6.0    Analisis Demografi Ruangan

Bahagian ini akan menunjukkan cara mempersembahkan data penduduk pada peringkat individu. Peringkat individu merupakan peringkat paling terperinci bagi analisis demografi. Alamat individu merupakan rujukan ruangan yang paling kecil yang mungkin (Martin, 1991).

 

Dalam aplikasi pada GIS, data penduduk yang mempunyai alamat yang sama akan dirujukkan dalam satu titik (point). Proses pembentukan titik dengan rujukan alamat ini dinamakan geocode. Berbeza dengan geocode yang dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, yang mempunyai sistem alamat yang seragam (ESRI, 1996:72), rujukan lokasi penduduk yang digunakan dalam kajian ini adalah satu angka unik yang terdiri daripada KodJalan dan KodBgn. 

6.1    Kaedah penghubungan pangkalan data dengan GIS

Sebelum GIS dapat menjalankan tugas pemetaan dan analisis, data atribut daripada pangkalan data Access 97 perlu dihubungkan kepada GIS. Proses penghubungan ini  dinamakan SQL connect yang terdapat pada ArcView 3.1. Pangkalan data sama ada dalam bentuk Table atau Query daripada perisian Access, FoxPro, dBase, dan jadual daripada Excel dapat dihubungkan kepada ArcView 3.1 melalui SQL connect. Walau bagaimanapun, ArcView 3.1 tidak dapat menyokong format daripada pangkalan data terkini iaitu Microsoft Access 2000.

 

Setelah jadual pangkalan data dihubung kepada GIS, jadual ruangan GIS (mengandungi data ruangan seperti luas, perimeter, nombor lot dan sebagainya) perlu dicantum dengan jadual atribut bukan ruangan daripada pangkalan data supaya rujukan ruangan dapat dijalankan. Pencantuman jadual (join table) dapat dilaksanakan setelah kita menentukan lapangan yang sama antara kedua-dua jadual ruangan dan jadual bukan ruangan. Dalam projek penyelidikan ini, satu unik ID dibentuk daripada KodJalan dan KodBgn untuk menghubungkan kedua-dua jadual tersebut.

 

KodJalan dan KodBgn dimasukkan secara manual ke dalam pangkalan data ruangan GIS untuk membentuk unik ID. Bagi pangkalan data Access yang telah dihubung ke dalam ArcView, suatu lapangan baru unik ID diwujudkan untuk mencantumkan KodJalan dan KodBgn melalui fungsi pengiraan (calculate) dengan syarat kedua-dua kod adalah dalam format teks dan bukan nombor.

 

6.2    ANALISIS RUANGAN

Bahagian ini membincangkan penggunaan GIS dalam pemetaan atribut bukan ruangan daripada pangkalan data Access. 

6.2.1    Taburan Kegunaan Bangunan

Rajah 6.1 menunjukkan taburan kegunaan bangunan. Kegunaan bangunan dalam kawasan kajian terdiri daripada kediaman sahaja, perniagaan sahaja dan campuran perniagaan dan kediaman. Bangunan kediaman sahaja cenderung terletak pada kawasan tertutup seperti dalam Medan Cannon dan Masjid Jamek. Bangunan perniagaan cenderung terletak pada jalan sibuk seperti Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Acheh, Lebuh Armenian dan Lebuh Pantai.

kegunaanbgn.jpg (128985 bytes)

Rajah 6.1        Kegunaan bangunan

 

6.2.2    Taburan Penduduk (Spatial Distribution of Population)

Apabila data penduduk dirujuk kepada alamat bangunan melalui kaedah geocode, satu titik yang merujuk kepada bangunan rujukan akan wujud. Titik rujukan ini mengandungi semua data penduduk atau data atribut lain yang mempunyai rujukan alamat yang sama. Rajah 6.2 menunjukkan contoh pencarian data penduduk individu melalui pilihan titik rujukan.

 

Rajah 6.2        Keputusan pencarian data individu melalui geocode

Proses pencarian data penduduk dalam sesuatu bangunan (Rajah 6.2) adalah berdasarkan hubungan satu-dengan-banyak. Setiap ahli isi rumah dihubungkan berdasarkan alamat unik yang direkabentuk. Kebaikan hubungan satu-dengan-banyak adalah mengelakkan kehilangan data.

6.2.3    Status Huni

Rajah 6.3 menunjukkan taburan penduduk mengikut status huni. Didapati kebanyakan penduduk merupakan penyewa utama. Pemilik bangunan paling banyak dijumpai di Lebuh Armenian.

statushuni.jpg (130352 bytes)

Rajah 6.3        Taburan penduduk mengikut status huni


6.2.4    Jumlah Isi Rumah

Rajah 6.4 menunjukkan jumlah isi rumah dalam sebuah bangunan. Kebanyakan bangunan didiami oleh satu isi rumah sahaja.

JumlahIR.jpg (126811 bytes)

Rajah 6.4        Jumlah isi rumah per bangunan

6.2.5    Jumlah Ahli Isi Rumah

Rajah 6.5 menunjukkan jumlah ahli isi rumah ditunjukkan dalam bentuk kepadatan. Kepadatan penduduk dapat dikira dengan membahagikan jumlah orang dalam suatu bangunan dengan luas bangunan. Pelan kepadatan penduduk ditunjukkan adalah jumlah penduduk yang tinggal pada 1000 kaki persegi luas lantai. Proses ArcVeiw GIS dalam menjanakan pelan kepadatan penduduk adalah seperti berikut:-

q                   Mewujudkan satu lapangan (add field) [LuasLantai] dalam jadual (Table). Keluasan sedia ada [Area] adalah dalam ukuran metrik meter persegi. Penukaran unit metrik kepada kaki persegi dilakukan dengan formula [Area]*10.764*2. Luas lantai didarab dengan dua kerana semua bangunan adalah dua tingkat.

q                   Mewujudkan satu lapangan kepadatan penduduk setiap 1000 kaki persegi. Formula untuk lapangan ini ialah [Jumlah Penduduk]*1000/[LuasLantai].

q                   Pelan dapat dijanakan dengan menetapkan petunjuk (legend) kepada jenis Graduated Color dan memilih lapangan kepadatan penduduk dalam ruangan classification field. Selang antara setiap kumpulan adalah sama. Ini dapat ditetapkan dengan memilih classification jenis Equal Interval.

