PENJIMATAN TENAGA: KONFLIK ANTARA PENGOPTIMUMAN PENGGUNAAN CAHYA SEMULAJADI ( CAHAYA SIANG) DENGAN CAHAYA BUATAN (LAMPU ELEKTRIK) UNTUK PENCAHAYAAN RUANG DALAMAN BANGUNAN

oleh Dr.Abdul Majid Ismail

1.0 Pengenalan

Negara beriklim panas seperti Malaysia sebenarnya sentiasa menerima cahaya matahari sebagai sumber cahaya semulajadi hampir sepanjang tahun. Sumber semulajadi kurniaan Tuhan ini diperolehi tanpa sebarang bayaran sepatutnya dimanfaatkan penggunaannya untuk mencahayai ruang dalaman pada waktu siang. Tetapi anehnya amalan penggunaan cahaya buatan daripada lampu eletrik tetap menjadi pilihan utama bangunan-bangunan moden kita dewasa ini. Hal ini tidak ubah seperti kata pepatah Melayu "sudah terang lagi bersuluh". Pekerja-pekerja pejabat tetap memasang lampu elektrik di siang hari, walaupun sekiranya lampu-lampu elektrik itu ditutup, aras pencahayaan dari tingkap adalah mencukupi. Lebih malang lagi di setengah-setengah pejabat, tingkap-tingkap ditutup sepenuhnya dan lampu elektrik dipasang sepanjang masa. Sikap sedemikian ini menyebabkan kos tenaga bangunan meningkat dan sepatutnya peningkatan ini boleh ditampung secara percuma sekiranya cahaya semulajadi digunakan dengan bijaksana.

Pada zaman mewah ini wang memang tidak menjadi masalah untuk membayar seberapa banyak bil elektrik yang dikenakan. Walau bagaimanapun amalan-amalan pembaziran seperti ini tetap bercanggah dengan gerakan aliran "seni bina hijau" dan "seni bina berteraskan iklim" dewasa ini, dan mestilah dibanteras. Syukurilah nikmat cahaya semulajadi kurniaan Tuhan ini dengan memanfaatkan penggunaannya di dalam bangunan sebaik mungkin. Lampu elektrik seharusnya digunakan hanya sebagai alat bantuan ketika ketiadaan cahaya siang atau ketika aras pencahayaan tidak mencukupi. Kenapa mesti diterangi kawasan yang telah cukup terang?. Para arkitek khususnya, mestilah lebih perihatin dan kreatif dalam menghasilkan reka bentuk bangunan yang dapat memaksimumkan penggunaan cahaya semulajadi dan meminimumkan penggunaan cahaya buatan.

2.0 Punca Utama Konflik

Konflik berlaku dalam usaha untuk mengoptimumkan penggunaan cahaya semulajadi dan meminimumkan cahaya buatan di dalam bangunan. Hal ini berpunca daripada beberapa sebab utama. Antaranya ialah:

i. Penggunaan konsep plan terbuka "open plan" dalam reka bentuk bangunan iaitu penerapan reka bentuk bilik-bilik yang lebih besar tanpa sekatan dengan kelebaran yang dalam. Hal ini bertambah buruk lagi dengan penggunaan sistem binaan rangka dan dinding langsir "curtain wall" beserta tingkap kaca yang hampir memenuhi keseluruhan dinding luar. Sungguhpun bahagian dalam bilik yang jauh dari tingkap menerima cahaya semulajadi yang agak tinggi, namun ia tetap kelihatan berbalam disebabkan kontras yang amat jelas daripada kecerahan langit yang diterima menerusi tingkap yang terlalu luas.

ii. Terdapatnya lampu-lampu kalimantang yang berupaya mengelurkan cahaya hampir setanding dengan cahaya semulajadi dengan harga yang murah.

iii. Keadaan ekonomi negara yang mewah menyebabkan kurangnya sifat jimat cermat serta kurang faham para arkitek dan jurutera terhadap masalah penjimatan tenaga di dalam bangunan.

iv. Penekanan terhadap konsep kesendirian "privacy" yang keterlaluan tanpa had menyebabkan penutupan kebanyakan punca cahaya semulajadi.

