1.0    PENDAHULUAN

1.1     PENGENALAN

Pembangunan pesat yang dialami oleh masyarakat bandar telah menerima tekanan dari segi sosial dan ekonomi, dan ini telah menambahkan kesukaran dalam perancangan dan pengurusan bandar. Sering kali pembangunan dijalankan lebih cepat daripada perancangan bandar. Adalah penting perancangan dijalankan lebih awal dan cepat daripada pembangunan untuk mengelakkan masalah dan konflik. Pendekatan perancangan berasaskan teknologi maklumat merupakan penyelesaian yang terkini. Dunia kini telah memasuki zaman teknologi maklumat, oleh itu adalah perlu untuk menerapkan pendekatan yang lebih sistematik dan menggunakan teknologi maklumat dalam proses perancangan supaya proses membuat keputusan dapat dilakukan dengan lebih cepat.

Dalam bidang perancangan, maklumat terutamanya maklumat geografi semakin penting dalam semua jenis perancangan dan pembuatan keputusan sama ada di sektor awam atau swasta. Maklumat penting dalam memahami dan mempengaruhi secara aktif segala proses teknologi, sosioekonomi, ruangan dan alam sekitar dengan cara yang rasional dan sistematik. Proses pengumpulan maklumat memerlukan data yang banyak serta tepat, lengkap, dan kemas kini daripada berbagai-bagai sumber. Permintaan ini cuma boleh dipenuhi dengan adanya satu pangkalan data (database) yang lengkap (Ruslan et al, 1998:1).

Sistem Maklumat Geografi (Geographic Information System - GIS) telah dibangunkan dan merupakan sistem maklumat yang berkeupayaan untuk memasukkan, mengurus, mengolah, menganalisis dan memaparkan data yang berkaitan dengan geografi atau ruangan secara lengkap. Sesungguhnya, pangkalan data sama ada data ruangan atau data bukan ruangan merupakan nadi kepada GIS kerana tanpa data GIS adalah tidak berguna. Oleh itu, data yang ada pada pangkalan data mesti kemas kini, bersih dan tepat (Ruslan et al, 1998:24).

Projek penyelidikan ini akan memberi tumpuan kepada rekabentuk pangkalan data yang mampu menyokong kajian penduduk dari segi sosioekonomi dan budaya. Pangkalan data yang dihasilkan akan dapat digunakan sebagai asas untuk analisis spatial dengan menghubungkan pangkalan data kepada GIS. Analisis bukan spatial pula akan dihubungkan kepada perisian statistik SPSS.

1.2    PERNYATAAN MASALAH UNTUK TUMPUAN KAJIAN

1.2.1    Keperluan Pangkalan Data dalam mengendalikan Data Demografi

Berbanding dengan perisian Electronic spreadsheet yang juga mampu menyimpan dan mengendalikan data, pangkalan data moden mampu memproses data dengan model hubungan. Pangkalan data yang menggunakan model hubungan jika direkabentuk dengan baik dapat memaksimumkan ketulusan data (data integrity) dan meminimumkan kelebihan data (data redundancies) (Vun Duy Man, 1992).

1.2.2    Keperluan Peringkat Geografi yang kecil untuk Kajian Warisan

Penggunaan GIS dalam kajian penduduk seperti dalam bancian penduduk dan perumahan 1991 adalah sangat minima. Data sosioekonomi daripada bancian penduduk adalah penting pada peringkat nasional dan sub-nasional. Pada peringkat nasional, data banci digunakan untuk perancangan, pembentukan dan pelaksanaan polisi dan program. Data pada peringkat sub-nasional (negeri, daerah, mukim, tempatan) pula sangat penting dalam soal peletakan kemudahan masyarakat seperti hospital, sekolah dan sebagainya.

 

Data yang dikumpul dalam bancian lepas adalah pada peringkat geografi terendah dipanggil Enumeration Block (EB)[1]. Selain daripada data yang diterbit dalam laporan, Jabatan Statistik sering menerima permintaan data pada peringkat geografi yang sangat kecil (Harbans, 1996). Pengumpulan maklumat penduduk pada peringkat lebih kecil daripada EB adalah dilakukan secara manual dan hanya mampu menunjukkan data secara jadual dan statistik. Oleh itu, penggunaan GIS akan dapat membantu mempercepatkan proses mendapatkan maklumat penduduk pada peringkat lebih kecil daripada EB.

