ISU-ISU SENI BINA TROPIKA: BANGUNAN TINGGI DAN PENGHIJAUAN SECARA MENEGAK

@Abdul Majid Ismail (November 2000)

 

1.0  Abstrak

High-density city centre with many tall buildings normally experiences higher air temperature than its surrounding (heat island) due to the accumulated solar heat from inter-reflection and re-radiation from ground surfaces, building envelopes and wall surfaces. Conventional method of planting trees and grass on the ground only solved part of this problem. The author tries to propagate vertical concept of greening tall buildings in order to soften the “concrete jungle look” of our urban form. Vertical greening of tall buildings is also suggested as one of the main remedial method to the accumulated solar heat and glare in cities with many tall buildings. Examples of buildings with vertical greens concept are also highlighted in the paper.  Planning and designing of our future cities in the tropics should consider vertical greens concept in order to produce more conducive and comfortable urban environment for the well being of the whole city population.

Keywords: Tall buildings, concrete jungle, heat and glare, vertical greening, comfortable urban environment, tropical architecture.

2.0 Pengenalan

Hampir kesemua bandar-bandar besar di seluruh pelusuk dunia dipenuhi oleh struktur-struktur pencakar langit, gedung-gedung dan infrastruktur-infrastuktur seperti laluan kenderaan, laluan pejalan kaki dan perhidmatan-perhidmatan bangunan & kejuruteraan.  Keadaan yang sama juga terdapat di negara kita, hampir kesemua bandar-bandar kita juga dipenuhi oleh hutan konkrit yang kaku dan punca kepada banyak masalah persekitaran fizikal, tidak ketinggalan juga masalah sosial dan budaya. Pakar-pakar perancang bandar, arkitek dan perancang sosial telah lama menyedari masalah “kekakuan” ini dan telah sedaya upaya mengemukakan berbagai cara untuk melembutkan suasana termasuklah menerapkan elemen pokok dan air dalam pelan tata atur bandar-bandar.  Mereka juga telah meneliti contoh-contoh kejayaan seni bina zaman silam termasuklah seni bina Islam di Iran dan Spanyol dalam menerapkan elemen landskap pada susunatur bandar-bandar mereka. Konsep bandar dalam taman dikemukakan bagi mengimbangi kekakuan landskap bandar agar keseluruhan bandar tidak hanya dipenuhi oleh hutan konkrit sahaja tetapi dipenuhi juga oleh pohon-pohon kayu, bunga-bungaan dan rumput-rampai. Hasilnya ialah sebuah bandar yang indah dengan persekitaran yang nyaman dan sesuai dihuni oleh manusia.

3.0 Penghijauan bandar dan masalah persekitaran

Sungguhpun usaha menghijaukan bandar di negara kita telah mula menampakan sedikit kejayaan, namun masih terdapat beberapa isu dan masalah kepada bandar-bandar modern kini. Kadar penanaman semula pokok masih lagi rendah berbanding dengan pemusnahan kawasan hijau untuk pembangunan (Khor M. 1996). Penanaman semula pokok juga masih kurang peka terhadap usia pokok untuk berfungsi secara berkesan. Kebanyakan penanaman pokok di kawasan perumahan baru hanya menitikberatkan kuantiti untuk memenuhi syarat kelulusan sahaja, bukannya menanam pokok yang telah matang dan berkualiti (Ismail A.M. 2000). Berdasarkan tajuk penulisan yang dipilih, terdapat isu-isu utama yang berhubungkait dengan kefahaman terhadap penghujauan bandar:

