ISU-ISU SENI BINA TROPIKA: POKOK-POKOK BESAR SEBAGAI ELEMEN PENEDUHAN SEMULAJADI YANG DIPINGGIRKAN

oleh Dr.Abdul Majid Ismail

1.0 Abstrak

Pokok-pokok besar perlu dilindungi kerana peranan positifnya terhadap persekitaran fizikal kita. Kertas ini cuba mebongkar keadaan kurang peka terhadap peranan yang dimainkan oleh pokok-pokok besar di kawasan pembangunan baru dan mengemukaan keadaan yang sepatutnya dilakukan. Peranan pokok-pokok besar sebagai elemen peneduhan semulajadi amat perlu kita fahami terutamanya dalam menangani isu-isu semasa seni bina tropika dalam konteks persekitaran fizikal seumpama peningkatan suhu yang keterlaluan dan ketidakselesaan yang telah dialami oleh negara kita beberapa tahun yang silam . Keadaan ini sebahagiannya berpunca daripada pemusnahan kawasan hijau secara besar-besaran untuk pembangunan tanpa kawalan dan ketandusan sistem penenanaman semula yang berkesan.

2.0 Pengenalan

Pembangunan fizikal di negara kita kini telah terlalu meminggirkan peranan dan kepentingan pohon-pohon kayu yang rendang sebagai elemen semulajadi yang banyak memberi manfaat. Kebanyakan kawasan yang baru dibangunkan dipenuhi oleh hutan konkrit dan kawasan gondol yang terasa amat panas dan menyilaukan. Sungguhpun terdapat peruntukan undang-undang dan garis panduan bagi memastikan penanaman pokok (Akta Perancang Bandar dan Desa, 1976, Bahagian VA) dan penerapan elemen-elemen landskap sebagai pelembut dan penyeri persekitaran (Garis Panduan Landskap Negara 1995) tetapi malangnya di kebanyakan bandar-bandar dan di kawasan perumahan baru, keadaan masih lagi memilukan. Pokok-pokok yang ditanam merupakan anak-anak pokok yang masih terlalu halus dan akan memakan masa puluhan tahun untuk menjadi besar dan rendang serta berupaya memberikan faedah yang optimum. Di sesetengah kawasan perumahan pula, pokok pokok yang baru mula hidup subur terpaksa dipotong dahannya dan dirosakkan rupa-bentuknya semata-mata kerana ia mengganggu dawai elektrik yang terdedah. Kesilapan seperti ini bukan sahaja telah berlaku pada peringkat penyelenggaraan kawasan yang telah sedia dibangunkan tetapi pada peringkat awal lagi iaitu semasa proses penyediaan tapak binaan. Pelaksanaan akta atau undang-undang yang diperuntukan bagi mengekalkan sebahagian daripada pokok besar yang sedia ada di tapak (Bahagian 35A, Akta Perancang Bandar dan Desa,1976) masih lagi kabur dan terabai. Oleh itu, tapak pembinaan lazimnya akan digondolkan dan kesemua pokok dimusnahkan sebelum pembinaan bangunan dimulakan. Kesilapan-kesilapan seperti ini perlu diperbaiki dan diatasi segera sebelum masalah alam sekitar kita akan menjadi lebih gawat dengan peningkatan suhu yang tidak lagi tertahan dan kualiti udara yang terlalu tercemar. Wawasan untuk menjadikan Malaysia sebagai "Negara Taman" pada tahun 2005 mungkin tidak akan tercapai sekiranya kesedaran terhadap kepentingan komponen asas elemen seni taman ini tidak diberi penekanan dengan sewajarnya.

