PENGUDARAAN DAN ALIR UDARA DI DALAM BANGUNAN SERTA PERMASALAHANNYA.

oleh Dr.Abdul Majid Ismail

2.0 PENGENALAN

Di dalam negara yang beriklim panas-lembap tropika seperti negara kita, tiupan angin atau alir udara diperlukan untuk mempercepatkan peroses sejatan supaya ketidakselesaan oleh kelekitan kulit dapat dikurangkan. Proses ini sahajalah yang didapati amat berkesan untuk memberi keselesaan kepada kulit di samping penurunan suhu udara yang kerap kali amat sukar untuk dipenuhi sekiranya kita bergantung kepada kaedah semulajadi tanpa bantuan alat-alat mekanikal seperti pendingin hawa. Pengudaraan dan alir udara untuk sesebuah bangunan perlu disediakan sama ada secara semulajadi atau secara mekanikal. Perkara ini jelas diperuntukkan di dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL) yang menghendaki bukaan-bukaan minimum untuk tujuan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi. Perkara 39(1) hingga (4), 40(1) dan (2) dan 41 (1) hingga (4) di dalam undang-undang kecil ini lazimnya dikuatkuasakan oleh penguasa-pengusa tempatan terhadap pelan-pelan bangunan yang baru sebagai salah satu syarat kelulusan. Di dalam hal ini kita jarang sekali mempersoalkan sama ada peruntukan yang disediakan di dalam pelan itu pada akhirnya benar-benar dimanfaatkan oleh penghuninya ataupun sebaliknya. Kita seringkali bertembung dengan beberapa kes yang melibatkan pengubahsuaian bangunan diluar kawalan, seumpama penutupan secara kekal telaga udara "air-wells" pada rumah-rumah teres yang pada asalnya diperuntukkan untuk tujuan pengudaraan dan pencahayaan semulajadi. Di dalam kes untuk mendapatkan kelulusan pelan bangunan, terdapat juga kes pelepasan peruntukan untuk mematuhi perkara 39 dan 40, hanya dengan menuliskan di atas pelan bangunan perkataan "penghawa dingin akan digunakan". walhal setelah bangunan siap dan diduduki tiada sebarang alat penghawa dingin dipasang dan kalau dipasang sekalipun hanya seketika sahaja iaitu sewaktu pemeriksaan untuk sijil menduduki sedang dilakukan. Contoh kes-kes diatas menggambarkan bahawa penguatkuasaan tidak akan berkesan tanpa kefahaman terhadap kepentingan setiap peruntukan undang-undang yang berkaitan oleh orang ramai.

Untuk menghargai peruntukan-peruntukan bukaan bangunan yang minimum sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang kecil bangunan seragam, kita perlu meneliti beberapa perkara asas yang berhubungkait dengan diri kita daripada segi kesihatan dan keselesaan. Penyediaan bukaan pada bangunan sama ada dalam bentuk telaga udara, tingkap, kekisi dan elemen-elemen dekoratif untuk tujuan pengudaraan sebenarnya mempunyai kesan secara langsung dari segi fisiologi khususnya di dalam hal kebersihan dan pergerakan udara di dalam bangunan. Secara tidak langsung pengudaraan juga mepengaruhi suhu dan kelembapan udara di dalam ruang ataupun pada permukaan dinding bilik.

Sebenarnya peruntukan penyediaan bukaan minimum sebagaimana yang termaktub di dalam undang-undang kecil bangunan ini masih lagi tidak mencukupi sekiranya tahap keselesaan sebenar ingin dicapai, khususnya didalam iklim panas lembap tropika seperti negara kita. Garispanduan rekabentuk berteraskan iklim menghendaki luas bukaan pada bangunan di sekitar 40% hingga 80% daripada luas dinding. Undang-undang kecil bangunan seragam pula hanya menghendaki bukaan seluas 10% hingga 20% daripada keluasan lantai. Nyatalah bahawa bukaan yang lebih besar diperlukan untuk pengudaraan semulajadi yang lebih berkesan, bukan sebaliknya iaitu mengecilkan bukaan hingga ketahap kritikal dan memudaratkan. Rajah (1) menggambarkan contoh bukaan tingkap pada rumah tradisional yang lazimnya memiliki bukaan boleh tutup dan juga bukaan kekal yang terdiri daripada elemen dekoratif di bahagian atas tingkap.