·         Masalah peningkatan haba di persekitaran

·         Masalah bidang pandangan penglihatan

3.1  Masalah peningkatan haba di persekitaran 

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, pusat-pusat bandar kini hampir kesemuanya dipenuhi oleh bangunan-bangunan tinggi. Bangunan tinggi sebenarnya memiliki kadar keluasan komponen menegak (dinding luar) yang amat besar berbanding dengan komponen mendatar (bumbung) yang terdedah terus kepada elemen iklim seperti panas, hujan dan angin, berbanding dengan bangunan rendah (Ismail A.M. 1996). Sekiranya bangunan tinggi didirikan dalam keadaan yang padat, secara relatifnya luas ruang terbuka antara bangunan juga menjadi kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan ruang menegaknya. Oleh itu, permasalahan utama hasil dari keadaan ini ialah jumlah komponen haba matahari  yang diterima dan dipancar semula oleh dinding (haba pantulan) menjadi lebih besar disamping haba yang dipancar semula oleh bumbung dan ruang antara bangunan. Oleh itu jumlah keseluruhan peningkatan haba persekitaran menjadi lebih tinggi di kawasan yang dipenuhi oleh bangunan-bangunan tinggi. Sekiranya kebanyakan dinding luar bangunan ini pula dibuat daripada kaca dan bahan lain yang memiliki daya serap dan pantul haba yang tinggi, jumlah tambahan haba yang akan terhimpun dalam persekitaran menjadi teramat tinggi. Rajah 1 menunjukkan perbandingan jumlah keluasan permukaan menegak dan mendatar yang terdedah yang menjadi punca peningkatan haba matahari.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

   

Nota:    H = luas permukaan menegak (keseluruhan dinding luar), L = luas permukaan mendatar (bumbung & ruang lapang antara bangunan)

Rajah 1: Perbandingan keluasan permukaan menegak & mendatar dan punca tambahan haba

 

3.2  Masalah bidang pandangan atau penglihatan

Disamping masalah haba, bidang pandangan (field of vision) atau penglihatan mata kita di bandar yang padat dengan  bangunan tinggi juga mendatangkan beberapa masalah lain. Sungguhpun ruang antara bangunan (ruang mendatar pada aras tanah) boleh ditanami dengan tumbuh-tumbuhan renek dan pohon-pohon rendang untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah haba pantulan daripada permukaan tanah, tumpuan mata kita masih diganggu oleh silauan dan haba yang datangnya dari komponen menegak (dinding dan tembok).  Sekiranya kita berada pada aras tanah, sebahagian bidang penglihatan mata ketika kita berdiri normal ialah kearah hadapan iaitu kerah tanah dan sebahagian kecil lagi kearah satah menegak. Oleh itu, penghijauan tanah dapat menyelesaikan sebahagian besar masalah silau dan haba yang dipancar semula oleh tanah dan sebahagian masalah yang berpunca daripada permukaan tegak. Penghuni bangunan tinggi yang berada pada paras ketinggian melebihi tinggi maksimum pokok, bidang penglihatannya akan diganggu oleh silauan langit dan silauan serta bahangan dinding bangunan yang bertentangan. Masalah ini akan menjadi lebih kritikal sekiranya banyak bangunan tinggi berada dipersekitarannya.  Rajah 2 menjelaskan bagaimana bidang penglihatan mata kita ketika berada diatas tanah dan ketika berada di tingkat atas sebuah bangunan tinggi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rajah 2: Bidang pandangan atau penglihatan mata pada aras atas tanah & atas bangunan tinggi

 

Kegemaran segelintir arkitek menerapkan dinding kaca pada bahagian luar bangunan tinggi tanpa alat peneduhan yang sesuai dan mencukupi menambahkan lagi kesan negatif kepada persekitaran bandar khususnya peningkatan haba dan silau. Walaupun kaca berupaya menghasilkan kesan khusus daripada sudut seni bina kerana ciri-ciri ketelusannya namun kesan negatifnya perlu diambil kira. Sekiranya sekumpulan bangunan tinggi berdinding kaca didirikan di dalam satu kawasan yang sama, sudah tentu ia akan kelihatan seperti bola-bola api yang mengeluarkan bahang dan silau kesegenap sudut khususnya apabila matahari berada pada sudut altitud - 900 > Y < 900. Gambar 1 menunjukkan contoh bangunan kaca yang dianggap sebagai anti sosial oleh kebanyakan pakar sains persekitaran dan sains sosial. Silauan daripada sinar pantulan amat mengganggu jiran-jiran yang kebetulan berada pada sudut bidang penglihatan dan mata penghuni pula menghala kearah punca silau.