Perkara di atas merupakan beberapa alasan utama kenapa pengoptimuman penggunaan cahaya semulajadi kurang mendapat perhatian di samping kurangnya kesedaran dalam kalangan para arkitek dalam perkara ini. Sepatutnya cahaya semulajadi yang dapat diperolehi dengan percuma ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan cahaya buatan (elektrik) hanya diterapkan sebagai pembantu sekiranya cahaya semulajadi kurang atau tidak sampai ke kawasan yang tertentu. Pendekatan ini dikenali sebagai penggunaan "bantuan cahaya buatan (elektrik) kekal di dalam ruang dalaman bangunan" (PSALI).

3.0 Prinsip Asas Penerapan Pencahayaan Semulajadi Di Dalam Bangunan

Masalah utama pencahayaan semulajadi/siang dalam iklim tropika ialah pemisahan antara cahaya dengan haba yang datang daripada sumber yang sama iaitu matahari. Haba matahari mestilah dicegah daripada masuk secara terus ke dalam bangunan menerusi penggunaan alat peneduhan yang mencukupi, pemilihan bahan dan warna komponen luar bangunan yang betul, dan orientasi bangunan yang sesuai. Oleh sebab haba matahari berpunca daripada cahaya terus matahari, ia mestilah ditangkis dengan sempurna olen elemen luaran bangunan. Kegagalan menangkis haba matahari akan menyebabkan peningkatan haba dalaman dan menghasilkan ketidakselesaan. Cahaya resap atau cahaya yang tidak secara langsung daripada kecerahan langit (cahaya langit) merupakan cahaya yang diperlukan untuk pencahayaan di dalam bangunan. Rajah 1 menjelaskan konsep asas pencahayaan siang dalam konteks iklim panas-lembap tropika.

Rajah 1: Prinsip asas pencahayaan siang

4.0 Matlamat Utama Pengintegrasian Antara Pencahayaan Semulajadi dan Pencahayaan Buatan (lampu elektrik)

Tingkap-tingkap yang terlalu luas pada bangunan moden khususnya bangunan tinggi dewasa ini walaupun pada asasnya bertujuan untuk memaksimumkan kemasukan cahaya semulajadi tetapi kadangkala mendatangkan masalah silauan langit. Keadaan ini sebenarnya dapat diatasi dengan memasang langsir dan bidai yang sesuai, yang berupaya membenarkan cahaya semulajadi masuk di samping menyekat kemasukan silauan langit yang tidak dikehendaki. Jalan pintas yang lazim diterapkan untuk mengatasi keadaan ini adalah dengan menutup keseluruhan tingkap dan memasang lampu eletrik yang menjadikan keseluruhan ruang dalamannya menjadi 100% persekitaran buatan.

Penyelesaian yang paling baik dalam menangani masalah ini adalah dengan mereka bentuk secara bersepadu keseluruhan bangunan dengan menerapkan sekali peralatan anti-silau dan alat peneduhan luaran berserta pemasangan pencahayaan bantuan secara kekal atau dikenali sebagai (PSALI). Pengintegrasian antara cahaya semulajadi dan cahaya buatan dapat membentuk satu persepaduan sistem yang mempunyai kelebihan-kelebihan seperti berikut:

- Pencahayaan dalaman yang bebas daripada masalah silau

- Menghasilkan suasana di dalam bangunan yang lebih hidup dan tidak membosankan

- Memberikan pencahayaan yang lebih sempurna untuk bekerja

- Berupaya menghasilkan persekitaran visual yang lebih selesa

- Penggunaan siling yang lebeh rendah dan bilik yang lebih dalam dapat diterapkan

5.0 Kaedah Kawalan Pencahayaan

Untuk menerapkan sistem pencahayaan seimbang yang mengambil kira kelebihan cahaya semulajadi dan cahaya buatan (kaedah bersepadu), kawalan aras pencahayaan yang setara antara cahaya semulajadi dan buatan (eletrik) perlukan kepada pemilihan dan penerapan sistem kawalan pencahayaan. Dewasa ini beberapa alternatif sistem kawalan pencahayaan secara otomatis sebagai salah satu input terhadap "intelligent building" boleh dipilih daripada yang berikut:

i. Penggunaan Fotosel dan Sistem Suis

Fotosel yang sensitif terhadap aras cahaya siang di luar bagunan dipasang sebagai alat kawalan yang akan mematikan atau menghidupkankan suis utama sistem cahaya eletrik di seluruh bangunan. Cara ini memberikan kos awalan yang rendah tetapi kurang berjaya kerana kerap memasang dan mematikan lampu terlalu kerap serta pada waktu yang salah.

