4.0   rekabentuk pangkalan data

Bab ini akan membincangkan rekabentuk pangkalan data daripada peringkat rangka skema konseptual sehingga ke rekabentuk fizikal.

4.1              Strategi Am

4.1.1        Strategi Top-Down

Terdapat empat strategi dikelapasti oleh Batini et al.(1992) dalam merekabentuk skema konseptual iaitu top-down, bottom-up, inside-out dan mixed. Dua strategi am digunakan dalam membangunkan pangkalan data iaitu top-down dan bottom-up. Pembangunan secara top-down bermula daripada am ke khusus. Rekabentuk bermula daripada mengkaji matlamat strategi dan keperluan maklumat oleh sesebuah organisasi, kemudian sistem yang sesuai dibangunkan untuk membekalkan maklumat kepada organisasi. Dengan model peringkat tinggi ini,  pangkalan data dibangunkan daripada satu konsep asas kepada peringkat yang lebih terperinci. Dari semasa ke semasa, model peringkat tinggi akan ditukar kepada model peringkat lebih rendah sehingga membentuk sistem pangkalan data yang lengkap (Kroenke, 1995). Rajah 4.1 menunjukkan peringkat strategi rekabentuk berdasarkan strategi top-down.

Sumber: diubahsuai daripada Batini et al (1992), m.s. 67

Rajah 4.1        Strategi top-down

Kebaikan strategi top-down ialah model data dapat distruktur dengan perspektif secara global. Sistem ini dipercayai dapat menghasilkan antara muka (interface) yang lebih baik, lebih konsisten dan memerlukan pengubahsuaian yang minimum.

4.1.2        Strategi Bottom-Up

Strategi bottom-up bermula dengan konsep asas dan membangunkan kepada konsep yang lebih kompleks. Keperluan strategi ini adalah bermula dengan konsep bebas dan akhirnya dikumpul menjadi sebuah skema global. Rajah 4.2 menunjukkan strategi bottom-up.    

Sumber: diubahsuai daripada Batini et al (1992), m.s. 69

Rajah 4.2        Strategi bottom-up

 

Kebaikan strategi bottom-up ialah pembangunan lebih cepat dan kurang risiko. Berbanding dengan strategi top-down yang sukar disiapkan rekabentuknya, strategi bottom-up walaupun tidak semestinya menghasilkan sistem yang terbaik tetapi dapat menghasilkan sistem dengan lebih cepat.

 

Kedua-dua strategi sesuai digunakan oleh model data entiti-hubungan (ER) dan model objek semantik yang akan dibincangkan di bahagian seterusnya, namun model ER lebih berkesan dengan menggunakan strategi pembangunan top-down manakala model objek semantik  lebih berkesan dibangunkan dengan strategi pembangunan bottom-up (Kroenke, 1995).

4.2     Permodelan Data

Permodelan data adalah proses membentuk persembahan pandangan data kepada pengguna. Tugas ini adalah paling penting dalam membentuk aplikasi pangkalan data yang berkesan. Jika model data dibentuk kurang sesuai dengan keperluan pandangan pengguna, mereka akan berasa pangkalan data susah diguna. Oleh itu, Permodelan data adalah asas pembangunan pangkalan data dan aplikasi.

 

Dua alat permodelan data yang dibincangkan adalah model entiti-hubungan (entity relationship model) dan model objek semantik (semantic object model).

sambung ke Rekabentuk Konseptual