 

                                   

Gambar 1: Sebuah bangunan kaca yang menyilaukan di tengah-tengah sebuah pusat  bandar

 

4.0  Interpretasi masalah menggunakan ketumpatan luas pelan (plan-area density)- (a) dan nisbah kelangsingan

Masalah haba, bidang pandangan (field of vision) atau penglihatan mata kita, kesan keadaan bandar yang padat dengan  bangunan tinggi juga dapat dinyatakan dengan menggunakan konsep ketumpatan luas pelan (a) yang ditakrifkan seperti berikut:

a   =     luas tapak bangunan   = AR

            luas kawasan                AS

 

 

 

 

 

 

 

Rajah 3: Perbandingan ketumpatan luas pelan kurang padat dan amat padat yang seragam

Rajah 3 menunjukkan tatatur bangunan yang seragam untuk ketumpatan luas pelan kecil a = 0.10 (kawasan berbangunan kurang padat) dan ketumpatan luas pelan besar a =  0.80 (kawasan berbangunan amat padat). Sekiranya a adalah kecil, masalah seperti yang diterangkan di 3.1 dn 3.2 mudah diatasi, tetapi jika sebaliknya iaitu a besar, masalah  menjadi lebih rumit kerana haba dan silauan adalah tinggi. Disamping elemen ketumpatan luas pelan (a), masalah ini boleh juga dinyatakan dengan menggunakan nisbah kelangsingan (slenderness ratio) yang perlu digunakan dalam menangani kes bangunan tinggi. Nisbah kelangsingan ditakrifkan seperti berikut:

Nisbah kelangsingan =   2 x (tinggi bangunan)      =          2H

                                    Lebar utama bangunan               B

Bangunan ditakrifkan sebagai bangunan tinggi apabila Nisbah Kelangsingannya 2H/B > 1 (Rajah 4). Apabila Nisbah Kelangsingannya 2H/B = 1 bangunan ini dikira sebagai sederhana tinggi dan apabila 2H/B < 1 dikira sebagai bangunan rendah (Rajah 4).

 

 

 

 

 

 

 

Rajah 4: Nisbah Kelangsingan

Berpandukan kepada dua elemen di atas, sekiranya sebuah bandar mempunyai ketumpatan luas pelan (a) melebihi 0.80 dan nisbah kelangsingan kebanyakan bangunannya ialah 2H/B >1, bandar ini merupakan sebuah bandar berketumpatan tinggi atau padat dan kebanyakan bangunannya adalah tinggi. Keadaan ini akan menghasilkan masalah ketidakcukupan kawasan hijau yang kritikal dan perlukan kaedah penghijauan secara menegak diperkenalkan untuk mengurangkan kesan negatif kepada persekitarannya.

5.0 Kaedah penyelesaian  

Sepertimana telah dinyatakan sebelum ini, terdapat dua masalah persekitaran dalam konteks tajuk yang dibincangkan. Masalah peningkatan haba dan masalah silau pada bidang penglihatan merupakan dua masalah utama hasil terus dari pembinaan bangunan tinggi terhadap persekitaran bandar. Penyelesaian secara terus dan tidak terus masalah-masalah ini telah dilaksanakan dan sebahagian lagi masih perlukan kajian secara terperinci. Penanaman pokok dan penghijauan bandar merupakan salah satu kaedah penyelesaian yang baik dan berkesan (Yeang K. 1989). Pokok-pokok boleh ditanam menggunakan dua kaedah berikut:

·         Kaedah penanaman pokok pada paras tanah (kaedah konvensional)