Kegagalan cara ini adalah kerana:

a) Ia tidak mengambil kira proses penyesuaian mata manusia. Mata kita lazimnya mengambil masa untuk menyesuaikan keadaan daripada terang kepada gelap, tetapi

tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan keadaan gelap kepada terang.

b) Kekerapan pemadaman lampu sebenarnya lebih mengganggu daripada keadaan

penurunan aras pencahayaan itu sendiri.

ii. Penggunaan Sistem Fotosel dan Sistem Pemalapan

Sekiranya kaedah pemalapan dan pencerahan dapat menggantikan sistem suis seperti di atas, kawalan menggunakan fotosel dapat dilaksanakan dengan memuaskan. Kombinasi sitem ini memerlukan kos awalan yang agak tinggi, namun begitu ia akan menjadi murah dalam jangka masa panjang berdasarkan kelebihan-kelebihan yang dimilikinya. Kawalan fotoeletrik ini dapat diterapkan sekali dengan sistem pelambat yang berupaya mengambil kira penyesuaian mata agar proses penurunan aras pencahayaan menjadi lebih lambat daripada proses pertambahannya. Kaedah ini juga perlu mengambil kira majoriti penghuni bukannya purata.

iii. Penggunaan Pensuisan secara Terpilih "Selective Switching"

Satu lagi sistem kawalan yang sesuai ialah pensuisan secara terpilih. Sistem ini memerlukan barisan lampu eletrik yang dipasang selari dengan tingkap dan bertindak bergilir-gilir untuk mensesuaikan aras pencahayaan dengan cahaya siang. Kaedah ini lebih murah dan berupaya menseimbangkan aras pencahayaan antara kawasan berhampiran tingkap yang banyak menerima cahaya semulajadi daripada kawasan yang jauh dari tingkap dan kurang menerima cahaya semulajadi.

6.0 Pertimbangan Asas Kaedah Bersepadu Pencahayaan

i. Hubungan Rekabentuk Pencahayaan Semulajadi dan Buatan

Sistem bersepadu ini sepatutnya berupaya menyelesaikan kesukaran dalam reka bentuk pencahayaan yang asas dalam bangunan-bangunan moden. Tapak sepatutnya dapat digunakan secara optimum khususnya di pusat bandar kerana reka bentuk bangunan yang lebih padat dapat dilaksanakan.

Sistem ini juga sepatutnya berupaya menghasilkan ruang berfungsi yang lebih luas berbanding dengan keseluruhan keluasan kasar bangunan kerana reka bentuk padat dan bertingkat-tingkat dapat dilakukan.

Secara lebih terperinci lagi, kita berupaya menghasilkan bilik-bilik yang lebih dalam dan siling yang lebih rendah.

Dalam memenuhi keperluan di atas, lazimnya tingkap yang luas adalah dikehendaki dalam memenuhi keperluan pencahayaan semulajadi yang lebih tinggi. Namun demikian hal ini akan menyebabkan kesan silauan langit yang semakin tinggi. Sekiranya reka bentuk tingkap sisi diterapkan, kawasan yang berhampiran dengan tingkap adalah lebih cerah, sementara di bahagian dalam menjadi lebih gelap. Oleh itu bentuk kawalan yang sesuai dan kajian ruang serta kesan penembusan cahaya semulajadi yang sebenarnya perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum reka bentuk keseluruhan pencahayaan diterapkan.

ii. Kos Pencahayaan Bantuan

Aras pencahayaan semulajadi yang tinggi dari tingkap sisi hanya boleh diperolehi dengan mengadakan tingkap-tingkap yang besar dan bilik-bilik yang terhad kedalamannya. Kos keseluruhan bangunan yang menerapkan cara ini adalah tinggi. Dengan menerapkan sistem bersepadu ini, penjimatan kos mungkin dapat dilakukan menerusi reka bentuk siling yang lebih rendah, bilik-bilik yang lebih dalam dan ruang lantai yang lebih luas. Perbandingan antara kos pemasangan dan penyelenggaraan pencahayaan bantuan dengan penjimatan yang diperolehi daripadanya adalah masih menguntungkan ataupun sekurang-kurangnya hampir-hampir seimbang.