 

Untuk kajian penduduk di kawasan warisan Bandar George Town, peringkat geografi terkecil yang diperlukan adalah sehingga sebuah bangunan atau sebuah isi rumah, adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan peringkat EB. Maklumat ini tidak dapat diperolehi daripada statistik yang dikeluar oleh Laporan Banci. Oleh itu adalah penting untuk merekabentuk pangkalan data yang mampu mengendalikan data demografi pada peringkat kecil (mikrodata). Secara teori, melalui data peringkat mikro apa-apa peringkat data dapat diperoleh dan diguna oleh semua pihak yang berkuasa untuk tujuan tertentu seperti membuat rangka persampelan. Walau bagaimanapun, data peringkat mikro perlu dijaga penyebarannya kerana mengandungi maklumat individu yang sulit yang mungkin disalahguna (Vun Duy Man, 1992).  

1.2.3    Keperluan Data Bancian Hubungan Ruangan (Spatial Referencing of Survey Data)

Sering kali data bancian tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Data bancian hanya digunakan untuk menghasilkan ringkasan statistik untuk indikator sesebuah negara atau kawasan. Setelah perhitungan statistik dibuat, data asli tidak dapat digunakan selanjutnya. Dari semasa ke semasa data asli akan hilang jika tidak dihubungkan kepada ruangan tertentu. Banyak sumber dan kewangan telah digunakan untuk mengutip data bancian dan sepatutnya memanfaatkan data ini sepenuhnya (Deichmann, 1996). Data yang mempunyai hubungan ruangan membenarkan pengumpulan data dilakukan pada apa-apa peringkat geografi seperti kawasan pilihanraya, kawasan perkhidmatan infrastruktur, kawasan penghantaran pos, kawasan mempunyai poskod sama dan sebagainya.

1.2.4    GIS dengan pangkalan data

Membangunkan sebuah pangkalan data mengambil masa yang panjang dan memerlukan kos yang tinggi. Dalam sebarang projek GIS yang bermula tanpa pangkalan data digital, pembentukan projek akan mengambil 80% daripada sumber projek (Ruslan 1996). Oleh itu, penggunaan GIS harus dijalankan dengan membangunkan pangkalan data digital yang sistematik pada peringkat awal supaya data yang dikumpul dapat dimanfaatkan pada masa sekarang dan masa depan. GIS mempunyai pangkalan data tersendiri dalam menguruskan data ruangan dan data bukan ruangan. Namun keupayaan pangkalan data GIS dalam mengendalikan data bukan ruangan adalah kurang berbanding dengan keupayaan sistem maklumat pangkalan data konvensional yang mampu mengendalikan data bukan ruangan melalui model hubungan. Model hubungan adalah sesuai dalam mengendalikan data bukan ruangan kerana data tidak disusun mengikut hierarki dan pengguna boleh membuat pertanyan tanpa mengetahui struktur pangkalan data. Model hubungan juga sesuai untuk analisis GIS yang tidak menentu.

Pangkalan data dalam GIS menggunakan Model Jadual atau dikenali sebagai file mendatar (flat file). Model ini tidak mempunyai banyak fleksibiliti dan adalah bahaya untuk mencantumkan jadual-jadual kerana dikhuatiri terdapat item data yang sama dalam beberapa jadual. Oleh itu, merekabentuk pangkalan data dengan bantuan sistem maklumat pangkalan data konvensional adalah lebih fleksible dan dapat mengelakkan kesilapan yang berlaku semasa mencantum jadual.

 

Walau bagaimanapun, model pangkalan data untuk data ruangan memerlukan model data yang khusus dan hanya dijumpai dalam GIS, iaitu model vektor dan model raster (bergantung kepada sistem GIS).

1.3    Matlamat dan Objektif Kajian

1.3.1    Matlamat Kajian

Merekabentuk pangkalan data yang sistematik untuk kajian demografi di kawasan pemuliharaan di Bandar George Town.

1.3.2    Objektif Kajian

Objektif utama penyelidikan ini adalah untuk menggabungkan pengetahuan, teori-teori, kaedah-kaedah dan teknologi berkaitan dengan pembangunan suatu sistem maklumat perancangan berasaskan pangkalan data (database) dan GIS untuk menjalankan kajian demografi di kawasan warisan Bandar George Town yang meliputi aspek penduduk seperti sosioekonomi dan budaya.

 

Objektif-objektif kecil adalah seperti berikut

i.                     Mengenalpasti elemen-elemen dalam menentukan rekabentuk sistem maklumat perancangan untuk sektor penduduk.

ii.                   Merekabentuk pangkalan data yang mampu menjalani analisis secara reruang dan statistik.

1.4    Skop Kajian

Skop kajian ini merangkumi beberapa perkara seperti berikut :

i.                     Mengenalpasti  faktor-faktor keperluan dalam kajian demografi di kawasan pemuliharaan.

ii.                   Merekabentuk dan membangunkan pangkalan data yang mampu menyimpan dan menstruktur data demografi supaya mampu menjalankan pelbagai analisis penduduk.

iii.                  Menghasilkan analisis kajian demografi dalam bentuk peta, jadual dan rajah untuk perancangan kawasan pemuliharaan di Bandar George Town.

