : Rekabentuk dan pengiraan keperluan kuasa bagi pemasangan skim perumahan dan industri.  Ini termasuk saiz kabel untuk pembahagian LT dan EHT. Keperluan stesen janakuasa.

 Pencahayaan : Pencahayaan di jalan raya.

 Telekomunikasi : Keperluan telekomunikasi bagi skim perumahan dan industri.

 Bekalan Air : Masalah dan perspektif bekalan air di Malaysia.  Asal-usul dan kegunaan air. Biokimia air dan air sisa. Rawatan air mentah. Sistem pembahagian air untuk pengguna.  Rekabentuk saiz paip bekalan air.  Susunatur rangkaian bekalan air di dalam skim perumahan.

Pembetungan : Masalah dan perspektif pembetungan di Malaysia. Pelbagai kaedah rawatan airsisa:  tangki septik, tangki Imhoff, kolam pengoksidaan, penyentuh biologi berputar, enapcemar teraktif, dan lapisan turas. Rekabentuk sesalur betung dan loji rawatan airsisa untuk skim perumahan.  Rawatan enapcemar.

 

RAK 343 - Kajian Perumahan

 Konsep-konsep perumahan, rangka dasar, petindak-petindak perumahan dan penempatan.  Perbandaran dan perumahan.  Kualiti dan keperluan perumahan.

Situasi perumahan dan rancangan pembangunan Lima Tahun Malaysia - dasar perumahan negara. Perbincangan mengenai sumber-sumber perumahan: Tanah, pembiayaan dan teknologi.

Perumahan untuk golongan berpendapatan rendah.  Penempatan sesak dan setinggan.  Kajian kes. Rangka strategi umum dan pendekatan alternatif. Perancangan projek perumahan.  Kajian kemungkinan dan perancangan tapak-analisis fizikal dan sosial.  Keperluan peraturan dan undang-undang.  Tataatur konsep dan kaedah rekabentuk.

 

REG 366 - Rekabentuk Jalan dan Lebuhraya

 Sejarah perkembangan jalan dan lebuh raya. Ciri pemandu dan kenderaan. Ciri lalulintas, aliran dan muatan.  Rekabentuk geometri lebih raya dengan merujuk kepada piawaian Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia. Prinsip-prinsip rekabentuk persimpangan termasuk persimpangan keutamaan, lampu isyarat, bulatan dan lain-lain. Rekabentuk beberapa unsur persilangan. Sifat dan ujian tanah yang berkaitan dengan rekabentuk jalan raya.  Rekabentuk turapan boleh lentur dan tegar.  Pengaliran lebuh raya.  Pembinaan lebih raya.

 

RUG 333 - Rekabentuk Bantuan Komputer

 Pendedahan kepada teori-teori berbantukan komputer, peralatan, sistem operasi, perisian serta tinjauan rekabentuk dan pengeluaran melalui rangkaian komputeran.  Pengenalan dan pendedahan kepada peralatan dan penggunaan pakej-pakej perisian komputer untuk penyelesaian masalah-masalah rekabentuk.

 

RMK 357 - Pentadbiran Tanah

 Kursus ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian yang utama - Kuasa Kerajaan Pusat dan Negeri (termasuk Kerajaan Tempatan) dan Polisi Pentadbiran Tanah. Bahagian yang pertama akan meliputi pembahagian kuasa-kuasa di antara Kerajaan Pusat, Negeri dan Tempatan. Perkara-perkara seperti tugas Parlimen, Dewan Undangan Negeri, Majlis Tanah Negara, Pihak Berkuasa Negeri, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri dan Pentadbir Tanah Daerah akan dibincangkan.

 Bahagian Polisi Pentadbiran tanah akan menyentuh perkara-perkara pengambilan tanah, pencukaian tanah dan peruntukan di dalam Kanun Tanah Negeri 1965, (Pindaan).

