Kes-Kes Angin Keterlaluan dan Kesannya Terhadap Persekitaran Alam Bina

Abstrak

Angin atau alir udara adalah salah satu elemen iklim yang penting di dalam menentukan kejayaan pengudaraan secara semula jadi. Tempoh angin bertiup dan tempoh tenang dapat dikesan menerusi data-data yang dikumpul oleh Jabatan Kaji cuaca Malaysia. Namun data ini merupakan rekod yang dihimpunkan dari stesen-stesen kajicuaca di seluruh negara dan kebanyakannya tertumpu disekitar lapangan terbang. Kejadian angin keterlaluan (ribut) mungkin berlaku di tempat yang berada di luar liputan stesen kaji cuaca. Angin keterlaluan ini perlu diselidiki daripada segi kekerapan berlaku, tumpuan lokasi kejadian dan kesan negatifnya terhadap alam bina sebelum keputusan untuk menggunakan kaedah pengudaraan semula jadi diterapkan dalam reka bentuk bangunan. Oleh itu kajian ini telah dimulakan dengan mendapatkan maklumat tentang kejadian ribut yang berlaku diseluruh negara untuk tempoh di antara 15 hingga 16 tahun yang lepas. Rekod ini dibandingkan pula dengan rekod angin permukaan maksimum “maximum surface wind” (kelajuan melebihi 19.5m/s) daripada jabatan kaji cuaca. Hasil perbandingan mendapati tiada korelasi yang tepat di antara kejadian ribut dengan rekod kejadian angin permukaan maksimum. Kejadian angin ribut kerap berlaku di pantai barat semenanjung terutamanya di negeri Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Perlis, tetapi rekod kejadian angin permukaan maksimum banyak direkodkan di negeri-negeri pantai timur semenanjung terutamanya Terengganu, Kelantan dan Pahang, negeri Sabah dan kemudian barulah diikuti pula oleh negeri Kedah dan Perak. Penelitian tentang kesan daripada kejadian ribut terhadap struktur petempatan boleh di kelompokkan kepada tiga tahap iaitu keseluruhan bangunan ranap, kerosakan kepada bumbung dan dinding sahaja, dan kerosakan hanya pada bumbung. Kesan secara terus ialah kerosakan pada bangunan terutamanya keseluruhan bumbung bangunan sementara (rumah kayu) ranap dan kerosakan pada elemen kepingan bumbung untuk rumah jenis kekal. Namunpun begitu, kesan secara tidak langsung hasil daripada hujan yang dibawa bersama oleh ribut berupaya mendatangkan kerosakan persekitaran yang serius seumpama banjir lumpur dan tanah runtuh. Langkah untuk mengurangkan kesan-kesan ini juga dikenalpasti dan dikemukakan agar penduduk di kawasan yang kerap dilanda ribut membuat persediaan awal. Kaedah rekebentuk bangunan yang sesuai seumpama pengokohan elemen bumbung dengan keseluruhan struktur bangunan juga dicadangkan agar kerosakan dapat diminimumkan. Sebagai kesimpulan, kejadian angin keterlaluan yang meliputi angin ribut dan angin permukaan maksimum didapati tidak kerap berlaku dan oleh itu adalah selamat untuk mengunakan angin di dalam pengudaraan semula jadi bangunan di negara ini kecuali untuk negeri dan tempoh tertentu sahaja. Kajian lanjut tentang hubungan angin secara terus dengan bentuk dan konfigurasi bangunan perlu dijalankan agar penerepan kaedah pengudaraan secara semula jadi dapat dilakukan dengan lebih tepat dan berasas. Kajian-kajian ini perlu menerapkan pengukuran di tapak atau kajian kes khususnya pada lokasi yang strategik berdasrkan maklumat awal data agin.