Secara kebetulan juga "running cost" pencahayaan bantuan menerusi sistem bersepadu ini masih lebih menjimatkan berbanding dengan sistem pencahayaan buatan konvensional dengan lampu-lampu eletrik yang senentiasa terpasang pada waktu siang sama ada ia diperlukan ataupun tidak.

Di samping itu pencahayaan pada waktu siang dapat disepadukan dengan pencahayaan waktu malam yang akhirnya menghasilkan suasana ruang dalaman yang lebih selesa dan ekonomik.

iii. Tambahan Aras Pencahayaan

Sebenarnya terdapat dua fungsi utama tambahan cahaya buatan di dalam ruang dalaman yang telah sedia dicahayai oleh cahaya semulajadi/siang:

a) Apabila aras pencahayan berada di bawah aras yang sepatutnya untuk penglihatan

yang berkesan, maka bantuan cahaya buatan adalah diperlukan.

b) Dalam keadaan tertentu, tambahan cahaya masih diperlukan di kawasan yang

kurang jelas walaupun aras pencahayaan secara fotometrik adalah mencukupi

sebagaimana yang dikehendaki oleh piawaian (CIBSE).

7.0 Jenis Kaedah Pencahayaan

Secara umumnya konfigurasi bangunan akan mempengaruhi reka bentuk pencahayaan yang diperlukan di dalam bangunan. Bangunan tinggi umumnya menerima cahaya semulajadi dari tingkap sisi dan bangunan rendah yang luas (seperti kilang atau dewan) atau tingkat atas bangunan, pencahayaan dari bumbung boleh diterapkan secara terus. Kaedah-kaedah tidak terus menerusi sistem pantulan dan biasan cahaya juga berupaya memasukkan cahaya semulajadi jauh ke bahagian dalam bangunan. Di samping kaedah tidak terus, reka bentuk bangunan beratrium telah juga terbukti berupaya mengintegrasikan reka bentuk pencahayaan semulajadi ke dalam bangunan-bangunan tinggi. Atrium yang lazimnya diterapkan di tengah-tengah bangunan memberi laluan kepada cahaya dan ventilasi semulajadi ke dalam bangunan.

i.Pencahayaan Dari Atas

Pencahayaan semulajadi dari atas yang memberikan cahaya siang yang hampir-hampir seragam lazimnya sesuai untuk pencahayaan kilang-kilang atau dewan sukan. Tujuan bantuan pencahayaan buatan dalam kes ini semata-mata adalah untuk mininggikan aras cahaya yang tidak dapat dipenuhi oleh sumber cahaya matahari. Kebanyakkan kilang yang menempatkan kerja-kerja rumit dan ingin menjimatkan tenaga eletrik menerapkan cara ini. Bantuan dalam bentuk cahaya lampu eletrik boleh dipasangkan pada bumbung dan dinyalakan apabila diperlukan. Berbagai-bagai reka bentuk bumbung seperti bentuk mata gergaji, "shed" dan "monitor" boleh diterapkan sekali dengan reka bentuk peneduhan yang sesuai bagi mencegah kemasukan haba matahari.

ii. Pencahayaan Dari Sisi

Kebanyakan bangunan tinggi dan bertingkat menggunakan tingkap sisi untuk tujuan pencahayaan semulajadi. Pencahayaan semulajadi dari tingkap sisi ini memberikan aras cahaya siang yang tinggi di kawasan berhampiran tingkap dan menurun semakin jauh dari tingkap. Kontras yang diperolehi boleh meningkat shingga kekadar 10:1 atau lebih besar lagi. Keadaan ini begitu subjektif kerana bukan masalah aras pencahayaan yang tidak mencukupi di bahagian dalam yang menjadi persoalan tetapi masalah kontras dan penyesuaian mata dari terang ke gelap.