Rajah (1) Elemen-elemen dekoratif yang berfungsi sebagai bukaan kekal untuk alir-

udara semulajadi

3.0 PERANAN PENGUDARAAN DAN ALIR-UDARA

Kita perlu memahami peranan atau fungsi pengudaraan dan alir udara terlebih dahulu sebelum kita dapat menghargai betapa pentingnya peruntukan bukaan kepada bangunan yang sewajarnya dipatuhi. Kegagalan kita untuk menilai perkara ini akan menyebabkan kita mengambil ringan kehendak-kehendak asas rekabentuk bangunan yang sensitif kepada iklim dan dapat memberi keselesaan kepada penghuninya. Berikut ialah peranan-peranan yang asas pengudaraan dan alir udara didalam bangunan:

a) Untuk memenuhi kehendak kesihatan iaitu mengekalkan kualiti udara di dalam bangunan di atas satu paras minimum, iaitu menukarkan udara terpakai dengan udara bersih. Keadaan ini mesti dipatuhi dalam sebarang situasi dan rekabentuk.

b) Untuk menghasilkan keselesaan terma , iaitu untuk menambahkan kehilangan haba badan dan mengurangkan ketidakselasaan oleh kulit yang lembab dan lekit.

c) Untuk menyejukkan struktur bangunan apabila berlaku keadaan suhu didalam ruang bangunan meningkat lebih tinggi daripada suhu di luar bangunan.

3.1 Pengudaraan untuk memenuhi keperluan kesihatan

Keperluan asas ini perlu dipenuhi tanpa sebarang pengecualian. Secara mudah kehendak ini bermaksud membekalkan oksigen dengan secukupnya untuk pernafasan dan aktiviti-aktiviti lain, serta untuk mencegah kenaikan kadar kandungan karbondioksid dan bau yang tidak diingini. Sebagai contoh, sekiranya sebuah ruang dapur tidak mempunyai lubang udara,ia mestilah dilengkapi dengan peralatan pengudaraan mekanikal lain yang berupaya mengurangkan kandungan karbondioksid dan hasil pembakaran lain dibawah paras bahaya. Syarat-syarat minimum seperti yang dikehendaki oleh Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 adalah untuk memenuhi fungsi kesihatan ini. Oleh itu sekiranya kehendak-kehendak ini tidak dipatuhi, perkara-perkara negatif yang mengancam kesihatan seperti sesak nafas, rasa terpengap dan bau yang tidak di ingini sentiasa mengganggu hidung akan dialami oleh penghuninya. Suasana tidak nyaman ini kerapkali berlaku pada waktu malam atau waktu hujan apabila penghuni menutup semua tingkap dan tidak terdapat bukaan kekal diperuntukkan pada dinding atau bumbung bangunan.

3.2 Pengudaraan untuk keselesaan terma

Kandungan kelembapan udara dan panas matahari yang sentiasa tinggi menyebabkan kulit kita sentiasa terasa lekit dan tidak selesa. Fenomena iklim panas lembap ini hanya boleh diredakan dengan meniupkan angin untuk mempercepatkan proses sejatan pada kulit. Di dalam hal menyediakan keadaan terma yang selesa iaitu mencegah ketidakselesaan yang disebabkan oleh kepanasan dan kelekitan kulit ini, bekalan udara yang cukup kelajuan dan kadar tukarannya adalah diperlukan. Kadar aliran dan kelajuan udara pula dipengaruhi oleh geometri ruang dan lokasi bukaan. Oleh itu penentuan awal iaitu semasa peringkat rekabentuk perlukan penelitian yang mendalam supaya perkara- perkara ini dapat diterapkan dan bukan sekadar agakan yang kurang tepat. Perlu juga diingat bahawa kelajuan udara untuk keselesaan perlu bertambah apabila suhu semakin meningkat. Oleh itu kaedah-kaedah yang innovetif perlu difikirkan agar keselesaan masih dapat dikekalkan walaupun kesan keikliman meningkat menjadi lebih kritikal khususnya pada waktu tengah hari dan lewat petang. Matlamat rekabentuk kita mestilah memafaatkan angin yang sedia ada dengan memasukkannya kedalam bangunan serta melengkapkan bangunan dengan kaedah bantuan sekiranya angin tidak diperolehi.

