Senibina Tradisional: Adakah Mungkin Satu Arkitektur Darinya?

Dari Perantara, Jun 1984, ms-20-22.


ms 21.

selain dari menyebarkan secara tradisional, ilmu pertukangan atau kejuruteraan bangunan.

Senibina tradisional itu sememangnya penting tetapi bukannya sebagai satu telaga yang mengandungi unsur-unsur "seni" yang kemudiannya dicedok dan dicurahkan ke bangunan kertas graf untuk menjadikan bangunan ini satu yang "berkebudayaan" tempatan. Kaedah terjemahan ini sebenarnya hanya menimbulkan apa yang dikatakan kitcsh iaitu keadaan yang terlalu jauh dari realiti Malaysia kini melainkan jika realiti itu sudah sememangnya ditakdirkan.

Apa yang penting ialah ilmu pengetahuan asas tentang senibina tradisional. Inilah yang dapat membuka jalan supaya arkitektur tempatan tidak bercanggah dengan alam fizikal dan bukan fizikal. Untuk menuju dan mencapainya, kajian ilmiah harus diperbanyakkan dan kritikan dalam ertikata yang sebenarnya haruslah didalami dan digalakkan.

Sejak penulisan tentang arkitektur Malaya oleh Noone, Morley, Yong (JMBRAS, Jun 1955) terdapat juga penulis-penulis tempatan yang telah menerangkan tentang senibina tradisonal di Malaysia. Penulisan ribut-ributan juga telah timbul akibat seminar besar-besaran seperti yang terjadi di Regional Seminar on The Search for Identity in Architecture, Julai 1984. Walaupun begitu, hampir kesemua dari karya tersebut berbentuk deskripsi dan lebih banyak konjektur daripada perahan pati senibina tradisional. Akibatnya adalah penerusan arah yang tidak jelas dalam arkitektur di Malaysia dan yang lebih pedih lagi, kekaburan senibina tradisional itu sendiri.

Istilah senibina tradisional adalah meluas. Oleh kerana kekurangan istilah, Bernard Rudofsky telah mengutarakan istilah-istilah "arkitektur pribumi, arkitektur tak bernama, arkitektur spontan, arkitektur setempat, arkitektur luar bandar" atau disimpulkannya "arkitektur tanpa arkitek" (Rudofsky, Architecture Without Architects: A Short Introduction to Non-Pedigreed Architecture. Doubleday, 1964) untuk menerangkan tentang alambina yang boleh disifatkan di sini sebagai apa yang dimaksudkan dengan senibina tradisional. Di Malaysia senibina tradisional masih lagi belum diketahui asal usulnya. Menurut teori Sumet Jumsai, evolusi senibina di asia Tenggara bermula dari air. Berlandaskan kepada teori Darwin, Sumet telah menerangkan bagaimana senibina di air ini kemudiannya merangkak ke darat. Anggapan dasar yang lain tentang evolusi senibina tradisional mengatakan bahawa seni bina di Malaysia bermula dari rumah-rumah pokok yang kemudiannya turun rendah dan akhirnya terletak di paras bumi. Bangunan yang dijadikan contoh untuk mendokong teori-teori ini masih boleh dijumpai di Malaysia. Kelong, rumah-rumah rakit dan rumah bertiang di gigi air adalah senibina air. Bangunan di darat pula terdiri dari balai, wakaf, salai-kelapa, kepok padi dan juga rumah-rumah berkolong tinggi hinggalah sampai ke "rumah bawah". Sama ada dari air atau dari atas pokok, evolusi senibina tradisional sukar ditentukan kerana bahan binaannya mudah hancur dan tidak meninggalkan kesan-kesan untuk sebarang kajian arkeologi.

Mungkin juga penggaluran sejarah melaui kaedah ini adalah tidak penting, kerana ciri "hancur" ini ialah satu daripada ciri-ciri senibina yang membezakannya dari arkitektur.