·         Kaedah penanaman pokok secara menegak

5.1 Penanaman pokok pada paras tanah (kaedah konvensional)

Penanaman pokok dan tumbuh-tumbuhan terus di atas tanah merupakan satu pendekatan yang mudah dan lazim serta dapat menghasilakan kehijauan yang dapat dinikmati secara terus oleh mereka yang berada dan menetap di atas atau berdekatan permukaan tanah. Badar-bandar modern kini lebih banyak menyediakan bangunan tinggi sebagai tempat tinggal, berkerja dan berekreasi. Kepada mereka yang tinggal atau menghuni tingkat atas bangunan tinggi, penanaman pokok secara terus diatas tanah tidak dapat dikecapi. Hanya nikmat melihat sahaja, tiada nikmat menanam dan membelai dapat dirasai secara terus oleh mereka ini kecuali dalam batasan yang amat terhad sekali. Dari sudut kitaran ekologi, hubungan manusia dan tumbuh-tumbuhan amat erat sekali, kedua-duanya saling perlu memerlui untuk keseimbangan dan kesinambungan ekosistem alam.

Penghijauan secara mendatar ini sebenarnya telah dapat menyelesaikan sebahagian daripada masalah peningkatan haba bahangan hasil pemanasan permukaan keras yang mendatar (Brenda & Vale. 1991). Pengurangan kawasan keras dan bertambahnya kawasan hijau di bandar telah sedikit-sebanyak mengurangkan sinaran semula haba dari matahari di samping menambahkan bekalan oksigen untuk pernafasan. Kawasan hijau ini juga berupaya meningkatkan daya serapan air hujan dan dengan itu dapat mengurangkan berlakunya banjir kilat.  Pohon-pohon  rendang juga menjadi peneduh semula jadi yang berkesan kepada manusia dan aktivitinya serta sebahagian daripada bangunan (Ismail A.M. 2000). Keberkesanan pohon-pohon untuk menjadi peneduh asli terhad oleh batasan ketinggian matangnya.  Apabila manusia mula menghuni bangunan tinggi, kesan pokok secara terus tidak dapat dirasai lagi. Oleh sebab itu manusia mula membawa tumbuh-tumbuhan naik ke atas bangunan. Namun penerapannya amat terbatas sekali iaitu hanya untuk memenuhi cita rasa peribadi sahaja.

Dalam konteks bangunan tinggi, jelaslah kita juga perlu menanam dan menumbuhkan pokok dan tumbuh-tumbuhan pada bangunan ini sama ada pada sebahagian dinding luar, pada lantai atau pada bumbung agar matlamat menghijaukan semula bumi dapat dicapai sepenuhnya, disamping memenuhi kehendak asasi manusia yang perlukan interaksi dengan tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Isu utama untuk memenuhi keperluan ini ialah bagaimana untuk menumbuhkan pokok diatas bangunan. Hal ini perlukan para arkitek yang kreatif dan cintakan kehijauan dalam hasil ciptaannya

5.2 Kaedah penanaman pokok secara menegak

Konsep penghijauan secara menegak ini bukanlah satu perkara baru tetapi suatu perkara yang sukar untuk dilaksanakan. Taman tergantung Babylon umpamanya merupakan salah satu contoh klasik penghijauan menegak yang telah wujud pada peringkat awal tamaddun perbandaran di dunia. Konsep penghijauan menegak ini melibatkan penciptaan teknik dan kaedah yang melibatkan kos yang agak tinggi untuk diterapkan dan diselenggara. Namunpun begitu, demi kesejahteraan sejagat, kita perlu mencipta dan merekabentuk serta menerapkan sesuatu yang berupaya memberi nilai kemanusiaan untuk dinikmati. Justifikasi kepada pelaksanaan konsep ini adalah berikut:

1.       Semakin bertambahnya bilangan bangunan tinggi di pusat-pusat bandar (2H/B > 1), semakin luas pula jumlah dinding bangunan secara relatif yang mendatangkan masalah persekitaran.