Pohon-pohon kayu yang rendang sebenarnya bukan sahaja berperanan mengindahkan lagi suasana di satu-satu petempatan tetapi lebih penting lagi dapat memberikan peneduhan kepada manusia dan persekitarannya agar peningkatan suhu bahangan dapat dikawal. Kombinasi pohon-pohon besar yang sedia ada dan pohon-pohon baru akan dapat memberikan perlindungan dan peneduhan kepada pejalan kaki, tempat-tempat riadah; meneduhi kereta dan juga sebahagian daripada bangunan dari panahan sinar matahari langsung yang keterlaluan. Dedaun pokok besar bertindak seperti penapis dengan mengurangkan penembusan sinar matahari langsung yang akan sampai ke permukaan tanah. Seterusnya pengurangan pendedahan permukaan tanah (kawasan keras) kepada sinar matahari langsung akan mengurangkan pancaran semula bahang panas tanah dan akhirnya pengurangan peningkatan suhu secara keseluruhan akan dapat dihasilkan. Sungguhpun pohon-pohon besar perlu penyelenggaraan khususnya daripada segi pembersihan daun-daun kering yang gugur, akarnya boleh merosakkan longkang dan paip bawah tanah serta pengawalan pertumbuhannya, namun kebaikan yang diperolehi menerusi keupayaannya dalam mengawal peningkatan suhu, hakisan tanah dan penumpuan tiupan angin amat penting sekali. Pengekalan keseimbangan di antara kawasan berkonktrit dan kawasan hijau perlukan kefahaman terhadap peranan pokok dan tumbuh-tumbuhan dalam mengimbangi kesan negatif panas matahari yang keterlaluan. 

2.0 Konsep-konsep asas peneduhan

Sinaran matahari secara terus atau langsung yang membawa haba akan menyebabkan peningkatan suhu dan selalunya ditangkis daripada mengenai badan kita dengan penggunaan elemen pakaian seperti topi, tudung atau payung. Para petani, boroh dan nelayan yang senentiasa bekerja ditengah panas terik lazimnya menggunakan topi besar untuk melindungi kepala dan muka (Rajah 1). Di dalam rumah pula, bumbung dan unjuran mempunyai peranan yang sama bagi melindungi penghuninya daripada kesan bahang panas matahari (Rajah 2). Manakala di luar rumah, pohon-pohon besar mempunyai peranan yang sama seperti topi atau bumbung rumah iaitu, untuk melindungi dan meneduhi manusia, peralatan, kenderaan dan bangunan daripada bahang panas matahari yang keterlaluan. (Rajah 3).

Rajah 1: Petani memakai topi pelindung untuk meneduhi kepala dari bahang panas matahari.

 Rajah 2: Bumbung dan unjuran pada bangunan meneduhi penghuni daripada sinaran terus matahari

 Rajah 3: Pokok-pokok besar berperanan meneduhi rumah, kereta dan manusia daripada panas terik matahari

3.0 Contoh-contoh keadaan negatif yang perlu diperbetul

3.1 Penebangan pokok dan penggondolan keseluruhan tapak bina

Kelaziman membersihkan keseluruhan tapak dengan menebang kesemua pokok dan meratakan keseluruhan tanah untuk memaksimumkan kawasan bangunan dan infrastruktur perlu dikaji semula. Pihak Penguasa Tempatan perlu menakrif dan melaksana Bahagian 35A Akta Perancang Bandar dan Desa dengan lebih teliti. Rajah 4 menunjukkan contoh bagaimana kawasan tapak pembinaan yang telah gondol keseluruhannya. Sebahagian daripada pokok besar yang berkeadaan elok sepatutnya dikekalkan tumbuh diatas tapak khususnya dalam membantu penyediaan landskap kawasan lapang, kawasan simpanan jalan dan kawasan penimbal. Pohon-pohon yang dikekalkan akan menjadi mercu tanda dan sebahagiannya dapat mengurangkan kesan hakisan tanah yang akhirnya akan menyebabkan pencemaran air.

Rajah 4: Contoh sebuah kawasan pembangunan yang telah digondolkan keseluruhannya.

3.2 Penyediaan medan letak kereta terbuka tanpa sebarang peneduhan.

Kereta yang diletakkan di kawasan terbuka tanpa sebarang peneduhan sebenarnya akan mudah uzur dan mengalami peningkatan suhu dalaman yang keterlauan Kesan rumah kaca akan berlaku di dalam kereta yang tertutup rapat dan terdedah pada bahang matahari langsung oleh kemasukan sinaran gelombang pendek infra merah dan terperangkapnya sinaran gelombang panjang oleh kaca tingkap. Suhu dalaman kereta akan meningkat melebihi suhu udara luar dengan banyaknya sehinggakan kalau terdapat buah pisang yang masak diletakkan di dalamnya, ia akan menjadi ranum dan lembik dalam tempoh tidak sampai beberapa jam sahaja. Rajah 5 menunjukkan medan letak kereta tanpa sebarang peneduhan yang sebenarnya kurang diminati kecuali dalam keadaan terpaksa tanpa sebarang pilihan lain. Dalam iklim panas-lempbap tropika seperti negara kita, tempat letak kereta terbuka sebenarnya perlukan peneduhan terutamanya oleh pokok-pokok besar dan rimbun bagi mengurangkan penigkatan suhu bahangan (Rajah 6). Kawasan lapang yang tidak berpeneduh dan berumput seperti medan letak kereta sebenarnya merupakan punca pemancaran semula bahang panas matahari daripada permukaannya ke udara yang akan menjadi penyebab utama pertambahan suhu udara setempat.