Senibina adalah ciptaan yang berasaskan pengetahuan lisan yang diturunkan dari generasi ke generasi lain. Walaupun demikian, adalah dipercayai bahawa pengetahuan ini, sungguhpun tidak tersebar luas atau pun tidak diakui sepenuhnya oleh jurubina tradisional, adalah berasaskan prinsip-prinsip yang disenaraikan dalam kitab Tajul Muluk Al Marsudda' (Maktabat Wamatabi'at, Darul Ma'arif, Pulau Pinang, m.s. 146). Pengubahsuaian kepada prinsip ini melaui pengalaman binaan dijadikan pegangan dan kemudiannya diwarisi secara lisan. Ciri senibina tradisional dapat dilihat dari imbasan ini. Senibina tradisional tidak mempunyai atau memerlukan arkitek. Konsepsinya tergantung kepada "tukang besar-besar" atau jurubuna.

Untuk pelaksanaannya, senibina tradisional tidak memerlukan pelan-pelan-pelan dan lukisan terperinci. Sama seperti seni pahat san seni-seni lain, senibina adalah hasil interaksi naluri jurubina dengan medianya. Segala perubahan berlaku di dalam proses penciptaan dan semuanya dapat dilaksanakan. Ini adalah kerana tiada ketetapan terpeinci sebelum pembinaan. Dalam binaan, terutamanya bangunan kediaman, kerja-kerja dilakukan secara sukarela, bergotong-royong dan menggunakan abdi atau pekerja upahan. Hasil dari itu, senibina merupakan persemadian cinta, kerjasama dan titik peluh ramai berlandaskan ilmu pengetahuan dan pengalaman tukang. Ini juga membezakan senibina dari arkitektur.

Housing, seperti kata John Turner adalah katakerja dan bukan katanama (Turner, "Housing as a Verb", Freedom to Build: Dweller Control of the Housing Process, Macmillan, 1972, m.s. 148-175). Ini bererti bahawa senibina adalah suatu proses yang tidak mempunyai pengakhir. Malah pada produk senibina, bahagian tertentu boleh dibuang atau ditokok tambah mengikut kehendak zaman. Ini telah dapat dibuktikan oleh rumah-rumah Melayu. Daripada daya-olah ini, dapat diamati bahawa senibina tidak bergantung kepada teknologi tinggi; oleh yang demikian, tidak eksklusif tetapi membenarkan partisipasi orang ramai dalam penciptaannya.

Ciri-ciri yang disebutkan di atas sudah cukup untuk menunjukkan perbezaan di antara senibina dan arkitektur. Bagaimanakah dapat bidang-bidang yang berlainan prinsip, malah dalam banyak kes, berlawanan pula di antara satu sama lain ini, disamakan atau diganti-gunakan istilahnya?

Bagi senibina yang begitu versatil, ianya telah dapat mengutip dan menggunakan unsur-unsur arkitektur seperti skala dan keseimbangan. Contohnya terdapat pada masjid-masjid ala "Masjid Negara" di kampung-kampung. Apa yang masih perlu tafsiran atau diuraikan ialah bagaimana arkitektur, supaya tidak menjadi bahan ketawa, dapat menerapkan unsur-unsur senibina ke dalamnya. Kejayaan penerapan senibina ke dalam arkitektur, seperti yang dinyatakan lebih awal, telah dibuktikan berjaya di negara ini oleh arkitek asing. Bagaimanakah dapat arkitek tempatan melaksanakan ideanya sebagai reaksi kepada Kongres 1971 dan Seminar-Seminar 1981 dan 1983. Jika diambil saranan naluri dari pertemuan di atas sebagai titik tolak untuk membuka pintu arkitektur di Malaysia, maka kuncinya adalah pada penghalusan senibina tradisional itu sendiri.