3.3 Pengudaraan untuk penyejukan struktur

Udara sebenarnya memiliki kapasiti terma yang rendah. Oleh itu sekiranya sesebuah bangunan tidak berpengudaraan, suhu udaranya tetap berada pada aras suhu permukaan dalam. Suhu permukaan dalam pula berubah mengikut purata suhu permukaan luar. Terdapat perhubungan terus di antara purata suhu permukaan luar dan dalam, iaitu ia dipengaruhi pula oleh warna dinding luar bangunan berkenaan. Suhu lazimnya meningkat sekiranya warna digelapkan. Tahap ketinggian turun-naik suhu ini pula ditentukan oleh kapasiti terma, rintangan terma dan julat suhu permukaan luar bangunan. Oleh itu suhu adara didalam bangunan terbukti dipengaruhi oleh ciri-ciri komponen binaan atau struktur banguanan. Hasil daripada beberapa penyelidikan, telah terbukti bahawa kesan penyejukan oleh pengudaraan sememangnya bergantung kepada perbezaan suhu luar dan dalam bangunan. Pengudaraan berupaya menurunkan suhu pada bahagian luar bangunan dan seterusnya mengakibatkan penurunan suhu bahagian dalam dan suhu udara yang terkandung di dalamnya. Peranan ini perlu diambilkira khususnya bagi penurunan suhu bumbung dan ruang loteng bangunan.

4.0 MEKANISME PENGUDARAN DAN ALIR UDARA

Udara akan mengalir atau bergerak melalui sebuah bangunan hanya sekiranya terdapat perbezaan tekanan. Terdapat dua bentuk tekanan yang akan menyebabkan aliran ini berlaku iaitu:

a) Tekanan terma iaitu cerunan suhu antara bahagian luar dan dalam bangunan.

b) Tekanan angin yang akan mangalirkan angin luaran kedalam bangunan.

4.1 Tekanan terma

Apabila purata suhu udara di luar dan di dalam bangunan adalah berbeza, maka perbezaan ketumpatan juga berlaku dan menyebabkan cerunan tekanan udara secara menegak terbentuk. Sekiranya suhu didalam lebih tinggi dan dua bukaan disediakan, satu pada bahagian atas dan satu lagi pada bahagian bawah dinding, udara akan mengalir keluar pada bahagian atas bukaan yang disebabkan oleh tekanan yang lebih tinggi terbentuk pada bahagian atas ruang bangunan. Sementara itu tekanan rendah terbentuk pada bahagian bawah yang menyebabkan udara sejuk mengalir masuk kedalam bangunan.

Mekanisme ini dapat memenuhi keperluan kesihatan tetapi tidak berupaya meyebabkan udara bergerak laju untuk memenuhi keperluan keselesaan terma. Di Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang biasanya mensyaratkan bangunan dilengkapi dengan serombong asap pada bahagian dapur kecuali dapur gas digunakan dan semua telaga udara tidak

dibenarkan ditutup samasekali kecuali dengan penutup boleh ubah dan bumbung bertingkat yang berbukaan kekal (sila rujuk Rajah 2). Syarat-syarat ini sebenarnya bertujuan untuk menyediakan tukaran udara bersih secara semula jadi berlaku tanpa gangguan sepertimana yang dikehendaki oleh Undang-undang Kecil Bangunan Seragam.