2.       Nisbah luas kawasan hijau kepada luas jumlah keseluruhan dinding bangunan tinggi adalah terlalu kecil di kawasan yang padat (a > 0.8).

3.       Nisbah kawasan hijau kepada jumlah penduduk di kawasan berkepadatan tinggi (2H/B >1 & a > 0.8) adalah juga terlalu kecil.

4.       Secara semula jadi, manusia perlu berinteraksi dengan alam semulajadi termasuklah tumbuh-tumbuhan dan haiwan walaupun tinggal diatas bangunan pencakar langit

Semasa merancang sesuatu kawasan untuk dibangunkan, kita lazimnya hanya melihat secara mendatar atau dua dimensi sahaja. Pelan guna tanah dihasilkan dengan membahagikan kawasan kepada zon-zon tertentu menurut keperluan seperti perumahan, industri atau komersial dan kawasan lapang. Oleh yang demikian, pengekalan dan penambahan kawasan lapang atau hijau di bandar hanya untuk memenuhi keperluan dan kehendak akta perancang bandar, undang-undang kecil bangunan seragam dan garispanduan pihak berkuasa tempatan.  Jarang sekali kita meneliti dan mengaitkan keperluan ruang lapang dengan bilangan penduduk yang akan tertumpu ke satu-satu kawasan terbuka hasil pertambahan kepadatan secara terperinci. Sebagai contoh, dalam zon berkepadatan tinggi, nisbah penduduk kepada kawasan hijau yang disediakan berdasarkan peraturan di atas sebenarnya menjadi terlalu kecil. Secara relatif, setiap seorang penghuni bangunan tinggi mungkin hanya merasai sebahagian kecil sahaja daripada kawasan hijau yang disediakan secara mendatar. Dalam keadaan tertentu, sebahagian kawasan lapang yang sepatutnya menjadi kawasan hijau telah pula ditukar guna menjadi kawasan medan letak kereta (gambar 2). Berbanding dengan kawasan berkepadatan rendah seperti kawasan perumahan yang terdiri daripada rumah-rumah setingkat dan dua tingkat, hampir setiap rumah memiliki sebidang kecil tanah (ruang lapang) untuk dihijaukan dan dinikmati secara terus.

 

                                   

Gambar 2: Ruang lapang disekeliling bangunan disediakan bukan untuk kawasan hijau tetapi

     untuk medan letak kereta

Bangunan-bangunan tinggi yang tertumpu pada kawasan khusus di pusat-pusat bandar secara relatif menambahkan lagi keluasan kawasan “permukaan keras” berbanding dengan kawasan lembut (berlandskap) yang semakin mengecil.  Setiap satu bangunan tinggi memiliki peremeter dinding luar yang luas berbanding dengan keluasan tapaknya. Sebagai contoh, sebuah bangunan yang memiliki dimensi pelan tapak 10m X 10m, berketinggian 10 tingkat (30 meter tinggi), memiliki keluasan perimeter dinding seluas (30 X 10 X 4 = 1200m2) atau 12 kali keluasan tapak atau bumbungnya. Sekiranya keseluruhan bangunan-bangunan tinggi yang berdekatan diambil kira, jumlah luas dinding luar (fasad) akan melebihi luas tapak dan kawasan hijau yang di sediakan dengan berlipat kali ganda.  Seperti yang telah dijelaskan pada bahagian 3.0, di kawasan berbangunan tinggi, ruang menegak adalah lebih kritikal daripada kawasan mendatar untuk ditangani.  Kesan haba matahari yang dipancar semula oleh dinding bangunan tinggi juga kesan nilai estatik dinding-dinding menegak ini terhadap persekitaran fizikal dan bukan fizikal amat membimbangkan kita.  Memang amat tepat sekali, sesuatu yang dapat mengurangkan kesan negatif dinding-dinding tegak ini perlu difikirkan.  Salah satu cara penyelesaiannya ialah dengan memperkenalkan elemen elemen pokok pada dinding luar bangunan agar dapat mengurangkan keluasan kawasan kerasnya(Yeang K. 1994).