Kehalusan senibina tradisional di Malaysia seperti yang terdapat pada rumah Melayu, pada prinsipnya yang implisit dan bukan hanya pada ukiran-ukiran atau kerawang-kerawang yang menjadi ragamhias sesuatu bangunan itu. Mengapa rumah Melayu begitu konsisten sekali rekabentuknya dari satu rumah ke satu yang lain, dari satu kawasan ke kawasan lain, dan zaman ke zaman, haruslah direnungkan. Ketandusan rekabentuk-rekabentuk mungkin disebabkan oleh batasan pemikiran jurubina yang tidak kreatif atau inovatif dalam menghasilkan bentuk-bentuk lain. Mungkin juga kekurangan, lebih tepat lagi, ketiadaan penyelidikan untuk menghasilkan tipologi lain yang menjadikan Rumah Melayu kelihatan "sama" saja. Sebenarnya tiada sebuah pun Rumah Melayu itu sama dengan yang lain, berbeza dengan rumah teres, yang ke"sama"annya dapat dikira dengan ringgit sekaki persegi.  Apa yang kelihatan "sama" dalam rumah Melayu diterjemahkan di sini sebagai kekonsistenan rekabentuk yang dibina di atas prinsip-prinsip senibina tradisional yang kukuh. Buktinya dapat dilihat dari sejarah arkitektur di Malaysia di mana prinsip-prinsip senibina tradisional ini telah digunakan untuk menunjang rekabentuk kediaman Arkitektur Kolonial di Malaysia. Dalam kes ini unsur-unsur Arkitektur Kelasik telah berpaut dan bertaut dengan prinsip-prinsip senibina tradisional yang menjadi Arkitektur Serantau waktu itu, terutamanya di negeri-negeri Selat.

Prinsip-prinsip atau peraturan yang terdapat pada senibina tradisional contohnya Rumah Melayu, adalah ketara dan dapat digunakan untuk rekabentuk. Prinsip ini didapati dari pemahaman peraturan-peraturan yang mengikut asas, rangka, bumbung, lantai, dinding, tangga dan unsur tambahan, kesemuanya dikelaskan sebagai Unsur Fizikal. Unsur Ruangan, iaitu rumahtangga, anjung, serambi, iburumah / rumah ibu, lorong, dapur, pelantar, bilik dan luarumah (lihat Wan Burhanuddin, The Malay House: Rationale and Change, 1981), jika terus diselidiki memang banyak lagi peraturan yang berkemungkinan seperti ritma susunan panel dalam aspek estetik (lihat Borhanuddin A Rahman, Sistem Senibina Rumah Tradisional Melayu di Kuala Terengganu dan Persekitarannya, Kajian Ilmiah PBP, 1983). Begitu juga dengan Unsur Spiritual yang cuba diketengahkan oleh pelajar-pelajar (Idris Ahmad, Pendekatan Spiritual dalam Pembinaan Rumah Melayu di Seberang Perai, Kajian Ilmiah PBP, 1984; lihat juga Tengku Mohamed Affandi, Penggunaan Unsur-unsur Spiritual dalam Arkitektur Tempatan, Kajian Ilmiah PBP, 1984).

Pada bangunan lain seperti bangunan kediaman dapat juga dilihat peraturan implisit dalam alambina tempatan (Saharudin A.Samad, Pondok Sebagai Unsur Utama dalam Rekabentuk Alambina, Kajian Ilmiah PBP 1984). Walaupun penemuan ini adalah dalam keadaan yang masih mentah, ianya dapat lagi dihalusi demi menghasilkan arkitektur yang boleh mencerminkan tahap pemikiran sejagat dan seterusnya kebudayaan negara, sebagai menifestasi pemikiran sesuatu bangsa.

Pada peringkat ini adalah terlalu awal untuk membuktikan realiti penerapan senibina tradisional ke dalam arkitektur di Malaysia. Singkapan kepada masa depan dapat dilihat dari cadangan bangunan di Jalan Midlands, Pulau Tikus dan di Jalan Garuda, Bayan Lepas, Pulau Pinang, 1984. Kenyataan pemikiran di sebalik projek-projek ini memerlukan penulisan yang berasingan. Buat waktu ini, memadailah kalau disebutkan contoh-contoh ini adalah usaha ke arah pembentukan Arkitektur Malaysia berteraskan beberapa prinsip senibina tradisional.

Sama ada dalam bentuk ini atau seribu bentuk yang lain, percubaan di atas adalah satu usaha yang ingin mengharmonikan senibina dan arkitektur dalam satu-satu bangunan. Sambil penyelidikan tentang senibina tradisional di rantau ini dijalankan dan amali arkitektur dilakukan, dan sehingga ianya terbukti dengan terbinanya idea ini, persoalan asas yang masih harus dijawab, "Adakah mungkin satu arkitektur dari senibina tradisional?".

Wan Burhanuddin, USM

 

 

Since 21st Jan. 03

About the School


Links:
USM
Ex-Staff  
Ex-Dean  
Alumni