Rajah 2: Telaga udara boleh ditutup dengan bumbung bertingkat

Prinsip tukaran udara menerusi tekanan terma dapat berfungsi dengan lebih aktif lagi sekiranya ketinggian rumah yang lebih dapat diadakan dengan bukaan pada bahagian teratas dan terbawah sekali. Sebagai contoh, konsep "split level" dan isipadu berganda dapat diterapkan dalam rekabentuk rumah kediaman untuk memastikan kesan yang optimum terhadap pertukaran udara. Rajah 3 menggambarkan bagaimana dapur berperanan sebagai sumber udara panas di dalam sebuah rumah diterapkan dengan konsep isipadu berganda untuk menghasilkan kesan tekanan terma yang lebih berkesan. Udara panas dari dapur akan bergerak keatas dengan lebih berkesan oleh kesan isipadu berganda dan keluar menerusi rongga di puncak bumbung. Seterusnya udara sejuk akan mengalir masuk melalui ruang tamu ke ruang dapur oleh proses perolakan. Prinsip rekabentuk ini sebenarnya lebih berkesan daripada rekabentuk lazim yang meletakan dapur pada tingkat bawah dan mengharapkan tukaran udara berlaku menerusi bukaan pada tingkat bawah sahaja.

Rajah 3: Penerapan kosep isipadu berganda

( Tekanan terma menjadi lebih berkesan apabila perbezaan tingginya lebih besar)

Satu lagi cotoh penerapan pengalirkan udara secara tekanan terma ialah menerusi prinsip peneduhan dengan menggunakan elemen landskap. Rajah (4a) menggambarkan peneduhan dan pengudaraan secara terus iaitu pohon-pohon yang rimbun meneduhi bumbung rumah supaya panas matahari dapat dikurangkan. Rajah (4b) pula menggambarkan bagaimana udara sejuk daripada rimbunan pohon-pohon yang berada berhampiran dengan rumah dapat disedut kedalam rumah secara tidak langsung dengan kaedah tekanan terma.

Rajah 4a: Penyejukan secara terus

Rajah 4b: Penyejukan secara tidak langsung

4.2: Tekanan angin

Salah satu sumber pengudaraan semulajadi ialah tiupan angin yang bertiup dengan kelajuan dan arah yang tertentu. Apabila angin bertiup kearah sebuah bangunan, alirannya yang lurus akan terpecah-pecah dan terlencong keatas dan kesisi bangunan berkenaan. Bahagian bangunan yang menghadap arah angin akan mengalami tekanan dan bahagian yang membelakangi arah angin akan mengalami kesan sedutan. Sekiranya terdapat bukaan pada kedua-dua bahagian bangunan ini, angin akan mengalir masuk menerusi ruang dalam bangunan (sila rujuk rajah 4).

Rajah 4: Fenomena tekanan angin

Disamping perubahan arah dan kelajuan, kesan-kesan sampingan lain juga akan terjadi apabila angin menghadapi halangan. Salah satu kesan sampingan ini ialah kesan sedutan dan aliran undur yang juga berupaya mengalirkan angin pada arah yang bertentangan tetapi memiliki kelajuan yang bersesuaian untuk keselesaan. Kesan negatif ini sebenarnya dapat dimanfaatkan untuk tujuan pengudaraan di dalam bangunan. Rajah 5a menunjukkan bagaimana sebuah bangunan tinggi yang diletakkan dibahagian belakang deretan rumah menyebabkan aliran undur terjadi. Rajah 5b pula menggambarkan sekiranya bangunan tinggi ini berada di hadapan, kesan sedutan oleh aliran undur menjadi lebih aktif lagi.