Naluri semula jadi memang memerlukan manusia berinteraksi dengan persekitaran untuk merasai nikmat dan tahap sesuatu keadaan.  Sebagai contoh, tingkap masih diperlukan bagi mengetahui keadaan di luar bangunan walaupun sesuatu ruang itu telah terkawal sepenuhnya dengan menggunakan penghawa dingin dan lampu elektrik.  Sekiranya tiada tingkap, kita tidak dapat mengetahui keadaan cuaca di luar dan terasa seolah-olah telah terpisah dari dunia sebenar.  Begitulah juga penghuni bangunan tinggi akan merasa terpisah sekiranya tidak dapat menanam sedikit bunga-bungaan atau menghirup udara sejuk dibawah rimbunan pohon-pohon. Hubungan antara manusia dan tumbuh-tumbuhan ini memerlukan penanaman pokok di atas bangunan.

6.0 Kaedah Penerapan Konsep Penghijauan Secara Menegak

Konsep asas penghijauan secara menegak ialah dengan menempatkan pokok-pokok secara bertingkat tingkat seolah-olah ia menegak seperti konsep bangunan tinggi. Gambar 3 di dawah menjelaskan bagaimana pokok-pokok bunga yang disusun menegak kelihatan seperti sebuah bagunan tinggi.

Untuk menghijaukan bangunan tinggi, khususnya komponen menegaknya, beberapa pilihan kaedah boleh difikirkan. Sebahagian kaedah ini telah pernah dilaksanakan dengan jayanya dan ada yang kurang berjaya dan perlu kajian semula.  Namun usaha-usaha untuk memperkenalkannya masih perlu diteruskan dan dikembangkan demi kesejahteraan persekitaran bandar kita. Tiga konsep penghijauan secara menegak yang boleh diterapkan pada bangunan tinggi adalah seperti berikut:

a.       Penghijauan pada dinding luar (fasad) bangunan.

b.       Penghijauan pada lantai tingkat-tingkat tertentu di atas bangunan.

c.       Penghijauan pada ruang awam dalam bangunan (atrium).

 

Gambar 3: Pokok-pokok bunga disusun secara bertingkat-tingkat bagi memenuhi konsep

    asas penghijauan secara menegak di Taman Botani Pulau Pinang

6.1 Penghijauan pada dinding luar (fasad) bangunan

Penghijauan pada dinding luar (fasad) bangunan lazimnya dapat dilakukan dengan menyediakan balkoni atau anjung pada setiap tingkat bangunan dengan petak-petak untuk ditanami dengan pokok-pokok bunga yang bersesuaian. Kaedah ini memerlukan perincian yang betul agar pokok-pokok boleh ditempatkan dengan mudah, senang diselenggara (pembajaan, pemangkasan dan pengairan) dan bahagian akar pokok dapat dikawal agar tidak merosakan struktur bangunan. Jenis-jenis pokok yang boleh ditempatkan pula perlu dipilih sama ada berdasarkan kecantikan bunganya atau keupayaan menghijau sepanjang masa atau menjuantai dan memenjat. Untuk kecantikan bunganya, bunga kertas (bougainvillea) sering dipilih kerana ia berupaya berbunga sepanjang tahun. Pokok-pokok seperti (scindapsus aureus) dan (passiflora violace) pula kerap dipilih kerana berupaya memenjat dan menjuntai .Untuk menerapkan pokok-pokok memanjat, jejaring yang dapat dijadikan panjatan pokok perlu diterpkan. Apabila balkoni setiap tingkat bangunan tinggi ini ditanami sepenuhnya dengan pokok, ia akan kelihatan seolah-olah keseluruhan dinding luar bangunan telah dipenuhi oleh pokok. Terdapat juga cadangan menanam pokok secara berlingkar “spiral” daripada bahagian bawah bangunan sehingga kebahagian atas bumbung bangunan tinggi (Yeang K. 1994). Gambar-gambar di bawah ini menjelaskan lagi bagaimana konsep ini diterapkan secara praktikal.