 

RMK 336 - Penilaian

 Suatu penghargaan terhadap asas ekonomi nilai tanah, kaedah penilaian serta penggunaan prinsip terhadap masalah penilaian.  Matematik penilaian.  Jenis hartanah yang utama.  Hubunan antara kegunaan tanah dan nilai.  Faktor ekonomi dan institusi yang mempengaruhi kegunaan tanah dan nilai.  Penghargaan terhadap kesan-kesan dasar kerajaan dan penilaian perundangan.

 

 RPS 205 - Studio Perancangan 1

Komponen ini memberi peluang kepada para pelajar yang akan memilih bidang  pengkhususan  Perancangan  kelak.  Mereka akan dibimbing di dalam perkara-perkara berikut:

Projek perancangan tapak sebuah rancangan perumahan lebih kurang 1,000 unit  lengkap dengan prasarana dan kemudahan ruang perniagaan.

 

RPS 206 - Studio  Perancangan 2 

Berlandaskan kepada perancangan tapak yang telah disiapkan di dalam Semester I,  para  pelajar perlu mengkaji tentang kos pembangunan dan seterusnya menyediakan kajian daya  maju  projek tersebut .

 

RPK 222 - Pemuliharaan

Kursus ini dibahagikan kepada dua bahagian: bahagian Pemuliharaan Bandar dan bahagian Pemuliharaan Sumber Alam.

 Bahagian pemuliharaan bandar menumpukan kepada ide dan konsep pemuliharaan bandar (pemuliharaan bersejarah) definisi perkataan (pembetulan, pembaharuan, peniruan, penempatan semula dll); kriteria penilaian; pendekatan-pendekatan di dalam pemuliharaan bandar; kaitan di antara pemuliharaan dengan rekabentuk bandar, Akta-Akta (Aka Bendapurba, 1976, dll.), peranan Muzium Negara serta polisi badan-badan lain yang bersangkutan dengan pemuliharaan bandar.

 Bahagian Pemeliharaan Sumber Alam menyentuh kepada tindakan politik dan sosial untuk melindungi alam sekitar.  Gerakan berbagai kelompok sekepentingan pada peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa.  Konflik keselisihan dan golongan-golongan yang mungkin menentang usaha pemeliharaan.  Senarai pemelihataan: taman-taman dan kawasan yang amat indah, kawasan bandaran yang bersejarah, warisan negara dan kawasan-kawasan yang mempunyai ciri-ciri yang istimewa.  Pelbagai cara dan teknik pemeliharaan. Penumbuhan dan perubahan. Aspek-aspek ekonomi berkenaan pemeliharaan dan perlindungan.

 

RPK 233 - Kaedah Analisis Perancangan

Fikiran  kritikal  teknik  inferen secara logik dan perangkaan kegunaan teknik-teknik dan model-model kuantitatif untuk analisis unjuran dan penilaian di dalam bidang perancangan  fizikal  dan sosio-ekonomi.

 Penilaian pelan secara Analisis Ekonomi, Analisis Matrik Pencapaian Matlamat, Analisis Imbangan Duga Perancangan, EIA.

 Penggunaan  teknik  analisis  dan  unjuran  perangkaan termasuk ekonometrik di dalam perancangan bandar dan wilayah. Penggunaan aturcara-aturcara komputer tersedia untuk  membuat  perjadualan.  Model interaksi dalam ruang model graviti dan analisis `cluster'.  Model Lowry dan model dinamik sistem. Teknik menapis peta dan corak kegunaan  tanah; teknik analisis corak  kegunaan  tanah; teknik analisa threshold.  Teori membuat keputusan secara `bayesin' dan penggunaannya di dalam perancangan dan aspek pengurusan.

 

RPS 307/308 - Studio Perancangan 3 dan 4

Projek-projek di dalam bengkel perancngan ini menumpukan kepada penyediaan pelan-pelan fizikal, iaitu Pelan Struktur dan Pelan Tempatan, seperti yang telah ditentukan di dalam Akta Perancang Bandar dan Desa, 1976.  Projek-projek yang dijalankan secara individu dan usaha-usaha berkumpulan itu akan cuba mempraktisakan dan membangunkan semula ide-ide perancangan asas, teori-teori, kualitatif dan teknik-teknik lain yang telah dipelajari oleh para pelajar di dalam kursus-kursus lain.