Rajah 5a: Bangunan tinggi berada di belakang deretan rumah-rumah

Rajah 5b: Aliran undur oleh halangan dihadapan

4.3: Kesan campuran

Dalam keadaan sebenar, tekanan terma dan tekanan angin kerap bertindak bersama untuk menghasilkan alir udara dan pengudaraan didalam bangunan. Pengudaraan oleh kuasa terma bergantung kepada hasil perbezaan suhu di dalam dan di luar bangunan serta perbezaan tinggi diantara bukaan yang teratas dan terbawah. Untuk bangunan kediaman, perbezaan tingginya terlalu kecil iaitu disekitar 2 meter sahaja, menyebabkan keberkesanannya kurang nyata. Apabila keadaan agak panas, kuasa terma terlalu rendah untuk menghasilkan aliran udara yang berkesan, kecuali tandas dan bilik air yang mempunyai paip pengudaraannya sendiri. Kaedah ini sebenarnya akan menjadi lebih berkesan sekiranya saloran ventilasi boleh diadakan untuk bangunan bertingkat dengan mengambil kira ketinggian keseluruhan atau sebahagian bangunan ini. Kuasa terma yang membentuk aliran udara dengan perbezaan tekanan sahaja menghasilkan aliran dengan kelajuan yang rendah.

Aliran udara yang dihasilkan oleh tekanan angin akan mengalirkan angin hampir keseluruh ruangan bilik, sementara aliran oleh kuasa terma hanya tertumpu di bahagian yang berhampiran dengan bukaan sahaja. Sekiranya kedua-dua makanisme ini dapat dikawal menerusi perincian rekabentuk yang tepat dan dibenarkan bertindak bersama, alir udara yang lebih berkesan daripada segi tukaran udara dan kelajuan akan dapat di hasilkan. Sebagai contoh, rumah tradisonal Melayu kerap menerapkan bukaan tingkap yang memanjang hingga keparas lantai dan tiada bersiling supaya ketinggiannya menjadi optimum. Oleh yang demikian udara panas akan naik dan terus keluar pada bahagian tebar layar dipuncak bumbung. Angin pula akan bertiup merentasi ruang rumah tanpa halangan. Kedua-dua kaedah ini saling bantu membantu untuk menghasilkan pengudaraan semulajadi yang paling berkesan.

5.0 FAKTOR REKABENTUK YANG MEMPENGARUHI ALIRAN UDARA

Untuk menghasilkan taburan aliran udara yang berkesan di dalam sesebuah ruang faktor-faktor yang mempengaruhinya perlulah diteliti terlebih dahulu. Terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi corak aliran udara di dalam sesebuah bilik:

a. Taburan tekanan disekeliling bangunan

b. Inersia udara yang bergerak.

Keadaan topografi,tumbuh-tumbuhan, objek-objek tiga dimensi seperti bangunan dan tembok akan menyebabkan taburan tekanan di sekeliling dan di luar bangunan berubah atau menyebabkan arah asal angin utama melencong. Oleh itu objek-objek seperti tembok dan tumbuh-tumbuhan boleh diterapkan untuk memperbaiki taburan dan arah atau sebaliknya. Sebagai contoh pohon-pohon yang sederhana rimbunnya boleh ditanam pada jarak yang sesuai supaya angin akan tertumpu pada arah yang dikehendaki (sila rujuk rajah 6). Kelajuan udara juga boleh ditingkatkan sekiranya angin dibenarkan menumpu melalui dua deretan pokok-pokok sebelum masuk kedalam bangunan (sila rujuk rajah 7).

Rajah 6: Pelencungan angin oleh pohon-pohon

Rajah 7: Kesan penumpuan untuk meningkatkan kelajuan

Disamping dua faktor yang tersebut di atas, terdapat juga faktor-faktor geometri yang boleh dikawal oleh perekebentuk serta berupaya menentukan corak dan juga kelajuan angin didalam ruang. Berikut ialah faktor yang berkenaan:

a. Orientasi tingkap

Berdasarkan kepada beberapa kajian, angin pada arah 45 darjah kepada lubang masuk akan bertindak memenuhi seluruh bilik dengan peningkatan kelajuan pada sisi dinding dan pada penjuru bilik. Pengudaraan yang lebih baik dicapai apabila aliran udara bertukar arah di dalam bilik daripada aliran yang terus menerus daripada lubang masuk ke lubang keluar. Penemuan-penemuan ini amat berfaedah kerana dapat membantu para perekabentuk dari terus terkonkong oleh andaian secara teori yang memerlukan arah angin mestilah menghala tepat kearah dinding dan sekatan- sekatan di dalam ruang akan menjadi penghalang terus aliran angin. Oleh itu orientasi untuk kemasukan angin adalah lebih fleksibel daripada orientasi untuk haba matahari yang agak spesifik dan sekatan boleh diadakan tetapi mestilah dapat menghasilkan pengudaraan yang baik.