 

Gambar 4: Sebuah bangunan pejabat di bandar George Town Pulau Pinang yang menerapkan konsep penghijauan secara menegak pada sebahagian dinding luarnya–penggunaan anjung berlandskap.

 

Gambar 5: Landskap secara menegak bertingkat dengan pokok memanjat  pada bangunan

     Menara Plaza IBM Kuala Lumpur. Malangnya usaha-usaha ini terlalu minimum untuk memberi kesan yang besar pada keseluruhan bangunan (Yeang K.1989).

                                   

Gambar 6: Menara Bousted di Kuala Lumpur yang suatu ketika dahulu menerapkan konsep

     penghijauan secara menegak pada bahagian dinding luarnya, tetapi kini tinggal

     kenangannya sahaja.

 

 

Gambar 7: Menara Pejabat Perbandaran Nara, Tokyo, Jepun oleh Ken Yeang menerapkan

     konsep penghijauan secara menegak (pokok ditanam secara berlingkar sekeliling

     bangaunan dari bahagian bawah bangunan sehingga ke bahagian bumbung) (Yeang K. 1994)

 

 

Gambar 8: Sebahagain dinding bangunan tinggi ditumbuhi tanaman merayap & memenjat untuk menghijaukan dinding luar pada cadangan pembangunan Bukit Unggul oleh Arkitak Ken Yeang (Dobney S. 1998).

 

6.2 Penghijauan pada lantai tingkat-tingkat tertentu di atas bangunan

Rekabentuk berteraskan iklim untuk bangunan tinggi perlu menggabungkan aspek penangkisan elemen iklim yang keterlaluan disamping memasukan elemen iklim yang berfaedah. Haba dan hujan perlu ditangkis tetapi cahaya dan angin perlu dimasukkan. Penerapan konsep ini memerlukan rekabentuk bangunan yang kreatif dengan menyediakan bahagian  terbuka dan juga bahagian yang tertutup. Contoh bangunan yang berjaya menerapkan kaedah ini dalam rekabentuknya ialah Bangunan Commerzbank Pusat di bandaraya Frankfurt, German. Bangunan ini menyediakan ruang terbuka berlandskap (ditanami dengan pokok) yang berperanan sebagai perangkap angin untuk membawa masuk angin secara semula jadi ke dalam atrium diselangseli pula dengan ruang tertutup (pejabat) bangunan (Architectural Review. 1993). Konsep ini juga sesuai untuk bangunan tinggi di kawasan tropika yang memerlukan aliran masuk dan keluar angin yang mengalir menerusi kawasan hijau di atas bangunan.  Ruang berlandskap juga boleh digunakan sebagai ruang rekreasi awam diatas bangunan. Gambar 8 menunjukkan contoh penerapan elemen landskap di Kompleks Bangunan Commerzbank Pusat.

 

 

Gambar 8: Contoh penerapan elemen landskap pada Kompleks Bangunan Commerzbank Pusat, Frunkfurt, German (Tracy M. 1992).

6.3 Penghijauan ruang awam dalam bangunan (atrium)

Atrium merupakan ruang perantara yang menyerupai laman dalam disediakan didalam bangunan sederhana tinggi dan tinggi. Untuk bangunan tinggi atrium berperanan bukan sahaja sebagai ruang tambahan untuk rekreasi, malahan dapat digunakan sebagai perangkap angin, penapis iklim yang berkesan dan ruang aktiviti (Sexon R. 1986). Terdapat berbagai bentuk atrium yang boleh diterapkan berdasarkan kepada kesesuaian rekabentuk bangunan. Atrium yang berlandskap berupaya meransangkan lagi keindahan ruang dalaman bangunan. Atrium berlandskap juga dapat diterapkan dibahagian atas, sisi atas bangunan tinggi sebagai komponen ruang rekreasi diatas bangunan. Gambar 9 dan 10 menunjukkan bagaimana atrium berlandskap berjaya menghidupkan suasana ruang awam dalam bangunan tinggi.