Kriteria utama dalam reka bentuk pencahayaan bersepadu untuk pencahayaan dari sisi ini ialah pencapaian tahap "keseimbangan kecerahan" untuk semua kawasan di dalam sesebuah bilik. Keseimbangan kecerahan ini boleh dicapai apabila aras pencahayaan bantuan berkadar terus dengan cahaya siang yang diterima di dalam sesebuah ruang.

Sungguhpun penerapan sistem ini agak sukar, namun ia akan menjadi mudah sekiranya pertimbangan dibuat pada peringkat awal reka bentuk iaitu semasa plan-plan masih di atas meja lukisan lagi. Oleh itu teras kepada kejayaan reka bentuk pencahayaan dari sisi ini sebenarnya melibatkan reka bentuk kedua-dua cahaya siang dan bantuan serta penerapan sistem yang merangkumi anti-silau dan alat peneduhan luaran. Reka bentuk sebegini dapat dilakukan dengan adanya lampu kalimantang dan kefahaman terhadap penyesuaian visual di dalam reka bentuk pencahayaan ruang dalaman.

8.0 Panduan Penting Reka Bentuk Pencahayaan Bersrepadu

i. Perubahan cahaya

Keamatan cahaya siang akan berubah-ubah sepanjang hari dan tahun. Keadaan ini akan mempengaruhi aras pencahayaan siang di dalam sesebuah ruang. Cahaya yang dihasilkan oleh lampu eletrik menerusi sistem bersepadu ini adalah tetap. Lazimnya apabila cahaya siang bertambah, kesannya kurang dirasai. Tetapi apabila cahaya siang berkurangan, terasa seolah-olah cahaya bantuan bertambah terang, walhal sebenarnya cahaya siang yang telah berkurangan.

ii. Sumber Cahaya Semulajadi

Untuk mendapatkan keseimbangan kecerahan khusus untuk kawasan tropika, aras cahaya bantuan mestilah sekurang-kurangnya 300-900 lux atau lebih. Keadaan ini hanya akan dapat dipenuhi dengan penggunaan lampu kalimantang. Penerapan konsep bersepadu ini seharusnya tidak akan menimbulkan masalah tambahan haba dalaman. Sebenarnya dengan penggunaan lampu kalimantang, pemilihan warna lampu dapat dilakukan dengan berkesan iaitu warna yang paling padan dengan warna cahaya semulajadi, kualiti cahayanya yang meliputi lorekan warna dan penjodohan warna untuk kegunaan khusus juga dapat dibuat.

iii. Taburan dan Aturan

Sistem bantuan ini seharusnya dapat membentuk keunitan dengan keseluruhan sistem pencahayaan sesebuah bangunan dan seboleh-bolehnya jangan sampai kelihatan ketidak asliannya.

Untuk pencahayaan menerusi bumbung, sistem ini dapat disepadukan dengan reka bentuk bumbung supaya integerasinya dengan sistem bumbung dapat dicapai.

Untuk pencahayaan dari sisi penerapan sistem ini agak sukar sedikit kerana cahaya bantuan seboleh-bolehnya jangan sampai dirasai datangnya dari atas. Oleh itu lampu gantung adalah tidak sesuai untuk diterapkan. Paling elok,janganlah sampai penghuni menyedari pencahayaan tambahan itu diperolehi secara buatan. Walau apapun sistem yang akan digunakan, penapis dan kekisi yang bersesuaian perlu diterapkan untuk mengelakkan pandangan terus ke arah lampu pada sudut pandangan yang biasa.

10.0 Contoh Reka Bentuk Pencahayaan Bersepadu yang Mudah

i. Sistem Pencahayaan Sisi

Fungsi utama tingkap adalah untuk membenarkan cahaya semulajadi masuk di samping memberikan pandangan keluar. Peraka bentuk harus juga menimbangkan keadaan yang mungkin berlaku apabila bekalan eletrik terputus dan tiada punca pencahayaan semulajadi diperuntukkan. Sekiranya tiada peruntukkan pencahayaan semulajadi secukupnya disediakan, bangunan tiada upaya lagi untuk berfungsi. Keadaan tidak selamat serta merbahaya mungkin timbul. Oleh itu hal-hal seperti ini juga perlukan pertimbangan awal semasa mereka bentuk pencahayaan untuk keseluruhan bangunan.