b. Ukuran tingkap

Sekiranya sebuah bilik itu mempunyai bukaan masuk dan keluar dengan pengudaraan rentas yang baik, kelajuan udaranya boleh dikawal dengan menambahkan sais tingkapnya. Dengan memperbesarkan bukaan masuk dan keluar secara serentak, kelajuan udaranya juga akan bertambah. Sekiranya sais tingkap bilik berbeza-beza, kelajuan udara yang lebih tinggi boleh diperolehi dengan sais bukaan keluar yang lebih besar daripada bukaan masuk. Keadaan ini boleh dimanfaatkan di dalam rekabentuk bangunan khususnya di dalam mempelbagaikan rekabentuk fasad disamping memenuhi keperluan pengudaraannya.

c. Pengudaraan rentas

Pengudaraan rentas dapat dipenuhi dengan menghubungkan ruang pada bahagian sedutan dan tekanan angin. Lazimnya bukaan pada dua sisi dinding yang bertentangan diperlukan untuk membolehkan keadaan ini berlaku. Tetapi di dalam keadaan sebenar, kita mungkin tidak dapat menyediakan bukaan pada sisi yang bertentangan kerana susunan bilik yang tidak mengizinkannya. Walaubagaimanapun pengudaraan rentas masih boleh berlaku dengan menyediakan dua bukaan pada sisi yang sama dengan syarat aliran angin pada arah oblik. Sekiranya angin datang pada arah 90 darjah tepat kepada dinding, aliran udara tidak akan berlaku di dalam bangunan. Sebenarnya pengudaraan yang lebih baik dapat dicapai dengan melengkapkan kedua-dua tingkap dengan unjuran menegak (sila rujuk rajah 8).

Rajah 8: Memperbaiki pengudaraan rentas bukaan pada satu sisi.

Kesimpulannya, perubahan yang menggalakkan masih dapat dicapai oleh bangunan yang memiliki satu bahagian dinding luar seumpama bangunan pejabat atau bilik-bilik darjah, dengan syarat aliran angin mestilah pada arah oblik di antara 20-30 darjah dan bukaan ditambah dengan unjuran menegak tetapi tidak terlalu panjang sehingga mengganggu aliran tingkap yang satu lagi.

d. Lokasi tingkap secara menegak

Kedudukan tingkap pada kedudukan menegak dan rekabentuk bukaan masuk adalah lebih kritikal daripada bukaan keluar, kerana ia akan menentukan corak aliran angin yang akan masuk ke dalam bilik. Ketinggian ambang tingkap akan menentukan samaada angin akan bertiup pada zon kediaman atau sebaliknya. Sekiranya ambang tingkap terlalu tinggi, sudah tentulah angin tidak akan bertiup pada bahagian kepala sahaja dan begitulah sebaliknya. Begitu juga tingkap yang berbagai jenis berupaya mempengaruhi aliran angin di dalam bangunan. Oleh itu pilihan yang paling baik dapat dibuat berdasarkan kepada keperluan. Sebagai contoh, tingkap "nako" yang mempunyai bilah-bilah pepisau boleh laras berupaya menyalorkan angin pada arah yang dikehendaki hanya dengan mengubah bilah-bilah pepisaunya (sila rujuk rajah 9).

Rajah 9: Aliran dilaraskan oleh tingkap boleh laras

e.Sekatan dan pembahagian ruang dalaman

Apabila lebar bangunan melebihi lebar sebuah bilik, pengudaraan untuk setiap bilik lazimnya bergantung bilik-bilik yang lainnya. Masalah ini boleh diatasi dengan meletakkan bilik yang lebih besar menghadap arah angin dan bilik yang lebih kecil pada bahagian belakangnya ( sila rujuk rajah 10).