 

Gambar 9: Sebuah atrium berlandskap yang begitu hidup dengan pokok-pokok ditanam pada lantai dan setiap balkoni di Stokley House, Victoria UK (Sexon R. 1986).

 

Gambar 10: Sebuah ruang awam berlandskap dengan pokok-pokok berjuntai ditanam pada lantai balkoni di Hotel Equatorial, Pulau Pinang.

6.0 Kesimpulan

Berdasarkan hujah-hujah serta contoh-contoh yang telah dikemukakan, penghijauan semula bandar-bandar adalah amat penting bagi mengurangkan kesan negatif peningkatan haba dan silau terutamanya di kawasan berketumpatan tinggi dan kawasan yang terdapat banyak bangunan tinggi. Penghijauan secara konvensional iaitu dengan menanam pokok renek dan pohon kayu pada aras tanah masih tidak dapat menyelesaikan keseluruhan masalah yang berpunca daripada bertambahnaya bilangan bangunan tinggi ini. Tiga kaedah penghijauan secara menegak yang merangkumi penanaman pokok pada bahagian dinding luar bangunan, penanaman pokok pada beberapa bahagian lantai bangunan tinggi dan pelandskapan ruang atrium dan ruang awam merupakan konsep yang dapat mendekatkan penghuni bangunan tinggi dengan alam semulajadi serta mengurangkan kekakuan bandar disamping mengurangkan permukaan yang terdedah kepada matahari dan seterusnya menyelesaikan sebahagian daripada masalah-masalah tambahan haba dan silau pada persekitaran bandar.

 

7.0 Rujukan

 

1.       Khor M. “Integrating Environment and Development: An Overview of Some Key Issues”, State of The Environment in Malaysia. Consumers, Association of Malaysia.pp.3-15. 1996

2.       Ismail A.M. “Isu-Isu Seni Bina Tropika: Pokok-Pokok Besar Sebagai Peneduhan Semula Jadi Yang Dipinggirkan”. Journal of HBP.2000.

3.       Yeang K. The Tropical Verandah City: Some Urban Design Ideas for Kuala Lumpur, Longman. London.1989.

4.       Ismail A.M. Wind Driven Natural Ventilation In High-Rise Office Buildings With Special Reference To The Hot-Humid Climate Of Malaysia. Unpublished PhD Thesis. UWCC.1996.

5.       Tracy M. “The Downtown of Frankfurt”. Architectural Record.Vol.180,No.6.USA.June 1992.

6.       ...........”Two Towers in Frankfurt”. Architectural Review Vol.cxci,No.1143. May 1993.

7.       Yeang K. “The Tropical Skyscraper: Design Principles & Agenda for Designing Tall Buildings In The Hot Humid Tropics”. Majalah Arkitek, pp.103/11/91. Nov./Dec.1992.

8.       Straut J. Greener Building – Environmental Impact of Property. The Macmillan Press Ltd. England.1993.

9.       Brenda & Vale R. Green Architecture – Design For Sustainable Future. Thames & Hudson. London. 1991.

10.   Sexon R. Atrium Buildings, Design and Development. 2nd.Ed.The Architectural Press:London. 1986.

11.   Kavanagh T.C et.al. Planning and Environmantal Criteria for Tall Buildings. Council on Tall Buildings and Urban Habitat.199?.

12.   Yeang K. Bioclimatic skyscrapers. Ellipes London Ltd. 1994.

13.   Dobney S. T.R Hamzah Selected Works. The Image Publishing Group Pty.Ltd.1998.