Selain garis panduan umum reka bentuk tingkap yang termaktub dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam, terdapat juga keperluan asas dalam CIBSE 1984 Lighting Code yang perlu dipatuhi. Rekabentuk berteraskan iklim untuk kawasan tropika menggariskan saiz tingkap yang sesuai untuk pengudaraan rentas dan cahaya semulajadi disekitar 40% daripada keluasan dinding. CIBSE menggariskan sekiranya purata DF<2%, bantuan kekal cahaya buatan diperlukan. Apabila purata DF melebihi 2% tetapi kurang daripada 5%, pencahayaan bantuan mestilah mengambil kira sepenuhnya keupayaan cahaya siang, dan sekiranya purata DF>5%, cahaya bantuan adalah tidak diperlukan. Kedua-dua kriteria (sais tingkap dan nilai minimum DF) adalah penting khususnya sekiranya pantulan dalaman dari dinding, lantai dan siling diambil kira kerana ia akan dapat memberikan peningkatan kualiti pencahayaan.

Penentu kedua dari segi saiz tingkap untuk ruang yang memerlukan bantuan kekal adalah berdasarkan hal-hal bukan visual khususnya pengurangan tambahan haba matahari dan silau. Rajah 2 menunjukkan bagaimana sistem pencahayaan sisi dan kedudukan cahaya bantuan yang diperlukan untuk sesebuah ruang.

Rajah 2- Sistem bersepadu dengan pencahayaan sisi

Aras pencahayaan merupakan salah satu masalah yang rumit dalam menerapkan sistem bantuan menerusi pencahayaan sisi. Keperluan ini pada dasarnya ditentukan oleh kerumitan kerja yang dilakukan dalam ruang berkenaan. Bilik untuk kerja sederhana memerlukan pencahayaan di sekitar 150-200 lux dan untuk kerja-kerja yang lebih rumit lagi pencahayaan yang melebihi 500 lux mungkin diperlukan. Dalam keadaan tertentu seperti makmal dan perpustakaan, halangan oleh rak-rak dan sebagainya terkadang-kadang sukar untuk diberi pertimbangan yang sewajarnya.

Anggaran pencahayaan bantuan dapat dikira secara kasar menerusi formula berikut:

E = DF x L

iaitu: E = aras pencahayaan bantuan yang diperlukan (lux)

DF = Mean faktor cahaya siang di kawasan yang perlukan bantuan (%)

L= Purata atau andaian luminans langit yang terlihat dari kawasan yang perlukan

bantuan (cd/msq. )

Kaedah:

Tentukan jenis tingkap (fenestrasi),taburan jumlah pencahayaan dan dapatkan komponen terus serta pantulan untuk cahaya semulajadi. Maklumat tentang taburan perlu bagi menentukan kawasan mana cahaya bantuan diperlukan. Tentukan juga purata faktur cahaya siang (DF).

Secara praktikal, kawasan yang mempunyai DF kurang daripada 2% atau kurang daripada 0.1% daripada DF pada permukaan tingkap perlu dilengkapi dengan bantuan cahaya lampu elektrik.

Sebagai contoh, sekiranya permukaan kerja ialah 0.2 H, dan H adalah tinggi kepala tingkap dari lantai, purata DF bilik ialah 1.5%. Purata DF kawasan yang perlu dibantu ialah 1.0%, pencahayaan bantuan yang diperlukan biasanya ialah di sekitar 500 lux.

ii.Sistem XYZ

Satu lagi sistem bersepadu untuk pencahayaan sisi adalah seperti dalam rajah 3.