Rajah 10: Susunan bilik yang optimum

6.0 PENGUDARAAN DAN PERANCANGAN BANDAR

Pengudaraan semulajadi bergantung sepenuhnya kepada angin yang sedia ada. Seperti yang telah disentuh di dalam bahagian 4, kehaziran dan kelajuannya dipengaruhi oleh keadaan persekitan yang sebahagian besarnya ditentukan pada tahap yang lebih asas iaitu di tahap perancangan lagi. Oleh itu adalah penting untuk menanamkan kefahaman dan peri pentingnya asas-asas prinsip pengudaraan secara menyeluruh di dalam aspek perancangan bandar dan wilayah supaya penerapan elemen-elemen perancangan tidak bercanggah dengan keperluan keselesaan manusia dan seluruh penghuni alam. Perancangan bandar mempengaruhi faktor-faktor persekitaran yang penting kepada keselesaan manusia, terutamanya cahaya matahari, peneduhan, ketinggian bangunan, pengawalan sinar matahari, hujan, debu di luar bangunan dan keadaan pengudaraan di dalam dan di luar bangunan. Ketinggian sesuatu struktur merentasi keratan bandar, jarak bangunan, persamaan dan perbezaan sais, tinggi, keratan, taburan dan pembahagian tempat lapang dan taman mempengaruhi aliran angin.

Matlamat perancangan bandar di kawasan yang beriklim panas lembap tropika ialah mengioptimumkan pengudaraan semulajadi serta memaksimumkan kawalan peneduhan matahari kepada bangunan, jalan dan tempat permainan. Sesebuah bangunan yang lebih tinggi daripada bangunan di sekitarnya boleh mengubah corak aliran angin disekitar bahagian bawah bangunan. Oleh itu kawalan angin serta hujan yang khusus amat perlu untuk keselesaan penduduk di sesebuah daerah.

7.0 KESIMPULAN

Berdasarkan kepada penjelasan yang telah diberikan, pengudaraan perlu diadakan didalam bangunan samaada secara semulajadi atau mekanikal. Peruntukan bukaan minimum untuk tujuan pencahayaan dan pengudaraan secara semulajadi telah pun tersedia sepertimana yang terkandung di dalam Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984. Kefahaman terhadap peranan bukaan (tingkap, pintu dan bukaan-bukaan kekal lain) pada bangunan khususnya di dalam menyediakan alir-udara secara semulajadi dan kaitannya dengan kesihatan dan keselesaan penghuni serta penyejukan ruang dalamam sesebuah bangunan akan dapat menginsafkan kita agar sentiasa mematuhi kehendak (UBBL) dan kehendak-kehendak penguasa tempatan. Kita sepatutnya memperbaiki dan meperluaskan kefungsian bukaan secara kreatif dan bijaksana untuk memakmurkan dan memanjangkan hayat bangunan. Faktor-faktor seperti sais, kedudukan bukaan,dan ciri-ciri lain adalah di dalam kawalan perekabentuk, perlu diterapkan dari peringkat awal lagi iaitu semasa diperingkat rekabentuk bangunan. Disamping itu faktor-faktor luaran yang terangkum di dalam aspek perancangan bandar seperti susunatur, pengzonan, kawasan terbuka dan sebagainya juga perlu pertimbangan awal agar tiupan angin dapat dimanfaatkan. Seterusnya keseluruhan elemen-elemen landskap yang dapat membantu memberi keselesaan menerusi pengudaraan secara semulajadi juga perlu disepadukan.

Rujukan

1. Warta Kerajaan Malaysia. (1985). Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

2. S V Szokolay. (1980). Environmental Science Handbook, The Construction Press Ltd. England.

3. Evans M. (1980). Housing Climate and Comfort, The Architectural Press Ltd. London.

4. H J Cowan & P R Smith (1983). Environmental Systems, Van Nostrand Reinhold Co.Ltd. New York.