 

RPK 321 - Perancangan Landskap

Kursus  ini  berkisar  di keliling manusia  dan  alam  sekitarnya dengan tumpuan khusus kepada rekabentuk alam sekitar luaran. Ia dibahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pertama memperkenalkan perhubungan  manusia-alam  sekitar serta masalah  berkaitan.   Ia kemudiannya memberi penerangan sejarah tentang cubaan manusia untuk mengubal  alam  sekitar  -  terutamanya  lanskap  untuk disesuaikan  dengan  keperluan estetika dan fungsi  (fizikal  dan rohaniah). Dua bahagian berikutnya menumpukan perhatian  kepada pendekatan dan teknik dalam perancangan dan rekabentuk landskap. Dalam   perancangan  landskap (peringkat wilayah) masalah pengkelasan, taksiran dan penilaian landskap dikenalkan. 

Pendekatan dalam perancangan landskap dari pendekatan ekologi Ian McHarg hingga   pendekatan perangkaan yang terbaru dan sofistikated. Contoh-contoh perancangan   landskap gunaan diterangkan dengan fokus ke arah pemeliharaan  dan  rekreasi.  Dalam   rekabentuk  landskap, teori-teori dan prinsip-prinsip rekabentuk disepadukan sekali dengan parameter alam sekitar dan sosial. Pemilihan bahan-bahan landskap prinsip   rekabentuk penanaman dan perancangan tapak juga disentuh.

 

RPK 323 - Perancangan dan Pembangunan Pelancongan

Mendedahkan pelajar-pelajar kepada perancangan rekreasi dan pelancongan serta beberapa konsep bagi perancangan fizikal terhadap tempat-tempat perancangan pantai, bukit dan rekreasi bandaran.  Ianya juga menjelaskan tentang kaedah dan teknik-teknik penilaian dan perlaksanaan pelan pelancongan dan rekaan serta penggunaan penilaian EIA terhadap projek-projek pelancongan.

 

RPK 332 - Rekabentuk Bandar

 Perkembangan bentuk bandar. Definisi konsep asas bentuk bandar, gabungan-gabungan teori dan amalan, konsep-konsep utopian dan sebenar sejarah perkembangan bentuk bandar, zaman foto sehingga pergerakan kota taman: perspektif sosiologi yang dibawa oleh Geddes sehingga Le Corbusier, Frank Llyod Wright dan seterusnya Dixiadis, Tanga, Jane Jacob dan lain-lain.

 

RPK 334 - Perancangan Lalulintas

 Manusia dan ciri-ciri kenderaan, kajian isipadu dan ciri-ciri, jenis-jenis  jalan dan tugas-tugasnya dan unsur-unsur rekaan am.  Ciri kemalangan dan analisis jalan dan muatan  simpang, aliran simpang, kajian tempat letak kereta dan ciri-ciri kawalan kawasan  lalulintas. Kesan-kesan lalulintas terhadap guna tanah buka depan atas jalan-jalan utama dan jalan-jalan saraf di kawasan bandar. Pembangunan pengubal. Undang-undang  lalulintas di Semenanjung Malaysia.

 

RPK 343 - Aspek Sosial Dalam Perancangan

 Kursus seminar graduan ini membayangkan isu-isu sosial berkaitan dengan pembangunan amnya dan perumahan, bangunan dan perancangan khususnya.  Perbincangan am akan tertumpu terhadap konsep-konsep seperti: sosiologi, perubahan sosial dan perancangan sosial; pembangunan sosial dan fizikal, perhubungan di antara kedua-dua isu-isu sosial dan soalan-soalan berkaitan dengan perumahan dan perancangan komuniti; aspek sosial dalam struktur bandar.  Pengukuran kos sosial dan faedah. Penunjuk-penunjuk sosial sumbangannya dan segi perubahan sosial dan kegunaannya dalam perumahan dan perancangan.  Penuntut-penuntut kursus ini akan diperlukan memilih beberapa topik dalam konteks Malaysia untuk kertas seminar, persembahan dan perbincangan di dalam kelas.