Rajah 3- Sistem XYZ

Deretan lampu-lampu dipasangkan berdasarkan prinsip penyalaan terkawal. Pada waktu siang deretan Y dan Z dinyalakan untuk memenuhi keperluan kawasan yang jauh dari tingkap dan cahaya siang kurang mencukupi. Pada waktu malam pula, deretan Z dipadamkan, X dan Y pula dinyalakan. X dan Y memberikan pencahayaan yang seragam di seluruh bilik apabila keadaan telah menjadi gelap. Swis-swis di letakkan dalam dua kedudukan iaitu untuk waktu siang dan malam. Perubahan nyalaan seboleh-bolehnya dilakukan pada waktu pertukaran pekerja atau pada waktu rehat.

11.0 Garis Panduan Kasar Cahaya Bantuan

Berikut ialah garispanduan kasar keperluan cahaya bantuan berdasarkan kepada purata faktor cahaya siang (DF) pada satu-satu lokasi di dalam sesebuah ruang:

DF (%) BANTUAN CAHAYA YANG PERLU

0.5                 250 luks

1.0                 500 luks

1.5                 750 luks

2.0                 1000 luks

Negara beriklim sederhana memerlukan cahaya yang lebih panas kerana suhu udaranya yang rendah. Negara beriklim tropika seperti Malaysia memerlukan cahaya yang setanding dengan cahaya siang dan suasana yang lebih sejuk. Pilihan lampu juga akan menentukan suasana yang akan dihasilkan itu bersesuaian dengan kualiti pencahayaan yang dikehendaki untuk sesebuah ruang dan aktivitinya.

12.0 Kaedah Tidak Terus

Kini terdapat banyak bangunan-bangunan baru di negara Jepun, Amerika Syarikat, dan negara-negara Eropah yang telah berjaya mengorak langkah dengan meraka bentuk bangunan yang menerapkan pencahayaan semulajadi menerusi kaedah tidak terus. Cahaya matahari dialirkan masuk menerusi pantulan oleh alat pemantul luar kebahagian dalam bangunan menerusi siling gantung dan dinding dalam. Cahaya siang/matahari juga berupaya dialirkan masuk jauh kedalam bilik menerusi corong pemantul cahaya yang dibuat daripada cermin ataupun prism. Menerusi biasan, cahaya matahari juga berupaya dialirkan masuk menerusi kanta-kanta yang disusun seperti sebuah teropong. Kesemua sistem ini diterapkan dengan alat kawalan pensuisan dan pengesan cahaya dan laluan matahari atau fotosel. Contoh-contoh dan penggunaan kaeadah tidak terus ini akan dibincangkan dalam kertas yang berlainan.

13.0 Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas, sistem pencahayaan yang mengambil kira cahaya semulajadi daripada matahari dan bantuan oleh lampu elektrik adalah perlu diterapkan dalam reka bentuk bangunan-bangunan di negara kita. Pergantungan 100% terhadap cahaya buatan daripada lampu elektrik merupakan satu pembaziran dan bercanggah dengan sunnah alam. Contoh-contah mudah yang dikemukakan menjelaskan bahawa penerapan sistem bersepadu adalah tidak begitu sukar. Kefahaman terhadap sistem bersepadu menerusi kaedah terus dan tidak terus oleh arkitek dan jurutera adalah perlu sebagai titik tolak pada penghayatan "seni bina hijau" dan "reka bentuk berteraskan iklim".

14.0 Rujukan

1. Pritchard, D.C. Lighting, Longman Scientific & Technical, 5th.Ed., 1995.

2. McMullan,R. Environmental Science in Building, The Macmillan Press Ltd., 3rd.Ed., 1993.

3. The Energy Research Group, School of Architecture, University College of Dublin. Energy in Architecture, The European Solar Handbook, BT Batsford Ltd. 1994.

4. Hopkinson,R.G. et.al. Daylighting, Heinemann, 1963.

5. Hopkinson,R.G. & Kay,J.D. The Lighting of Building, Faber and Faber, 1972.

6. CIBSE Publications. Codes for Interior Lighting, 1994.

7. Hutcheon, N.B. Building Science for a Cold Climate, John Wiley & Sons, 1983.

8. Koenigsberger, O.H. et.al. Manual Tropical Housing and building- Part 1:Climatic Design, Longman, 1973.

9. Evans,M. Housing Climate and Comfort, The Architectural Press Ltd., 1980.

10. Warta Kerajaan Malaysia. Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984