7.0   ringkasan dan penutup

Projek penyelidikan ini memberi fokus dalam merekabentuk pangkalan data yang berupaya mengumpul data penduduk dalam menjalankan analisis demografi secara ruangan dan bukan ruangan. Tumpuan penerokaan perisian komputer peribadi adalah perisian GIS ArcView 3.1, perisian DBMS Microsoft Access 97, dan perisian statistik untuk sains sosial iaitu SPSS 7.5.

 

Sesungguhnya, data penduduk yang mempunyai rujukan ruangan membenarkan pengumpulan data dibuat pada apa-apa peringkat geografi seperti enumeration block yang diguna dalam banci penduduk, daerah pihak berkuasa tempatan, negeri, negara atau apa-apa sempadan yang diperlukan untuk kajian ad-hoc. Tapak kajian warisan di bandar George Town untuk projek penyelidikan adalah contoh sebuah kawasan kecil. Data penduduk terperinci kepada individu dengan rujukan kepada alamat bangunan diperlukan untuk mengetahui ciri-ciri kependudukan dalam kawasan pemuliharaan ini. Daripada permasalahan ini, satu rekabentuk pangkalan data dihasilkan untuk membenarkan pengumpulan dan penyimpanan data untuk tujuan analisis ruangan dan bukan ruangan.

 

Pangkalan data untuk kajian demografi ini bukan sahaja sesuai untuk kawasan kecil seperti dalam kawasan pemuliharaan yang dipilih dalam projek penyelidikan ini, pangkalan data ini juga dapat diaplikasikan kepada kawasan lain untuk tujuan perancangan khususnya dalam bidang demografi dan sosioekonomi.

7.1   Pendekatan kajian

Kajian ini dimulakan dengan mengenalpasti keperluan kajian dalam merekabentuk sebuah pangkalan data untuk tujuan perancangan. Berdasarkan kajian teoritikal, faktor demografi dan sosioekonomi di kawasan warisan dipilih sebagai tumpuan kajian.

7.1.1   Peringkat Kajian Perpustakaan

Rujukan terhadap penggunaan teknologi maklumat untuk perancangan bandar dibuat untuk memahami potensi penggunaan teknologi ini untuk manfaat perancangan. Daripada pelbagai teknologi seperti internet, rekabentuk bantuan komputer (CAD), global positioning system (GPS),  dan sebagainya, GIS dan pangkalan data dipilih untuk tumpuan kajian kerana teknologi ini mempunyai penggunaan meluas dalam perancangan dan mampu dilakukan dengan komputer peribadi.

7.1.2   Peringkat Mengenalpasti Keperluan Kajian dan Kajian Lapangan

Konsep kajian demografi di kawasan warisan dan pemuliharaan dikenalpasti untuk menyediakan borang soal selidik yang sesuai untuk kajian. Setelah borang soal selidik disediakan, kerja lapangan dilakukan untuk menemuduga penduduk kawasan kajian. Data yang dikumpul akan dimasukkan ke dalam pangkalan data yang direkabentuk kemudian.

7.1.3   Rekabentuk Pangkalan Data dan Analisis

Pangkalan data direkabentuk berdasarkan data yang diperlukan untuk kajian. Model data hubungan dipilih untuk rekabentuk untuk memudahkan penyimpanan dan pencarian data di samping dapat melakukan pelbagai fungsi pertanyaan (query). Setelah pangkalan data direkabentuk, kerja memasukkan data dilakukan. Data dalam pangkalan data seterusnya dianalisis terus dalam Access 97 atau dieksport ke perisian GIS dan SPSS untuk analisis seterusnya. Kajian mendapati rujukan alamat individu perlu tepat supaya GIS dapat menghubungkan pangkalan data yang disimpan.

7.2   penutup

Sebagai penutup, beberapa isu ditemui semasa menjalankan penyelidikan:-

i.                     Kajian ini hanya tumpu kepada aspek demografi di kawasan pemuliharaan yang mempunyai bangunan maksimum dua tingkat. Pendekatan kajian ini kurang sesuai untuk kawasan mempunyai bangunan tinggi. Suatu metodologi kajian baru harus dikembangkan.

ii.                   Teknologi perisian perancangan menjadi semakin maju. Format data perisian lama mungkin tidak dapat disokong oleh perisian baru. Adalah menjadi masalah kepada pengguna sekiranya data dikumpul pada masa kini tidak dapat dibaca dengan perisian lebih maju. Selain itu, sokongan format data antara perisian pangkalan data dengan GIS juga menjadi isu kepada pengguna. Didapati format data perisian pangkalan data terbaru Microsoft Access 2000 tidak dapat disokong oleh perisian GIS ArcView 3.1.

i.                     Pangkalan data yang direkabentuk dalam kajian ini hanya sekadar memenuhi kajian penduduk di kawasan pemuliharaan atau mana-mana kawasan kecil. Penggunaan rekabentuk pangkalan data untuk kajian lebih luas seperti banci penduduk memerlukan pengubahsuaian rekabentuk pangkalan data dan pemilihan perisian yang sesuai.

ii.                   Data demografi diperlukan oleh pelbagai agensi kerajaan dalam perancangan dan pembangunan. Data daripada banci penduduk adalah paling lengkap dan terperinci. Dengan adanya rujukan alamat, data penduduk dapat dikumpulkan mengikut keperluan kajian pelbagai agensi kerajaan supaya pertindihan kerja-kerja pengumpulan data dapat dikurangkan.

7.3   cadangan kajian selanjut

Projek penyelidikan ini diakhiri dengan cadangan lanjut yang mungkin dilaksanakan untuk memberi sumbangan terhadap bidang penggunaan IT dalam perancangan dan kajian demografi bandar:-

i.          Kawasan kajian pemuliharaan dan warisan dikembangkan kepada keenam-enam zon pemuliharaan bandar George Town.

ii.          Rekabentuk pangkalan data untuk merekodkan elemen dan sifat fizikal bangunan yang mempunyai nilai pemuliharaan.

iii.         Rekabentuk pangkalan data untuk banci penduduk.

iv.         Kajian kemungkinan pelaksanaan penggunaan alamat jenis Amerika Syarikat di Malaysia yang membenarkan proses geocode.

 

sekian terima kasih