 

RPK 351 - Ekonomi Bandar dan Wilayah

Kursus ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada proses ekonomi yang telah membentuk corak reruang industri dan perdagangan di peringkat mikro iaitu firma dan kompleks industri dan di peringkat makro iaitu pengkelompokan aktiviti ekonomi atau wilayah ekonomi.  Ia juga menerangkan kepada pelajar teknik analitis yang boleh digunakan untuk membuat keputusan perancangan serta kesan-kesan ekonomi yang wujud akibat daripada keputusan-keputusan ini.

 Sifat dan Perkembangan Ekonomi Wilayah:  Teori-teori lokasi aktiviti ekonomi (teori kos rerendah, teori kawasan pasaran dll); Dasar Lokasi Kerajaan - tujuan dan keberkesanan; Masalah Lokasi lawan struktural; Teori ekonomi-makro antara wilayah (teori asas ekspot, mneoklasikal dll.); Perpaduan pendekatan makro dan mikro (teori pusat pertumbuhan, model pusat-pinggir dll.)

 

RUL  273 -  Latihan Amali Wajib

Kursus ini wajib untuk semua pelajar Pusat Pengajian PBP.  Ia bertujuan mendedahkan pelajar secara praktik kepada kerja-kerja yang berkaitan dengan bidang pengkhususan yang dipilih oleh mereka. Ia melibatkan penempatan pelajar selama 12 minggu di agensi-agensi awam atau swasta yang diluluskan oleh Pusat Pengajian.  Kursus ini wajib untuk semua pelajar dan dijalankan semasa cuti panjang tahun kedua.

  MAIN

SARJANA SAINS SENIBINA LANDSKAP 

PENGENALAN

KURIKULUM

SINOPSIS

 

SYARAT KEMASUKAN

  Peringkat Ijazah Pertama

Calon-calon hendaklah mempunyai kelulusan Matrikulasi USM atau  STPM.  Calon-calon yang mempunyai kelulusan selain Matrikulasi atau STPM (Sijil, Diploma) boleh memohon berdasarkan kelulusan akademik atau ikhtisas yang boleh diterima oleh Senat USM.

  Peringkat Ijazah Lanjutan

Calon-calon dikehendaki mempunyai:

Sama ada   

(a)    Ijazah Kepujian yang baik dalam Sarjana Muda Sains PBP, USM.

Atau           

(b)    Ijazah Kepujian yang baik daripada universiti-universiti lain yang diterima     oleh Senat, USM dalam bidang-bidang Perancangan, Ukur BAhan, Kejuruteraan, Seni Bina, Bangunan, Penilaian, Sastera, Sains Kemasyarakatan.

Atau

(c)    Kelulusan akademik lain atau ikhtisas yang boleh diterima oleh Senat USM.

Nota:    Keutamaan akan diberikan kepada calon-calon yangmemenuhi kelayakan di atas dan mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang yang berkaitan.

MAIN

CARA PERMOHONAN & PERTANYAAN

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada:

Dekan

Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan,

Universiti Sains Malaysia,

11800 Pulau Pinang

E-mail: dean_hbp@usm.my

 

Semua permohonan yang mengikuti rancangan Ijazah Lanjutan ini hendaklah dibuat melalui borang kemasukan yang boleh didapati dari:

Dekan

Institut Pengajian Siswazah

Universiti Sains Malaysia

11800 Pulau Pinang

 

Iklan kemasukan akan disiarkan melalui akhbar-akhbar nasional dan permohonan mesti diterima sebelum tarikh tutup.  Calon-calon walau bagaimanapun boleh memohon sebelum iklan disiarkan.

MAIN