1.5    METODOLOGI KAJIAN

Projek penyelidikan ini dibahagikan kepada beberapa peringkat seperti berikut :

1.5.1    Kajian Teori

Bahagian ini meninjau teori berkaitan dengan konsep dan prinsip dalam rekabentuk pangkalan data dan konsep asas GIS.

1.5.2    Kajian Keperluan Data

Bahagian ini akan mengkaji data yang diperlukan untuk analisis dan kajian demografi di kawasan pemuliharaan, memilih tapak dan responden yang sesuai untuk tujuan penyelidikan ini.

1.5.3    Rekabentuk Pangkalan Data

Berdasarkan data yang diperlukan, sebuah pangkalan data akan direkabentuk untuk membolehkan analisis pembentukan warisan dalam aspek penduduk secara spatial dan bukan spatial.

1.5.4    Pengumpulan Data

Data primer akan dikumpul pada peringkat ini.

1.5.5    Analisis Keputusan

Keputusan akhir projek penyelidikan ini adalah:

i.                     Menunjukkan keupayaan sebuah sistem maklumat pengurusan data dalam mengendalikan data penduduk, khususnya digunakan dalam kawasan kecil seperti di kawasan pemuliharaan.

ii.                   Menunjukkan keupayaan GIS dalam kajian demografi.

iii.                  Memetakan taburan penduduk mengikut ciri-ciri sosioekonomi.

 Rajah 1.1        Metodologi Kajian

1.6    Ringkasan Tesis

Projek penyelidikan warisan bandar lama George Town akan dikaji oleh tiga orang pelajar sarjana yang mempunyai pengkhususan berlainan iaitu:

q                   Kajian Warisan (Dikaji oleh Jennifer Tiong)

Mengkaji teori berkaitan dengan warisan, permasalahan kawasan kajian dari segi pembangunan semula dan pemuliharaan, aktor-aktor yang mempengaruhi pembuatan warisan dan sebagainya.

(Dipaparkan dalam laman web http://www.hbp.usm.my/Thesis/Heritage )

q                   Kajian Sistem Maklumat Geografi (GIS) (Dikaji oleh Wadembere Ismail Mugumbu)

Mengkaji teori dan penggunaan GIS khususnya untuk

kajian demografi.

(Dipaparkan dalam laman web    http://www.hbp.usm.my/Thesis/HeritageGIS )

q                   Kajian Pangkalan Data

Secara ringkasnya, projek penyelidikan ini akan memberi tumpuan dalam merekabentuk sebuah pangkalan data yang mampu menjalankan kajian demografi khususnya di kawasan warisan dan pemuliharaan. Pangkalan data yang direkabentuk akan mempunyai ciri-ciri dari segi struktur data, keperluan data dan model data untuk memenuhi keperluan menjalankan kajian demografi, dan memenuhi keperluan model GIS dipilih.

            (Dipaparkan dalam laman web http://www.hbp.usm.my/Thesis/HeritageDB )

 

Projek penyelidikan ini dibahagi kepada beberapa bab seperti berikut:-

Bab 1: Pendahuluan

Pengenalan tentang projek penyelidikan akan dihuraikan termasuk pernyataan masalah, matlamat dan objektif, skop kajian dan metodologi kajian.

Bab 2 : Prinsip-prinsip Rekabentuk Pangkalan Data

Penerangan akan diberikan terhadap konsep-konsep pangkalan data, hubungan pangkalan data dengan GIS, prinsip-prinsip rekabentuk pangkalan data, model-model pangkalan data.

 

Bab 3 : Kajian Keperluan

Bab ini akan menghuraikan keperluan kajian termasuk pemilihan tapak, pengenalan tapak, dan keperluan data untuk projek penyelidikan.

 

Bab 4 : Rekabentuk Pangkalan Data

Setelah mengenalpasti keperluan data, peringkat ini ialah merekabentuk sistem maklumat pangkalan data berdasarkan prinsip-prinsip yang dikenalpasti dalam bab 2 supaya mampu dimanfaatkan dalam analisis selanjutnya.

 

Bab 5 : Analisis Demografi Bukan Ruangan

Analisis bukan ruangan dijalankan untuk mendapatkan gambaran menyeluruh ciri-ciri demografi secara statistik.

 

Bab 6: Analisis Demografi Ruangan

Analisis ruangan dijalankan untuk mendapatkan gambaran dari segi visual (pelan) untuk taburan penduduk mengikut kriteria tertentu.

 

Bab 7 : Rumusan dan Penutup

 



[1] Satu EB merangkumi lebih kurang 80-120 buah rumah, atau lebih kurang 500 orang bergantung kepada kepadatan kawasan.

 

sambung ke bab 2

back to home