Rajah 5: Medan letak kereta tanpa peneduhan yang kelihatan lengang kecuali di kawasan teduh.

Rajah 6: Medan letak kereta yang kelihatan sejuk dan nyaman oleh teduhan yang diperolehi daripada pohon-pohon kayu yang menghijau dan rimbun.

3.3 Laluan pejalan kaki tanpa peneduhan

Kawasan pejalan kaki seumpama kakilima pada bahu jalan atau laluan-laluan khas yang disediakan tanpa sebarang bentuk peneduhan sama ada oleh pokok-pokok atau pergola sebenarnya tidak dapat memberikan keselesaan kepada penggunanya. Sekiranya kawasan pejalan kaki itu bersimen dan tidak berpeneduh, pengguna akan terdedah kepada bahang matahari dan bahang simen yang akan mengakibatkan keadaan terlalu panas dan kelekitan badan oleh peluh di samping terpaksa menghadapi silau pantulan yang tidak menyenangkan. Rajah 7 menunjukkan bagaimana pengguna terpaksa mengharungi panas terik untuk berjalan di kaki-lima jalan tanpa peneduhan. Pengguna lazimnya akan melencong dan berjalan melalui bawah pokok daripada laluan yang cantik tetapi tidak berpeneduh khususnya pada waktu dinihari. Deretan pokok-pokok yang rimbun perlu ditanam disepanjang kakilima pada bahu jalan untuk meneduhi pejalan kaki dan juga para pengguna lain (Rajah 8).

 

Rajah 7: Laluan pejalan kaki tanpa peneduhan walupun indah tetapi tidak berupaya memberi keselesaan kepada penggunanya

 

Rajah 8: Lihatlah betapa selesanya berjalan kaki di kakilima yang diteduhi oleh pohon-pohon kayu yang rendang pada waktu panas terik walaupun laluannya tiada dilengkapi dengan jubin yang indah-indah

3.4 Ruang terbuka dan tempat permainan tanpa peneduhan

Penyediaan ruang terbuka memang diperlukan untuk satu-satu kawasan perumahan, namun kadangkala lokasinya kurang sesuai kerana ia merupakan kawasan lebihan yang tidak dirancang dan tanpa sebarang elemen peneduhan diperuntukkan. Ruang terbuka walaupun tersedia dengan tempat-tempat duduk yang indah dan alatan permainan kakak-kanak yang mencukupi tetapi tiada tersedia dengan elemen peneduhan khususnya pokok-pokok besar sebenarnya masih kurang sesuai dalam memberikan keselesaan kepada pengunjungnya (Rajah 9). Bahang matahari tetap akan memanaskan elemen-elemen peralatan seumpama tempat-tempat duduk dan alatan permainan dan tidak dapat dimanfaatkan terutama pada waktu tengah hari. Ia mungkin hanya dapat dimanfaatkan pada awal pagi ataupun lewat petang. Pohon-pohon kayu yang rendang yang ditanam di sekitar kawasan terbuka ini akan dapat meneduhi pengguna dan peralatan daripada keterikan panas matahari, oleh itu tempat seperti ini akan dirasai lebih nyaman dan selesa (Rajah 10).

Rajah 9: Ruang lapang tempat permainan kanak-kanak yang terdedah terus kepada panas terik kerana kekurangan penyediaan pokok-pokok besar disekitarnya.

Rajah 10: Ruang lapang tempat permainan kanak-kanak yang diteduhi oleh pokok-pokok rendang kelihatan lebih selesa dan diminati ramai.