Rajah 6.5 menunjukkan kebanyakan bangunan mempunyai kepadatan penduduk daripada  kosong hingga lapan orang bagi setiap 1000 kaki persegi luas lantai.

 kepadatan.jpg (126606 bytes)

Rajah 6.5        Kepadatan penduduk

6.2.6    Taburan Penduduk mengikut Kaum

Rajah 6.6 menunjukkan taburan penduduk mengikut kaum. Kebanyakan kaum Cina bertumpu di sekitar Khoo Kongsi iaitu di Medan Cannon, Lebuh Cannon dan Lebuh Armenian. Manakala kaum bukan Cina bertumpu di kawasan sekitar Masjid Jamek Lebuh Acheh.

taburankaum.jpg (130035 bytes)

Rajah 6.6        Taburan penduduk mengikut kaum

6.2.7    Taburan Penduduk mengikut Dialek

Rajah 6.7 menunjukkan taburan penduduk mengikit dialek percakapan. Didapati wujud perkelompokan Hokkien di sekitar Khoo Kongsi. Perkelompokan Tiew Chew pula cenderung bertumpu sekitar Lebuh Pantai dan Lebuh Armenian.

 dialek.jpg (130770 bytes)

Rajah 6.7        Taburan penduduk mengikut dialek


6.3    APLIKASI ANALISIS RUANGAN GIS DALAM PERANCANGAN

Analisis ruangan GIS dapat dimanfaatkan dalam perancangan. GIS selain dapat digunakan untuk tujuan pemetaan, fungsi GIS yang penting adalah menjalankan analisis ruangan seperti dalam kawasan kajian ini kawasan pemuliharaan dan bekas kawasan Akta Kawalan Sewa. Bahagian ini akan menunjukkan query mendapatkan maklumat untuk membantu perancang membuat keputusan.

6.3.1    Bangunan Berpotensi Dibangun Semula

Dalam usaha menyediakan pelan tindakan untuk kawasan kajian, bangunan berpotensi dibangunkan semula akan dikenalpasti berdasarkan beberapa kriteria ditentukan oleh perancang. Antara kriteria termasuk:-

i.                     Bangunan bukan warisan (non-heritage building)

ii.                   Bangunan dengan hanya satu unit perniagaan atau tiada

iii.                  Bangunan dengan jumlah isi rumah kurang daripada 5

Oleh itu, data yang diperlukan adalah :-

i.                     Bangunan warisan atau bukan warisan

ii.                   Jumlah unit perniagaan dalam bangunan

iii.                  Jumlah isi rumah dalam bangunan

Oleh kerana data untuk bangunan warisan tidak dikutip, maka pelan yang dijanakan untuk bangunan berpotensi dibangunkan hanya melibatkan atribut (ii) dan (iii) sahaja, dengan andaian semua bangunan dalam kawsan kajian bukan bangunan warisan. Pelan dijanakan berdasarkan fungsi query dalam ArcView GIS. Expression digunakan adalah [JumlahIR<5] or [JumlahEU<1] . Keputusan query ditunjukkan dalam Rajah 6.8.

redevelop.jpg (125820 bytes)

Rajah 6.8        Bangunan berpotensi dibangun semula

Daripada Rajah 6.8 dapat menunjukkan kebanyakan bangunan berada dalam kriteria sesuai untuk dibangunkan. Namun keputusan pembangunan semula bergantung kepada ciri-ciri seni bina sama ada bangunan tersebut adalah bangunan warisan yang berpotensi dipemulihara atau tidak.

6.4    Penemuan dan rumusan analisis DEMOGRAFI RUANGAN

Keupayaan GIS dalam analisis demografi ruangan pada asasnya adalah dapat menjanakan pelbagai jenis pelan tema berdasarkan data atribut dikumpul. Syarat utama penjanaan pelan ini adalah data atribut dapat dihubung dengan tepat kepada data ruangan melalui ID yang unik. ArcView GIS dapat mengendalikan data atribut dan data ruangan dalam jadual dengan fungsi seperti pengiraan (calculate), query, dan statistik. Walau bagaimanapun, pendekatan kajian ini tidak sesuai untuk bangunan pangsapuri yang mempunyai beberapa tingkat. Keupayaan ArcView GIS seperti create buffer dan GeoProcessing Wizard tidak dapat ditunjukkan dalam kajian ini kerana data dikumpul hanya melibatkan data demografi.

 

Daripada analisis statistik dan ruangan, penemuan dan rumusan tentang ciri-ciri dan taburan penduduk adalah seperti berikut:-

i.          Perkelompokan Penduduk

Daripada Rajah 6.6 dan 6.7, didapati penduduk daripada kaum dan dialek sama cenderung berkumpul dan tinggal berdekatan.

Analisis kajian ini adalah secara deskriptif dan hanya sekadar menggunakan GIS untuk tujuan pemetaan taburan penduduk. Analisis titik (point analysis) untuk penduduk dan lain-lain analisis GIS tidak dapat dijalankan memandangkan data dikumpul adalah terhad. 


sambung ke Rumusan