 

 

3.5. Dinding bangunan yang terdedah terus kepada sinar matahari

 

Bangunan-bangunan yang rendah seperti rumah satu hingga dua tingkat masih dapat menerima faedah daripada peneduhan semulajadi yang diperolehi menerusi pohon-pohon kayu yang besar dan rimbun khususnya dalam mengurangkan kesan sinaran matahari langsung pada bahagian bumbung dan dindingnya. Dinding yang menghadap arah barat dan tanpa sebarang peneduhan akan menerima haba matahari yang tinggi pada lewat tengah hari dan petang. Haba matahari ini sebahagiannya akan tersimpan pada bumbung dan dinding, kemudiannya dialirkan dan dipancarkan semula ke dalam ruang bangunan pada lewat petang dan awal malam. Keadaan ini akan menyebabkan peningkatan suhu dalaman bangunan walaupun selepas waktu matahari telah terbenam. Peneduhan oleh pepohon kayu akan dapat mengurangkan kesan tambahan haba matahari pada bahagian luar bangunan dan keadaan ini akan dapat mencegah dan mengurangkan keadaan negatif seperti di atas (Rajah 11).

Rajah 11: Pohon-pohon kayu yang rendang berupaya meneduhi bangunan bagi mengurangkan kesan haba matahari dan meredakan sebahagian daripada kepanasan dalam bangunan.

3.6 Penanaman anak-anak pokok yang masih terlalu kecil

Untuk menjimatkan kos, pemaju lazimnya memilih menanam anak-anak pokok yang masih terlalu kecil pada bahu jalan kawasan perumahan baru dengan harapan dapat memenuhi keperluan sepertimana yang dikehendaki oleh pihak Penguasa Tempatan. Kadang-kadang pihak Penguasa Tempatan sendiri juga menanam batang-batang pokok dengan harapan ia akan tumbuh secara semulajadi. Amat malang sekali, anak-anak pokok-pokok besar yang masih terlalu muda ini akan mengambil masa puluhan tahun untuk tumbuh membesar hingga ketahap yang boleh memainkan peranan sebagai elemen peneduhan. Oleh sebab keadaan tanah dan cuaca, pokok pokok ini kerap kali terencat dan terbantut pertumbuhannya sehinggakan ada yang mati dan hidup merana. Rajah 12 menunjukkan salah satu contoh kawasan perumahan baru yang ditanami dengan anak-anak pokok Mimussops eleggi (Bunga Tanjung) yang masih terlalu kecil. Sebahagian peranan pokok sebagai peneduh dan pelembut persekitaran mungkin dapat dipenuhi sekiranya hanya pokok-pokok yang telah matang ditanam di kawasan perumahan atau sekiranya pengekalan sebahagian pokok besar di tapak binaan diamalkan.

Rajah 12: Sebuah kawasan perumahan baru yang ditanami dengan anak-anak pokok yang masih terlalu kecil.

4.0 Kesimpulan

Keadaan negatif yang telah dikemukakan menggambarkan betapa kita masih kurang memberi penekanan terhadap pembentukan persekitaran yang selesa pada bandar dan taman perumahan baru menerusi penerapan elemen-elemen semulajadi seperti pokok-pokok kayu besar dan elemen-elemen landskap lain. Pohon-pohon kayu yang rimbun sebagai elemen peneduhan semulajadi berupaya mengurangkan kesan-kesan peningkatan suhu udara yang keterlaluan menerusi peranannya dalam menapis dan mengurangkan penembusan kesan sinaran langsung matahari ke permukaan bumi. Oleh yang demikian, pengekalan pokok-pokok besar dan penanaman semula pokok-pokok yang matang untuk memenuhi peranannya sebagai peneduh semulajadi di samping memperindah persekitaran kita perlu diperhebat lagi. Akhirnya kita akan dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan nyaman tanpa mengalami sebarang masalah kepanasan yang keterlaluan dan kesan negatif anasir-anasir pencemaran lain yang berkaitan.

5.0 Rujukan

  1. Warta Kerajaan Malaysia, Akta Perancang Bandar dan Desa, 1976
  2. Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Garis Panduan Landskap Negara, 1995
  3. Brenda dan Vale.R, Green Architecture - Design for A Sustainable Future, Thames and Hudson Ltd. London, 1992.
  4. McHarg, I.L, Design With Nature, National History Press, New York. 1969.
  5. Thomas R, Environmental Design - An Introduction for Architects and Engineers, Max Fordham & Partners. 1996.
  6. Ismail A.M. Keberkesanan Rekabentuk Alat Peneduhan Bangunan Bagi Melindungi Bangunan Daripada Sinaran Matahari Langsung dan Hujan, Laporan Penyelidikan Jangka Pendek, Gran Penyelidikan USM. 1992.